Sudah 14 bulan lamanya, kita di Malaysia telah menjalani kehidupan di bawah “kerajaan perpaduan” yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim.
Tinjauan yang dijalankan oleh Merdeka Center pada Oktober lalu menunjukkan bahawa tahap kepuasan rakyat terhadap prestasi PM hanyalah 50%. Kebimbangan utama di kalangan mereka yang ditinjau adalah soal ekonomi, dengan 48% mengatakan mereka tidak berpuas hati dengan prestasi pentadbiran Anwar.
Anwar berdepan kerja yang cukup sukar. Beliau merombak kabinet baru-baru ini, namun masih terlalu awal untuk melihat sama ada barisan menteri baharu akan menunjukkan prestasi yang lebih baik.
Gangguan kerjanya cukup banyak. Langkah Chow Kit atau Dubai serta khabar angin yang berterusan tentang kebarangkalian pengampunan diraja untuk Najib Razak telah mengalihkan perhatian kita daripada isu yang lebih kritikal.
Keadaan ekonomi serta sumber pencarian rakyat adalah amat penting. Kerajaan perpaduan mesti memberi tumpuan kepada perkara ini.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Dari segi politiknya, pasukan PM telah menarik lima ahli parlimen pembangkang untuk berada bersama di pihaknya. Ahli parlimen ini mendakwa mereka mengalih taat setia kerana mahu menerima peruntukan pembiayaan yang lebih tinggi untuk membangunkan kawasan mereka.
‘Mempersenjatakan’ dana kawasan dengan cara ini adalah salah dari segi moral. Ia termasuk dalam kategori yang sama dengan ahli parlimen yang berpaling tadah kerana mereka ditawarkan sejumlah besar wang, jawatan mudah serta faedah lainnya. Ada yang mendakwa bahawa inilah juga yang mendorong ahli parlimen tertentu untuk mempertimbangkan “langkah Dubai”.
PM mesti menunaikan janjinya dan memastikan pengagihan dana pembangunan kawasan pilihan raya dengan sama rata. Ahli parlimen pembangkang tidak seharusnya didiskriminasi melalui pembiayaan yang lebih rendah.
Sebuah lagi gangguan timbul apabila bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan kesetiaan etnik minoriti ketika diwawancara oleh saluran TV India yang berpangkalan di Chennai.
Mahathir menyatakan pandangannya bahawa kaum minoriti perlu diasimilasikan sepenuhnya dan “menjadi Melayu” untuk dianggap sebagai warganegara yang sah.
Penduduk Malaysia pada tahun 2023 adalah sekitar 33 juta – daripada jumlah ini, 70.1% adalah bumiputera, 22.6% etnik Cina dan 6.6% etnik India.
Apa hak Mahathir untuk mempersoalkan kesetiaan hampir 30% penduduk negara ini? Kenyataannya yang tidak sensitif telah menyinggung perasaan ramai orang di Malaysia daripada semua etnik.
Ini adalah beberapa contoh gangguan yang menghalang pembangunan untuk rakyat.
Anwar dan pasukannya sepatutnya menerajui kerajaan “Madani” yang progresif dan berfikiran reformasi. Oleh itu, orang ramai mengharapkan tumpuan diberi kepada kesejahteraan rakyat, terutamanya golongan miskin.
Dengan peningkatan inflasi, ramai di kalangan kelas pertengahan kini jatuh ke dalam kategori berpendapatan rendah. Rancangan untuk subsidi yang disasarkan – supaya hanya mereka yang memerlukan sahaja yang layak – adalah satu langkah ke arah yang betul. Namun, adakah ia akan dilaksanakan dengan berkesan dan cekap? Hanya masa dapat menentukan.
Pentadbiran Anwar mesti menerima kepelbagaian dalam negara kita. Mereka perlu mencabar retorik perpecahan kaum dan agama. Program untuk membina jambatan antara pelbagai komuniti adalah penting untuk memupuk perpaduan. Gunakan nilai Madani – kemampanan, kemakmuran, inovasi, rasa hormat, amanah, belas kasihan – sebagai pelan tindakan untuk Malaysia yang lebih terangkum.
Jika kita menerapkan amalan tadbir urus yang baik secara menyeluruh, Malaysia akan mencapai kemajuan yang besar.
Sebagai sebuah gerakan pembaharuan sosial, Aliran secara konsisten mempromosikan keadilan, kebebasan dan perpaduan sejak 1977. Kami telah berjuang untuk Malaysia yang inklusif, saksama dan adil di mana tiada siapa pun yang patut ketinggalan.
Kami menentang rasuah dan ‘kebocoran’ yang menguntungkan segelintir pihak dengan mengorbankan golongan miskin dan tertindas. Jika pun kami menjadi berat sebelah, berat sebelah kami ini adalah untuk memihak kepada golongan miskin, terpinggir dan tertindas. Bangsa dan agama bukan sebahagian daripada persamaan.
Negara masih kekurangan pengasingan kuasa yang bermakna untuk mengawal dan mengimbangi tiga cabang kerajaan. Terlalu banyak kuasa tertumpu di tangan cabang eksekutif kerajaan. Pembaharuan yang teguh diperlukan untuk membetulkan ketidakseimbangan ini.
Selama 47 tahun, Aliran telah bersungguh-sungguh melobi untuk reformasi tersebut. Laman web kami, surat berita, media sosial dan webinar hibrid kami dijadikan platform untuk idea alternatif sebegini.
Tetapi agar usaha untuk menyatakan kebenaran kepada mereka yang berkuasa ini dapat diteruskan, Aliran memerlukan dana dengan segera.
Kami berbangga kerana tidak menerima pembiayaan asing atau tajaan korporat untuk membiayai operasi kami. Sebaliknya, sumbangan daripada rakyat biasa Malaysialah yang telah menampung gerak kerja kami.
Kami berbesar hati dengan begitu ramai ahli, penyokong dan rakan yang berkongsi wawasan bahawa Malaysia boleh dan harus menjadi tempat yang lebih adil dan lebih terangkum untuk semua orang.
Malangnya, dana Aliran kini jatuh ke tahap kritikal. Kami kini hanya mempunyai dana yang mencukupi untuk bertahan selama hanya enam bulan lagi.
Kami dengan ini merayu agar semua pembaca budiman bermurah hati menyumbang untuk memastikan kami terus bertahan. Kami memerlukan kira-kira RM10,000 sebulan untuk menyelenggara laman web kami, untuk memastikan pejabat terus beroperasi dan untuk membayar sokongan teknikal serta kerja penterjemahan. Jadi sasaran biayasama kami ialah untuk mengumpul RM120,000 pada tahun 2024.
Sila derma dengah murah hati kepada:
Persatuan Aliran Kesedaran Negara
CIMB Bank account no: 8004240948
SWIFT code: CIBBMYKL
Henry Loh
Editor bersama, surat berita Aliran
20 Januari 2024
Terjemahan oleh: Zikri Rahman
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme