Home Newsletters Mengapa kita masih berperang di dunia ini?

Mengapa kita masih berperang di dunia ini?

Pencegahan penggunaan senjata nuklear tidak menghalang meletusnya perang di kalangan negara bukan nuklear atau sebagai perang proksi yang dimulakan oleh kuasa nuklear di negara lain

London anti-war protest in 2003 - WIKIPEDIA

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Lebih setahun yang lalu, saya berucap di sebuah webinar tentang perang yang meletus di Ukraine pada Februari 2022, dan perang ini sehingga sekarang masih berlarutan.

Sejak beberapa hari kebelakangan ini, imej mengerikan melibatkan ‘konflik’ Arab-Israel yang tidak berkesudahan di Gaza telah membanjiri media cetak dan sosial kita.

Semasa saya mengarang baris ini, Gaza, yang telah digambarkan sebagai sebuah “penjara terbuka”, sedang dilanyak oleh roket Israel, yang telah membunuh lebih 2,300 rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak, dan mencederakan 9,000 orang lainnya. Jumlah kematian di Israel berjumlah kira-kira 1,300, dengan lebih 3,200 cedera dalam konflagarasi yang berlaku sekarang.

Peperangan telah menjadi leitmotif – tema yang dominan dan berulang – dalam apa yang dipanggil ‘tamadun’ manusia (perkataan yang bagi saya semakin menjadi kata yang tidak tepat sama sekali). Sehingga hari ini, 110 konflik bersenjata yang berterusan telah menjejaskan beberapa rantau di dunia, dengan Afrika Utara dan Timur Tengah menyumbang 45 daripadanya.

Dalam karya klasiknya pada tahun 1959 berjudul Man, the State, and War, Kenneth Waltz mengenal pasti tiga punca peperangan: kelemahan manusia, negara yang bersifat mahu memiliki, dan sistem dunia yang kacau-bilau. Analisa beliau kekal tepat sehingga hari ini.

Pertama, manusia yang maha lemah serta penuh kekurangan telah gagal untuk mengelakkan peperangan selama lebih 2,000 tahun. Pun begitu, manusia juga telah dapat bekerjasama dan mengadakan kontrak sosial bagi memastikan keamanan sosial dalam banyak masyarakat wujud.

Masalahnya ialah kontrak sosial seperti itu dari masa ke masa menjadi terperuk ke dalam logika sempadan wilayah, negara moden, yang dengan sendirinya berkembang menjadi daya kuasa mengakibatkan peperangan kan terjadi.

Ironinya, sistem negara Eropah, yang muncul selepas Perang Tiga Puluh Tahun berikutan peristiwa Keamanan Westphalia pada tahun 1648, itulah yang memberikan kepada dunia idea negara sempadan ini. Hampir semua negara moden telah menerima pakai model Westphalian dan di situlah terletaknya intipati keadaan manusia serta kecenderungannya terhadap peperangan.

Majoriti apa yang dipanggil sebagai ‘negara-bangsa’ ini tidak pula sepenuhnya aman dalam sempadan mereka sendiri, dan mereka juga tidak mencari hubungan aman dengan entity yang sama bentuknya dengan mereka di luar sempadannya sendiri. Sekali gus, kita melihat munculnya bentuk Waltzian yang kedua – iaitu negara wilayah yang saling berperang.

Terdapat bentuk perang yang ketiga. Tiada apa-apa yang dapat menghalang negeri-negeri ini daripada berperang kerana kacau-bilau global – kerana wujud lompang perintah undang-undang antarabangsa yang boleh dikuatkuasakan di antara negara. Apa yang dipanggil ‘tatanan dunia’ kita ini bertunjangkan pada tingkah laku baik yang bergantung kepada negara atau pemimpin mereka, bukan pada sebuah kerangka kerja undang-undang.

Kita mempunyai entiti global yang dipanggil PBB, yang diwujudkan selepas Perang Dunia Kedua. Namun, ia tidak mempunyai cara untuk mengenakan apa-apa peraturan atau set atau undang-undang untuk mengawal tingkah laku sesebuah negara.

Komplikasi lanjut dalam dunia kita yang anarki muncul dengan episod Oppenheimer. Ini adalah ketika bom atom dicipta dan diletupkan di Hiroshima pada 6 Ogos 1945. Sebuah filem yang cukup menggerakkan ini telah mendokumentasikan detik bersejarah yang penting itu.

Dek kerana penciptaan senjata nuklear dan kemunculan beberapa kuasa nuklear, ahli teori politik John Gaddis telah mengujarkan idea tentang “The Long Peace”, yang ditanggapnya secara sinis sebagai
mutually assured destruction (Mad) (akemusnahan yang saling menjaminkan).

Ia merujuk kepada keseimbangan sumber keganasan yang wujud di kalangan negara yang mempunyai kuasa nuklear. Tiada negara yang mempunyai kuasa nuklear akan memulakan perang terhadap negara nuklear yang lain kerana bimbang ia akan membawa kepada kemusnahan bersama. Hal ini sememangnya benar bagi AS dan Rusia hari ini, dengan mereka masing-masing mempunyai senjata melebihi 5,000 senjata nuklear setiap satu (lihat grafik di bawah).

Walau bagaimanapun, pencegahan penggunaan senjata nuklear ini tidak menghalang meletusnya perang di kalangan negara bukan nuklear atau perang proksi yang dimulakan oleh kuasa nuklear di negeri lain. Inilah realiti dunia yang mengerikan yang kita tinggal pada hari ini.

John Gaddis memulakan eseinya yang tersohor dengan sebuah dongeng, seperti yang dipetik:

Akhirnya, selepas bertahun-tahun bertempur, satu pihak akhirnya menang atas yang lain dan berakhirlah peperangan, semua orang berkata bahawa ia mesti dicatat dalam sejarah sebagai sebuah perang besar yang terakhir pernah berlaku. Untuk tujuan itu, negara-negara yang menang menghantar semua orang yang paling bijak yang mereka ada ke persidangan damai yang besar itu, di mana mereka diberi tugas untuk menyusun penyelesaian yang akan direka dengan teliti, begitu adil kepada semua yang terlibat, sehingga ia akan menghapuskan peperangan sebagai sebuah fenomena dalam kewujudan manusia. Malangnya, penyelesaian sebegitu hanya bertahan selama dua puluh tahun.

Terdapat sebuah lagi peperangan besar yang melibatkan penyembelihan berjuta-juta orang. Akhirnya, selepas bertahun-tahun mereka bertempur, satu pihak akhirnya menang ke atas pihak yang lain dan perang akhirnya selesai, semua orang berkata bahawa ia mesti dicatat dalam sejarah sebagai perang besar terakhir yang pernah berlaku. Namun, yang mengerikan buat semua orang, pemenang dalam konflik itu sekali gus bertengkar sesama mereka, dan mencapai keputusan bahawa tiada persidangan damai akan berlaku lagi. Selepas beberapa tahun setiap pemenang utama dalam perang tersebut menanggapi satu sama lain, dan bukannya bekas musuh mereka sendiri, sebagai ancaman utama kepada kelangsungan hidup mereka; masing-masing berusaha untuk memastikan kelangsungan hidup mereka dengan membangunkan senjata yang berkemampuan, sekurang-kurangnya secara teori, menamatkan nyawa semua orang di bumi. Secara paradoksnya, ketentuan sebegitu berlangsung dua kali lebih lama daripada yang pertama, dan apabila dongeng itu berakhir, tidak pula ia menunjukkan tanda-tanda akan berpisah dalam masa terdekat.

– John Lewis Gaddis, The Long Peace: Elements of Stability in the Postwar International System. International Security, Vol 10, No 4, 1986

Malangnya, cerita dongeng itu tidak pula lengkap kerana bahagian penting jalan cerita itu hilang. Biar saya cuba menebus lompang cerita ini dengan tambahan kisahnya:

Terdapat beberapa tahun masa aman yang panjang antara para pemenang, yang kini akhirnya menjadi kuasa besar. Senjata pemusnah besar-besaran semakin berganda bilangannya, dibuat lebih canggih dari hari ke hari. Walau bagaimanapun, beberapa peperangan meletus di banyak bahagian dunia lain yang menyaksikan berjuta-juta orang disembelih.

Hebatnya, semua ini berlaku di bawah kekuasaan para pemenang Perang Besar – semuanya kuasa besar – yang dunianya sendiri kini menjadi stabil kerana ketakutan jika meletusnya perang nuklear.

Sekali gus, tiga dunia tercipta di Bumi; yang pertama dan kedua di mana tiada peperangan besar berlaku, dan yang ketiga, di mana wujud peperangan berterusan yang biasanya disebabkan oleh kuasa besar kerana mereka tidak dapat berperang di wilayah mereka sendiri dan sekali gus berisiko memusnahkan diri mereka sendiri dan seluruh dunia. Dan dengan itu,  kemunduran, kemiskinan, kesengsaraan serta peperangan berlaku tanpa henti di banyak negara dunia ketiga.

Ketika saya merenungkan keadaan kita manusia pada hari ini dan ketidakupayaannya dalam memastikan keamanan bagi majoriti manusia, kata-kata dua individu yang saya kagumi terlintas di fikiran.

“Dasar tanpa kekerasan adalah aturan spesies kita sama seperti keganasan adalah kebiasaan mereka yang kasar. Semangat yang terpendam oleh mereka yang kejam ini tidak tahu apa ertinya undang-undang kecuali angkuhnya kekerasan fizikal.” – Mahatma Gandhi

“Keganasan itu tempat menyorok mereka yang tidak cekap.” – Isaac Asimov

Johan Saravanamuttu
Editor bersama, surat berita Aliran
15 Oktober 2023

Terjemahan oleh: Zikri Rahman

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Avatar photo
Dr Johan Saravanamuttu, a long-time Aliran member, is emeritus professor at Universiti Sains Malaysia, adjunct professor at the Asia Europe Institute, University of Malaya and adjunct senior fellow at the S Rajaratnam School of International Studies, Nanyang Technological University. He believes in politics as a vocation but is frustrated that it is often the refuge of opportunists and the morally depraved
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments

Most Read

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x