Ada beberapa orang yang membaca artikel saya yang lepas berjudul “Melihat bayangan risiko masa depan” merespon dengan penuh keraguan.
Mereka bertanya kepada saya jika perubahan benar-benar boleh berlaku, ketika melihat bagaimana terpecah-belah dan rosaknya Malaysia hari ini.
Saya memahami bagaimana terdesaknya kita pada hari ini yang meraba dalam kegelapan serta penuh ketidaktentuan ini, lebih dari yang lain.
Pastinya kita semua mempunyai bahagian dalam otak kita yang mampu mentaksir sesebuah keadaan, merasionalisasikannya dan kemudian memilih untuk ‘bertindak’ atau ‘tidak bertindak’. Otak kita pasti tahu bagaimana untuk bertindak bagi mengelakkan kita berada dalam keadaan yang mengelirukan ini.
Jika itulah apa yang dialami oleh diri kamu, ini pula kisah bagaimana saya dapat membantu kamu untuk memahami bagaimana saya dapat berfikir dan bertindak seperti apa yang saya sudah lakukan.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Lama dahulu, ketika saya diberikan peluang naik pangkat sebagai pengetua di sebuah sekolah pedalaman hampir 75km jauhnya dari Sandakan (di mana saya tinggal), gerak hati saya adalah untuk terus menolak tawaran itu. Sebagai ibu kepada anak perempuan remaja yang sedang menghadapi peperiksaan, pastinya saya mempunyai tanggungjawab peribadi yang lain.
Suasana sekolah itu juga bukanlah sesuatu yang mendorong saya. Ia terletak di sebuah perkampungan nelayan yang kecil, usang dan terkesan akibat salah urus tadbir serta pengabaian.
Namun, ia masih sebuah sekolah ‘gred A’ dengan kemasukan pelajar yang ramai. Sekolah itu mempunyai asrama pelajar, flat kakitangan, kuarters artisan, kelas bagi Tingkatan Enam, kelas vokasional, aliran pengajian agama dan sains, serta pendidikan khas antara lainnya.
Begitu ramai calon sebelum saya sudah pun menolak tawaran itu. Saya hanyalah seorang daripada begitu ramai calon dalam senarai yang dipangkah satu persatu oleh Jabatan Pendidikan ketika itu.
Tiada seorang pun yang waras, dengan begitu sedikit pengalaman melibatkan pentadbiran sekolah, akan menerima tawaran yang gila itu. Ia sesuatu yang cukup sukar, dan saya rasa saya tidak mempunyai tenaga atau pengalaman untuk melakukannya. Saya yang begitu keliru ketika itu patutnya boleh saja memilih untuk tidak menerima tawaran itu.
Saya tahu apa yang akan ditanggung jika saya menerima tawaran itu. Sekolah di Sabah bermula jam 6.45 pagi. Saya wajib bangun jam empat setengah, keluar rumah jam lima setengah dan memandu sepanjang jalan balak yang kecil namun cukup sibuk menggunakan lampu besar kereta saya di antara Sandakan dan Kota Kinabalu.
Menelusuri jalan bengkang-bengkok, melintas lori balak dan kelapa sawit sepanjang jalan akan menjadi sebahagian dari cabaran saya. Membina semula sekolah itu, dan paling penting, membinanya semula bermula dari kosong, adalah cabaran lainnya.
Saya hampir menolak tawaran itu sehinggalah suami saya mengingatkan saya tentang cita-cita dan tanggungjawab saya sebagai seorang pendidik. Beliau menyatakan bahawa jika ada seorang yang boleh melakukan kebaikan untuk sekolah itu, orangnya itu adalah saya.
Apa pun yang akan saya lakukan, jika pun ia hanya sedikit, ia hanya akan menjadikan sekolah itu bertambah baik, katanya. Tidak kisahlah berapa banyak sekali pun. Melakukan apa-apa dengan sedikit masih baik dari tiada langsung.
Bagi anak perempuan saya yang berumur 15 tahun itu pula, suami saya berkata yang beliau sudah cukup matang dan berdisiplin untuk menguruskan perkembangan pelajarannya sendiri. Anak saya pastinya tidak mahu saya mengatur segala-galanya dalam kehidupannya.
Akhirnya, suami saya juga berkata, sebagai seorang ayah kepada dua anak perempuan, beliau mahu menunjukkan kepada mereka apa yang seorang perempuan boleh lakukan. Anak perempuan, kata suami saya, memerlukan suri teladan wanita yang sebegitu.
Saya cukup terkesima dengan pandangan suami saya ketika itu.
Kami memastikan semua hal di rumah dapat dibereskan, dan dengan itu saya menuju ke perkampungan nelayan tersebut, memandu sejauh 150km setiap hari.
Ia menjadi sebuah pengalaman paling bernilai yang saya lakukan sepanjang hidup. Jalan ke hadapan cukup berliku, namun ia memberi rangsangan untuk saya berbakti kepada negara. Saya tidak menyesal akan keputusan saya ini.
Saya tahu selama sembilan tahun saya mengetuai sekolah ini, ia hanya bertambah baik. Pada mulanya saya hanya melakukan segalanya mengikut dorongan hati saya, dan perlahan-lahan, semuanya menjadi semakin sempurna. Saya mendapatkan sokongan penuh dari guru di sekolah, yang membuatkan saya rasa cukup terhutang budi dengan mereka semua.
Dan ia bukan kerja saya seorang. Kami semua bekerja bersama. Pelajar tempat kami menumpah bakti mengajar kami akan nilai serta arah tujuan. Ia menjadi sebuah sekolah yang semakin bagus ketika saya meninggalkannya.
Pastinya kalian dapat melihat bagaimana membina sebuah sekolah atau negara mempunyai begitu banyak persamaan. Semua kita mempunyai peranan sebagai warga. Dan kita semua mempunyai pilihan. Kita semua terus melakukan pilihan mengikut keutamaan peribadi kita.
Pun begitu, seringkali kita bertindak mengikut keutamaan kita, ia akan membawa kita ke pengakhiran yang sama. Apa yang kita lakukan hari ini untuk dunia kita pastinya akan memberi kesan kepada ruang dan kehidupan peribadi kita pada masa hadapan.
Membina semula sekolah (atau negara) seringkali bermula dengan ‘seseorang’. Ia akan sering bermula dengan ‘anda’. Anda takkan pernah tahu ke mana kita akan pergi hinggalah kita mencubanya. Akhirnya, ia merupakan soal strategi dan kemampuan untuk membawa semua orang bersama-sama. Tiada seorang pun yang dapat melakukan perubahan seorang diri.
Dan begitulah, pesan saya kepada kalian tentang harapan, yang barangkali begitu ramai di antara kita yang merasakan ia seperti tidak kena pada tempatnya. Usaha kita boleh jadi berkesan atau tidak. Kita tidak tahu. Siapa pun tidak tahu. Kita hanya boleh menghadapi halangan jika kita menelusurinya dengan hati-hati, penuh komitmen, kecerdasan, strategi serta mempunyai pandangan yang jauh.
Jangan gusar akan jalan yang sesak, atau soal menuai hasil atau masa yang dileburkan. Jangan fikir terlalu banyak akan segalanya. Rancanglah setakat mana yang boleh, asalkan anda bertanggungjawab akannya. Lakukan saja, jika pun anda tidak tahu ke mana hala tuju seterusnya. Apa jalan yang ada juga sudah cukup baik.
Saya cukup minat dengan slogan Nike – ‘Just do it!’ Hanya buat apa yang kalian boleh lakukan. Jika setiap orang melakukan sesuatu yang bermakna setiap hari, pastinya, keajaiban akan tiba. Inilah rahsia bagaimana saya dapat berfikiran positif. Kadang kita berfikir terlalu mendalam dan akhirnya putus asa. Jika tiada seorang pun melakukan apa-apa, pastinya kita akan gagal sepenuhnya.
Jadi, apa yang boleh kita lakukan? Lakukan apa saja supaya kita dapat memujuk yang lain melihat apa yang terbentang di hadapan kita. Setitis air pun lama-lama kan menjadi laut… atau pun tidak. Tiada seorang pun di antara kita yang tahu.
Kita boleh saja menubuhkan satu kumpulan perbincangan dan mula merancang sesuatu bersama. Kita boleh sahaja sertai kelompok masyarakat sivil atau NGO atau sumbangkan apa saja kepakaran atau mula membuat kelompok perbincangan dalam mendidik antara satu sama lain.
Atau anda boleh menjadi salah seorang calon di pilihan raya akan datang.
Yang pasti jangan sebut “saya putus asa” sebelum kalian memulakan perjalanannya.
Sukeshini NairEditor bersama, surat berita Aliran
16 April 2022
Terjemahan oleh: Zikri Rahman
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme