Baru-baru ini, saya menghadiri perhimpunan Tahun Baru Cina dengan rakan-rakan dari zaman sekolah rendah saya.
Perbualan kami, yang pada mulanya penuh dengan kenangan nostalgia dan saling berkongsi tentang kehidupan kami sekarang, bertukar suram apabila mula bersembang tentang suasana politik semasa Malaysia.
Peralihan suasana ini mencerminkan sentimen kekecewaan yang lebih luas tentang landskap politik sekarang. Ia semakin ketara selepas pilihan raya umum 2018 serta janji-janji Pakatan Harapan yang nampaknya tidak mahu ditepati.
Sikap tidak peduli tentang politik, yang dapat dikesan dalam perbualan seharian serta di seluruh media sosial, mencerminkan kekecewaan yang mendalam terhadap reformasi cukup perlahan yang dijanjikan.
Ungkapan seperti “reformati” dan uar-uar untuk menjauhkan diri daripada terlibat dengan pilihan raya akan datang mencadangkan keputusasaan kolektif yang dialami. Ungkapan sebegitu menandakan ada godaan untuk melepaskan diri daripada tanggungjawab demokrasi kita.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Namun, adalah penting untuk menghadapi sikap tidak peduli ini. Kita perlu memahaminya sebagai antitesis kepada semangat dalam memangkin perubahan bersejarah landskap politik Malaysia. Pilihan raya umum 2018 bukan sekadar acara politik; ia adalah suar harapan – detik di mana rakyat Malaysia, merentasi spektrum, bersatu di bawah panji perubahan, mencabar kuasa rejim autoritarian yang berakar umbi.
Pencapaian penting ini digapai kerana keengganan kita untuk tunduk kepada sikap ketidakpedulian itu. Ia adalah bukti di mana wujudnya kuasa serta tindakan kolektif dalam mengejar pendemokrasian.
Berdepan dengan kekecewaan yang ada sekarang, ia terlalu mudah untuk mengisytiharkan bahawa tiada apa yang berubah, dalam melihat masa kini melalui lensa yang penuh dengan kesinisan.
Namun, pandangan sebegitu mengabaikan wujudnya anjakan halus namun cukup ketara yang telah berlaku. Landskap politik pasca 2018 telah mengubah, memastikan tiada satu gabungan politik pun boleh menggunakan kuasa yang tidak terkawal seperti yang pernah dilakukan oleh Barisan Nasional.
Dinamik baharu ini memaksa parti politik memperoleh dan mengekalkan kepercayaan rakyat. Ia juga menandakan model tadbir urus yang lebih bertanggungjawab dan responsif.
Bukan itu sahaja. Pemansuhan hukuman mati mandatori dan pelonggaran sedikit sekatan terhadap perbezaan pendapat orang ramai menandakan perbezaan dengan masa lalu – perlahan namun pasti.
Advokasi awam dan kewaspadaan masyarakat sivil dalam memacu perubahan ini menyerlahkan evolusi demokrasi kita yang berterusan.
Jalan ke arah Malaysia yang lebih adil dibuka dengan usaha mereka yang berani untuk berharap, mencabar status quo dan membayangkan masa depan yang lebih baik.
Ia sebuah perjalanan yang memerlukan penglibatan aktif. Kita boleh melakukan ini dengan menyokong usaha masyarakat sivil, terlibat dalam wacana politik yang membina atau menuntut kebertanggungjawaban daripada pemimpin kita.
Penawar kepada sikap acuh tak acuh ini terletak pada azam kolektif kita untuk menjadi arkitek perubahan, bagi menyemai tindakan kita dengan keyakinan bahawa kemajuan, walaupun perlahan, sentiasa akan dapat dicapai.
Intipati demokrasi ada pada tindakan kolektif rakyatnya. Perubahan hanya mungkin berlaku jika kita mengambil bahagian secara aktif dalam membentuk masa depan negara kita, sama ada dengan menyokong masyarakat sivil, terlibat dalam pewacanaan atau meminta ahli politik kita untuk bertanggungjawab.
Langkah paling kritikal yang boleh kita ambil ialah untuk menolak sikap tidak peduli. Walaupun perjalanan ke arah Malaysia yang lebih baik penuh dengan cabaran dan halangan, kita mesti kekal komited dengan kepercayaan bahawa perubahan boleh dicapai.
Kita berdiri di persimpangan jalan. Kita sama ada boleh menyerah kepada rasa kekecewaan, membenarkan status quo berterusan – atau kita boleh menghidupkan semula harapan yang mendorong perubahan bersejarah pada 2018.
Masa depan Malaysia bergantung kepada keazaman kolektif kita bersama dalam mengejar visi kemajuan dan keterangkuman.
Marilah kita bertindak bersama daripada bersikap tidak peduli dan ada berharap berbanding putus asa. Marilah kita bersama meneruskan kerja membina Malaysia dalam mencerminkan aspirasi dan nilai bersama kita yang terbaik.
Chris Chong
Editor bersama, surat berita Aliran
22 Februari 2024
Terjemahan oleh: Zikri Rahman
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme