Home Newsletters Melangkaui Najib: Krisis keadilan dan kemiskinan di Malaysia yang lebih parah

Melangkaui Najib: Krisis keadilan dan kemiskinan di Malaysia yang lebih parah

Ketika persoalan mulai berkisar soal layanan istimewa terhadap Najib Razak, Malaysia berdepan dengan cabaran yang lebih luas mengenai kebebasan kehakiman dan kesenjangan yang semakin meningkat

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil baru-baru ini mengumumkan bahawa kerajaan tidak mengetahui keputusan peguam negara untuk memohon perintah sekatan mengenai isu hangat, iaitu “adendum” bagi pengurangan hukuman kepada Lembaga Pengampunan terhadap Najib Razak.

Kini, ia bertambah menarik: selepas hampir setahun jawapan yang diterima hanya samar-samar dan seakan mengelak-ngelak, kerajaan akhirnya mengakui bahawa adendum itu memang wujud sebenarnya.

Kandungan khusus adendum itu masih tidak dijelaskan. Tetapi pelbagai akaun di sosial media yang kononnya pernah melihat adendum itu mencadangkan bahawa ia ada memperuntukkan soal “tahanan rumah”.

Adendum ini – kononnya membenarkan penahanan di rumah – hanyalah seakan difikirkan sekilas lalu. Nampaknya, ia tidaklah dibangkitkan ketika mesyuarat Lembaga Pengampunan yang sebenar.

Ia seperti ‘orang mengantuk disorongkan bantal’, memandangkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib telah pun dikurangkan kepada enam tahun dan denda menjadi RM50 juta.

Najib sudah pasti ingin menikmati keselesaan di rumahnya sendiri semasa menjalani hukuman. Tetapi adakah dia layak mendapat pengurangan hukuman yang begitu?

Peguam Najib, parti pembangkang dan NGO telah membantah usaha untuk perintah sekatan itu. Mereka berhujah bahawa isu ini sudah dibincangkan dalam ruang awam dan tidak sepatutnya hanya didiamkan.

Parti pembangkang melihat usaha perintah sekatan itu sebagai usaha kerajaan untuk membungkam isu itu, sekali gus untuk mengelakkannya daripada dimalukan. Parti pembangkang sebelum ini menuduh kerajaan dengan sengaja menyembunyikan adendum itu.

Dalam merespon keadaan itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata pentadbirannya tidak pernah cuba menyembunyikan perkara itu dan adendum itu telah pun dihantar terus kepada peguam negara.

Ada yang menyeru agar PM memohon maaf atas ketidaktelusan beliau dalam mengendalikan perkara ini.

Yang lain pula telah meminta minit mesyuarat Lembaga Pengampunan dinyahklasifikasikan. Ini akan merungkai segalanya dan membenarkan ketelusan untuk mengatasi kerahsiaan.

Untuk menegakkan kebebasan bersuara dan ketelusan, perintah sekatan tidak boleh digunakan untuk menyekat maklumat. Sesungguhnya, terdapat banyak alasan yang sah untuk menentang perintah sekatan.

Sama ada perintah sekatan diberikan atau tidak, isu ini telah menerima terlalu banyak perhatian sekali gus mengorbankan isu lain yang lebih mendesak.

Janganlah kita lupa bahawa Najib adalah seorang banduan yang telah disabitkan kesalahan melalui proses yang dilaluinya di mahkamah. Perbicaraan beliau melalui tiga peringkat mahkamah: Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Sepanjang masa perbicaraan, pasukan peguam belanya mempunyai banyak peluang untuk membuktikan beliau tidak bersalah tetapi gagal.

Keputusan hakim di Mahkamah Tinggi bahawa Najib bersalah telah disahkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Seperti yang dikatakan, “Buat jenayah, masuklah penjara!”

Malaysia bertuah kerana mempunyai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat sebagai ketua badan kehakiman. Tanpa rasa takut atau pilih kasih, beliau telah mencuba sedaya upaya untuk memastikan badan kehakiman bebas dan adil. Dalam salah satu ucapan rasmi terakhirnya, ketua hakim negara yang akan bersara ini mengingatkan hakim untuk memutuskan kes dengan adil, saksama dan objektif.

READ MORE:  Saving the stained sixth PM? We have already spent too much energy on him!

Secara terang-terangan, beliau juga mengingatkan Anwar tentang apa yang beliau katakan di Parlimen pada 2009, semasa beliau menjadi ketua pembangkang, ketika perbahasan penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC). Dalam rekod Hansard Parlimen, Anwar dipetik sebagai berkata bahawa suruhanjaya itu harus benar-benar bebas dan tidak boleh terlibat dalam sekadar “bermuka muka”.

JAC dicadangkan sebagai tindak balas kepada kontroversi “pita Lingam” yang terkenal, yang mendedahkan bagaimana pelantikan kehakiman boleh ‘disusun’ dan bagaimana kes mahkamah boleh di‘kau tim’ (‘selesai’).

Tengku Maimun melahirkan keyakinan bahawa Anwar akan berpegang kepada prinsip yang dicadangkannya ketika itu – bahawa pelantikan kehakiman perlu dilaksanakan secara adil dan objektif.

Memandangkan Anwar kini menjadi PM, beliau mempunyai kemampuan untuk mengukuhkan dan meningkatkan kebebasan JAC.

Konsep pengasingan kuasa tiga cabang kerajaan – eksekutif, perundangan dan kehakiman – adalah penting dalam mempromosikan tadbir urus yang baik.

Sejak krisis kehakiman 1988, cabang eksekutif telah menghadapi tuduhan bahawa wujud campur tangan kehakiman. Ketika itu, ketua hakim dan beberapa hakim tertinggi lain dipecat atau digantung kerja. Gelaran “tuan presiden” (lord president) kemudiannya ditukar kepada “ketua hakim”.

Malaysia mengalami masa yang cukup sukar dalam percubaan untuk meredakan tanggapan bahawa badan kehakiman kurang bebas sejak krisis itu.

Oleh itu, sifat-sifat integriti Tengku Maimun, semangatnya yang mandiri, rasa keadilan dan tunjang moralnya yang kuat amat diperlukan.

Satu lagi masalah serius di Malaysia ialah peguam negaranya perlu melapor diri kepada PM.

Selama bertahun-tahun, setiap perdana menteri mengatakan bahawa peguam negara bebas. Mereka menegaskan PM tidak campur tangan atau cuba mempengaruhi keputusan peguam negara.

Tetapi tanggapan tidak hilang dengan mudah. Ambil contoh Jabatan Peguam Negara pada 2023 untuk menghentikan kes Yayasan Akalbudi melibatkan Zahid Hamidi yang sedang berlangsung. Ini dianggap oleh banyak pihak sebagai kompromi untuk memenangi sokongan Umno dalam “kerajaan perpaduan” sekarang.

Sebelum pilihan raya umum 2022 dan pelantikannya sebagai Timbalan PM, Zahid telah dikenakan 47 pertuduhan rasuah. Ini terdiri daripada 12 pertuduhan pecah amanah jenayah melibatkan RM31 juta, 27 pertuduhan pengubahan wang haram dan lapan pertuduhan rasuah membabitkan RM21 juta.

Majlis Peguam cuba mencabar status pelepasan tanpa pembebasan yang diberikan kepada Zahid di peringkat Mahkamah Tinggi tetapi tidak berjaya.

Beberapa kes lain yang melibatkan ahli politik berprofil tinggi juga muncul.

Lim Guan Eng dari DAP pula telah diberikan pembebasan penuh dalam kes rasuahnya pada September 2018. Perbicaraan telah diteruskan untuk beberapa ketika apabila Jabatan Peguam Negara memohon agar diberikan status pelepasan tanpa pembebasan, kerana kes itu tidak mahu diteruskan.

Mahkamah memutuskan untuk memberikan pembebasan penuh. Pada masa itu, Lim adalah menteri kewangan.

Semuanya tentang persepsi.

READ MORE:  We were only told of Najib's sentence reduction, not house arrest - home minister

Rosmah Mansor, isteri Najib, pula telah digugurkan pertuduhan pengubahan wang haram dan pengelakan cukai pada Disember 2024. Beliau telah memohon pembebasan atas alasan pertuduhan itu tempang dan gagal mendedahkan unsur-unsur penting kesalahan yang didakwa.

Umno adalah komponen penting dalam kerajaan perpaduan sekarang, dan Najib masih berpengaruh dalam Umno.

Semuanya tentang persepsi.

Pada Jun 2020, Jabatan Peguam menarik balik tuduhan pengubahan wang haram dan rasuah yang dikemukakan terhadap Musa Aman, bekas ketua menteri Sabah dan kini, Yang Dipertua Sabah.

Penarikan balik pertuduhan ini berlaku semasa Mahiaddin Yasin menjadi PM, selepas mengambil alih daripada Dr Mahathir Mohamad. Mahiaddin memerlukan sokongan Umno Sabah dan Musa adalah seorang personaliti yang berpengaruh.

Segalanya tentang persepsi.

Dalam semua kes ini, individu yang didakwa mungkin benar-benar tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan terhadap mereka. Tetapi memandangkan peguam negara dilantik oleh raja atas nasihat PM – dan secara berkesan melaporkan kepada PM sendiri – tanggapan bahawa mereka tidaklah bebas cukup kuat.

Tanggapan boleh diselesaikan sekiranya peranan peguam negara dan pendakwa raya dipisahkan dengan jelas.

Menteri yang bertanggungjawab bagi reformasi undang-undang dan institusi, Azalina Othman Said, telah memaklumkan kepada Parlimen bahawa kementeriannya sedang mengusahakan isu ini tetapi memerlukan lebih masa kerana ia mungkin melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan. Para pengkritik tertanya-tanya sama ada wujud tekad politik yang mencukupi untuk mewujudkan perkara ini.

Apa pun, pihak pendakwaan harus bebas menilai kes secara mandiri, tanpa perlu melaporkan kepada pihak eksekutif kerajaan.

Orang yang mempunyai kuasa dan pengaruh harus menggunakan apa yang mereka ada dengan bijak. Penyalahgunaan kuasa untuk mengagungkan diri, mencari keuntungan dan kelebihan peribadi adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

Oleh itu, pasukan pendakwa raya yang mandiri sepenuhnya mesti mempunyai kebebasan untuk menyiasat dan mendakwa semua pesalah tanpa rasa takut atau pilih kasih, bebas daripada sebarang pengaruh yang tidak wajar.

Dalam surat berita terakhir kami, Francis Loh berkata di bawah pengawasan Anwar, ekonomi Malaysia telah meningkat dengan ketara. Ringgit baru-baru ini mengukuh berbanding dolar AS dan beberapa mata wang utama lain. Ekonomi telah berkembang sebanyak 4-5% pada setiap suku tahun 2024. Eksport kekal kukuh.

Namun adakah angka pertumbuhan ini dapat dirasai oleh 80% populasi terbawah dan menjadikan kehidupan mereka lebih baik? Malangnya, tidak. Pengagihan pendapatan dan kekayaan cukup terpesong: minoriti semakin kaya manakala yang selebihnya bergelut dengan tangga gaji yang rendah.

Mulai 1 Februari, gaji minimum akan meningkat daripada RM1,500 kepada RM1,700. Tetapi majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja dibenarkan terus membayar RM1,500 sehingga Ogos 2025.

Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, sukar bagi sebuah keluarga kecil untuk bertahan dengan hanya pendapatan oleh seorang pencari nafkah.

Sememangnya, kebanyakan orang di Malaysia adalah lebih baik daripada mereka di negara kurang maju yang lain. Tetapi jangan kita terpedaya dengan menganggap Malaysia telah menghapuskan kemiskinan tegar.

READ MORE:  From 'Bossku' to prison: How power without ethics corrupts

Kechara Soup Kitchen di Pulau Pinang menyediakan 135 pek makanan percuma kepada penerima yang terdedah. Program pemberian makanannya juga mengagihkan makanan kepada lebih 35 warga miskin kota di sekitar kawasan Komtar.

Lighthouse, sebuah pusat khidmat masyarakat di bawah Gereja Katolik di Pulau Pinang, menyediakan kira-kira 120 hidangan setiap hari kepada golongan miskin pada hari bekerja.

Begitu juga dengan pusat-pusat lain di bandar-bandar utama Malaysia, ia juga menyediakan bantuan asas kepada golongan terpinggir.

Selain gelandangan dan miskin, ramai keluarga berpendapatan rendah juga terjerat hutang dan bergelut untuk menampung kehidupan. Ramai yang hanya sekadar bermimpi untuk memiliki rumah.

Bayangkan kes seorang atendan lori yang ditangkap kerana mencuri pisang. Adakah dia melakukannya kerana terdesak? Apakah status ekonominya?

Mencuri adalah satu jenayah, dan mahkamah tidak teragak-agak untuk menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan kepadanya jika sabit kesalahan.

Jika dibanding kes curi pisang dengan kecurian RM42 juta Najib , ia mendedahkan perbezaan yang ketara dalam layanan terhadap pelakunya.

Ahli politik harus menumpukan perhatian kepada menyelesaikan isu-isu ekonomi seharian dan meringankan beban rakyat – bukannya menganjurkan demonstrasi untuk meminta ‘penahanan rumah’ atau pengampunan penuh untuk penjenayah yang disabitkan kesalahan yang telah mencuri berjuta-juta.

Dr Jeyakumar Devaraj menegaskan bahawa antara 1970 dan 2020, keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia melonjak 24 kali ganda. Tetapi purata gaji pekerja hanya meningkat dua kali ganda.

Hasil kerajaan juga telah menurun daripada 30% KDNK pada tahun 1980-an kepada hanya 15% sekarang. Ini bermakna kerajaan mempunyai lebih sedikit perbelanjaan untuk menyediakan perkhidmatan penting seperti penjagaan kesihatan dan pendidikan.

Untuk kekal berdaya saing, banyak kerajaan di seluruh dunia menurunkan cukai untuk menarik pelaburan asing. Tetapi persaingan sedemikian hanya menggalakkan kita menjunam ke bawah – yang menguntungkan segelintir syarikat dengan mengorbankan orang kebanyakan.

Perdana Menteri Anwar, dalam kapasitinya sebagai pengerusi Asean, berada dalam kedudukan yang kukuh untuk mendesak kerjasama dan persetujuan di kalangan negara anggota. Pakar ekonomi dari setiap negara harus bekerjasama untuk merangka pelan strategik untuk menaikkan cukai tanpa kehilangan pelaburan. Pemimpin mesti mempunyai tekad politik untuk menjayakannya.

Malaysia cukup diberkati dalam pelbagai cara, dan rakyatnya menikmati keamanan dan keharmonian.

Malangnya, kita mempunyai beberapa ahli politik yang menunggang dan memainkan isu kaum dan agama. Telatah mereka itulah yang semakin meruncingkan keretakan dalam masyarakat. Mereka sebaliknya harus mempromosikan kepelbagaian sebagai kekuatan kita dan mempamerkan nilai keterangkuman dalam membina Malaysia yang bersatu untuk semua.

Tumpuan harus diberikan bagi meningkatkan keadilan ekonomi, mengurangkan kesenjangan dan menyediakan pendidikan yang lebih baik serta penjagaan kesihatan awam untuk semua di Malaysia.

Henry Loh
Editor bersama, Surat berita Aliran
21 Januari 2025

Diterjemahkan oleh: Zikri Rahman

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments

Most Read

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x