Sejak akhir-akhir ini, saya menonton banyak episod drama Cina yang tiada kesudahan – di mana para pahlawan bersungguh-sungguh bertarung menggunakan pedang yang cukup mengerikan.
Rakan saya memberitahu bahawa saya mungkin sedang melarikan diri.
Saya tidak bersetuju. “Melarikan diri dari apa?” saya bertanya. Walaupun saya yang bertanya, saya tahu bahawa saya memang sedang melarikan diri.
Kita semua melakukan perkara itu pada satu ketika – apabila keadaan kelihatan tidak ‘betul’ di dunia sekeliling kita, seperti sedia kala, seperti yang sepatutnya.
Kemudian saya menemui perkataan anomie. Konsep ini, seperti yang dibangunkan oleh Émile Durkheim, merujuk kepada keadaan “tidak normal” atau ketidakstabilan. Anomie, dalam istilah sosiologi, merujuk kepada pecahnya struktur sosial dan moral.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Walaupun perubahan sosial dan krisis ekonomi boleh menyumbang kepada anomie, akhirnya tanggapan kita terhadap keadaan ini yang membentuk pengalaman kita terhadapnya. Namun, tanggapan ini bukan tanpa asas. Selalunya terdapat alasan yang jelas dan objektif di sebaliknya.
Dalam konteks dunia digital kita yang berkembang pesat, syarikat gergasi media yang mengatur segalanya – menggunakan algoritma, SEO (pengoptimuman enjin carian) dan AI untuk memutuskan perkara yang dapat dilihat dan dihilangkan. Malah platform berita utama yang ada kini juga mesti mematuhi peraturan ini untuk disedari. Ini membawa kita lebih jauh ke dalam lautan anomie yang penuh dengan sifat negatif.
Akhirnya kita hanya menjadi hamba kepada alatan berkuasa ini yang memanfaatkan otak manusia kita – yang, secara evolusi, dibentuk untuk bertindak balas terhadap tumpuan dan memerhati segala yang berubah dengan pantas. Pada zaman primitif, fungsinya bertujuan untuk melindungi kita daripada pemangsa yang akan menyerang.
Sama ada alam secara semula jadi, sains atau seni yang licik, … saatnya kita mengimbas skrin di telefon kita dan membaca tentang isu yang penting, di peringkat global dan tempatan, kita cenderung untuk melupakannya dengan cepat sebaik sahaja ia meninggalkan tumpuan kita. Kita dibentuk untuk sentiasa mengambil umpan, untuk diikat, seperti ikan pada mata kail – hanya selagi ia kekal dalam penglihatan.
Oleh itu, hari ini kita seolah-olah hidup dalam dunia di mana landskap sosiopolitik dan ekonomi sentiasa berubah. Perkara berubah setiap hari, tetapi ironinya, semakin banyak perkara berubah, semakin ia kelihatan kekal sama.
Dan inilah puncanya: sama seperti cara media sosial terus memupuk rasa anomie kita yang semakin meningkat, politik Malaysia juga seakan memaksa kita untuk bergerak pantas, dari satu isu ke isu seterusnya.
Mari terokai apa yang terjadi melalui tiga contoh yang baru.
Kontroversi pelantikan kehakiman
Pertama, terdapat kekecohan ‘sedikit’ mengenai masalah kehakiman kita baru-baru ini serta kekecohan berkaitan minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman yang bocor. Kesan jangka panjangnya cukup meresahkan.
Ia mengakibatkan Badan Peguam Malaysia, banyak kumpulan masyarakat sivil, dan individu yang prihatin turun ke jalan dan memprotes. Mereka menyebut ancaman ini, sebagai ‘pecahan’ struktur yang mempengaruhi integriti beberapa pelantikan badan kehakiman yang penting.
Saya cukup bangga dengan semua yang memprotes. Ini adalah pahlawan sebenar! Ini, saya fikir, caranya untuk mengatasi anomie.
Apabila keadaan tidak lagi benar, serta kurangnya ketelusan, dan apabila peristiwa dan dokumen (bocor atau tidak) bertembung– kita perlu bertindak!
Kemudian, dalam semalaman, semuanya berubah. Pelantikan dibuat, dan PM menggesa semua orang untuk meninggalkan pertikaian itu. Pertikaian mengenai pelantikan kehakiman segera kononnya telah ‘diselesaikan’.
Adakah ia telah diselesaikan? Adakah soal campur tangan dan pengaruh diketepikan? Adakah badan kehakiman lebih hampir untuk bebas sepenuhnya daripada badan perundangan kerajaan?
Apabila terlalu banyak soalan yang tidak terjawab berlegar di kepala kita, ketika itulah anomie kembali.
Tragedi Teoh Beng Hock
Kemudian terdapat kes sedih melibatkan mendiang Teoh Beng Hock, yang meninggal dunia dalam keadaan mencurigakan berhampiran pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, 16 tahun lalu. Ironinya, SPRM – agensi yang bertujuan untuk memerangi rasuah – yang berada di tengah-tengah tragedi ini.
Sekali lagi, keseluruhan episod ini menyingkap perpecahan jahat yang berlaku di dalam struktur sosial dan moral dalam kerajaan.
Mereka yang diajar melakukan matematik asas merasa jengkel, kerana semua hal seakan tidak masuk akal. Kemungkinan wujudnya penyalahgunaan kuasa yang jelas sepanjang rantai kejadian.
Seolah-olah semua perkara ini tidak mencukupi, kes itu kemudian ditutup dengan NFA (tiada tindakan lanjut). Ia kemudiannya diikuti dengan pampasan yang tidak masuk akal dan cukup menyakitkan hati melibatkan kehilangan nyawa Teoh.
Terasa seperti tikaman terus ke jantung – seperti drama pedang yang sedang saya tonton – kerana mereka yang mempersoalkan, mereka yang merasakan kesakitan kehilangan dan ketidakadilan, seakan dipaksa menerimanya dengan poket mereka yang penuh – wang untuk mendiamkan?
Ia seperti meminta seseorang yang sedang mengalami pendarahan teruk untuk bangun dan menjalani harinya – seolah-olah tiada apa yang berlaku. Apa yang kita tahu ialah ‘seseorang’ dapat melarikan diri – secara literal, dari pembunuhan? Roda keadilan telah gagal.
Itulah anomie untuk anda. Bagaimana sesiapa boleh melepaskan diri dari semua itu? Namun, hidup diteruskan.
Penangkapan di Kota Bharu
Sekitar bulan lepas, 20 orang lelaki telah ditahan di Kota Bharu. Penangkapan, kita dimaklumkan, dibuat demi ‘keselamatan awam’, kerana kesemua lelaki itu didakwa menghadiri “pesta gay”.
Tidak lama selepas itu, Sisters in Islam (SIS) menjelaskan bahawa acara itu sebenarnya adalah program kesedaran HIV, yang diadakan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan, untuk individu berisiko tinggi. Perkara ini juga akhirnya disahkan oleh KKM.
Timbalan menteri besar Kelantan turut mengakui ada “salah faham” namun bertegas supaya aktiviti sebegitu dilaporkan kepada pihak berkuasa terlebih dahulu.
Namun, adakah program kesihatan sebegitu yang memberi manfaat kepada komuniti LGBT dibenarkan dengan kelulusan rasmi – terutamanya di negeri Kelantan?
Kini, Polis Kelantan terus menegaskan bahawa majlis itu sememangnya ‘parti gay’.
Sekali lagi, perasaan yang menenggelamkan kita. Adakah mereka fikir kita sebagai rakyat terlalu bodoh? Keseluruhan episod ini, sebagai tambahan kepada naratif yang ke sana ke mari, sama sekali bukan mengenai keselamatan awam – ia soal memalukan pihak tertentu. Dan ia datang daripada kerajaan negeri dan pasukan polis.
Sungguh memalukan apabila polis dan negara yang dapat memutuskan siapa yang boleh diterima dan siapa yang tidak, apa yang jenayah dan apa yang tidak. Sungguh memalukan apabila mereka buta kepada perkara yang lebih besar tentang kesihatan awam dan keselamatan semua orang.
Saya mengeluh dan saya menyambung tontonan drama pahlawan saya.
Kenapa? Kerana, selain puas mendengar bunyi dentingan pedang bertembung yang bergema, pada tahap lebih dalam, saya tahu konflik itu wajar, untuk perubahan, untuk penyelesaian dan untuk kejelasan.
Itulah sebabnya kita mempunyai parlimen – untuk membahaskan masa depan rakyat dan negara.
Oleh sebab itu, kita perlu melindungi kebebasan akhbar dan menyokong orang seperti Fahmi Reza yang bersuara.
Itulah sebabnya masyarakat sivil dan organisasi seperti SIS dan Badan Peguam Malaysia mesti terus mendesak untuk keadilan, agar mereka yang dilayan secara tidak adil dan dianiaya dapat dibela.
Saya akhirnya menyedari mengapa pertarungan lawan pedang menarik perhatian saya. Kerana, apabila kita benar-benar bertelagah, apabila kita bertembung secara langsung menghadapi perkara tersebut, apabila kita bertindak, ketika itulah kita boleh mula menyelesaikannya, walaupun kita fikir kita tidak berdaya saat tenggelam dalam lautan anomi itu.
Jadi saya menutup TV, memakai baju besi metafora saya, mempersenjatai diri dengan pedang metafora saya, dan pergi ke sekolah luar bandar kecil, untuk bekerja dengan beberapa orang daripada NGO yang komited untuk membuat perubahan.
Bersama-sama, kami mengajar kanak-kanak berusia 11 dan 12 tahun yang entah bagaimana masih tidak mampu membaca dan menulis. Adakah mereka telah gagal di dalam sistem, atau sistem telah menggagalkan mereka?
Apabila sistem gagal, rakyat tidak sepatutnya ikut sama.
Sukeshini Nair
Editor bersama, surat berita Aliran
26 Julai 2025
Terjemahan oleh: Zikri Rahman
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme









