Home Newsletters Melangkaui ‘Malaysia Madani’: Krisis pendidikan yang tidak boleh diabaikan

Melangkaui ‘Malaysia Madani’: Krisis pendidikan yang tidak boleh diabaikan

Melihat bagaimana sistem pendidikan Malaysia yang cukup terpolarisasi kini bergelut dengan kejatuhan kedudukannya di Pisa serta cabaran lainnya, ia cukup memerlukan proses pembaharuan yang serius

Inside a university lecture room - AI-GENERATED IMAGE

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Adakah pendidikan di Malaysia berdepan krisis? Adakah ia sudah punah?

Soalan sedemikian akan menimbulkan jawapan yang berbeza bergantung pada tempat serta spektrum dalam kita melihat isu tersebut. Dalam negara yang mempunyai isu berat sebelah kaum yang kuat, bagaimanakah kita mengemudi isu-isu yang ada ini?

Cabarannya banyak. Jika perkara ini tidak ditangani secara kolektif atas dasar keprihatinan, kepedulian dan belas kasihan, maka kita hanya akan terus membuat penilaian dari atas-ke bawah.

Tetapi pendidikan adalah isu yang terlalu penting untuk hanya diserahkan kepada ahli politik dan birokrat.

Sekolah sudah menjadi ruang yang terlalu berpecah belah. Sekolah swasta kebanyakannya hanya menempatkan etnik minoriti manakala sekolah kebangsaan pula hanya terlalu menumpukan kepada etnik Melayu dan kumpulan berpendapatan rendah. Kemudian, terdapat pula sekolah vernakular, sekolah Mara, pusat matrikulasi, sekolah antarabangsa dan sekolah agama Islam.

Bagaimanakah semua institusi ini dapat menyumbang kepada kebaikan negara? Apakah peranan mereka dalam mewujudkan masyarakat yang bersatu padu? Sudah tentu, pendidikan adalah alat sosial terbaik untuk mewujudkan persekitaran berbilang etnik.

Tetapi kita telah kehilangan arah, menjadi sangat terpolarisasi sehingga kita kehilangan rasa kenegaraan bagi semua orang.

Pihak berkepentingan cukup ramai. Masing-masing mempunyai sumbangan tersendiri yang tidak ternilai dalam menyumbang kepada pelan tindakan pendidikan negara.

Langkah pertama ialah mengadakan perbincangan kolektif dan mendapatkan maklum balas daripada ibu bapa, guru, pentadbir dan pelajar.

Ya, kita memerlukan desentralisasi pendidikan. Anda boleh katakan kita juga sangat memerlukan pendemokrasian dalam pendidikan. Tetapi adakah ini bermakna kita mengorbankan kepelbagaian, persaingan dan meritokrasi, dan hanya menumpukan pada faktor sepunya yang dimiliki oleh semua pihak?

Kita mempunyai data objektif, tetapi ini juga sering dipersoalkan oleh pihak yang terlibat, yang seakan menjadi defensif. Dengan kemungkinan kira-kira 500,000 warga yang bekerja dalam bidang pendidikan di Malaysia, untuk menyediakan perkhidmatan sekurang-kurangnya kepada 10,000 sekolah, pendidikan kekal sebagai bidang yang menerima belanjawan yang tinggi.

Belanjawan negara memperuntukkan RM82.1bn untuk kementerian pendidikan dan pengajian tinggi. Kita memerlukan penjelasan yang cerah tentang di mana dan bagaimana peruntukan ini dibelanjakan. Kebolehcapaian kepada peruntukan belanjawan ini seringkali berpandukan kepada logika etnik dan berlaku tidak adil.

Perubahan mesti menjadi keutamaan bagi kerajaan yang siang malam bercakap tentang “Malaysia Madani”. Adakah ini hanya akan menjadi slogan yang diulang semata-mata oleh penjawat awam dan hanya diketengahkan pada semua bentuk komunikasi bertulis mereka dengan rakyat? Atau adakah ia akan membuat sebarang perubahan?

READ MORE:  What lies deep beneath Malaysia's failing education system

Bagaimanakah kerajaan sekarang dapat mewujudkan masyarakat yang bertamadun, berkemahiran dan inklusif berdasarkan nilai teras kemampanan, kemakmuran, inovasi, rasa hormat, amanah dan belas kasihan? Piawaian seperti apakah yang kita akan nilai kemajuannya? Bolehkah ia mencapai semua ini melalui pendekatan atas-ke bawah atau dengan menjadi inklusif dan mewakili semua?

Ini memerlukan perubahan – dan perubahan mesti dinilai bukan dengan sekadar kata-kata yang diungkapkan atau laporan yang dikemukakan tetapi dengan komitmen dan tindakan yang mendedahkan keikhlasan.

Jika ada satu bidang yang akan memberi sumbangan besar dan memberi perubahan kepada merealisasikan keutamaan Madani, ia adalah bidang pendidikan.

Sektor yang berbeza akan mempunyai pandangan mereka sendiri tentang penilaian Pisa antarabangsa. Ujian ini, yang dikendalikan oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), telah mendedahkan beberapa data yang menakjubkan.

Dalam laporan terbarunya, Malaysia terus jatuh dalam kedudukannya, di mana markahnya menurun dalam ketiga-tiga bidang yang dinilai – matematik, sains dan membaca. Kedudukan sekarang meletakkannya di bawah Brunei, Vietnam dan Singapura.

Walaupun kedudukan kedua-dua negara, Vietnam dan Kemboja bertambah baik, markah Malaysia telah jatuh tiga kali ganda. Ini terjadi walaupun Malaysia membelanjakan lebih banyak melalui bajet tahunannya berbanding negara-negara lain ini.

Lihat pula Brunei yang patuh Syariah, yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantarnya. Adakah mereka menjadi kurang Islam akibat penggunaan bahasa Inggeris sebagai pengantar? Bahasa adalah medium komunikasi, dan apabila secara politik ia dimanipulasi sebagai isu identiti, maka ia menjadi satu lagi punca konflik.

Jurang yang nyata wujud antara laporan bertulis yang diberikan dan keadaan sebenar di lapangan. Lawatlah sekolah vernakular Tamil dan sekolah Melayu di pedalaman dan nilailah keadaan mereka. Mengapa peruntukan belanjawan untuk pendidikan seperti tidak sampai kepada mereka?

Kerajaan telah meneruskan dan memansuhkan peperiksaan UPSR (Tahun 6) dan PMR (Tahun 9) dan menukarnya kepada pentaksiran sekolah. Ramai yang hilang keyakinan terhadap penilaian dalaman sekolah ini. Yang lain pula takut akan sistem meritokrasi.

Pelajar datang dengan kemampuan dan kebolehan yang berbeza, dan mereka mesti dinilai dengan sewajarnya berdasarkan pendapatan. Pemansuhan sistem peperiksaan dilakukan secara tergesa-gesa dan, seperti yang dikeluhkan oleh seorang bekas menteri pendidikan, ekosistem yang mencukupi untuk menekankan kualiti tidak dilaksanakan.

Adalah menjadi kenyataan bahawa ramai ibu bapa yang berkemampuan telah memilih untuk keluar daripada sistem pendidikan kebangsaan dan memilih sama ada sekolah vernakular Cina atau Tamil atau sekolah antarabangsa swasta. Malah kemasukan pelajar Melayu di sekolah vernakular Cina telah meningkat kepada 18% menjelang 2024. Apakah yang ditunjukkan oleh data ini?

READ MORE:  Bebaskan pelajar sekolah alternatif di Sabah: Seruan Gerak untuk keadilan pendidikan

Orang ramai sedar akan kualiti apabila mereka melihatnya. Semua ini menekankan bahawa kita memerlukan analisis objektif tentang cabaran yang dihadapi sekolah kebangsaan dan langkah-langkah yang diperlukan untuk sekolah ini sekali lagi menjadi sekolah pilihan.

Tidak semua pelajar belajar hanya untuk menjadi doktor atau jurutera. Tetapi apa jua bidang yang mereka pilih, mereka perlu menjadi cekap. Untuk ini, sistem penilaian bebas adalah kritikal, lebih-lebih lagi dalam sebuah negara yang terpolarisasi secara etnik.

Mereka yang paling menderita akibat dasar flip-flop oleh kerajaan pastinya anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah. Mereka yang tidak mempunyai kapasiti atau peluang untuk memasuki prasekolah menghadapi halangan yang lebih besar apabila mereka menyertai sistem persekolahan kebangsaan. Banyak yang perlu mereka kejar untuk bersaing dengan rakan sebaya mereka.

Apa pendapat anda tentang universiti yang melahirkan lebih 632 graduan PhD pada majlis konvokesyennya? Adakah ini percubaan untuk menguar-uar kedudukan mereka sendiri? Kita kini mempunyai begitu banyak universiti. Namun, negara tidak pula mempunyai badan pemeriksa keseluruhan seperti suruhanjaya geran yang sentiasa menilai kecekapan sesebuah institusi pengajian tinggi.

Laporan Pisa menyoroti bahawa 16% daripada waktu kurikulum di sekolah kebangsaan merangkumi pengajian agama, berbanding hanya 12% untuk matematik dan 7% setiap satu untuk sains dan seni.

Adakah kita melahirkan pelajar yang cukup cekap dalam subjek Stem – sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik? Bagaimana pula dengan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional? Bagaimanakah kita akan menjadi sebuah negara yang dapat berinovasi jika kita tidak mengembangkan bakat ini?

Agama bukanlah satu-satunya tanggungjawab negara serta sistem pendidikannya. Menghilangkan tanggungjawab ibu bapa adalah juga mengakui bahawa ibu bapa tidak mempunyai kapasiti untuk menyampaikan pengetahuan ini kepada anak-anak mereka. Apa yang sepatutnya menyatukan keluarga semakin hari seakan menjadi tanggungjawab negara pula.

Semasa pelajar Melayu menghadiri kelas agama mereka, pelajar etnik minoriti pula mengikuti kelas moral. Ini menimbulkan ketidakseimbangan yang serius, yang perlu diperbetulkan. Syukurlah, beberapa NGO membantu menyokong pelajar dari isi rumah berpendapatan rendah.

Satu wilayah yang dapat membuka jalan kepada perubahan ialah Sarawak. Sungguh mengagumkan apa yang telah dilakukan oleh Perjanjian Malaysia 1963 dalam memberikannya peluang untuk melaksanakan dasar yang selaras dengan perjanjian itu. Adalah menyedihkan bahawa ahli politik Umno-Barisan Nasional seringkali menggunakan majoriti dua pertiga persekutuan mereka hanya untuk membuli wilayah ini.

READ MORE:  Erasing history: Why fascists attack education

Kelayakan guru telah menjadi satu lagi cabaran. Ya, tumpuan perlu diberikan kepada proses pengajaran dan pembelajaran – termasuk masa untuk memperkenalkan bahan bacaan dan melakukan perkara yang diminati kanak-kanak. Kerja pentadbiran pula merangkumi pengisian borang yang mengikut piawai. Semua ini, jika dirancang dengan baik, boleh diuruskan.

Disiplin guru adalah sebuah faktor lain, dan ini semua ada kaitan dengan kepimpinan di peringkat sekolah. Sekiranya pengetua bertanggungjawab, maka disiplin guru pasti boleh dipertingkatkan.

Juga, pertimbangkan bilangan pengetua daripada komuniti etnik minoriti – anda pastinya tidak boleh bersikap perkauman dalam konteks sebegini, dan statistik itu sendiri menggambarkan keadaan semasa yang berlaku sekarang.

Perkhidmatan awam memerlukan lebih ramai mereka dengan minda terbuka. Terdapat terlalu banyak “Napoleon kecil” dan birokrat yang duduk di belakang peraturan jabatan mereka dan membuli rakyat. Peraturan jabatan mereka kelihatan lebih suci bagi mereka daripada fasal dalam Perlembagaan. Peraturan ini nampaknya dicipta dengan motif untuk mengawal orang, seringkali dibuat tanpa adanya sebarang perundingan dengan pihak berkepentingan yang terlibat.

Mungkin terlalu ramai penjawat awam berfikiran sebegitu. Adakah mereka hanya mencipta peraturan sedemikian untuk memastikan kakitangan mempunyai pekerjaan? Ia hampir kelihatan seperti sindrom “arahan-dari-atas”!

Untuk mencabar peraturan jabatan sebegini, kita mungkin perlu pergi ke mahkamah untuk mengesahkan bahawa ia adalah ultra vires (berlawanan dengan) kebebasan yang termaktub dalam Perlembagaan. Tetapi berapa ramai yang boleh menghabiskan masa dan wang untuk mempertahankan apa yang betul? Itulah sebabnya, seperti Sarawak, kita memerlukan ombudsman.

Mengapa masyarakat minoriti meninggalkan atau menjauhi perkhidmatan awam, tentera dan polis? Salah satu sebabnya ialah persepsi di mana wujudnya peluang sempit untuk dinaikkan pangkat. Tanggapan sebegini boleh jadi tanpa adanya asas objektif, dan dengan itu, sikap berat sebelah etnik mula dimainkan. Jika tidak, bagaimana kita dapat menjelaskan perbezaan etnik yang ketara dalam perkhidmatan awam hari ini?

Malaysia Madani memberi kita peluang. Sama ada ia kekal sebagai slogan semata-mata atau boleh diterjemahkan kepada reformasi pendidikan yang tulen melalui dasar dan tindakan yang lebih bijak, hanya masa akan menentukan. Barangkali pelan tindakan pendidikan 2025 akan memberikan permulaan yang menjanjikan.

K Haridas
Editor bersama, surat berita Aliran
11 November 2024

Terjemahan oleh: Zikri Rahman

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments

Most Read

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x