Home Newsletters Mengapa begitu ramai rakyat marhaen mempertaruhkan segala-galanya untuk kebebasan Palestin?

Mengapa begitu ramai rakyat marhaen mempertaruhkan segala-galanya untuk kebebasan Palestin?

Daripada sukarelawan flotilla hingga penunjuk perasaan di jalanan, warga seluruh dunia terus berdiri bersama Palestin walaupun menanggung risiko, didorong oleh keyakinan moral merentasi sempadan

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Sehingga kini, kebanyakan – jika tidak semua – kira-kira 460 sukarelawan Global Sumud Flotilla telah pun dibebaskan oleh penculik Israel, yang menahan mereka secara haram dari perairan antarabangsa di luar pantai Gaza.

Ramai daripada mereka dilaporkan telah menerima layanan tidak berperikemanusiaan semasa dalam tahanan. Israel menegaskan flotila itu dikaitkan dengan Hamas, untuk mengabsahkan penganiayaan dilakukan mereka. Apa pun, bagi Israel sekarang, Hamas ada mengintai di mana-mana dan di semua tempat.

Gabungan Freedom Flotilla, yang berlayar selepas Flotilla Sumud Global, turut diserang dan dipintas oleh rejim Zionis di perairan antarabangsa.

Salah satu kapal dalam misi itu, yang dipanggil Conscience, membawa 93 wartawan, doktor dan aktivis dari 25 negara dengan tujuan membantu hospital Gaza yang mengalami kebuluran dan mengekalkan perhatian dunia terhadap Gaza yang dikepung ini.

Sukarelawan flotila Sumud, yang mewakili lebih 44 negara, sedar bahawa misi mereka untuk memecahkan sekatan haram Israel ke atas Gaza akan menghadapi pelbagai cabaran. Mereka sedar bagaimana ekspedisi flotila lalu yang menyaksikan kapal diserang dan dibom mengakibatkan beberapa anak kapal terbunuh.

Selain itu, flotilla Sumud turut menghadapi masalah yang berkaitan kerana menggunakan beberapa bot yang sudah lama, turut berdepan risiko disabotaj atau tidak dilengkapi dengan baik untuk perjalanan jarak jauh di laut lepas.

Namun, sesuai dengan nama misi mereka, Sumud (Bahasa Arab yang bermaksud ketabahan atau kegigihan), anak kapal terus berjuang, berpegang teguh pada harapan untuk Palestin yang merdeka dan didukung oleh ketabahan, belas kasihan, empati dan rasa keadilan, serta dipandu oleh kompas moral.

Di sebalik risiko yang dijangkakan, mereka mengharungi air yang bergelora dan membawa bersama makanan, susu formula bayi, ubat-ubatan dan keperluan lain – barangan yang telah dirampas daripada penduduk Palestin di Gaza selama dua tahun pembunuhan beramai-ramai dan sehinggalah akhir-akhir ini, kebuluran yang berleluasa.

READ MORE:  Panic as families given 'minutes to flee' before Israel destroys tower

Bagi sukarelawan ini dan penyokong mereka, Israel telah melanggar begitu banyak garis merah setiap kali ia bertindak tanpa sebarang hukuman. Ini, jelas sekali, telah menimbulkan kemarahan moral di kalangan mereka yang menentang jenayah kemanusiaan dilakukan oleh rejim Zionis.

Nasib mengerikan rakyat Palestin telah menggerakkan hati ramai orang di seluruh dunia – sehinggakan sebahagian daripada mereka tergerak untuk mendaftar menyertai misi Gaza.

Penyokong pro-Palestin, khususnya mereka di Barat, telah turun ke jalan untuk membantah Israel dan kerajaan masing-masing yang  bersubahat dan mengalami inersia politik. Ramai di antara mereka, seperti di London dan Berlin, turut menghadapi penangkapan besar-besaran kerana semata-mata menggunakan hak mereka untuk bebas bersuara dan berbeza pendapat.

Namun, seperti sesetengah pihak di bahagian dunia yang lain, turut ada pengkritik di kalangan beberapa pemerhati di Malaysia – seperti yang ditunjukkan dalam komen negatif mereka di media sosial dan portal berita berkaitan flotilla.

Selepas pemintasan dilakukan oleh rejim Zionis, mereka yang skeptik di Malaysia terus menolak usaha flotila yang murni ini sebagai kegagalan total, dan dengan itu mengatakan ia sebuah pembaziran sumber manusia dan material.

Yang lain berpendapat bahawa adalah bodoh untuk “melanggar” zon tempur yang dikatakan ‘milik’ Israel – entiti Asia Barat yang dianggap memainkan peranan kritikal dalam melindungi nilai dan tamadun Barat yang penting.

Beberapa pejuang siber malah menyifatkan sukarelawan flotilla dari Malaysia sebagai “pembuat masalah” atas apa yang mereka anggap sebagai kebodohan mereka sendiri kerana berani “melanggar undang-undang Israel”.

Pengkritik tertentu juga cenderung untuk mengulang mantera Zionis: Hamas, yang menahan tebusan warga Israel, harus dipersalahkan atas kekacauan yang diciptanya pada 7 Oktober 2023.

Walaupun kita tidak sepatutnya cuba mengenepikan apa yang dilakukan oleh Hamas pada tarikh itu, cukup penting bagi kita untuk mempertimbangkan latar belakang sejarah serangan Hamas ke atas wilayah selatan Israel – iaitu, pembersihan etnik Israel, pemindahan, pendudukan, aparteid, penindasan dan pembunuhan yang telah menjangkau lebih tujuh dekad. Pendek kata, 7 Oktober bukanlah ketika sejarah pembunuhan beramai-ramai berdarah itu baru bermula.

READ MORE:  Malaysia's rights body demands release of activists seized in Gaza aid flotilla attack

Apa yang turut menyakitkan hati para sukarelawan flotilla dan orang tersayang mereka adalah ada pendapat bahawa kru flotilla mengeksploitasi nasib rakyat Palestin hanya untuk mendapatkan kemasyhuran jangka pendek.

Yang pasti, mereka ini adalah orang-orang yang meninggalkan anak-anak mereka yang masih kecil, pasangan yang disayangi, ibu bapa mereka yang sudah tua, dan keselesaan yang ada di rumah mereka. Sesetengah daripada mereka mungkin telah mengambil cuti tanpa gaji. Seorang peserta dari Malaysia malah menjual keretanya untuk belayar ke Gaza. Dan jangan lupa, mereka semua mengambil risiko untuk berada di barisan depan.

Begitulah pengorbanan yang dilakukan oleh para sukarelawan yang melihat betapa pentingnya solidariti dengan rakyat Palestin – warga yang mengalami penderitaan, penghinaan dan penyembelihannya yang diabaikan oleh ramai orang di dunia, terutamanya pemimpin Barat dan media warisan mereka yang bersubahat dengan Israel.

Aktivis Sweden Greta Thunberg dan rakan-rakan flotilanya sedar bahawa rakyat Palestin tidak boleh dibungkam dari segi politik, budaya dan ketenteraan sebagai rakyat. Aktivis dan sukarelawan ini tahu bahawa kewujudan Palestin adalah satu bentuk penentangan terhadap penindasan Zionis dan projek peneroka-penjajahnya.

Dalam banyak hal, Palestin seakan cerminan kepada seluruh dunia. Kepentingan nilai politik dan moralnya tidak boleh dinafikan oleh semua, termasuk kita di Malaysia.

Belas kasihan dan kemarahan moral yang ditunjukkan dek pembunuhan beramai-ramai dan penderitaan rakyat Palestin sepatutnya merentas garis etnik, agama, budaya, kelas sosial dan kewarganegaraan – begitulah yang sebetulnya.

Nasib mereka telah menyentuh ramai rakyat marhaen di seluruh dunia – termasuk guru, pelajar, aktivis, pekerja dok, pelakon, artis, penyanyi, ahli politik, doktor, ahli akademik, wartawan, pesara dan bekas pegawai tentera.

READ MORE:  Keep your eyes on Gaza - Greta Thunberg

Flotilla ini adalah manifestasi kuasa rakyat dalam bayang-bayang kerajaan yang telah gagal melunaskan kewajipan moral mereka.

Sama pentingnya, rasa kemanusiaan bersama yang dipamerkan dalam flotila ini berfungsi sebagai peringatan penting bahawa semua nyawa penting. Orang yang mengambil berat terhadap orang yang ditindas dan yang didiskriminasi seharusnya tidak akan dipengaruhi oleh bias etnik dan agama.

Lagipun, kita sebagai manusia memang mencari kebahagiaan, kedamaian dan harapan, dan kita dapat merasakan kesakitan dan impian yang hancur di luar sempadan kita.

Keadilan adalah satu prinsip yang mendorong ramai rakyat marhaen mengambil berat dan kisah terhadap rakyat Palestin. Selama beberapa dekad, rakyat Palestin telah mengalami diskriminasi kaum dan pencabulan hak asasi manusia di bawah sistem aparteid dan pendudukan tentera.

Ketidakadilan berlaku apabila tentera penjajah di wilayah Palestin bertindak tanpa hukuman, terutamanya apabila mereka diberi perlindungan politik dan diplomatik oleh sekutu Barat mereka.

Hak asasi manusia dan akauntabiliti, yang banyak disyarahkan oleh kuasa Barat kepada khalayak di masyarakat Selatan Global, telah dibuang sewenang-wenangnya. Sikap dua darjat jelas kelihatan dalam usaha berterusan mereka yang berkuasa ini untuk menyokong projek peneroka-penjajah di Palestin ini.

Prinsip keadilan dan akauntabiliti mesti diutamakan dalam mana-mana konteks sosial. Prinsip-prinsip ini adalah lebih penting dalam konteks di mana wujudnya kuasa-kuasa yang memecah belah, eksploitatif dan menindas.

Ketabahan (sumud) rakyat Palestin, walaupun terpaksa membayar harga yang mahal untuk kebebasan dan maruah, seharusnya memberi inspirasi kepada rakyat marhaen di seluruh dunia.

Ia memberi kita alasan untuk berharap bahawa perubahan ke arah yang lebih baik akhirnya akan muncul dari tanah yang berlumuran darah itu yang kini di bawah runtuhan pembunuhan beramai-ramai yang dahsyat ini.

Mustafa K Anuar
Editor bersama, surat berita Aliran
12 Oktober 2025

Terjemahan oleh: Zikri Rahman

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x