Home Newsletters Malaysia di persimpangan – tetapi kita mampu membentuk masa depan kita!

Malaysia di persimpangan – tetapi kita mampu membentuk masa depan kita!

Marilah kita berimpian besar untuk Malaysia yang lebih baik dan terus maju ke hadapan dengan kental dan tabah demi menuntut semula negara kita

PIXABAY

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Sekali lagi, kita melalui penghujung tahun, di mana kita melihat kembali dan muhasabah diri kepada pelajaran yang telah dicapai dan memperbaharui azam untuk masa depan yang lebih sempurna.

Sebagai sebuah negara, kita dikatakan berada di persimpangan jalan, di mana kita harus melakukan pilihan yang penting untuk memilih jalan manakah yang perlu diambil. Keputusan pilihan raya umum yang lalu memberi isyarat berlakunya penambahan penonjolan kaum, malah kaum berganding dengan ciri Islam ‘konservatif’ yang dianjurkan oleh kepimpinan terkini Pas.

‘Gelombang hijau’ – kebanyakannya daripada pengundi muda dan baharu, juga terdiri daripada pengundi di kawasan luar bandar dan kawasan pinggir bandar – telah memicu pelbagai reaksi, iaitu dari reaksi keyakinan dan harapan membina ‘negara Islam’ kepada reaksi kebimbangan terhadap Islam ala-Pas dan kemungkinan berlaku ketidakadilan terhadap golongan minoriti dan Muslim ‘liberal/progresif’.

Sebilangan penganalisa telah menekankan peningkatan perpecahan, ketidakpercayaan, dan kekurangan toleransi di Malaysia di waktu ini, terutama melalui media sosial.

Saya baru-baru ini menonton sebuah filem Hindi yang menyampaikan mesej betapa mudahnya isu perkauman dan keagamaan mampu menjadi sebuah malapetaka. Filem yang bertajuk Jogi yang memaparkan peristiwa rusuhan anti-Sikh dalam tahun 1984 yang berlaku di utara India, terutamanya di ibu kota New Delhi, yang mana berlaku sejurus selepas Perdana Menteri India ketika itu, Indira Gandhi, dibunuh oleh dua pengawal peribadinya yang beragama Sikh.

Gandhi sebelumnya telah mengarahkan ‘Operasi Blue Star’ dan memberi kuasa kepada pasukan tentera India untuk mengempur Kuil Emas atau Golden Temple di Amritsar, yang menjadi kawasan ibadat bagi orang-orang Sikh. Operasi ini bertujuan untuk memburu militan pemisah yang berada di dalam kuil itu bagi mengelak daripada ditahan pihak berkuasa.

Sejurus pembunuhan Gandhi, sentimen perkauman terhadap komuniti Sikh telah dimainkan dengan dahsyat. Hanya dengan semalaman, ramai daripada penganut Hindu telah bersikap agresif kepada rakan-rakan dan jiran tetangga beragama Sikh, yang membawa kepada pertumpahan darah yang ngeri terhadap ribuan Sikh di segenap utara India.

READ MORE:  UK general election: Labour wins massive majority on low vote share, Gaza costs Starmer

Dan ya, di dalam filem ini, wujud watak ahli politik yang mengambil kesempatan di dalam kejadian yang berlaku dan memburukkan lagi keadaan hanya kerana untuk mengejar serakah politik peribadinya.

Di ketika penulis kecewa, kesal dan tertekan dengan pertumpahan darah yang berlaku dalam kisah di dalam filem tersebut, filem Jogi ini telah melakarkan sebuah inspirasi – iaitu ketika seorang Sikh yang telah berkorban segala yang beliau ada – termasuklah menanggalkan turbannya dan memotong rambutnya yang panjang – semata-mata untuk menyelamatkan keluarga, rakan-rakan dan jiran tetangganya daripada dibunuh. Beliau, bersama beberapa rakan daripada penganut Islam dan Hindu yang membantunya, juga menggagalkan usaha pihak penguasa dan akhirnya berjaya di dalam misinya.

Keadaan di dalam filem ini tersangatlah mirip dengan peristiwa 13 Mei 1969 kita di sini! Apakah kita sedang mengundang peristiwa malapetaka itu sekali lagi?

Kemudiannya, saya pernah terbaca bahawa dikatakan: “Sejarah tidak mampu berulang kerana setiap detik di mana-mana zaman berbeza tempat, masa, dan keadaannya.”

Walau bagaimanapun, pastilah ada perkara yang boleh dijadikan teladan daripada kesilapan lalu kita, yang mampu membawa kita untuk membentuk keadaan akan datang dan bukannya menjadi mangsa kepada keadaan.

Maka, inilah langkah-langkah yang saya yakini boleh membawa kita ke hadapan ke arah Malaysia yang lebih baik:

Kekal di dalam kenderaan – jangan keluar jalan cerita sendiri”

Di dalam filem Rango (filem yang sangat menyeronokkan penulis), Roh dari Barat telah memberitahu kepada Rango, “Tiada seorangpun yang boleh keluar jalan ceritanya sendiri.”

Ramai yang mengatakan politik itu kotor dan tidak mahu melibatkan diri di dalam politik, malah memboikot pilihan raya. Adapun yang menghadkan penglibatan mereka di dalam politik kepada sekali di dalam lima tahun. Ada juga yang menyalahkan ahli politik terhadap apa-apa keadaan buruk yang berlaku.

Oleh itu, marilah kita membina kesedaran untuk menjadi pengarang jalan cerita kita sendiri, dan bekerja ke arah merealisasikan cita-cita kita. Segala usaha untuk perubahan institusi dan dasar pro-rakyat untuk Malaysia yang lebih baik harus terus bergerak – dan semua harus memainkan peranan masing-masing.

READ MORE:  Former Labour leader Jeremy Corbyn's speech as he is re-elected as Islington North MP

Redakan kekecewaan kita – jangan ledakkan kegusaran

Sebahagian besar kita bimbang dan gusar semasa beberapa jam pertama setelah keputusan pilihan raya umum diwartakan. Kegusaran tersebut berlarutan untuk beberapa hari – yang menyaksikan tiada parti atau pakatan yang berjaya mendapatkan majoriti mudah untuk dilantik sebagai kerajaan, yang mengakibatkan parlimen tergantung.

Setelah hampir lima hari menyaksikan “krisis pasca pilihan raya umum yang belum pernah berlaku” (seperti mana yang dipaparkan dalam sebuah akhbar), Anwar Ibrahim telah dilantik menjadi perdana menteri kesepuluh untuk Malaysia.

Ramai yang mungkin kecewa dengan keputusan Pakatan Harapan untuk bekerjasama di dalam ‘kerajaan perpaduan’ yang dikehendaki oleh Yang di-Pertuan Agong, namun, saya berterima kasih kepada Agong yang berhikmah di dalam menyatukan pelbagai pihak untuk menyelesaikan dilema ini, yang menjadi keutamaan negara kita.

Perdana menteri terkini dilihat telah memberi jaminan mengenai usaha untuk mewujudkan Malaysia yang stabil dan bersatu di bawah kerajaan yang inklusif. Beliau juga menyebutkan untuk tidak kompromi dengan pelbagai isu pentadbiran baik dan memfokuskan kepada ekonomi.

Kita kini seolah-olah berada di dalam peperangan yang mempunyai musuh di pelbagai penjuru. Oleh itu kita harus realistik atau bersandar kepada keadaan semasa dan juga membenarkan ruang untuk sistem demokratik terbina dengan matang dan berdaya maju bersama institusi-institusi yang terlibat.

Tekanan yang terlalu kuat kepada kerajaan di ketika ini, pada hemat saya,  bakal menjatuhkan seperti dahan yang rapuh.

Berusaha untuk pendamaian, jangan menyemai perselisihan

Saya percaya ianya sesuatu yang jelas kepada ramai kita percakaran politik tidak harus dijadikan tujuan kita sekiranya kita mahu menyelesaikan isu-isu penting di tahap nasional dengan cepat dan teratur.

Adalah sesuatu permulaan yang murni apabila muncul sebilangan kepimpinan DAP yang memohon maaf terhadap tindakan dan kenyataan yang menyinggung perasaan seteru politik mereka.

Kita harus mempromosikan dialog, wacana dan kerjasama yang merentasi sempadan – termasuklah sempadan politik, kaum, agama, kelas dan negeri-negeri. Dialog, wacana dan kerjasama boleh diadakan di pelbagai peringkat dan bentuk. Ini untuk membina semula kepercayaan bersama dan kumpulan-kumpulan awam memainkan peranan penting.

READ MORE:  What's in a bag?

Namun harus diingati bahawa kejayaan dialog atau wacana atau kerjasama adalah bergantung kepada asas yang kukuh yang dipegang bersama. Seperti yang pernah disebut oleh mendiang Karpal Singh, “Di dalam politik tidak ada musuh yang kekal atau sahabat yang kekal; tetapi yang harus kekal ialah prinsip.”

Pecahkan rantaian – jangan panjangkan prejudis

Seperti yang digariskan oleh psikologis organisasi Adam Grant, kita panjangkan prejudis apabila kita menghakimi yang lain berdasarkan generalisasi terhadap kumpulan asal mereka, sebagai contoh “Melayu/bukan Melayu, “orang Islam/bukan Islam”, “penyokong Pas/PH”, orang asing, NGO Muslim ‘konservatif’ dan penjawat awam.

Walaupun di ketika identiti politik nampaknya berleluasa, kita tidak harus menyalahi keseluruhan kumpulan hanya kerana beberapa individu yang melakukan sesuatu tindakan itu. Kita harus menegakkan akauntabiliti terhadap individu yang melakukan kesalahan dan bukannya menghentam keseluruhan kumpulan itu. Dengan ini, kita tidak menghentam atau meminggirkan mereka dalam kumpulan tersebut yang tidak bersetuju dengan kelakuan individu tersebut atau selari dengan stereotaip menurut pandangan kita.

Di masa setiap kita perlu mengambil tanggungjawab dalam perkara ini, keperluan yang lebih besar juga perlu ditunaikan di peringkat organisasi dan masyarakat melalui kumpulan-kumpulan masyarakat, kepercayaan, politik dan kerajaan.

Perdana menteri telah pun memaparkan permulaan yang baik di peringkat kerajaan dengan memperbetul maklumat yang salah atau stereotaip negatif mengenai agama dan kaum, terutamanya yang berkaitan dengan pilihan raya umum yang lalu.

Maka, di kala kita berada di persimpangan, marilah kita menggunakan kebijakan kita untuk memilih jalan yang terbaik. Juga marilah kita berimpian besar untuk Malaysia yang lebih baik dan terus maju ke hadapan dengan kental dan tabah demi menuntut semula negara kita.

Mary Magdaline Pereira
Editor bersama, surat berita Aliran
30 Disember 2022

Terjemahan oleh: Mohd Fadzly Md Zainol

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x