
Sungguh mengarut dan memalukan! Malaysia, sekali lagi, telah menarik perhatian media global disebabkan perkara yang salah.
Kekecohan berlaku akibat persoalan ‘keadilan’ dan pengampunan kepada bekas perdana menteri yang pernah menjadi tajuk utama pada masa lalu kerana menjadi kleptokrat terbesar sepanjang zaman di Malaysia.
Kita bercakap tentang Najib Razak, seorang penjenayah yang didapati bersalah pada 2020 dalam kes jenayah pecah amanah dan salah guna kuasa yang dilakukannya kerana menerima dana secara haram yang diselewengkan daripada 1MDB.
Najib disabitkan kesalahan oleh lapan daripada sembilan hakim, di tiga peringkat badan kehakiman yang berbeza, sehingga Mahkamah Persekutuan, dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun.
Beliau juga mempunyai beberapa kes lain yang belum selesai, salah satunya menjawab pertuduhan melibatkan 25 pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan RM2.3bn sebagai suapan daripada dana 1MDB.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Bagi salah seorang ahli Aliran, UK Menon, sabitan dan hukuman bekas PM itu telah pun menjalani penelitian undang-undang yang menyeluruh, menerima semakan sepenuhnya yang wujud di bawah sistem perundangan Malaysia dengan rayuan sehingga ke Mahkamah Persekutuan. Ia sepatutnya menjadi bab terakhir dalam saga yang menyaksikan bagaimana kebertanggungjawapan dapat mengatasi kekuasaan.
Pengampunan diraja dan apa yang berlaku
Namun, inilah apa yang berlaku – Umno (yang pernah diketuai Najib walaupun kini menjadi sebahagian daripada “kerajaan perpaduan Madani”) dan Pas (sebelum ini sangat mengkritik Umno dan Najib) menganjurkan sebuah perhimpunan di Putrajaya, di hadapan Istana Keadilan pada 6 Januari lalu. Mereka menuntut agar seorang bekas PM yang merupakan seorang penjenayah – yang kononnya telah “cukup berbakti kepada Malaysia” serta “telah dikelirukan” oleh orang lain – diampunkan!
Bagaimanakah seseorang boleh bercakap tentang pengampunan apabila begitu banyak semakan kes telah berlaku dan saatnya begitu banyak kes lain juga belum selesai?
Pemimpin Umno dan Pas ini dilaporkan mendakwa bahawa wujud “konspirasi”, yang “mengenepikan” peranan diraja dan dikatakan “mengkhianati” dan “menganiaya” bekas PM.
Kononnya, wujud “adendum” daripada raja terdahulu, sebelum baginda berundur, yang telah hilang. Peguam Najib dan penyokong tegarnya mendakwa bahawa adendum itulah yang akan membenarkan “bos” mereka itu untuk menjalani sisa hukumannya di bawah tahanan rumah. Ini adalah ‘keadilan’ bagi seorang pemimpin yang telah berkhidmat untuk negara secara terhormat, mereka dakwa. Apa lagi, beliau sendiri merupakan seorang anak kepada bekas PM!
Jadi, mereka menuduh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan mendakwa bahawa menteri dalam negeri, peguam negara dan beberapa menteri lain telah menyembunyikan dokumen diraja itu. Secara tersirat, mereka menyatakan bahawa PM dan menteri-menterinya mencabar mantan raja itu, kerana para raja, di bawah Perkara 42 Perlembagaan mempunyai “kuasa untuk memberikan pengampunan, penangguhan dan penangguhan sementara berhubung dengan semua kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya”.
Sebelum baginda berundur tahun lepas, telah dilaporkan bahawa baginda telah mengurangkan separuh hukuman 12 tahun penjara Najib dan mengurangkan dendanya daripada RM210 juta kepada RM50 juta. Dan kini, adendum yang hilang itu akan memberikan Najib lebih banyak pengampunan dirajanya – kerana dokumen itu dilaporkan mencadangkan agar beliau dapat menjalani baki hukumannya di bawah ‘tahanan rumah’, iaitu di rumah.
Anwar menjelaskan bahawa tidak ada niat untuk menahan atau menyembunyikan sebarang adendum yang ada. Ia hanya tidak disediakan kepada Lembaga Pengampunan apabila ia bermesyuarat tahun lalu.
Pada mesyuarat itu, soal berkaitan pengurangan denda dan pengurangan separuh tahun hukuman, nampaknya, telah diputuskan. Namun, tiada apa-apa tentang tahanan rumah ada dibincangkan. Kemungkinan besar, adendum telah dihantar ke Jabatan Peguam Negara selepas pendengaran Lembaga Pengampunan, apabila raja, peguam negara dan Perdana Menteri Anwar sendiri hadir.
Yang menambah lagi masalah ialah kita sekarang telah bertukar agong serta peguam negara yang baru. Jadi, agong yang baru bertakhta ini tidak terlibat secara terus dalam teka-teki yang berlaku.
Malangnya, beberapa pengulas pro-Reformasi, yang sepatutnya lebih tahu, telah menerima hujah konspirasi ini. Bagi salah seorang daripada mereka, isu pengampunan ini adalah “pengkhianatan terakhir kepada agenda reformasi yang telah membawa PMX ke puncak kuasa”. Baginya, ini adalah “rentetan janji yang telah dimungkiri, yang terlalu banyak untuk dilupakan”. Pemimpin politik ini termasuk juga PM, dituduh tidak berprinsip dan bersubahat, malah menyembunyikan kebenaran: “sekumpulan orang munafik yang paling tidak bermaruah serta teruk yang pernah dilihat di negara ini kini di puncak kekuasaan”. Cukup kasar tuduhannya!
Kebuntuan dan kekurangan reformasi
Kekecewaan pengulas pro-Reformasi ini pastinya berpunca daripada kelembaban reformasi di bawah Anwar serta kerajaan perpaduannya Madani.
Kita boleh bersetuju dengan kenyataan itu. Banyak janji Reformasi 2018 itu tidak ditunaikan. Lebih teruk, beberapa penambahbaikan yang sedang berlaku seakan mengalami kemerosotan. Kekecewaan yang paling ketara ialah soal pengampunan dan penangguhan hukuman Najib, selepas dia didapati bersalah seperti yang disebutkan di atas.
Ada juga yang lain dapat saya sebutkan. Terdapat dua kes melibatkan pelepasan tanpa pembebasan.
Jabatan Peguam Negara dengan penuh kontroversi menarik balik 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram yang dihadapi oleh Timbalan PM Zahid Hamidi, dan memberikannya pelepasan tanpa pembebasan. Bukan itu sahaja, pendakwa raya menarik balik rayuan mereka terhadap pembebasannya oleh Mahkamah Tinggi atas 40 pertuduhan dalam kes rasuah melibatkan visa asing.
Kes lain berkaitan turut melibatkan Musa Aman yang didakwa atas 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan RM90 juta. Namun pada tahun 2020, pihak pendakwaan menarik balik semua pertuduhan. Kini, beliau adalah gabenor Sabah yang baharu!
Pada 27 November 2024, Najib dan bekas ketua setiausaha perbendaharaan Irwan Serigar Abdullah turut dibebaskan tanpa pelepasan oleh mahkamah dalam kes membabitkan International Petroleum Investment Corporation (IPIC). Pasangan itu telah menghadapi enam pertuduhan-pertuduhan jenayah amanah membabitkan RM6.6bn dana kerajaan.
Nampaknya, dokumen berkaitan penting tidak diberikan kepada defendan oleh pihak pendakwaan seperti yang dikehendaki di bawah Kanun Tatacara Jenayah.
Bekas timbalan menteri undang-undang Hanipa Maidin juga turut berkata bahawa kerajaan sepatutnya mendedahkan dokumen itu, yang diklasifikasikan sebagai ‘rahsia rasmi’, supaya ia boleh diberikan kepada defendan.
Dan kurang sebulan yang lalu, isteri Najib Rosmah Mansor juga turut dibebaskan daripada 12 pertuduhan pengubahan wang haram dan lima yang lain kerana gagal untuk mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.
Nampaknya, pertuduhan itu lompang dan gagal untuk mendedahkan unsur-unsur penting kesalahan yang didakwa.
Tidak dinafikan, terdapat banyak ketidakcekapan dalam Jabatan Peguam Negara akibat enam dekad pemerintahan Umno-Barisan Nasional.
Dalam salah satu kes yang disebutkan di atas, dokumen tidak diklasifikasikan mengikut keperluan supaya ia boleh diserahkan kepada defendan.
Ada yang berpendapat bahawa barisan peguam di Jabatan Peguam Negara mungkin tidak mampu untuk menjalankan tugas mereka. Catatan Tommy Thomas mengenai waktunya sebagai Peguam Negara pada 2018-19, menceritakan kesukaran yang dihadapinya ketika memegang jawatan itu kerana ketidakcekapan yang telah berlaku sejak sekian lama.
Melihat kepada keadaan itu, cukup penting untuk melaksanakan pembaharuan yang telah lama disyorkan untuk memisahkan peranan peguam negara dan pendakwa raya. Ia mungkin membantu untuk memulihkan keyakinan terhadap sistem keadilan.
Berita baiknya ialah kabinet dilaporkan telah memberi persetujuan kepada reformasi yang kritikal ini. Ketua Hakim Negara yang akan bersara nanti, Tengku Maimun Tuan Mat, dalam ucapan Pembukaan Tahun Undang-undang 2025 minggu lalu melahirkan keyakinan bahawa PM komited untuk menegakkan kebebasan kehakiman di negara ini.
Ketua hakim negara itu, yang juga mengakar semangat Reformasinya serta cukup dikagumi rakyat dalam masa singkat beliau berkhidmat dalam jawatan itu, berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk menilai niat PM dalam perkara ini – jauh lebih baik daripada pengamat luar seperti saya .
Oleh itu, saya menunggu dengan sabar agar wujudnya pemisahan peranan peguam negara dan pendakwa raya, pelantikan hakim baharu yang berkebolehan, serta penambahbaikan dalam pentadbiran keadilan secara amnya.
Saya boleh meneruskan perbincangan tentang perjuangan ekonomi yang lebih besar dan lebih banyak kemerdekaan fiskal untuk Sabah dan Sarawak, permintaan Sarawak agar diberikan peratusan besar royalti petroleum, dan cabaran pembangunan lain di kedua-dua negeri Borneo itu.
Atau saya juga boleh membincangkan bagaimana, di bawah Anwar, keadaan ekonomi di Malaysia telah bertambah baik dengan ketara. Tidak syak lagi, peningkatan ini berkaitan dengan seluruh dunia yang muncul semula dengan lebih baik selepas Covid. Ia juga disebabkan oleh krisis perdagangan AS-China, yang menyebabkan kilang elektronik Amerika berpindah ke Malaysia untuk menyokong rantaian bekalan mereka. Usaha bersepadu Anwar untuk menarik pelaburan China ke Malaysia juga turut membantu. Begitu juga dengan penyertaan Malaysia dalam Brics, sebagai negara rakan kongsi.
Buat masa ini, mari kita lihat dinamik kerajaan perpaduan Madani. Kita mesti mencari kekurangan pembaharuan pada konteks politik semasa kita.
Parlimen tergantung… Reformasi tertangguh?
Bagi saya, kebuntuan yang berlaku serta kekurangan reformasi yang ada terjadi kerana Pakatan Harapan Anwar tidak dapat memenangi majoriti mudah pada pilihan raya umum 2022. Sebaliknya, Malaysia berakhir dengan parlimen tergantung.
Jadi, PH (yang terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan Pasok-Momogun) terpaksa membentuk gabungan besar merangkumi Umno, serta parti gabungan lain di Sabah dan Sarawak. Tidak dapat tidak, PH terpaksa memenuhi tuntutan gabungan rakan kongsi yang lain ini.
Apa lagi, presiden Umno sekarang, Zahid Hamidi turut dilantik sebagai Timbalan PM.
Ramai menteri dan timbalan menteri kabinet yang ada bukanlah personaliti terkenal. Mereka juga tidak dikenali dengan kecekapan, ketelusan dan akauntabiliti dalam tadbir urus. Ia sesuatu yang cukup diperlukan dalam Reformasi.
Walaupun saya kecewa dengan hal yang membuntukan ini, saya percaya kerajaan Madani sekarang di bawah Anwar adalah lebih baik daripada empat kerajaan lain sebelumnya:
- Pertama, wujudnya parti Umno-BN yang dipimpin oleh kleptokrat Najib sehingga 2018
- Ini diikuti pula kerajaan PH-Bersatu pimpinan Dr Mahathir Mohamad, yang enggan berundur selepas dua tahun, walaupun diketahui umum bahawa ada persetujuan antara satu sama lain yang beliau akan berbuat demikian, dan membenarkan Anwar mengambil alih
- Kemudian muncul kerajaan Mahiaddin Yasin pada awal 2020, yang merayu Pas menyertainya untuk memastikan jumlah kerusi yang diperlukan untuk meluluskan undang-undang. Ia juga mula merencatkan sedikit pembaharuan yang dicapai sehingga ketika itu.
- Yang keempat ialah kerajaan Ismail Sabri Yaakob pada tahun berikutnya. Kerajaan ini tidak pernah mempunyai bilangan ahli parlimen yang diperlukan untuk memerintah dengan sendirinya. Jadi, kita diperkenalkan dan terbiasa dengan amalan mentadbir dengan parlimen yang tergantung, dan Parlimen hampir tidak bersidang – kononnya kerana kekangan faktor keselamatan Covid. Malah, kerajaan ini cukup takut jika adanya undi tidak percaya akan diperkenalkan dan mungkin kerana tidak mempunyai bilangan yang diperlukan. Jadi, pentadbirannya tidak dapat mengumpulkan majoriti untuk menjamin kelulusan undang-undang dan rang undang-undang sama ada. Ia sekali gus mengakibatkan kompromi yang dipersetujui antara pelbagai parti sehinggalah pilihan raya umum pada akhir 2022.
Terdapat perbezaan antara empat kerajaan ini dan kerajaan Madani yang ada sekarang. Pun begitu, banyak kebuntuan yang berlaku sudah mulai menular pada tahun-tahun wujudnya sekatan Covid.
Yang penting, penguasaan pilihan raya Umno-BN cukup memberi kesan kepada semua aspek lain dalam sistem politik Malaysia dan meninggalkan kesannya, yang seringkali negatif. Majoriti dua pertiganya di Parlimen di peringkat persekutuan, membolehkannya meminda Perlembagaan 1957 sesuka hati.
Umno-BN juga mempengaruhi seluruh gerak kerja birokrasi – penjawat awam, tentera dan polis, serta sistem pentadbiran keadilan, yang meruntuhkan peranan peguam negara dan pendakwa raya.
Ia juga mempengaruhi pembuatan dasar awam, peruntukan dana awam, dan pemberian tender untuk segala dasar, yang seringkali diberikan kepada satu atau lebih kroni mereka.
Pemahaman umum tentang hal ini adalah apabila ia mula menjejaskan kecekapan dan profesionalisme pentadbiran. Pilih kasih dan diskriminasi kaum juga muncul.
Ini adalah kerana mereka yang berkuasa bukan sahaja menentukan siapa yang akan mengetuai sistem pendidikan dan bagaimana ia akan berfungsi. Mereka juga akan mempengaruhi siapa yang akan mengetuai persatuan sukan dan bagaimana mereka akan berfungsi.
Selalunya, kecemerlangan akan dikompromi, dan daya saing keseluruhan Malaysia goyah apabila ia diukur berbanding rakan sejawatannya di Asia Tenggara dan terutamanya Asia Timur.
Tidak lama selepas pilihan raya umum 2018, Aliran menerbitkan sebuah buku berjudul Regime Change in Malaysia: GE14 and the End of Umno-BN’s 60-year Rule(disunting oleh Francis Loh dan Anil Netto).
Namun, drama politik yang berlaku selepas pilihan raya menunjukkan bahawa kita terlalu berlebihan dalam mendakwa pembaharuan secara semula jadi akan berlaku. Naratif dalam buku itu mungkin terlalu optimistik.
Dengan lima PM berbeza dalam tempoh tujuh tahun, parti baharu dan gabungan baharu yang muncul, wacana dan amalan politik pada 2025 bukanlah satu reformasi dengan perubahan dramatik. Sebaliknya, yang menyusul adalah satu kebuntuan dan kelembapan menjalankan reformasi – kerana harimau tidak mudah kehilangan belangnya.
Pas dan penggabungan konservatisme Islam
Pun begitu, masih ada yang masih bersatu di belakang ‘bos’ atau “Bossku” mereka.
Jika dilihat, perubahan paling ketara yang berlaku pada 2018 ialah penyingkiran Umno-BN. Penyalahgunaan kuasa dan rasuah secara besar-besaran telah berlaku, terutamanya di pejabat perdana menteri.
Namun, cabaran kepada Malaysia dalam dekad-dekad berikutnya tidak akan datang daripada Umno-BN 2.0. Parti-parti BN telah lenyap – dan kita tidak akan melihat ‘kedatangan kedua’ BN.
Cabaran lain yang muncul sebaliknya adalah penyatuan Pas dan versi konservatisme Islam lainnya. Ini juga merupakan cabaran kepada kita yang memperjuangkan agar PH menjadi lebih kukuh dan untuk pembaharuan terjadi dalam jangka masa sederhana.
Dalam jangka masa pendek, saya takut jika kelembapan reformasi ini akan berterusan. Dan politik kita akan terus berpecah-belah mengakibatkan parlimen tergantung. Pusat tidak lagi kukuh!
Oleh itu, kita dituntut untuk membentuk gabungan pemerintah, tidak semestinya hanya melibatkan kawan baik, tetapi mereka yang dapat bertolak ansur antara satu sama lain. Kita mesti menyatukan orang ramai merentasi kaum, agama, wilayah, jantina dan jurang kelas. Gabungan berorientasikan reformis kita ini, jika mengikut definisi, mestilah melibatkan gabungan pelbagai etnik juga.
Tetapi terdapat masalah yang menjejaskan pertumbuhan dan penyatuan PH serta kerajaan perpaduan Madani. Statistik yang ada menunjukkan PH kukuh di kawasan bandar terutamanya dalam kalangan etnik minoriti. PH – PKR terutamanya – perlu meningkatkan sokongannya dalam kalangan etnik Melayu, terutama di negeri-negeri tanah Melayu di bahagian utara dan timur semenanjung.
PH dan PKR mesti membawa Reformasi ke dalam institusi utama – perkhidmatan awam, tentera, polis, badan kehakiman, universiti dan sekolah. Ia bukan sahaja perlu berlaku di peringkat persekutuan tetapi juga di peringkat negeri dan kerajaan tempatan.
Salah satu pengajaran yang saya pelajari apabila saya dilantik ke Majlis Bandaraya Pulau Pinang pada 2008 oleh kerajaan PH Pulau Pinang ialah anda mesti memenangi hati para penjawat awam juga.
Samalah, jika saya dilantik menjadi naib-canselor, katakanlah, di Universiti Sains Malaysia, tempat saya berkhidmat selama lebih 30 tahun, saya tidak tahu di mana hendak bermula sebenarnya – dari atas, atau dari bawah, atau sedikit demi sedikit? Sebab setiap peringkat dan kebanyakan kakitangan memerlukan pembaikan. Mungkin, saya perlu mencari orang yang dapat berfikiran reformasi dahulu.
Jadi, pemimpin Melayu PKR berdepan dengan tarik tali yang sukar ini. Bagi kebanyakan kaum minoriti, parti itu mewakili Reformasi. Ia menjanjikan pembaharuan pada pilihan raya 2018 dan 2023.
Tetapi pemimpin parti tidak dapat bergerak ke arah itu jika pengundi Melayu yang sepatutnya mereka arahkan untuk mendukung reformasi kini direkrut menjadi ahli Pas dan parti Melayu baharu yang lain.
Tidak dinafikan, perpecahan dalam Umno telah melemahkan parti yang pernah mendominasi itu. Skandal 1MDB sebelum ini mendorong pemimpin utama seperti Mahiaddin, Hamzah Zainudin dan Shafie Apdal untuk berpisah daripada Umno.
Ini adalah satu peluang. Selama enam dekad, sebahagian besar orang Melayu telah mendukung Umno. Asas sokongan Umno ialah nasionalisme Melayu dan Dasar Ekonomi Baru.
Jadi apa yang PH boleh tawarkan kepada pengundi – Melayu dan minoriti? Pekerjaan dan gaji yang lebih tinggi, rumah mampu milik dan sistem pengangkutan awam yang cekap? Pendidikan berprestasi tinggi sehingga ke peringkat pengajian tinggi?
Buat masa ini, PH dan PKR boleh menumpang di belakang skandal kewangan 1MDB yang menyebabkan Umno hilang keabsahannya.
Bersatu, dengan Mahathir pernah menerajuinya, cukup menarik ramai orang untuk tidak lagi bersama Najib.
Tetapi selepas rampasan kuasa Sheraton yang diikuti oleh kerajaan Mahiaddin dan Ismail Sabri yang hambar, baik Mahathir mahupun Bersatu tidak lagi mendapat sokongan.
Agak mengejutkan apabila Pas beraksi begitu baik pada pilihan raya umum 2018, muncul sebagai pemenang di Perlis dan Kedah, selain di Terengganu dan Kelantan, kedua-dua kubu tradisinya.
Pada pilihan raya umum 2022, Pas melepasi jangkaan. Ia muncul sebagai parti tunggal terkuat di Malaysia, memenangi 43 daripada 222 kerusi parlimen.
Dalam pilihan raya negeri yang diadakan pada 2023, yang ditandinginya dengan kerjasama Bersatu di bawah panji Perikatan Nasional, gabungan itu memenangi 105 daripada 123 kerusi. PN memenangi 43 daripada 45 kerusi di Kelantan, 33 daripada 36 kerusi di Kedah dan kesemua 32 kerusi di Terengganu. (Tiada pilihan raya negeri diadakan di Perlis). Di Pulau Pinang, PN memenangi 11 daripada 40 kerusi yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Umno telah direkrut ke dalam gabungan perpaduan Madani untuk menguatkan daya tarikan PH di kawasan luar bandar Melayu. Namun, jelas daripada pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri yang diadakan selepas 2023 bahawa tarikan Umno di kalangan orang Melayu telah semakin lemah.
Arus sokongan orang Melayu Islam beralih kepada Pas. Pas cukup pandai menonjolkan dirinya sebagai parti orang Islam dan menyerang PKR kerana bekerjasama dengan DAP, sebuah parti ‘kafir’.
Sememangnya Pas sangat berbeza dengan ia yang sebelumnya, terutama selepas pemergian Mursyidul Amnya Nik Aziz Nik Mat pada 2015. Pemimpin sederhana seperti Mohamad Sabu, Dzulkefly Ahmad dan Hanipa Maidin kemudiannya berundur untuk membentuk Amanah, yang menyertai PH.
Dengan ketiadaan ‘Tok Guru’ dan sayap sederhananya, Pas menjadi lebih “ekstremis-konservatif”. Nik Aziz tidak menentang pelantikan orang bukan Islam ke jawatan penting kerajaan. Malah beliau mempromosikan pembinaan tempat ibadat bukan Islam di Kelantan.
Tetapi sebaliknya pula yang berlaku sekarang. Orang bukan Islam dilihat sebagai ancaman kepada parti dan Islam pada masa kini.
Presiden Pas Hadi Awang secara kontroversi mendakwa, secara terbuka, bahawa rasuah berpunca terutamanya oleh orang bukan Islam. Seperti Hadi, anaknya Muhammad Khalil percaya Malaysia mesti bergerak ke arah penciptaan negara Islam.
Hujah mereka mudah, malah ringkas: Melayu Islam adalah majoriti di negara ini. Jadi mereka menentang keras DAP (dan parti-parti kecil lain di Sabah dan Sarawak) yang dipimpin oleh orang bukan Islam, yang dikaitkan Pas dengan liberalisme dan kadang-kadang Kristian.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, banyak hal biasa yang dianggap remeh telah bertukar menjadi kontroversi kerana jawatan yang disandang oleh pemimpin dan penyokong Pas. Contohnya:
- kantin sekolah tidak boleh dibuka sepanjang Ramadan kerana menghormati orang Islam yang berpuasa
- untuk membanteras perjudian, kedai loteri telah ditutup di empat negeri yang ditadbir Pas
- Pas juga telah menganjurkan kempen menentang penganjuran konsert artis luar negara seperti kumpulan British Coldplay dan kumpulan Korea Blackpink
- Lebih 180 laporan polis telah dibuat terhadap Menteri Belia dan Sukan dari DAP, Hannah Yeoh, yang beragama Kristian, kerana didakwa cuba menukar agama orang Melayu di Malaysia kepada Kristian. Satu-satunya bukti yang telah dipetik dalam laporan ini ialah beliau mengarang memoirnya Becoming Hannah: A Personal Journey. Azis Jamman, seorang rakan Muslim kepada Hannah Yeoh dan bekas timbalan menteri dalam negeri, mendapati pemfailan laporan ini “membingungkan”. Dalam mempertahankan Yeoh, Azis menyiarkan di Facebook bahawa tiada apa-apa dalam buku itu yang cuba menukar agama sesiapa pun.
- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dari PKR dikecam di media sosial kerana menghantar ucapan takziah kepada keluarga wartawan terkenal bukan Islam yang telah meninggal dunia. Nampaknya, orang Islam tidak sepatutnya menyampaikan ucapan takziah apabila orang bukan Islam meninggal dunia
- kemudian, ada pula kes Siti Mastura Mohamad, seorang ahli parlimen diundi serta mempunyai PhD dari Pusat Pengajian Sains Sosial di USM. Beliau didapati bersalah memfitnah dan menimbulkan kebencian orang ramai terhadap tiga pemimpin DAP dengan mendakwa mereka adalah sepupu kepada Chin Peng (mendiang pemimpin Parti Komunis Malaya) dan Lee Kuan Yew (PM pertama Singapura). Ahli Parlimen itu, dengan adanya PhD, sepatutnya tahu bahawa dakwaannya itu cukup mengarut. Daripada menasihati ahli parlimen Pas itu supaya berhenti memfitnah plaintif yang didapati bersalah, dia telah menjadi heroin. Pemimpin Pas mengarahkan setiap cawangan parti itu mengumpul dana bagi membantu Siti Mazura membayar pampasan RM825,000 yang diberikan kepada tiga pemimpin DAP itu.
Saya bimbang pemimpin Pas nampaknya langsung tidak menjunjung konsep hak minoriti. Sebaliknya, terdapat tanggapan ke arah kediktatoran majoriti.
Penguasaan Pas ke atas ratusan sekolah Islam dan tahfiz, dan pengaruhnya terhadap urusan pengebumian dan perkahwinan membolehkan parti itu menembusi akar umbi Melayu-Islam. Ini kemudian membolehkan parti itu menyebarkan maklumat agama dan propaganda politik (seperti pendapat yang dikemukakan terhadap Hannah Yeoh, dan terhadap pemimpin DAP dalam kes Siti Mastura) dengan berkesan.
Apakah maknanya semua ini?
Perubahan akan menjadi perlahan, sangat perlahan. Apabila ditanya mengapa reformasi berlaku cukup lembab, pemimpin PKR yang saya ajak bicara mengingatkan saya bahawa mereka berada dalam kerajaan campuran dengan Umno dan parti Sabah dan Sarawak. Mereka belum dapat melaksanakan pembaharuan yang mereka janjikan kerana mereka tidak memenangi mandat pilihan raya yang diperlukan.
Ini tidak bermakna tidak akan ada pembaharuan. Akan ada. Pemimpin PKR ini berpendapat bahawa akta kebebasan maklumat dan pengasingan peranan pendakwa raya dan peguam negara telah pun diluluskan oleh kabinet, termasuk oleh parti bukan PH.
Perbincangan tentang perluasan Pas dan kebangkitan konservatisme Islam mengingatkan kita bahawa PKR dan PH menghadapi cabaran getir. Mereka tidak dapat menunaikan janji dalam kerangka nasionalisme Melayu atau Dasar Ekonomi Baru seperti yang dilakukan Umno-BN.
Pilihannya jelas. Orang yang kritis terhadap kekurangan reformasi perlu bekerja dengan lebih kuat untuk membantu PH dan PKR memenangi sokongan orang Melayu – bukan sahaja di kawasan bandar tetapi di kawasan pedalaman Melayu, institusi kerajaan (penjawat awam, polis, tentera, pekerja kesihatan, guru dsb) dan rakyat biasa yang berbeza agama, bangsa dan wilayah.
Bukan itu sahaja, kita mesti mereka bentuk dan menyampaikan pekerjaan, gaji yang lebih baik, rumah mampu milik, peluang kesihatan dan pendidikan yang lebih baik, dan pengangkutan awam yang cekap.
Secara keseluruhannya, Reformasi bermaksud berdiri di sisi Keadilan dan Maruah Manusia, Belas Kasihan dan Prihatin terhadap orang lain, memastikan wujudnya dialog antara etnik dan antara agama serta kesaksamaan gender. Ini bermakna menolak rasuah dan menegakkan kebenaran, kebebasan dan penyertaan politik.
Sudah tiba masanya untuk kita mengalihkan tumpuan kita daripada Politik dengan huruf besar ‘P’ (seputar PH dan PKR, pilihan raya, DNAA dan pengampunan diraja). Ayuh kita sekali lagi, gerakkan politik dengan huruf kecil “p” yang berorientasikan people (rakyat) yang telah kita dukung (aktivisme NGO, hak asasi manusia dan perlindungan alam sekitar, dan hak pekerja asing serta mereka yang terpinggir) selama ini.
Francis Loh
Editor bersama, surat berita Aliran
14 Januari 2025
Terjemahan oleh: Zikri Rahman
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme