Home Newsletters Mengapa Parlimen wajib berfungsi ketika krisis sekarang

Mengapa Parlimen wajib berfungsi ketika krisis sekarang

Badan perundangan ini akan memastikan kawal imbang yang diperlukan terhadap kuasa eksekutif yang berlebihan

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Yang di-Pertuan Agong, dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 24 Februari lalu, memperkenan bahawa Parlimen perlu bersidang walaupun di bawah pengisytiharan darurat.

Ramai yang sudah mengkritik serta berdebat berkenaan penggantungan Parlimen selepas pengisytiharan darurat pada Januari lalu. Langkah bagi menggantung Parlimen menimbulkan rasa tidak senang ahli Parlimen dari kedua-dua belah pihak, masyarakat sivil serta lain-lain.

Di dalam kenyataannya, istana memperjelaskan salah tanggapan berkenaan pengisytiharan yang mengekang Parlimen dari bersidang.

Agong boleh mengisytihar darurat, selepas memperoleh nasihat dari perdana menteri, ketika Parlimen masih dalam sesi atau ketika ianya sudah dibubarkan. Keadaan yang membenarkan perkara ini adalah jika wujud ancaman terhadap keselamatan negara, kehidupan ekonomi atau tatanan masyarakat.

Persoalannya adakah pandemik coronavirus sekarang membenarkan pengisytiharan darurat?

Sejak darurat diisytiharkan pada 12 Januari, terdapat banyak spekulasi yang dilontarkan. Ramai yang tersalah tanggapan berkenaan impak daripada keadaan darurat, serta mekanisme yang diperlukan bagi memastikan semak dan imbang ketika berdepan krisis kesihatan ini.

Debat berkenaan adakah deklarasi darurat ini rasional atau tidak perlu diteliti dari pelbagai sudut, contohnya dari sudut Perlembagaan, undang-undang sedia ada serta lain-lainnya.

Terdapat segelintir yang mengatakan perlaksanaan pentadbiran darurat ini bagi mengekang pandemik coronavirus adalah dijustifikasi serta sebuah langkah rasional mengelakkan peningkatan jangkitan harian.

Terdapat juga yang lain mengatakan bahawa ianya tidak diperlukan kerana kita sudah pun mempunyai Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 serta mekanisme yang lain seperti perintah kawalan pergerakan.

Ada juga yang percaya bahawa ini semua strategi Perikatan Nasional cuba berpaut pada kuasa saat kerajaan ini di ambang keruntuhan.

Beberapa NGO, termasuklah Aliran, sudah memfailkan saman pemula terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin serta kerajaan pusat bagi mencabar keperlembagaan serta aspek perundangan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021. Kes ini masih sedang berjalan.

Tidak kira siapa yang kita sokong dalam politik, semua pihak perlu memastikan demokrasi berparlimen dijunjung. Sebagai sebuah negara yang menjalankan demokrasi berparlimen, kita jangan mengendahkan kesan jika Parlimen tidak bersidang.

Ketika darurat, kita mesti mempunyai kawal imbang terhadap kuasa berlebihan yang diberikan kepada eksekutif. Bagaimana kita dapat memastikan eksekutif tidak menyalahgunakan kuasa mereka? Dapatkah eksekutif memastikan hak semua rakyat? Inilah persoalan pokoknya.

Parlimen merupakan badan legislatif sebuah kerajaan, dan para ahli Parlimen berdebat serta meluluskan undang-undang untuk diguna pakai di seluruh negara. Dewan meneliti polisi kerajaan serta meluluskan perbelanjaan kerajaan, lebih-lebih lagi berkaitan belanjawan.

Pendek kata, Parlimen adalah ruang wakil yang dilantik membincangkan kepentingan awam. Ini adalah penting dalam usaha kita mengekang pandemik. Jadi, kesemua 222 ahli Parlimen perlu diberikan ruang untuk membincangkan serta berdebat segala polisi dan usul yang akan diambil.

Dengan ini, Parlimen boleh memainkan peranan penting dalam menyelia ketelusan eksekutif, misalnya, Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiyaaan Kerajaan (Covid 19) 2020.

Di seluruh dunia, pandemik menjadi cabaran yang unik kepada para pembuat undang-undang, mengakibatkan langkah berhati-hati digunakan di dalam prosedur parlimen serta teknik inovatif bagi memastikan sistem terus responsif terhadap keperluan masyarakat rentan.

Terdapat banyak negara lain yang menunjukkan bahawa Parlimen terus dapat bersidang walaupun berdepan risiko kesihatan.

Saya tidak dapat melihat sebab mengapa Parlimen tidak dapat berfungsi secara maya. Dengan kenyataan oleh istana baru-baru ini, ramai di antara kita berharap agar Parlimen dapat bersidang secepat mungkin. Ini bagi memastikan ahli Parlimen mempunyai ruang untuk meneliti serta membawa isu rakyat bagi perhatian para eksekutif. Wakil yang diundi juga dapat memantau serta menyelia polisi bagi menguruskan Covid-19.

Parlimen adalah, yang utama, merupakan sebuah badan pemantau bagi memastikan kawal imbang sesebuah badan kerajaan. Legislatif yang kuat memperkukuhkan pendemokrasian, apatah lagi ianya cukup penting ketika krisis kesihatan ini.

Ahli jawatankuasa khas sekurang-kurangnya perlu dibenarkan untuk berjumpa bagi memastikan cadangan ahli Parlimen dibincangkan. Sepatutnya, mereka perlu berbincang dan menyelia setiap polisi yang ingin dilaksanakan kerajaan.

Menjadi inklusif sangat membantu rakyat faham bahawa setiap pandangan sudah pun diambil kira supaya hanya langkah paling bersesuaian dapat dilaksanakan.

Khoo Ying Hooi
Editor bersama, Surat berita Aliran
27 Februari 2021

Terjemahan oleh Zikri Rahman

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x