
Barangkali pada waktu yang lain, larian keliling kawasan Parlimen ini hanyalah sebuah perkara yang tidak diendahkan.
Pun begitu, ianya bukanlah sebuah larian yang biasa: pelarinya tidak lain dan tidak bukan adalah Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang bersungguh memulakan Larian Maya Parlimen 2021 – ketika pandemik coronavirus berlaku.
Rashid Hasnon merasmikan acara baru-baru ini, yang dianjurkan oleh Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita) serta Kelab Kebajikan dan Sukan Parlimen (Kespa).
Ahli Parlimen, bagaimanapun, tidak dijemput ke acara maya yang dijalankan selama 10 hari itu. Mungkin ianya bagi menghantar mesej kepada Parlimen, yang digantung sejak darurat diisytiharkan pada Januari lalu, bahawa ianya tidak boleh menerima kehadiran ahli Parlimen secara fizikal – walaupun hanya untuk larian.
Untuk rekod, kali terakhir para MP berlari adalah pada pilihan raya umum 2018, di mana para pemenangnya menjadi mereka yang tewas akhirnya, dan segelintir di antara mereka ‘tiba-tiba’ naik pangkat.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Larian Rashid di Parlimen mendapat perhatian para pengguna media sosial. Ramai yang merasakan kehadiran Rashid untuk berada di dalam acara yang sebegitu sebagai tidak bersesuaian serta tidak sensitif, saatnya ramai yang tidak berpeluang untuk berehat, apatah lagi semata-mata hanya untuk berlari.
Terlalu ramai yang berhempas-pulas untuk menyara hidup. Ada yang kehilangan kerja. Ada juga yang terpaksa bekerja di dalam pekerjaan yang mereka tidak dilatih. Ramai juga yang jatuh miskin.
Keadaan ini menjelaskan kekecewaan terhadap keputusan kerajaan untuk menaikkan denda bagi mengekang penularan Covid-19 dari RM1,000 ke RM10,000. Denda yang berat membuatkan kelompok rentan semakin terhimpit. Ianya bukan nilai yang kecil bagi mereka – itu pun, jika mereka mempunyai wang tunai simpanan. Denda yang berat sungguh membebankan mereka.
Penguatkuasaan kawalan pandemik sungguh meresahkan, hatta bagi mereka yang mempunyai kewangan stabil. Arahan yang diberikan kepada agensi penguatkuasa selama ini sungguh tidak jelas serta tunggang-langgang. Ada yang melanggar undang-undang pula, tampaknya, tidak didenda secara adil. Sekaligus ia mengakibatkan kekeliruan di mana tindakan bagi mengekang pandemik seharusnya jelas.
Garis panduan yang tidak jelas turut mengganggu bisnes. Tafsiran agensi penguatkuasa yang berbeza berkenaan tatacara pengendalian piawai sekaligus mengakibatkan orang awam gusar untuk ke ruang perniagaan. Jelas ianya memburukkan lagi keadaan ekonomi yang tenat saatnya perniaga berhempas-pulas bagi membaik-pulih keadaan mereka.
Berdepan dengan kemarahan rakyat, kerajaan sekarang memberikan diskaun kepada pesalah. Ianya mungkin tidak menyelesaikan masalah. Takut nanti wujud elemen sewenang-wenangnya oleh agensi penguatkuasa di dalam membuat keputusan berkenaan dengan penganugerahan diskaun.
Pilih kasih di dalam penguatkuasaan kawalan pandemik melibatkan anggota pemimpin elit juga membuatkan orang awam bimbang.
Perasaan tidak senang ini mengakibatkan ramai yang menyeru agar Parlimen bersidang secepatnya. Dewan akan memberi ruang kepada penggubal undang-undang untuk berdebat, misalnya berkaitan tatacara pengendalian piawai serta proses vaksinasi yang berlangsung sekarang. Mereka dapat menggubal garis panduan yang jelas buat penguatkuasa serta orang awam.
Apatah lagi, pandemik ini memberi kesan kepada semua. Penggubal dasar perlu mendapatkan dapatan dari pemegang taruh sebelum membuat undang-undang serta merangka garis panduan. Kita perlu berusaha bersama bagi menghadapi cabaran semasa.
Dengan semua yang berlaku ini, Rashid serta rakan sejawatnya perlu berusaha untuk membuka semula Parlimen berbanding hanya menganjurkan larian. Tampaknya acara larian maya ini menunjukkan di mana keutamaan mereka serta betapa tidak pedulinya mereka akan penderitaan rakyat.
Walaupun penggubal undang-undang mungkin tidak dapat menghadiri dewan yang mulia ini secara fizikal – bagi mengelakkan ‘kluster Parlimen’ – mereka seharusnya berjumpa secara maya. Sesi maya bukanlah sesuatu yang baru kerana ramai yang sudah berjaya menguruskan ratusan webinar – serta Parlimen Digital – sejak bermulanya pandemik. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
Jika adanya sidang parlimen, mungkin para MP dapat menambah baik Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2), yang digunakan bagi meredam arus ‘berita palsu’ tentang Covid serta pentadbiran darurat yang berlangsung sekarang. Mereka mungkin dapat mengelakkan kesan yang merbahaya dari undang-undang ini.
Ordinan ini, jika pun diperlukan, perlu dirangka bagi memastikan keadilan dan kesaksamaan di dalam penguatkuasaan, dengan perundangan dapat menyediakan kawal imbang.
Buat masa sekarang, ordinan ‘berita palsu’ ini didefinisikan secara luas sekaligus wujudnya potensi salah guna kuasa. Mereka yang disabitkan bersalah di dalam menyebarkan ‘berita palsu’ di dalam penulisan, video, rakaman audio serta sebarang bentuk lain yang membawa kepada ‘perkataan atau idea’ sebegitu akan berdepan tindakan.
Denda bagi mereka yang dikenakan tindakan di bawah undang-undang ini sungguh berat serta menakutkan – denda sehingga RM100,000 atau tempoh penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan berulang, denda seterusnya melibatkan sehingga RM1,000 satu hari akan dikenakan bagi setiap hari kesalahan itu berlaku sehingga tarikh sabitan.
Para wakil rakyat juga berdepan cabaran membaik pulih keadaan ekonomi yang merudum. Walaupun ada bantuan yang diberikan kepada golongan rentan sebagai bantuan sementara, negara ini juga memerlukan polisi serta strategi bagi menghidupkan semula ekonomi, yang memberi kesan kepada warga marhaen serta perniagaan.
Ini merupakan beberapa isu di mana para MP dapat bincangkan secara lanjut di Parlimen.
Harapnya, larian maya yang dirasmikan oleh Rashid ini dapat dijadikan ‘larian latihan’ bagi membuka semula Dewan Rakyat – institusi yang sungguh penting kepada demokrasi kita.
Mustafa K Anuar
Editor bersama, Surat berita Aliran
20 Mac 2021
Terjemahan oleh Zikri Rahman
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme