Untuk sesebuah negara membangun dan maju, semua orang harus memelihara dan menghormati kebebasan akademik – inikan pula yang di takhta kuasa, tulis Khoo Ying Hooi.
Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad mutakhir ini mengesahkan bahawa Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) tidak akan dihapuskan, hatta mengenepikan komitmen mantan kerajaan Pakatan Harapan untuk mengubah undang-undang ini.
Noraini berkata demikian dalam satu balasan bertulis kepada mantan Menteri Pendidikan Maszlee Malik pada 27 Julai.
Auku telah dipinda pada tahun 2018 bagi membenarkan penuntut-penuntut universiti dan kolej untuk mengambil bahagian dalam aktiviti politik dalam kampus tanpa rasa gusar akan akibat hukuman. Begitu juga dengan Akta Pendidikan Tinggi Swasta 1996 dan Akta Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 yang dipinda bagi tujuan yang sama.
Sebelum ini, PH telah berjanji akan memansuhkan Auku bagi membuka ruang yang lebih luas untuk kebebasan akademik. Langkah itu juga menyasarkan untuk meletakkan struktur tadbir urus dan kewangan yang baharu lebih mampan dan sesuai untuk kebebasan akademik dan autonomi universiti.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Walaupun kebebasan bersuara termaktub dalam Perlembagaan, mahasiswa tidak dapat untuk menikmati hak ini sepenuhnya. Mereka gusar akan akibatnya jika bersuara terhadap ketidakadilan.
Ayuh lihat betapa mustahaknya kebebasan akademik yang bukan sahaja untuk para penuntut dan ahli akademik malahan juga untuk pembinaan negara.
Meski istilah kebebasan akademik tidak terdapat dengan jelasnya dalam instrumen hak asasi manusia, ada antaranya yang meliputi takrifan dan makna kebebasan akademik dengan meluas. Misalannya, Perkara 19 Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik melindungi hak berpendapat, bersuara dan kepercayaan.
Tahun lalu, saya telah terlibat dalam projek serantau untuk memetakan semula dan menganalisis hak asasi manusia dan pendidikan keamanan di Asia Tenggara. Projek itu telah diusahakan oleh Strengthening Human Rights and Peace Research and Education in South East Asia (Shape-Sea). Laporan tersebut menganalisis status hak asasi manusia dan pendidikan keamanan dan cabaran yang dihadapi oleh universiti dalam 11 negara dalam rantau ini.
Di Asia Tenggara, hak asasi manusia dan keamanan adalah sebahagian daripada perlembagaan hampir kesemua negara. Di sesetengah negara, ia dicerminkan pada dasar dan perundangan tertentu tentang hak asasi manusia dan keamanan. Bagaimana pun, oleh kerana pandangan yang berbeza dari lain-lain kerajaan dalam isu-isu ini, situasi hak asasi manusia dan keamanan berbeza dari satu negara ke negara yang lain.
Dalam laporan tersebut, kebebasan akademik telah dikenalpasti sebagai satu cabaran utama dalam rantau ini. Laporan itu mendapati bahawa corak sosiopolitik tiap negara secara langsung atau tidak memberi kesan terhadap status dan perkembangan hak asasi manusia dan pendidikan keamanan.
Sebagai contoh, di Malaysia, tiada universiti menawarkan ijazah hak asasi manusia selain dari beberapa subjek tentang topik tersebut. Universiti Malaya, Universiti Utara Malaysia dan beberapa yang lain menawarkan pengajian hak asasi manusia sebagai satu subjek.
Berkaitan dengan ini, laporan itu juga mengenalpasti bahawa kemahuan politik amat mempengaruhi perundangan dan dasar-dasar hak asasi manusia dan keamanan, juga hak asasi manusia dan pendidikan keamanan itu sendiri. Wacana dan kaedah kerajaan untuk memahami hak asasi manusia dan keamanan memainkan peranan penting dalam membentuk pembangunan hak asasi manusia dan pendidikan keamanan.
Di peringkat antarabangsa, beberapa pemegang taruh telah membangunkan suatu indeks rating baharu untuk negara-negara berdasarkan kepada tahap kebebasan akademik mereka. Indeks Kebebasan Akademik (AFi) ialah suatu usaha sama oleh Universiti Erlangen-Nuremberg di Jerman; Global Public Policy Institute, sebuah kumpulan pemikir yang berpangkalan di Berlin; Scholars at Risk Network, satu badan berpangkalan di New York yang memantau kebebasan akademik dan membantu sarjana yang diancam; dan Institusi Varieties of Democracy (V-Dem), yang berpangkalan di Universiti Gothenburg di Sweden.
AFi mensasarkan untuk memberi makluman kepada pemegang taruh, menyediakan kayu ukur pemantauan, mengubah struktur insentif, mencabar kedudukan universiti, memudahkan kajian dan menggalakan kebebasan akademik.
Ia mempunyai lapan komponen dengan lima petunjuk yang telah “dikodkan pakar”: kebebasan kajian dan pengajaran, kebebasan penyebaran dan pertukaran akademik, autonomi institusi, integriti kampus, dan kebebasan akademik dan ekspresi budaya.
Tiga komponen lain adalah berdasarkan data berfakta: perlindungan berperlembagaan terhadap kebebasan akademik; komitmen perundangan antarabangsa untuk kebebasan akademik di bawah Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak-Hak Ekonomi, Sosial dan Budaya; dan kewujudan universiti.
Negara-negara terbahagi kepada satu daripada lima golongan berdasarkan markah kebebasan akademik keseluruhan mereka dari A ke E, dan satu lagi kategori ialah untuk yang tidak mempunyai data yang mencukupi. Malaysia jatuh dalam kategori C, menandakan bahawa Malaysia ada banyak ruang untuk diperbaiki berkaitan lima komponen tersebut, seperti yang dikenal pasti AFi.
Konsep kebebasan akademik telah berubah, dan kolej dan universiti telah capai kesepakatan tentangnya, mengaitkan ia dengan kebebasan berfikir.
Mengajar, mengkaji, belajar, menerbitkan dan berbincang tidak patut terikat dengan halangan dan campur tangan di institusi pendidikan tinggi. Ini adalah bagi memastikan ahli akademik dan penuntut boleh menggunakan kaedah kajian yang teliti dan pengetahuan profesional untuk mencari kebenaran dalam berbagai bidang bagi menjana ilmu baharu.
Untuk memelihara kebebasan akademik, selagi isi kandungan topik pengajaran dan kajian selari dengan matlamat mencari kebenaran dan membina pengetahuan, pihak berkuasa universiti – tanpa ambil kira kuasa dan pengaruh mereka – harus tidak campur tangan dalam pengajaran dan pengajian guru dan pelajar.
Kini keputusan untuk memansuhkan Auku telah dibelakangkan, perdebatan yang rapi harus diteruskan tentang kepentingan kebebasan akademik sebagai tonggak asasi kemajuan saintifik, usaha sama kajian, dan pendidikan tinggi yang berkualiti. Kerajaan mestilah punya kemahuan yang kuat untuk membawa perubahan politik dan harus tidak campur tangan dalam hal ehwal kampus bagi memastikan universiti kita kekal subur, serba baharu dan maju ke hadapan.
Untuk sesebuah negara membangun dan maju, semua orang harus memelihara dan menghormati kebebasan akademik – inikan pula yang takhta kuasa. Hanya dengan cara ini akan kita dapat menjamin dan mengecapi pendidikan berkualiti.
Khoo Ying HooiPengarang bersama, surat berita Aliran
22 Ogos 2020
Diterjemahkan oleh Shazni Bhai
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme