
Aliran dan Sisters in Islam (SIS) baru-baru ini menganjurkan forum di George Town, Pulau Pinang mengenai “Kebangkitan konservatisme dan masa depan hak wanita dan demokrasi Malaysia“.
Forum itu menampilkan empat penceramah: pengarah eksekutif SIS Rozana Isa, Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid, bekas Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthurirani Patto dan setiausaha kehormat Aliran Dr Azmil Tayeb. Ia dikendalikan oleh Karen Lai dari Women’s Centre for Change.
Dorongan bagi diadakan forum ini bermula dengan keperluan bagi NGO seperti SIS untuk meluaskan jangkauannya ke luar Lembah Klang. SIS telah melakukan banyak kerja yang layak dipuji dalam mempertahankan dan memajukan hak wanita di Malaysia, khususnya melalui program Telenisa.
Program ini menyediakan nasihat perundangan secara percuma kepada wanita Islam – 75% daripadanya adalah daripada 40% isi rumah termiskin – yang menghadapi kesukaran luar biasa untuk memahami sistem mahkamah Syariah dalam kes yang melibatkan perceraian, poligami, nafkah dan harta sepencarian.
Kebanyakan orang Melayu hanya mengenali SIS sebagai pertubuhan “sesat” berdasarkan fatwa (syor agama) yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Selangor.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Namun, usaha SIS yang mengagumkan dalam membantu kaum wanita Melayu yang miskin dan lemah untuk memperjuangkan hak mereka dalam sistem mahkamah Syariah yang patriarki itu sebahagian besarnya tidak disedari oleh masyarakat Melayu. Oleh itu, adalah sebuah keperluan bagi SIS untuk menganjurkan lebih banyak aktiviti di luar Lembah Klang bagi menyucikan penyelewengan yang tidak adil ke atas SIS dan mempamerkan kerja penting dan bermakna yang dilakukan mereka.
Enakmen Islam baharu yang baru diluluskan di Terengganu baru-baru ini yang memusykilkan serta menindas ini menyuntik keperluan mendesak untuk menganjurkan forum awam untuk membincangkan ancaman yang ditimbulkan oleh konservatisme agama terhadap hak individu orang Islam dan bukan Islam.
Enakmen baharu Terengganu itu bertujuan untuk ‘memperbaiki’ kanun jenayah Syariah negeri dengan menjenayahkan bomoh dan sihir, wanita hamil atau mereka yang bersalin di luar nikah, wanita ‘berlagak’ seperti lelaki, serta mereka yang bertujuan melakukan liwat. Hukuman bagi kesalahan ini ialah penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan enam sebatan.
Cukup memeranjatkan bagaimana cerdik pandai agama di Terengganu boleh menghasilkan enakmen ini pada ketika negara – dan dunia – sedang mengalami peningkatan kos sara hidup dan bersiap sedia untuk menghadapi kemelesetan global yang semakin meruncing menimbulkan rasa tidak percaya. Ia menunjukkan kekurangan belas kasihan dan empati oleh para konservatif agama yang menanggapi mereka ini telah tersasar dari jalan yang benar.
Enakmen hukuman yang tidak diperlukan ini gagal mempertimbangkan masalah sistemik yang membawa kepada kes kehamilan luar nikah di kalangan wanita Melayu.
Daripada menghukum wanita-wanita ini, yang berkemungkinan besar dari golongan miskin dan kurang berpendidikan, mungkin apa pihak berkuasa Islam negeri Terengganu harus lakukan adalah untuk melindungi hak-hak wanita ini dengan lebih baik, menangani ketidakadilan sosioekonomi yang mereka hadapi, dan membantu untuk merumuskan sebuah program pendidikan seks yang komprehensif dapat dijalankan selain dari hanya berpantang seks semata-mata.
Kekurangan belas kasihan dan empati di kalangan penganut agama ini juga jelas dalam hingar-bingar baru-baru ini mengenai projek Kementerian Kesihatan bagi memperkenalkan ubat profilaksis pra-pendedahan (PrEP) di beberapa hospital kerajaan terpilih sebagai sebahagian daripada usaha pengurangan bahaya untuk memerangi penyebaran virus HIV/Aids.
Kumpulan Islam ekstrem sayap kanan seperti Isma menentang projek perintis ini kerana mereka mendakwa ia menormalkan gaya hidup LGBT yang dikeji mereka. Pihak berkuasa agama di Selangor kemudiannya menyusul dengan mengeluarkan fatwa melarang pengamal perubatan Islam daripada menetapkan PrEP kepada pasangan gay.
Matlamat menyeluruh perubatan PrEP untuk mengurangkan kemudaratan di kalangan mereka yang berisiko tinggi untuk dijangkiti HIV/Aids, tanpa mengira orientasi seksual mereka, telah hilang di tengah-tengah kekecohan agama mengenai projek perintis itu.
“Pertama jangan lakukan mudarat” – prinsip utama sumpah Hippocratik yang menjadi asas kepada moral pengamal perubatan – seakan tidak relevan kepada pembelot agama sebegini kerana mereka tidak ragu-ragu untuk membiarkan sesetengah orang mati sementara yang lain hidup, demi dogmatisme buta mereka.
Seperti yang kita sedia maklum, hak orang bukan Islam juga turut terhakis dengan tindakan penganut agama yang sebegini. Dalam masyarakat Malaysia yang berbilang etnik dan agama, kehidupan orang Islam dan bukan-Islam sering bersilang rapat dan berkait rapat.
Ini bermakna peraturan-peraturan Islam yang kononnya ditujukan untuk orang Islam sahaja pasti akan menceroboh hak orang bukan-Islam. Kes-kes yang tidak dapat diselesaikan berleluasa di Malaysia khususnya mengenai perebutan hak penjagaan, penukaran agama secara paksa dan murtad agama apabila hak orang bukan Islam berhadapan dengan pihak berkuasa Islam.
Pada minggu-minggu menjelang sambutan Tahun Baharu Cina, Ahli Parlimen Permatang Pauh yang baharu, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan, menjadi berita utama apabila beliau bertemu dengan pengurusan pusat beli-belah Sunway Carnival di Seberang Jaya, Pulau Pinang dek kerana pameran minuman beralkohol yang dilakukan terbuka.
Fawwaz mendakwa pameran jualan itu tidak sensitif kepada umat Islam yang tinggal di kawasan itu. Beliau sama sekali tidak peduli fakta bahawa pameran jualan alkohol itu bertujuan untuk orang bukan-Islam, terutamanya orang Cina, yang akan menyambut Tahun Baru Cina.
Ahli Parlimen itu, yang jelas bertindak di luar bidang kuasa rasminya, juga mengabaikan fakta bahawa lebih 30% daripada kawasan Seberang Jaya adalah bukan-Islam manakala angka itu pula adalah sebanyak 70% di daerah parlimen Bukit Mertajam yang bersebelahan kawasan parlimennya.
Saya fikir ramai juga umat Islam yang tidak bersetuju dengan aksi publisiti yang memecahbelahkan dan penuh hasutan oleh beliau ini. Namun, apa sebenarnya yang boleh kita harapkan daripada seorang ahli parlimen yang satu-satunya pencapaian sebelum beliau diundi adalah menjadi pendakwah agama yang bangga berpoligami yang menghasilkan 11 orang anak?
Kemenangan mengejut beliau ke atas penyandang jawatan Nurul Izzah Anwar yang lebih terkenal adalah tanda konservatisme yang berleluasa di kalangan pengundi Melayu-Islam, khususnya pengundi muda dan baharu.
Tinjauan ke atas belia Islam di seluruh negara pada 2022, yang dijalankan oleh SIS dan Merdeka Center, menunjukkan bahawa ramai daripada mereka berpegang pada pandangan yang sangat konservatif dan saling bercanggahan, terutamanya soal agama.
Misalannya, 44% daripada mereka bersetuju semua orang dibenarkan memilih agama mereka sendiri tetapi hanya 6% bersetuju bahawa orang Islam harus dibenarkan menukar agama mereka. Manakala 68% bersetuju bahawa undang-undang Syariah harus sama atau lebih tinggi daripada undang-undang sivil dan 75% bersetuju dengan pelaksanaan hukum hudud.
Tidak hairanlah ramai daripada etnik Melayu muda yang konservatif ini mengundi Perikatan Nasional pada pilihan raya umum lalu, dan hampir membawa gabungan itu membentuk kerajaan pusat.
Kajian saya di negeri Kedah menggambarkan fenomena ini dengan jelas. Di kerusi parlimen Baling, di mana orang Melayu membentuk 89% daripada penduduk, penyandang ahli parlimen Umno, Abdul Azeez Abdul Rahim, tewas dengan margin yang besar sebanyak 29,137 undi walaupun pengundi baru yang layak mengundi meningkat sebanyak 24,886. Bahkan, Abdul Azeez menerima lebih sedikit undi pada pilihan raya umum 2022 (35,356) berbanding pilihan raya umum 2018 (38,557).
Ini bermakna kebanyakan undi Melayu yang pernah menjadi milik Umno beralih kepada calon Pas-PN pada pilihan raya 2022 kerana mereka dilihat lebih menjuarai dan mewakili kepentingan Melayu dan Islam.
Kita mungkin akan melihat arus gelombang konservatif ini berterusan dalam pilihan raya negeri akan datang di enam negeri. Ia adalah sebuah arus di mana kita yang berfikiran sivik dan yang mengambil berat tentang soal dan hak kebebasan perlu gusar.
Polarisasi etno-agama dalam masyarakat kita adalah cukup nyata dan membimbangkan seperti yang didedahkan oleh keputusan pilihan raya umum tahun lalu: hampir 90% orang Melayu mengundi gabungan Melayu-Islam PN dan Barisan Nasional yang dikuasai Umno manakala 90% etnik Cina dan 75% etnik India mengundi Pakatan Harapan.
Sudah tiba masanya untuk kita cipta dan sebarkan naratif tandingan kita sendiri yang inklusif, adil, empati dan penuh kesaksamaan agar menjadi benteng melawan konservatisme agama di dalam negara kita.
Azmil Tayeb
Editor bersama, surat berita Aliran
24 Januari 2023
Terjemahan oleh: Zikri Rahman
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme