Jika kita ada cukup orang yang berfikiran sama daripada pelbagai latar belakang yang sanggup mempraktiskan empati, kita mungkin ada peluang untuk membina Malaysia yang lebih inklusif, tulis Azmil Tayeb.
Baru-baru ini saya di Kota Bharu, ibu negeri Kelantan, untuk menjalankan suatu penyelidikan tentang parti politik Islam, demokrasi dan pemerintahan.
Kelantan merupakan kubu kuat Pas yang memerintah negeri itu dari 1959 ke 1978 dan dari 1990 sehingga sekarang. Ramai daripada kita mengaitkan Pas dengan wajah Islam yang keras, terutama sekali dalam isu melaksanakan hukum hudud di Malaysia.
Walaupun dilihat sebagai satu parti yang konservatif, Pas secara keseluruhannya bukanlah sebuah parti yang seragam dan senada. Ada juga segelintir pihak yang bersikap terbuka dan rasional di dalam Pas, bertentangan dengan pandangan umum terhadap parti yang dianggap eksklusif, kekampungan dan tidak toleran. Saya akan kembali kepada kenyataan ini di akhir artikel memandangkan ianya ini bukanlah fokus utama nukilan saya.
Sejak Pakatan Harapan mengambil alih pemerintahan negara pada 2018, kita dapat lihat peningkatan yang membimbangkan berkenaan ketegangan isu perkauman dan agama di seluruh Malaysia. Terkini, adalah mengenai kontroversi tulisan Jawi dan protes tentang hiasan sempena Tahun Baru Cina di sekolah awam.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Secara dasarnya, isu ini timbul hasil daripada salah faham yang serius dan sikap yang jahil dari kedua-dua pihak. Kejahilan membawa para ahli politik yang tidak bertanggungjawab dan aktor-aktor politik ini kepada peluang untuk mengelirukan dan memanipulasikan rakyat dengan membangkitkan ketakutan yang tidak rasional dan memancing emosi sesetengah rakyat.
Terdapat kekurangan empati dalam pelbagai segmen masyarakat kita kini dan ianya dibuktikan oleh rentetan kontroversi agama dan perkauman dalam tempoh 20 bulan yang lalu.
Empati membolehkan kita untuk memahami seseorang dengan ikhlas dan bermakna, terutama sekali seseorang yang lain daripada kita. Ia memaksa kita untuk berada di tempat seseorang itu, merasai perasaan takut, seronok dan harapan seseorang yang berbeza daripada kita.
Berbeza dengan toleransi, empati merupakan istilah yang sering digunakan untuk menerangkan tentang kepelbagaian budaya. Empati memaksa kita keluar dari zon selesa dan hadapi ketakutan dan kejahilan kita terhadap orang yang berbeza.
Toleransi lebih kepada menggalakkan masyarakat berbilang kaum dan agama untuk hidup majmuk dan menghormati satu sama-lain demi keharmonian bersama. Sesetengah orang boleh bertolenrasi walaupun jahil tentang agama dan budaya orang lain.
Empati mempunyai nilai yang lebih tinggi dari toleransi perbezaan kerana empati membuatkan kita memahami seseorang dan mencari nilai yang sama walaupun secara lahiriahnya berbeza.
Bagaimana kita boleh berganjak dari toleransi kepada empati? Bagaimana kita boleh menanam benih empati dalam masyarakat kita supaya keamanan dan solidariti dalam pelbagai kaum dapat berakar-umbi dan berbunga?
Prema Devaraj mengajak rakyat Malaysia untuk mengandakan usaha dalam membina Malaysia baru dengan “bersama-sama mendorong roda perubahan dan pada masa yang sama memastikan visi tersebut jelas”. Beliau berkata, Malaysia baru adalah di mana “kepelbagaian agama, pemikiran dan praktis tidak lagi dilihat sebagai satu ancaman”- yang merupakan matlamat utama untuk memupuk empati dalam masyarakat.
Salah satu cara untuk memupuk empati, terutama di kalangan pemikiran muda yang masih senang dibentuk, adalah melalui sistem pendidikan. K Haridas berpendapat bahawa sekarang adalah masa yang tepat dalam sistem pendidikan Malaysia untuk merangkumi nilai dan harapan semua kumpulan dalam masyarakat. Ia memerlukan seorang menteri yang tahu betapa pentingnya untuk menghasilkan sistem pendidikan yang lebih inklusif dengan memasukkan wakil dari pelbagai kumpulan dalam masyarakat dalam proses pembentukan dasar. Ini adalah langkah pertama untuk memastikan sistem pendidikan yang seimbang dan menyeluruh.
Manakala saya perincikan lagi kenyataan di atas dan mengusulkan kepada Kementerian Pendidikan untuk mewajibkan sekolah-sekolah di bawah bidang kuasanya untuk melaksanakan aktiviti antara kaum dan antara agama. Sebagai permulaan, sekolah-sekolah boleh mengadakan lawatan berkala ke kawasan kejiranan perlbagai kaum dan tempat-tempat ibadat seperti masjid, gereja dan kuil. Sekolah-sekolah juga boleh menjemput wakil-wakil dari pelbagai kumpulan kaum dan agama untuk memberi ceramah dan menganjurkan program yang menggalakkan nilai-nilai inklusif dan persefahaman.
Penyelidikan saya yang terdahulu menunjukkan bahawa sesetengah sekolah telah pun menjalankan usaha ini dengan sendirinya. Sudah tiba masanya kementerian membuat aktiviti antara kaum dan antara agama sebahagian daripada dasar rasminya dan melaksanakannya di seluruh negara.
Menurut kajian mengenai survei-survei nasional yang dijalankan oleh ahli ekonomi Lee Hwok-Aun di tahun 2017, majoriti Melayu dan Cina hanya bersosial dalam kumpulan kaum mereka sendiri, biasanya disebabkan oleh keadaan dan bukannya pilihan. Kajian itu juga mendedahkan bahawa rakyat Malaysia rata-ratanya cenderung untuk memandang rendah agama lain, kemungkinan besar dari kejahilan.
Melalui kajian yang sama, ia juga menunjukkan kesediaan di kalangan orang Melayu dan Cina untuk mengenali satu sama lain – inilah peluang yang perlu kita manafaatkan untuk menggalakkan sifat empati dalam masyarakat kita. Ia menunjukkan, walaupun masyarakat Malaysia kini berpecah-belah, hubungan antara pelbagai kumpulan kaum dan agama masih dapat diperbaiki.
Kita boleh menggunakan empati sebagai jambatan untuk mengukuhkan jurang antara kaum dan agama.
Beberapa tahun ini, Aliran dan sayap wanita Ikram, sebuah organisasi Islam, telah menganjurkan satu siri bengkel “Hand-in-Hand” untuk wanita dari pelbagai latar belakang. Bekas presiden Aliran, Prema, mengatur aktiviti dengan menggalakkan para peserta melangkah keluar dari zon selesa mereka, menentang prasangka dan prejudisme mereka, memahami peserta yang berbeza daripada mereka dan pada akhirnya mencari nilai-nilai bersama di kalangan mereka. Tujuan bengkel ini adalah untuk menggalakkan empati di kalangan peserta melalui pelbagai aktiviti berkumpulan dan permainan peranan.
Oleh itu, di tahun baru ini, marilah kita membuat azam peribadi untuk bersikap empati terhadap orang lain. Kita boleh mula dengan mengenali mereka yang berbeza daripada kita. Sebagai contoh, orang Melayu-Muslim boleh melawat tempat-tempat ibadat agama lain dan berbual dengan para jemaah dan paderi atau sami mereka. Begitu juga yang bukan Islam boleh mengunjungi masjid dan berbual dengan orang Islam di sana untuk lebih memahami pemikiran mereka.
Merujuk kepada Juz 49, ayat 13 dalam Al-Qur’an, “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan berpuak supaya kamu boleh berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).” Kepelbagaian sepatutnya merapatkan ukhwah dan bukannya sebagai kuasa pemisah.
Kita juga boleh membuat usaha dalam kehidupan seharian kita terutamanya di sekolah, universiti dan tempat kerja untuk berkawan dan bersosial dengan orang lain yang datang dari pelbagai latar belakang. Kita tidak boleh mengharapkan pemimpin politik untuk mengamalkan empati apabila kita sendiri tidak melakukannya terlebih dahulu. Seperti yang pernah dikatakan oleh Gandhi, “Jadilah perubahan yang anda ingin lihat di dunia ini.” Hanya dengan mengubah diri kita kepada yang lebih baik, kita boleh berharap untuk mengubah masyarakat menjadi lebih baik.
Kembali ke kenyataan yang saya sebutkan di awal penulisan saya mengenai segelintir di dalam Pas yang berfikiran rasional dan inklusif: Saya menemu-ramah dengan ahli Pas di Kota Bharu. Beliau berpendapat bahawa ketegangan kaum dan agama di Malaysia sekarang adalah kerana orang memilih untuk memberi tumpuan kepada perbezaan daripada mencari nilai-nilai yang sama di kalangan mereka. Untuk mencari nilai-nilai yang sama ini, beliau merasakan kita mesti berusaha untuk mengetahui dan memahami keperluan dan aspirasi kumpulan lain di negara ini. Dengan kata lain, empati boleh dijadikan ubat paling mujarab untuk merawat ketegangan kaum dan agama yang kita lalui sekarang.
Pandangan beliau masih menjadi pandangan minoriti di dalam parti itu, tetapi jika ramai daripada latar belakang yang berbeza yang berfikiran sama, maka kita berpeluang untuk membentuk Malaysia menjadi negara yang inklusif dan harmoni.
Azmil TayebPengarang bersama, Surat berita Aliran
11 Januari 2020
Diterjemahkan oleh Noorhidayah Nadila Maulad Daud dan Azmil Tayeb
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme