Home Newsletters Krisis identiti Malaysia: Mengharungi gelora kaum dan agama

Krisis identiti Malaysia: Mengharungi gelora kaum dan agama

Seruan untuk semua warga di Malaysia untuk menerima warisan pelbagai budaya kita dan berusaha mendirikan masyarakat yang benar-benar terangkum, mengatasi perpecahan kaum dan agama

DR WONG SOAK KOON/ALIRAN

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Menjelang Hari Kebangsaan, saya melawat Pasar Seni dan sekitarnya. Keesokan harinya pula, pada 31 Ogos, saya meneroka ke kawasan Pavilion dan Bukit Bintang di Kuala Lumpur.

Sepanjang dua hari ini, saya memerhati kebanyakan pekerja asing dan pelancong asing ke mana sahaja saya pergi.

Walaupun tidak memerhatikan secara khusus sambutan dan aktiviti Merdeka selama dua hari itu, saya tidak dapat mengelak daripada melihat kurangnya manifestasi oleh rakyat Malaysia yang mengakui kepentingan sejarah hari yang istimewa ini. Sebagai contoh, tidak banyak kenderaan di jalan raya yang mempamerkan bendera negara.

Di pusat membeli-belah seperti Plaza Sungei Wang serta Berjaya Times Square yang sibuk itu, boleh difahami yang tumpuannya memang kepada promosi jualan, tetapi tema-tema tersebut mempunyai sedikit atau tiada langsung kaitan dengan Merdeka (Kemerdekaan) atau Hari Kebangsaan. Saya tidak melihat sebarang aktiviti kebudayaan atau pameran pakaian tradisional dan kebangsaan. Sebuah kedai dengan bangganya mengiklankan potongan harga 67 sen bagi mana-mana item melebihi RM15 – itu adalah satu-satunya tanda komersial yang bersifat nasionalistik yang saya temui.

Entah kenapa, tidak terasa seolah-olah ada rasa seronok atau gembira sepanjang cuti Hari Kebangsaan. Mungkin sambutan itu hanya terhad di Putrajaya.

Mengetepikan pemerhatian yang bersifat anekdotal ini, adalah wajar untuk kita bertanya, di manakah kita sebagai sebuah negara selepas lebih enam dekad merdeka? Adakah Merdeka atau Hari Kebangsaan bermakna kepada kebanyakan orang ramai di Malaysia? Adakah kita terlalu mengambil mudah kebebasan yang kita nikmati di negara ini yang menjadi tempat kediaman kita?

Apakah wujud isu mengakar yang mempengaruhi kita yang perlu kita tangani, bincangkan dan kendalikan sebenarnya?

Mungkin bagi kebanyakan warga tempatan, isu yang paling jelas adalah wujudnya kekecewaan yang menyelubungi isu-isu yang memecahbelahkan kaum dan agama. Ini adalah penanda identiti yang cukup jelas dalam masyarakat kita.

Pembezaan “Melayu” dan “bukan Melayu” cukup jelas, dan usaha untuk meningkatkan kesedaran tidak mencukupi bagi mempromosikan apa yang diertikan sebagai identiti Malaysia sebagai identiti ulung. Walaupun seseorang pernah mencadangkan kita untuk menggunakan frasa “Melayu” dan “orang Malaysia lain” jika perlu untuk membezakan kedua-dua kumpulan, idea ini tampaknya tidak berjaya.

Tidak seperti di Indonesia, di Malaysia latar belakang etnik kita seolah-olah menjadi penanda yang kuat – tanda ini jelas dengan nama yang diberikan kepada kita.

Kempen untuk menekankan kepentingan identiti Malaysia cukup sedikit. Rukun Negara yang digubal pada 31 Ogos 1970 untuk memupuk perpaduan dan menggalakkan kesetiaan kepada raja dan negara jarang diberikan tempat. Sebaliknya, ia sering disorot ke hanya bahagian halaman belakang buku nota.

Poster tanpa nama penulisnya yang menjadi tular sejurus sebelum Hari Kebangsaan ada membawa mesej ini: “Hanya 3 kali (di mana) semua Rakyat dilayan dan diiktiraf sebagai rakyat Malaysia, 1. 31 Ogos (Merdeka), 2. 16 September (Hari Malaysia) 3. Pilihan Raya Umum. Selebihnya sepanjang tahun, anda hanya akan dikenal pasti dengan merujuk kepada kaum anda.”

READ MORE:  Umno sliding to oblivion!

Walaupun mesej ini tidaklah tepat, kita perlu bertanya mengapa begitu ramai orang berkongsikannya. Saya sendiri melihatnya dalam beberapa grup media sosial yang saya sertai. Mungkin ia mencerminkan cara orang ramai melihat bagaimana mereka yang berkuasa menanggapi mereka. Persepsi ini sendiri datang daripada pengalaman hidup dan pendedahan. Lagipun, bukan sedikit ahli politik yang sanggup menggunakan kaum dan agama untuk memajukan kepentingan mereka.

Lebih setahun yang lalu, di forum awam anjuran Sisters in Islam, Zainah Anwar, ahli pengasas SIS, bertanya dengan cukup lantang: “Selepas berpuluh tahun Islamisasi, di manakah anda, Malaysia?”

Jawapannya cukup terus terang, “Kita telah sesat.” Kita telah kehilangan naratif kebangsaan yang dominan tentang siapa kita sebelumnya, siapa kita sekarang, siapa yang kita mahu jadi dan apa yang kita percayai, hujahnya. Dia juga memberi amaran kepada kita tentang ahli politik yang akan merobek fabrik sosial negara dalam usaha mereka untuk berkuasa.

Perebutan antara Pas dan Umno untuk diiktiraf sebagai ‘juara’ Islam ternyata membawa kepada persaingan untuk melihat pihak mana di antara mereka lebih suci  Ini sudah pasti akan menjejaskan cara hidup orang bukan Islam juga.

Bayangkan perbincangan tentang soal halal dan tidak halal. Cadangan telah dikemukakan bahawa semua kedai yang tidak menghidangkan daging babi atau alkohol mungkin perlu memohon “pensijilan halal”.

Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok mengkritik cadangan itu, dengan mengatakan bahawa ia akan menjejaskan perniagaan kecil, mengehadkan pilihan pengguna dan bertentangan dengan budaya kepelbagaian di Malaysia.

Tanggapannya mencetuskan lagi kekecohan dengan 28 laporan polis dibuat, mendorong polis untuk membuka kertas siasatan terhadap kenyataan Kok.

Ia telah menimbulkan kebimbangan orang ramai bahawa seorang ahli parlimen boleh disiasat hanya kerana bercakap dan berkongsi pandangannya mengenai perkara yang menjadi kebimbangan umum.

Sejak itu, suara-suara sumbang lain telah muncul dari majlis ulama Umno dan juga salah seorang pembantu PM, seorang bekas pemilik restoran.

Dalam sukan, soal berpakaian juga telah menjadi isu. Terengganu menegaskan bahawa atlet wanita beragama Islam mengelak daripada menyertai gimnastik dan terjun.

Kod pakaian untuk lelaki dan wanita juga telah ditetapkan di banyak jabatan kerajaan. Ini telah membawa kepada ramai menjadi ‘polis moral’, dengan pengawal di hospital dan pejabat kerajaan kadang-kadang enggan memberi pelepasan masuk kepada pelawat atau meminta mereka berpakaian lebih sopan.

Semua isu ini, apabila timbul dan diperbesarkan, semakin memecahbelahkan rakyat.

Dalam surat berita sebelum ini, Sukeshini Nair membincangkan apa yang wujud di sebalik sistem pendidikan Malaysia yang gagal. Di dalam artikelnya, beliau menekankan wujudnya diskriminasi di sekolah kebangsaan. Walaupun ia bukan dasar rasmi, apa yang berlaku ialah bagi jawatan tertinggi tertentu, seperti pengetua sekolah, hanya dikhaskan untuk bumiputera, dengan beberapa pengecualian yang minimum. Artikelnya memberikan contoh guru cemerlang memilih untuk berhenti atau bersara awal kerana diskriminasi sebenar atau apa yang dilaluinya. Lebih 40,000 orang membaca surat berita itu, dan maklum balas yang kami terima mencadangkan ia menyentuh ramai pembaca lainnya.

READ MORE:  Appealing to baser instincts in Kuala Kubu Bharu

Tinjauan Merdeka Center terhadap belia baru-baru ini mendedahkan bahawa 58% responden etnik Cina dan India merasakan komuniti mereka dilayan secara tidak adil – meningkat daripada 43% tahun lepas. Diskriminasi yang ditanggapi mereka ini seolah-olah berpunca daripada layanan tidak adil oleh kerajaan.

Dalam artikel yang diterbitkan oleh sebuah portal dalam talian, Shankar R Santhiram melihat sama ada orang di Malaysia mempunyai “minda inklusif”. Dari sudut pandangannya, orang di sini, dari usia muda, diarahkan ke arah pemikiran “eksklusif”. Sekolah agama vernakular dan Islam telah melahirkan perbezaan yang lebih besar mengikut garis etnik dan agama.

Bagaimanapun, lebih ramai warga Melayu telah mendaftarkan anak mereka ke sekolah vernakular Cina sejak kebelakangan ini. Diharapkan agar para pelajar ini akan dapat membina dan memperkukuh ikatan yang berkekalan dengan bergaul di sekolah yang sebegini. Mungkin ini akan membantu mencairkan eksklusiviti sekolah tersebut dan menyemarakkan persefahaman antara etnik dengan lebih meluas.

Namun, tidak jelas sama ada perkembangan di mana lebih ramai pelajar Melayu yang bersekolah di sekolah vernakular Cina ini cukup untuk mengurangkan arus perpecahan yang sudah wujud.

Dalam jangka masa panjang, perhatian serius harus diberikan bagi merombak sistem pendidikan semasa. Sebagai contoh, jika kerajaan melaksanakan sistem pendidikan kebangsaan, ia harus merangkumi bahasa vernakular dengan lebih bermakna serta pendidikan agama yang khusus.

Sukatan pelajaran perlu dirombak untuk menjadikannya lebih inklusif. Mungkin enam hingga tujuh tahun pertama pendidikan rendah boleh diseragamkan, dan pengkhususan hanya dibenarkan di sekolah menengah.

Tiada penyelesaian mudah, tetapi pakar perlu menghasilkan visi pendidikan yang menggalakkan perpaduan serta mengiktiraf kepelbagaian.

Lebih dari kod berpakaian untuk kesopanan, isu panas yang muncul baru-baru ini akan melebarkan jurang pemisah di antara penduduk Islam dan bukan Islam: kerajaan telah mengumumkan rancangan untuk menempatkan pegawai Jakim di semua jabatan kerajaan.

Seseorang hanya boleh menganggap bahawa dengan menempatkan pegawai-pegawai ini di jabatan-jabatan kerajaan, ia hanya bertujuan untuk memastikan dasar dan aktiviti selaras dengan prinsip Islam.

MCCBCHST, yang mewakili masyarakat pelbagai agama bukan Islam, telah menyatakan kebimbangannya dalam surat bagi membantah cadangan ini. Pemimpinnya berhujah bahawa “pencerobohan Jakim ke dalam ruang awam mungkin tidak mengikut perlembagaan dan boleh menjejaskan hak asasi yang dijamin kepada semua rakyat Malaysia”.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah meminta Menteri Hal Ehwal Agama Mohd Naím Mokthar mengadakan pertemuan dengan pemimpin MCCBCHST bagi menjelaskan kebimbangan mereka. Sehingga kini, mesyuarat itu masih belum berlangsung.

Sementara itu, menteri hal ehwal agama dilaporkan berkata pegawai Jakim yang ditempatkan di jabatan dan agensi kerajaan berada di sana untuk menganjurkan program keagamaan dan tidak akan terlibat dalam penggubalan dasar.

Jadi, adakah ini reaksi yang berlebihan oleh MCCBCHST serta semua warga yang prihatin? Adakah ia sesuatu yang bukan isu? Jika kita lihat pada keseluruhan keadaan, khususnya isu-isu agama yang menjadi perbalahan yang timbul selama ini, maka pastinya kebimbangan itu bukanlah tidak wajar.

READ MORE:  Kontroversi Festival George Town: Seorang pembuat teater bersuara

Bersembunyi di sebalik bayang-bayang, muncul pula pemimpin Pas, Hadi Awang, yang dahulunya telah melafazkan Perlembagaan Persekutuan sebagai perlembagaan penjajah. Beliau telah menyeru agar sebuah negara Islam dan agar Al-Quran dan As-Sunnah diutamakan, semasa beliau memimpin partinya ke arus lebih konservatif.

Terkebil-kebil juga kita memikirkan perubahan gaya hidup seperti apa yang perlu diikuti oleh warga bukan Islam dan Muslim progresif, jika parti Islam acuan Hadi berkuasa di peringkat persekutuan.

Melihat semua ini, individu progresif yang menghargai keterangkuman akan mendapati ia sukar untuk menggalakkan perpaduan dalam kepelbagaian yang wujud dalam negara kita. Namun, kepelbagaian kitalah yang sebenarnya belum diterokai yang menjadi aset kita yang cukup berkuasa.

Bukanlah semuanya hanya malapetaka dan kesuraman di Malaysia. Prof Shad Saleem Faruqi telah menulis tentang sifat-sifat positif yang mengikat masyarakat Malaysia. Beliau menyenaraikan 14 sifat, yang pertama ialah keamanan dan keharmonian yang wujud dalam negara. Walaupun terdapat beberapa perbezaan, beliau menghargai “(keseluruhan) keharmonian antara etnik yang wujud”.

Malaysia, sehingga tahun 1990-an, merupakan contoh masyarakat berbilang budaya yang sederhana, tulisnya. Tetapi sejak tiga dekad yang lalu, Islam politikal telah berkembang pesat, bersama-sama dengan usaha memecahbelahkannya untuk menjadi sebuah “negara Islam” yang konservatif.

Inilah cabaran untuk kita. Bagaimanakah kita, tanpa mengira etnik dan agama, dapat memelihara, memupuk dan membangunkan keamanan dan keharmonian sedia ada?

Kita tidak mahu terperangkap dalam pertempuran di antara parti politik yang hanya ingin menonjolkan diri mereka sebagai “lebih suci daripada kamu” dalam usaha mereka untuk menjadi lebih Islam daripada lawan mereka.

Marilah kita mengambil pengajaran daripada Pope Francis, yang semasa lawatannya ke Indonesia baru-baru ini, yang menggesa semua orang untuk mengamalkan keharmonian beragama. Paus, imam besar Indonesia dan pemimpin agama lain menandatangani deklarasi menentang keganasan yang berkaitan dengan ekstremisme agama. Ia juga menekankan krisis perubahan iklim.

Dalam deklarasi itu, para pemimpin agama berkata bahawa keadaan cukup “membimbangkan” di mana agama digunakan untuk mempromosikan keganasan di seluruh dunia, manakala “krisis alam sekitar yang berterusan telah menjadi penghalang kepada kewujudan bersama yang harmoni rakyat”.

Adalah menjadi kewajipan kerajaan “Madani” untuk menggalakkan keterangkuman, perpaduan dan penerimaan di kalangan rakyat pelbagai etnik dan agama melalui prinsip yang dianutinya. Kerajaan mesti mengarahkan agensinya untuk memastikan aktiviti mereka dapat memanfaatkan kepelbagaian di Malaysia.

Mari kita lakukan bahagian kita dalam menyebarkan mesej muhibah dan persefahaman di antara ahli masyarakat. Mereka yang menghargai perpaduan dalam kepelbagaian mesti bersatu dan bersuara menentang ekstremisme, eksklusif dan ketaksuban. Mari kita nyatakan tekad untuk ini. Ia adalah cara terbaik untuk menyambut Hari Malaysia pada 16 September!

Henry Loh
Editor bersama, surat berita Aliran
10 September 2024

Terjemahan oleh: Zikri Rahman

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments

Most Read

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x