Pada 9 Mei, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow mendesak penubuhan suruhanjaya bagi menilai hubungan negeri-pusat bagi mengkaji hubungan melibatkan Putrajaya dan negeri lain, lebih-lebih lagi melibatkan isu di bawah bidang kuasa kerajaan pusat.
Berikut merupakan tiga dari cadangan oleh jawatankuasa – ditubuhkan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang pada awal 2022 – yang baru sahaja menghantar laporan sementaranya kepada kerajaan negeri. Jawatankuasa ini melibatkan ahli dewan undangan negeri untuk Bukit Tengah Gooi Hsiao Leung, pengerusi eksekutif Penang Institute Dr Ooi Kee Beng serta pengarah projek Dr Francis Loh, bekas profesor bidang politik di Universiti Sains Malaysia serta penasihat senior Forum of Federations, sebuah NGO antarabangsa berpangkalan di Ottawa.
Negara kini berdepan dengan ketidakmungkinan politik yang diakibatkan oleh kudeta Sheraton, serta cabaran yang dihadapi oleh rakyat marhaen ketika pandemik Covid. Hal ini sekali gus menggesa keperluan untuk pengasingan kuasa, perkongsian hasil pendapatan serta pelantikan jawatan melibatkan pelbagai peringkat kerajaan bagi mencapai urus tadbir yang baik. Apatah lagi, ekonomi Malaysia turut menguncup pada 2020 dan tidak pulih sepenuhnya.
Cadangan kedua di dalam laporan sementera ini juga adalah untuk diwujudkan “jawatankuasa kerjasama setiap negeri” bagi memantapkan kerjasama formal dan tidak formal di antara negeri dan membangunkan mekanisme bagi menyelaraskan isu negeri-pusat.
Penubuhan jawatankuasa tetap, serta jawatankuasa ad hoc, merupakan sebuah perkara biasa bagi negara-negara persekutuan. Seringkali, ia membenarkan kerajaan, tanpa mengira hubungan parti, untuk berkongsi pengalaman bekerja melibatkan perkara yang berlainan, serta meneruskan kerjasama dengan kerajaan pusat. Ia membenarkan cara kerja terbaik dari sesebuah negeri untuk dikongsi dengan negeri yang lain juga.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Di Malaysia, beberapa jawatankuasa tetap negeri seringkali didominasi oleh kerajaan pusat Umno-Barisan Nasional, sekali gus tidak membenarkan kerajaan negeri Umno-BN dari berunding, bekerjasama serta menyelaras dengan kerajaan negeri yang dipimpin pembangkang.
Secara asasnya, ketua menteri Pulau Pinang berharap agar lebih banyak negeri, tanpa mengira hubungan politik, dapat berganding bahu bersama dalam membangunkan urus tadbir yang bertanggungjawab dan responsif. Jika sebuah kerajaan negeri tidak mahu terlibat, Chow menyebut bahawa mereka dapat menjemput parti pembangkang di negeri tersebut untuk ikut sama.
Cadangan ketiga di dalam laporan interim ini juga adalah untuk mewujudkan sebuah jawatankuasa rentas parti secara tetap atau terpilih di dalam Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang itu sendiri. Melihat bagaimana kerajaan negeri Pulau Pinang ini dipimpin oleh Pakatan Harapan, jawatankuasa sebegini juga akan turut ditubuhkan.
Jawatankuasa terpilih atau tetap akan melihat kepada perkara spesifik seperti kewangan, kesihatan, kebajikan sosial, pendidikan, kerja pembinaan, pengurusan bencana, tebatan banjir, serta perdagangan dan industri – yang semuanya menjurus kepada hubungan negeri-pusat supaya ia dapat diuruskan.
Laporan sementera berjudul “Enabling decentralisation and improving federal-state relations in the Federation of Malaysia”, akan dinaikkan kepada laman web Penang Institute, seperti dinyatakan oleh ketua menteri Pulau Pinang. [Terkini: Laporan kini boleh didapati di laman web Penang Institute.]
Dalam kata lain, seruan oleh ketua menteri Pulau Pinang ini merupakan sebuah penilaian mendalam tentang hubungan negeri-pusat di Malaysia. Benarlah bahawa sistem hubungan persekutuan di Malaysia digambarkan oleh para penyelidik sebagai “terlalu berpusat”, “bersifat pemaksaan berbanding kerjasama”, serta disanggah oleh seorang penganalisa sebagai “persekutuan yang cacat”.
Secara signifikannya, asal kepada persekutuan yang berpusat ini ada hubung kaitnya dengan fokus kepada dimensi perkongsian kuasa berasaskan etnik secara berlebihan berbanding kepada perkongsian kuasa di antara pusat dan negeri ketika menuju kemerdekaan dahulu.
Akhirnya, kurangnya perincian terhadap hubungan yang saksama di antara pusat dan negeri sekali gus memberi kesan kepada proses pembinaan Perlembagaan Persekutuan yang terlalu berpusat.
Seruan agar pengasingan kuasa, perkongsian hasil pendapatan serta peruntukan bidang kuasa bukanlah perkara baru. Parti pembangkang di Semenanjung, parti berasaskan wilayah di Sabah dan Sarawak, NGO yang mendukung konsep persekutuan serta menuntut agar dikembalikan pilihan raya tempatan, termasuklah Aliran, sudah menyatakan seruan bagi memastikan proses disentralisasi dilakukan sejak lama dahulu.
Ya, semenjak pengambilalihan lebih banyak kerajaan negeri oleh parti pembangkang sejak 2008 serta perubahan regim berikut pilihan raya umum 2018, perkara berkaitan proses disentralisasi semakin mendapat perhatian.
Berikutan penubuhan kerajaan PH pada 2018, Aliran menghantar memorandum berjudul “Centralised federalism in Malaysia; urgent need to decentralise” kepada jawatankuasa kerajaan yang memfokuskan kepada perubahan institusi.
Namun, sebelum sempat kerajaan PH ada masa bagi menilai permasalahan ini secara mendalam, kudeta Sheraton terjadi!
Perubahan hubungan pusat-negeri yang berlaku ketika riwayat pemerintahan PH yang singkat
Pun begitu, terdapat beberapa perubahan penting yang dicapai oleh pemerintahan PH yang singkat itu ketika pentadbiran 22 bulannya, yang kebanyakannya tidak diketahui oleh orang ramai.
Barangkali ada yang pernah mendengar tentang penubuhan jawatankuasa istimewa melibatkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi menilai semula perjanjian dan mengembalikan autonomi dengan lebih luas kepada Sabah dan Sarawak, seperti yang asli mengikut MA63.
Sungguh, kebanyakan tuntutan oleh Sabah dan Sarawak ini diteliti oleh jawatankuasa, yang dipengerusikan oleh PM dan termasuklah juga ketua menteri Sabah dan Sarawak. Sesetengahnya dipersetujui; yang lain pula dirujuk kepada jawatankuasa yang baru ditubuhkan bagi mengkaji permasalahan ini secara lanjut.
Secara signifikannya, salah satu tuntutan oleh parti pembangkang PH ketika mereka menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk bekerjasama dengan kerajaan Perikatan Nasional-Bersatu government (selepas kudeta Sheraton) adalah agar pihak kerajaan dapat membentang pindaan perlembagaan melibatkan Artikel 1(2) Perlembagaan Persekutuan 1957. Pindaan ini bertujuan agar dapat mengendalikan status Sabah dan Sarawak sebagai pasangan setaraf kepada semenanjung Malaysia (dua dari tiga pihak terlibat dengan MA63) dan bukan sekadar merujuk mereka sebagai hanya dua dari 13negeri lainnya.
Dengan jelas, pindaan perlembagaan ini kemudiannya dilakukan pada 14 Disember 2021, dan begitu ramai warga Sarawak dan Sabah mengalu-alukan langkah ini. Namun terdapat ramai juga di antara mereka yang tidak percaya bahawa perkara (terutamanya berkaitan kesaksamaan ekonomi dan hal berkaitan identiti Orang Asal di kedua-dua buah negeri) dapat diselesaikan dengan hanya semudah pindaan ini.
Usaha kedua oleh kerajaan asal PH kemudiannya adalah untuk menubuhkan Jawatankuasa Terpilih Hubungan Pusat dan Negeri. Jawatankuasa terpilih ini melihat beberapa perkara, termasuklah bagaimana hubungan negeri-pusat terkesan dengan penswastaan rawatan dan bekalan air, pengambilalihan pengurusan sisa pepejal, pengurusan pengangkutan awam dan lain-lain lagi.
Namun tugas jawatankuasa terpilih ini tergendala akibat kudeta. Sejak Parlimen sendiri bersidang sekali-sekala diakibatkan oleh ketidakpastian pentadbiran PN-Bersatu, usaha baik yang dilakukan oleh jawatankuasa ini kemudiannya tidak disambung.
Juga beberapa projek pembangunan turut menambah hasil pendapatan beberapa negeri, berikutan daripada usaha oleh menteri kewangan PH.
Pertamanya, menteri kewangan bersetuju untuk berkongsi separuh dari hasil pendapatan cukai pelancongan yang dikumpul oleh pihak berkuasa; ini diumumkan oleh menteri kewangan ketika ucapan Belanjawan 2019. Langkah ini cukup bermakna kerana buat pertama kali kerajaan pusat mengambil langkah untuk mengagihkan hasil cukai melangkaui apa yang dibolehkah Perlembagaan bagi setiap negeri, di luar pemindahan fiskal yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
Kedua, pertikaian yang cukup lama melibatkan royalti minyak yang tidak dibayar di antara Kelantan dan Terengganu, di satu pihak, serta kerajaan persekutuan, di pihak yang lain, akhirnya diselesaikan. Jadi, Kelantan menerima RM17 juta dan Terengganu menerima RM1.3bn.
Negeri yang miskin dan kurang membangun seperti Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Sarawak dan Sabah juga menyaksikan pertambahan peruntukan bagi pembangunan. Sejumlah RM13.1bn dilaporkan disalurkan kepada negeri ini di bawah usaha “wawasan kemakmuran bersama” yang dimulakan kerajaan PH.
Pulau Pinang juga mendapat pendanaan persekutuan tambahan di bawah kerajaan PH, terutamanya dana yang sangat diperlukan bagi projek tebatan banjir, yang tidak diluluskan oleh kerajaan Umno-BN yang terdahulu. Permohonan negeri untuk membesarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang juga diluluskan sementara RM100 juta lagi diperuntukkan bagi penambahbaikan sistem kereta kabel Bukit Bendera. Kerajaan pusat juga memberi jaminan sebanyak RM10bn (sukuk bon Islam) bagi membayar projek transit aliran ringan Pulau Pinang di bawah “Penang Transport Master Plan” (PTMP).
Namun, momentum bagi menggiatkan semula persekutuan serta menyusun semula hubungan negeri-pusat kemudiannya dicantas berikutan oleh kudeta pintu belakang Sheraton pada Februari 2020.
Kerajaan PN-Bersatu yang menggantikan kerajaan PH tidak mempunyai minat langsung untuk menjalankan penilaian tentang serta bagi mereformasi persekutuan Malaysia.
Arus global ke arah pengagihan kuasa
Sebuah penilaian dan reformasi berkaitan hubungan pusat-negeri di Malaysia merupakan langkah sejajar dengan arus disentralisasi yang berlaku di seluruh dunia, di kedua-dua negara membangun dan maju.
Negara yang baru-baru ini mula melakukan proses disentralisai termasuklah perkongsian kuasa, hasil pendapatan, tenaga kerja serta sumber lain di antara peringkat kerajaan pusat dan rendah termasuklah Afrika Selatan, Nigeria, Ethiopia, Iraq pasca-perang, Mexico, Brazil, Argentina, India, Australia, Canada, Australia, negara Kesatuan Eropah terutamanya German, Spain dan Switzerland, juga negara seperti UK dan Korea Selatan, yang juga bukanlah sebuah negara berasaskan persekutuan.
Dari mana datangnya minat bagi proses disentralisasi ini?
Pertamanya, proses disentralisasi ini selaras dengan prinsip subsidiariti, sebuah konsep penting dalam persekutuan. Mudah kata, prinsip ini menyatakan bahawa percukaian, perbelanjaan serta fungsi kawal selia sepatutnya dilakukan oleh pihak berkuasa di peringkat rendah yang mampu untuk melakukan tugas dengan cekap – kecuali terdapat kes yang menyakinkan agar tugas ini diberikan kepada pihak berkuasa yang lebih tinggi.
Jadi, negara persekutuan seringkali tidak membenarkan kerajaan pusat dari mengambil alih atau memonopoli sesebuah tugas – misalannya, membekalkan sumber air atau elektrik, menyediakan bas, feri atau perkhidmatan pengangkutan awam lain, atau menguruskan sekolah atau universiti – jika tugas ini dapat dilakukan secara efisien dan ekonomikal oleh pentadbiran kerajaan di peringkat rendah.
Kedua, beriringan dengan prinsip subsidiariti, beberapa bidang kuasa serta kepakaran asas dan penting sepatutnya diberikan kepada pihak berkuasa tempatan dan negeri. Kepakaran ini termasuklah bagi menyediakan pendidikan di peringkat sekolah rendah dan menengah serta kesihatan; menyusun tenaga kerja bagi keperluan tempatan; menyediakan keperluan kebajikan; menguruskan respons terhadap kecemasan; serta menguruskan pengangkutan awam melibatkan wilayah atau kawasan tempatan.
Kerajaan negeri, apatah lagi kerajaan tempatan, pastinya lebih tahu mengenai aduan dan permasalahan di peringkat tempatan dan seringkali lebih responsif kepada keperluan tempatan. Pengurusan dan pengendalian barangan serta perkhidmatan juga lebih mudah untuk diselaran bersesuaian dengan keperluan tempatan kerana mereka yang membuat dasar pasti tahu akan ‘kearifan tempatan’.
Dalam hal lain, cukup sukar untuk memastikan kerajaan pusat untuk lebih responsif dan bertanggungjawab. Apatah lagi, tidak semua yang berada di peringkat pusat dan kebangsaan sedar atau memahami keperluan tempatan.
Ketiga, ia juga cukup diketahui bahawa rakyat marhaen lebih tahu tentang kerajaan tempatan dan negeri berbanding kerajaan pusat, di mana kerajaan pusat ini sering pula berada ‘jauh’ dari mereka.
Oleh kerana itu, kerajaan yang telah disentralisasi sebegini lebih cenderung untuk memberi banyak peluang kepada masyarakat tempatan untuk terlibat di dalam perancangan, penyeliaan dan pelaksanaan polisi kerajaan serta proses membuat keputusan secara amnya.
Dalam merangsang kerjasama di antara masyarakat tempatan dan negara secara beriringan, proses disentralisasi, seperti dibahaskan, dapat menggalakkan kecekapan, kebertanggungjawapan serta ketelusan dan pentadbiran yang baik.
Penanda baik bagi hal ini adalah kadar keluar mengundi yang lebih tinggi bagi pilihan raya tempatan dan negeri berbanding pilihan raya umum. Jelas bahawa minat terhadap pilihan raya kerajaan tempatan tetap tinggi walaupun ketidakpercayaan serta sifat sinis terhadap pilihan raya melibatkan parlimen, kongres serta badan perwakilan pusat tetap terus tumbuh.
Oleh itu, proses disentralisasi juga patut diikuti dengan pengembalian semula pilihan raya di peringkat tempatan. Ini bagi memastikan masyarakat untuk terlibat, jika pun tidak mengambil-alih sepenuhnya aparatus kerajaan, di peringkat bawahan dan tidak terus mengenepikan politikus tempatan sebagai sekadar ‘tong kosong’ dan hanya terlibat dengan rasuah.
Menerusi surat berita akan datang, kami akan melihat dengan lebih teliti kerajaan tempatan dan pengembalian pilihan raya tempatan.
Dr Francis Loh
Editor bersama, surat berita Aliran
7 Jun 2022
Terjemahan oleh: Zikri Rahman
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme