Ada penyakit yang memberi kesan kepada negara kita dari dalam.
Gejalanya merebak luas setiap hari seperti kebakaran belukar. Ia dijelmakan dalam bentuk komen perkauman yang menghina, dalam sikap tidak bertoleransi serta penyebaran ekstremisme agama. Ia bagaikan demam yang memuncak, seperti gejala penderitaan yang perlu ditangani.
Saya bukan seorang pakar dalam bidang psikologi atau ekonomi tetapi telah berada dalam sistem perkhidmatan awam selama beberapa dekad, telah membaca beberapa hal berkaitan dan telah menghabiskan bertahun-tahun memerhati serta berinteraksi dengan sistem dan orang ramai; inilah sekelumit pandangan saya.
Bagi saya, isu sebenar bukannya tentang bangsa atau agama tetapi perasaan dibiarkan, menjadi miskin.
Bagi golongan miskin, keadaan sosioekonomi mereka banyak menentukan perkara dalam kehidupan – jenis sekolah yang dimasuki anak-anak mereka, di mana mereka tinggal, apa yang mereka makan, jenis kereta yang mereka miliki (atau tidak miliki) dan tempat mereka bekerja.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Dan kini, dengan enam pilihan raya negeri semakin hampir, keadaan ini juga bakal menentukan cara mereka mengundi.
Keith Payne, dalam bukunya The Broken Ladder, menyatakan bahawa selagi sekumpulan orang melihat diri mereka kurang bernasib baik dalam mana-mana konteks persaingan ekonomi, mereka akan terus berasa tidak berdaya, terdesak, cemas dan miskin. Oleh itu, apabila rasa putus asa dan kebimbangan diterjemahkan menjadi isu kaum dan agama, “kebakaran” kemudian tidak lagi dapat dielakkan.
Jadi, inilah persoalan sukar yang mesti ditangani: adakah dasar tindakan afirmatif sejak lima puluh tahun lalu telah mengubah kehidupan majoriti etnik Melayu?
Adakah mereka lebih kaya daripada masyarakat lain di Malaysia hari ini? Dasar-dasar itu nampaknya memberi manfaat terutamanya kepada segelintir orang Melayu, kelas elit, kelas pertengahan dan ahli politik.
Dasar-dasar ini mungkin juga telah melindungi sepenuhnya syarikat dan perniagaan orang Melayu daripada tekanan persaingan yang sukar, memberikan mereka tempat dan ruang yang selamat untuk berkembang.
Bukankah ini sebuah perkara yang positif? Boleh jadi. Namun, kita pun tahu kalau gula diambil secara berlebihan, akan menjadi racun. Oleh itu, bukankah terlalu banyak sokongan dan bantuan akan melumpuhkan sesiapa sahaja dalam jangka masa panjang?
Maka, tidak hairanlah bahawa setelah bertahun-tahun mendapat sokongan kerajaan, perniagaan Melayu masih sangat bergantung kepada kontrak kerajaan untuk kekal berniaga.
Lihatlah sekeliling anda apabila sedang berhenti sewaktu lampu isyarat. Kita tidak memerlukan statistik untuk memberitahu kita bahawa orang Melayu (dan etnik India) terus menjadi antara masyarakat termiskin di Malaysia. (Bagi orang India yang miskin, mereka telah sekian lama menantikan apa-apa jenis bentuk tindakan, afirmatif atau sebaliknya!)
Setelah lama dalam sistem pendidikan dan bekerja di beberapa kawasan termiskin di negara ini, saya tahu ada pelajar lelaki yang mencuri wang yang cukup-cukup makan hanya untuk melawat kafe siber dan ada juga yang ponteng kelas untuk menghidu gam di bangsal tinggal. Saya juga mendapat tahu tentang kes gadis bawah umur yang menyelinap keluar untuk melakukan hubungan seksual dengan lelaki di kebun.
Mengunjungi rumah mereka ini, saya tidak dapat menahan rasa pilu. Kediaman mereka tidak lebih daripada tempat tinggal gelap yang menyesakkan. Jadi, saya boleh faham mengapa orang miskin memerlukan jalan untuk melarikan diri serta mencari cara berseronok yang murah.
Sesaknya sistem pendidikan di sekolah dengan kesibukan akademik dan disiplin merupakan pengganti yang lemah untuk melegakan ‘ketegangan’ kemiskinan ini. Sekali gus, mereka kemudiannya memperoleh prestasi yang rendah di sekolah adalah akibat yang tidak dapat dielakkan.
Saya secara peribadi mengenali ramai orang Melayu yang berpotensi, tetapi dasar tindakan afirmatif, sokongan membuta tuli, gelaran pangkat dan kelayakan juga telah mengecewakan ramai di antara mereka.
Mereka tidak menyelesaikan isu-isu sebenar berkaitan orang Melayu serta masalah dan perasaan mereka yang menjadi miskin.
Namun, semakin lama ‘pihak berkuasa’ berdepan isu yang sebenar akibat keadaan yang sebegini, semakin mereka cenderung menggunakan agama sebagai ubat penawar.
Namun, adakah agama dapat menjadi jawapan terbaik kepada masalah ekonomi atau sosial mereka?Agama barangkali boleh memberi makan kepada semangat namun, ia tidak boleh meletakkan makanan di atas meja atau menyediakan pendidikan kepada kanak-kanak, melainkan – jika ada seseorang yang cuba untuk mewujudkannya.
Mungkin sudah tiba masanya untuk memeluk agama dengan sebelah tangan, namun juga untuk berusaha bagi mengasah kemahiran dan kecekapan seseorang dengan penuh keringat dengan sebelah lagi tangan lainnya.
Menggunakan metafora bahan bakar dan geseran, Loran Nordgren dan David Schonthal menerangkan situasi ini dengan agak ringkas dalam buku mereka The Human Element.
Mereka mengatakan bahawa dengan hanya memberi tumpuan kepada “bahan api” (tindakan afirmatif), pembuat dasar sering mengabaikan separuh lagi perkara – “geseran” (kuasa psikologi yang menentang dan melemahkan perubahan yang diingini) yang bertentangan dengan matlamat yang diharapkan.
Mungkin sudah tiba masanya untuk melihat kepada sains dan psikologi untuk mencari penyelesaian baharu bagi memperkasakan orang Melayu kerana pembasmian kemiskinan sebenar atau yang dibayangkan bukanlah sebuah tugas yang mudah.
Ia bukan soal menaikkan pendapatan semata-mata, atau memindahkan secara fizikal sekumpulan orang dari kampung ke bangunan pejabat kerajaan yang moden, atau memasukkan wang ke dalam akaun bank individu.
Perubahan sebenar perlu berlaku dalam minda orang Melayu. Lebih ramai daripada mereka perlu bersedia untuk menjadi rajin dan berkembang maju dalam mana-mana persekitaran yang berdaya saing secara terbuka seperti beberapa petani Melayu yang rajin bekerja, nelayan, peniaga kecil dan profesional yang sudah melakukannya. Mereka harus belajar menjadi lebih cerdik dan tajam; untuk menjadi fleksibel serta berfikiran lincah untuk bersinggungan dengan arus global.
Berupaya untuk berkomunikasi dalam berbilang bahasa merupakan sebuah kelebihan, kemahiran yang diperlukan, tidak kiralah bahasa Inggeris atau Mandarin. Malangnya, ini juga sering dianggap oleh sesetengah pihak sebagai penghinaan terhadap bangsa dan bahasa Melayu.
Dunia berubah terlalu cepat, dan jika kebanyakan anak muda Melayu ingin maju di dunia itu, mereka perlu bercita-cita untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang lebih tinggi daripada bergantung kepada kerajaan untuk bekerja atau memilih pekerjaan berkemahiran rendah seperti kurier dan penghantar makanan.
“Nilai pendidikan bukanlah pada pembelajaran mengumpul fakta tetapi latihan untuk minda berfikir.” – George Carlin
Di sinilah terletak sebuah lagi masalah. Adakah pendidikan orang Melayu secara serius telah menerapkan unsur penyoalan dan pemikiran lateral sebagai kemahiran yang berharga untuk dimiliki?
Budaya Melayu sememangnya lembut dan tidak bersifat konfrontasi. Bersoal jawab, berbincang, berdebat dan menangani kontroversi bukanlah sesuatu yang berlaku secara semulajadi.
Namun, hanya apabila orang Melayu berjaya dalam hal ini barulah mereka mula merasa diperkasa dan mampu untuk mengharungi persaingan yang adil dengan masyarakat lain di negara ini.
Melainkan orang Melayu jelas tentang apa yang mereka citakan, Malaysia dan seluruh warga lainnya di Malaysia tidak akan pernah benar-benar makmur. Kita semua berada dalam negara ini bersama-sama, tanpa mengira apa yang dikatakan oleh seorang tokoh yang semakin tua itu.
Menyalakan api kebakaran dengan etnik minoriti tidak akan menyelesaikan masalah sebenar.
Sukeshini Nair
Editor bersama, surat berita Aliran
1 Ogos 2023
Terjemahan oleh: Zikri Rahman
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme