Home Newsletters Malaysia tak mampu menanggung kesannya jika Najib kembali berkuasa!

Malaysia tak mampu menanggung kesannya jika Najib kembali berkuasa!

Bossku? Pengembaliannya ke puncak kuasa akan memberi kesan pada negara kita

Join us on Telegram and Instagram for the latest.

Walaupun sudah dijatuhkan hukuman sebagai penjenayah – atas kesalahan kerana menyalahgunakan dana SRC International sebanyak RM42 juta oleh Mahkamah Tinggi serta kalah di Mahkamah Rayuan – bekas Perdana Menteri, Najib Razak terus ke hulu dan ke hilir seperti beliau masih bebas.

Mahkamah Tinggi pada Disember 2021 menjatuhkan hukuman kepada Najib iaitu 12 tahun dalam penjara serta denda sebanyak RM210 juta. Mahkamah Rayuan mengesahkan keputusan itu, dan Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan akhir Najib pada 15-26 Ogos nanti.

Di dalam kes lain yang sedang dibicarakan, Najib juga didakwa dengan empat kesalahan salah guna kuasa serta 21 pertuduhan melibatkan pengubahan wang haram melibatkan RM2.3bn daripada dana 1MDB.

Ada yang berpendapat selepas gagal untuk membuktikan dirinya tidak bersalah di kedua-dua Mahkamah Tinggi serta Mahkamah Rayuan melibatkan kes SRC, tertuduh patut dinasihatkan agar untuk fokus kepada rayuan akhirnya serta kes 1MDB yang sedang berlangsung – dan mungkin mengambil masa untuk ‘berehat’ sebentar.

Namun tidak! Najib memilih tidak – ‘berehat’ sebentar bukanlah pilihan untuknya.

Kemenangan menyakinkan Umno-Barisan Nasional di pilihan raya negeri Johor Mac lalu boleh dikatakan ekoran berjayanya kempen Najib di negeri selatan itu. Sebagai pengerusi BN, beliau juga aktif berkempen di pilihan raya negeri Melaka, yang turut dimenangi BN.

Najib nampaknya berjaya mengolah persona dirinya dan menjadi semakin berani menerusi aktiviti dan penampilan umumnya. Pasukan publisiti dan media sosialnya yang aktif turut mengguna pakai nama timangan “Bossku” kepadanya. Menerusi pelbagai kemunculannya di ruang awam yang dijalankan cukup rapi, jeritan “Bossku!” dan “Malu apa, Bossku!” memecah keheningan.

Najib juga semakin berani memasuki ‘wilayah pembangkang’, Pulau Pinang, di mana beliau turut memberi ucapan dasar ketika “Penang International Business and Investment Summit”.

Ramai yang yakin Najib bersalah akan tuduhan, ketamakan, caranya merasuah serta menyalah guna kuasa merasa jelek dan seperti ingin muntah melihat kelakuannya sekarang.

Bekas PM ini seringkali ditampilkan seakan-akan ‘jagoan’, yang mengangkat hak Melayu. Ramai politikus sepertinya juga tidak segan untuk menggunakan isu ‘kaum dan agama’.

Yang menyedihkan, isu sebeginilah yang seringkali mendapat perhatian. Ini merupakan realiti sosio-politik yang kita hadapi di Malaysia hari ini.

Najib bukanlah satu-satunya pemimpin Umno yang berdepan tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram. Ahli politik lain seperti presiden Umno dan Ahli Parlimen Bagan Datuk Zahid Hamidi, Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan serta Ahli Parlimen Putrajaya Tengku Adnan Mansor juga berdepan tuduhan berkaitan rasuah di mahkamah. Ahli politik inilah apa yang kita panggil sebagai ‘kluster mahkamah’ di dalam Umno.

READ MORE:  The Najib Razak 1MDB Trial Ep 78: Shuffling worthless paper

Untuk rekod, kes melibatkan Ahmad Maslan dan Tengku Adnan sudah pun diselesaikan – satu lagi titik kontroversi yang mengundang perdebatan. Bagi menyelesaikan kesnya, Ahmad Maslan, yang didakwa atas tuduhan pengubahan wang haram serta memberikan kenyataan palsu, bersetuju untuk membayar kompaun melibatkan RM1.1 juta.

Sebagai orang biasa, kita hanya mampu bertanya, mengapa membayar kompaun denda yang cukup tinggi iaitu RM1.1 juta jika seseorang itu tidak bersalah? Sebaliknya, jika seseorang itu dibuktikan bersalah dan perlu membayar denda, mengapa seseorang itu dibenarkan untuk pembebasan?

Seorang lagi politikus Umno yang kontroversi, Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Rahman, bekas pengerusi Prasarana, juga disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kerana menggunakan kedudukannya bagi membuat keputusan yang menguntungkan sebuah syarikat melibatkan anggota keluarganya. Beliau terlepas dengan keputusan ‘tiada tindakan selanjutnya’.

Begitu banyak kontroversi yang melanda Tajuddin yang cukup terkenal dengan kelakuannya dalam Parlimen.

Namun begitu, dalam berita muncul pada 17 Mei lalu, Tajuddin sudah dilantik sebagai duta ke Indonesia. Lebih dari 16,000 orang sudah menandatangani petisyen mendesak kerajaan agar memikirkan semula keputusan untuk melantik beliau. Ramai percaya bahawa beliau tidak mempunyai kejujuran moral serta cukup bermaruah bagi mewakili Malaysia.

Ini sebuah suasana yang cukup membimbangkan. Namun, penarikan semula pendakwaan oleh Pejabat Peguam Negara bukan sahaja berlaku ketika zaman BN berkuasa.

Selepas Pakatan Harapan menaiki tampuk kuasa pada 2018, ramai yang mempersoal keputusan Pejabat Peguam Negara untuk menarik semula dakwaan rasuah (di atas pertuduhan menukar status tanah negeri serta pembelian sebuah rumah banglo di bawah nilai pasaran) terhadap bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng. Timbalan pendakwaraya memohon untuk ‘dilepaskan tanpa dibebaskan’, namun hakim Mahkamah Tinggi membenarkan Lim untuk pembebasan penuh.

Tanpa keraguan lagi, peguam negara nampaknya mempunyai kuasa yang cukup luas untuk digunakan sewenangnya. Soalnya, kita mungkin tidak mempunyai maklumat sepenuhnya tentang semua fakta, aturan undang-undang serta teknikaliti perundangan yang membawa kepada keputusan akhir bagi menggugurkan atau menarik semula dakwaan terhadap seseorang individu.

Namun yang pasti, ia adalah hak kita untuk mendesak agar keadilan dapat dicapai tanpa memilih bulu, bias dan tidak dilayan istimewa hanya kerana seseorang itu mempunyai kedudukan, pengaruh serta kuasa. Pengasingan kuasa yang jelas di antara eksekutif, legislatif dan badan kehakiman di dalam kerajaan ini sangat diperlukan.

READ MORE:  Final stretch for the 1MDB-SRC trial

Semenjak kejatuhan kerajaan PH selepas langkah Sheraton pada tahun 2020, Umno nampaknya menjadi semakin gagah, apatah lagi selepas kemenangannya yang cukup menyakinkan di pilihan raya negeri Melaka dan Johor.

Dengan majlis mengangkat sumpah PM melibatkan pemimpin Umno, Ismail Sabri bagi menggantikan Mahiaddin Yasin, parti itu menjadi semakin berani dan agresif. Sesetengah pemimpin seperti Zahid dan Najib menggesa agar pilihan raya akan datang untuk diadakan secepatnya berbanding melewatkannya.

Dengan parti utama dalam pembangkang tidak dapat bersatu, pecahan di dalam Umno berhasrat untuk mengambil kesempatan dari momentum ini dan merampas Putrajaya. Bukanlah suatu kebetulan bahawa mereka yang ingin pilihan raya dilakukan secepat mungkin adalah mereka yang daripada kluster mahkamah.

Kita pasti dapat membaca bahawa desakan untuk pilihan raya awal ini serta harapan daripada kemenangan ini sebagai menjadi ‘pasport’ kepada kebebasan mereka – untuk mengelakkan diri daripada ‘dimasukkan ke penjara’.

Seorang pemerhati politik tersohor menyatakan bahawa Malaysia sekarang cukup jauh tergelincir dari landasannya sekarang.

Dengan pilihan raya baru-baru ini melibatkan “Bongbong”, anak lelaki kepada diktator Ferdinand Marcos, sebagai president Filipina, ramai yang tertanya-tanya adakah Najib akan membuat kemunculan semula sebagai PM.

Ramai juga yang terkesan dengan apa yang berlaku di Sri Lanka. Sekarang negaranya sudah muflis dan kini berdepan dengan kekurangan bahan seharian seperti minyak dan gas yang serius. Rakyat biasa – lebih-lebih lagi mereka yang miskin dan dipinggirkan – terpaksa menanggung beban rasuah dan nepotisme yang tidak terkawal yang terlalu lama berleluasa dalam negaranya.

Kita seharusnya tidak membenarkan negara kita yang tercinta ini turut mengalami nasib yang sama. Kita tidak sepatutnya meninggalkan hal pentadbiran negara ini kepada pemimpin yang meletakkan diri mereka sendiri berbanding rakyat.

Di dalam debat yang ditayangkan di televisyen baru-baru ini di antara Najib dan ketua pembangkang Anwar Ibrahim, Najib menyatakan bahawa penawar bagi mengubati ekonomi yang sakit adalah dengan memperbesarkan kek ‘ekonomi’ supaya lebih banyak pengagihan dapat diberikan kepada rakyat.

Di dalam hujahan balasnya yang tajam, Anwar berkata berkata ianya bergantung kepada siapa yang memotong kek dan kemudian mengagihkannya.

Seringkali, kelas atasan dan elitlah yang akan mengambil hirisan paling besar, dan meninggalkan sisa kepada rakyat terbanyak. Teori ‘kesan lelehan’ (trickle down) yang digunakan oleh Najib jelas gagal untuk berfungsi di Malaysia, di mana sistemnya ini digunakan bagi menjatuhkan lagi kelas bawahan.

READ MORE:  More revelations in 1MDB trial

Ketika debat itu, Najib juga mengutarakan bahawa kenyataannya yang terkenal “cash is king” bermaksud bahawa ‘rakyat’ adalah ‘raja’. Namun penjelasannya itu tidak masuk akal, senang kata.

Yang jelas, kita tidak patut memberikan semula tampuk kekuasaan kepada pemimpin seperti Najib Razak dan kelompoknya ini.

Bagi menghentikannya dari berlaku, kita para pengundi tidak hanya boleh diam dan mengomel bahawa kita marah dengan cara mereka berpolitik. Cukup menggusarkan di mana begitu ramai yang kecewa dan tidak lagi peduli di dalam negara ini.

Kerana itulah kami di Aliran serta 50 lagi buah NGO lain melancarkan Agenda Rakyat, bagi mendesak kita semua bagi menuntut semula negara kita.

Panggilan kita sudah pun disebarkan: kami menuntut agar semua pemimpin politik untuk “mengutamakan rakyat” dan merebut “demokrasi sekarang”. Mereka perlu mengutamakan isu keseharian kita.

Utama di dalam agenda ini adalah untuk memacu keselamatan makanan, memastikan keperluan asas mencukupi, menyediakan perumahan yang mencukupi serta memastikan gaji yang adil. Segala projek mega yang tidak mampan sepatutnya dihentikan, dan krisis alam sekitar perlu diambil serius.

Tibanya pilihan raya umum nanti, kita perlu menggunakan undi kita dengan bijak. Jika ahli Parlimen di tempat kita bertanding semula, buatlah pentaksiran terhadap perkhidmatannya jika beliau menepati tuntutan yang ditetapkan dalam Agenda Rakyat. Jika calon itu baru, usulkan kepada mereka untuk mengikuti Agenda Rakyat.

Kita pastinya tidak akan membuat silap, jika calon kita bersetuju untuk:

  • Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  • Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  • Raikan kerencaman dan keterangkuman
  • Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  • Lawan rasuah dan kronisme

Benar, tuntutan kita mungkin idealistik: dari 222 Ahli Parlimen yang akan diundi nanti, pastinya sukar untuk mencari mereka yang dapat membangunkan nilai yang kita ingin sampaikan, melangkaui mereka yang hanya dapat janji manis.

Namun perjuangan perlulah diteruskan. Jika lebih ramai rakyat yang cakna tentang Agenda Rakyat – yang mengutamakan keadilan,  kebebasan dan demokrasi untuk semua – pastinya kita masih punya harapan untuk negara ini!

Henry Loh
Editor bersama, surat berita Aliran
19 Mei 2022

Terjemahan oleh: Zikri Rahman

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:


The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments

Most Read

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x