Home Newsletters Mengolah persetujuan: Politik wang dan pilihan raya Johor

Mengolah persetujuan: Politik wang dan pilihan raya Johor

Janganlah memperbodohkan pengundi; semua duit dan janji yang diberikan adalah sebenarnya dari dana awam

Semua ini datang dari dana awam - MALAYSIAKINI

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Ketika kempen pilihan raya negeri Sarawak 2011, saya teringat melihat bagaimana Lim Guan Eng dari DAP berucap cukup rancak di Kuching menggunakan lirik yang digubah dari lagu Wonder Girls yang meletup berjudul, Nobody itu.

Lim mengatakan bahawa lirik lagu itu sepatutnya digubah bersesuaian dengan mesej rakyat kepada Taib Mahmud, yang ketika itu Ketua Menteri Sarawak. Jika parti pembangkang menang pada 16 April itu, mereka patut menyanyikan lirik yang berbunyi “I want no money, no money for you! I want no money, no money for you!” seperti yang dinyanyikan beliau.

Orang ramai kemudian menyanyikannya bersama-sama, sambil bertepuk tampar mengikut irama lirik yang digubah itu.

Mengolah persetujuan

Cukup benar bahawa, politik wang dan kegunaannya ketika pilihan raya sudah pun menjadi kebiasaan sejak sekian lama. Ramai yang mengatakan bahawa ia menjadi budaya ketika zaman Mahathir Mohamad dan kemuncaknya adalah ketika zaman Najib Razak, yang semakin jelas dengan skandal mega 1MDB-nya.

Jurubank yang tercemar namanya, Tim Leissner, memberi keterangan, di dalam sebuah perbicaraan berkaitan 1MDB yang sedang berlangsung di Amerika, bahawa Jho Low ada menyatakan duit daripada bon ketiga Goldman Sachs, yang dirujuk sebagai Projek Catalyze, telah digunakan bagi pilihan raya umum 2013.

Di dalam artikel lain (“The Monetisation of Consent and its Limits: Explaining Political Dominance and Decline in Malaysia”, JCA 2019), saya ada membahaskan bagaimana Najib merupakan seorang “pengolah persetujuan” yang cekap melihat kepada bagaimana beliau menggunakan dana itu.

Mudah kata, pengundi dengan senangnya dirasuah dengan duit menggunakan beberapa cara bagi memberi persetujuan mentadbir kepada parti pemerintah serta calonnya. Persetujuan ini perlu “diolah” kerana para pengundi mungkin tidak mahu mendukung sesebuah parti itu jika bukan kerana undi  mereka “dibeli” dan jika diberi pilihan yang sebenar.

Selepas pilihan raya umum 2008 yang bersejarah itu, selepas Barisan Nasional kehilangan majoriti besarnya di dalam Parlimen, Najib mencuba pelbagai jenis cara untuk mengagihkan duit kepada para pengundi bagi mendapatkan persetujuan daripada mereka. Dana 1MDB mula dilaburkan ketika 2013 menggunakan cara kempen ala “bossku” dengan mula memberikan begitu banyak duit kepada pelbagai lapisan pengundi yang ada.

READ MORE:  Democracy under threat worldwide: What should Malaysia do?

Najib juga mencipta BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) yang secara bijak dijadikan strategi bagi mengolah persetujuan yang disasarkan kepada warga miskin serta yang memerlukan.

Dilaksanakan pada 2012, program bantuan pertama melibatkan pembayaran sekali memberi RM500 seorang kepada 7.3 juta penerima pada 2017. Pengagihan ini semakin besar dari berjumlah RM1.8bn pada mulanya menjadi RM6.8bn pada 2017.

Semua rumahtangga dengan hasil pendapatan sehingga RM3,000 – dinaikkan ke RM4,000 pada 2017 – serta orang dewasa bujang yang berpendapatan kurang dari RM2,000 layak untuk menerima bantuan. Kelayakan juga diberikan kepada warga emas berpendapatan rendah, ibu serta bapa tunggal yang mempunyai tanggungan, dan pasangan berkahwin yang tinggal bersama ibu-bapa mereka.

Pilihan raya Johor

Sekarang, kita bincangkan pula tentang pilihan raya negeri Johor pada 12 Mac nanti. Nampaknya Najib dengan mantera “cash-is-king”-nya itu masih ke sana dan ke sini, bagi berkempen setiap hari di Johor.

Mujur, perintah mahkamah baru-baru ini tidak membenarkan Najib untuk menggunakan dana 1MDB. Namun, cukup mengejutkan bahawa beliau masih boleh mengeluarkan duit sehingga RM100,000 setiap bulan!

Ayuh kita lihat secara spesifik bagaimana mengolah persetujuan menggunakan duit akan mempengaruhi pilihan raya negeri Johor yang akan datang.

Umno-BN sudah pun menggunakan imej bahawa mereka juga terbuka dengan perubahan politik. Manifestonya yang dinamakan “Kestabilan Masa Depan” ditampilkan bagi memfokuskan usaha merancakkan ekonomi, kebajikan masyarakat, anak muda, serta urus tadbir dengan integriti serta reformasi politik.

Ketua pemimpin BN Johor, Hasni Mohammad, mensasarkan kerusi majoriti dua pertiga serta berjanji untuk mengekalkan peruntukan tahunan sebanyak RM200,000 kepada setiap anggota dewan undangan negeri jika BN menang.

Mengolah persetujuan menggunakan wang nampaknya dilakukan dengan berhati-hati dan masuk akal, termasuklah janji melibatkan pinjaman bebas bunga berjumlah RM100 juta kepada industri kecil dan sederhana; bantuan kewangan RM150 kepada pelajar sekolah menengah dan rendah daripada keluarga berpendapatan rendah; dan RM500 kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.

READ MORE:  Electoral misinformation and myths

Pengundi baru dan muda

Kita beralih kepada undi yang mensasarkan pengundi muda pula. Johor merupakan pilihan raya pertama yang menyaksikan hampir 30% atau 749,731 pengundi baru, berikutan pelaksanaan Undi 18 (penurunan umum pengundian minimum dari umur 21 ke 18).

Bilangan pengundi baru yang ramai akan menjadi sasaran bagi mengolah persetujuan. Ianya jelas dengan polisi baru-baru ini berkaitan dengan hutang mahasiswa yang melampau (menerusi pinjaman pendidikan dari Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional) yang disasarkan kepada pengundi muda.

Sehingga akhir 2021, PTPTN sudah mengagihkan sebanyak RM64.8bn kepada hampir 3.5 juta peminjam yang sedang belajar. Hanya sekitar 22% yang sudah pun membayar hutang mereka. Sehingga kini, sekitar 616,000 atau 51% tidak membayarnya dengan jumlah hutang terkumpul sebanyak RM3.5bn.

Tidaklah mengejutkan jika kerajaan tidak bersungguh di dalam percubaannya untuk mendapatkan semula pinjaman, misalnya dengan memberi diskaun serta tidak mengenakan sekatan perjalanan selepas melihat kepada kebanyakan yang tidak membayar hutang (sekitar 75%) adalah golongan bumiputra.

Usaha Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan, dari Bersatu, untuk menyelesaikan masalah ini nampaknya berkurangan. Melihat kepada kedudukan partinya yang lemah di Johor, jelas bahawa beliau menggunakannya sebagai taktik bagi mengolah persetujuan.

Simpanan undi Felda

Titik penting di dalam pengolahan persetujuan akan menjelma dalam persaingan untuk kerusi di kawasan Felda

Terdapat lebih 72 penempatan Felda melibatkan 20 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri Johor. Secara tradisinya, kerusi Felda merupakan simpanan undi kepada Umno, meliputi sehingga 53-54 kerusi di peringkat pusat serta kerusi dewan undangan negeri.

Politik wang, yang samar-samar seperti pengolahan persetujuan, merupakan titik penting bagi fenomena simpanan undi. Peneroka seringkali diberikan subsidi dan wang tunai, lebih-lebih lagi ketika pilihan raya menjelang. Seperti juga hutang pendidikan PTPTN, peneroka juga berhutang besar dengan pihak kerajaan.

READ MORE:  State polls: Why turnout matters

Pada pilihan raya umum 2018, kebanyakan kerusi jatuh kepada pembangkang (27 daripada 53 kerusi). Penganalisa, termasuk saya, ada menyatakan bahawa parti gabungan Pakatan Harapan berjaya memasuki kawasan Felda kerana tindakan kleptokrasi Najib yang melampau memberi bahan kempen untuk memenangi undi di kawasan tersebut.

Poster yang jelas terpampang oleh Perikatan Nasional (di atas) ketika pilihan raya negeri Johor ini juga ada menyatakan bahawa mereka akan mengampunkan sejumlah hutang bernilai RM8.3bn kepada peneroka Felda jika PN kembali berkuasa.

Untuk artikel berkaitan simpanan undi Felda, sila rujuk artikel berkenaan:

Ia duit rakyat!

Rakyat Malaysia, seperti para pengundi di negara lain, juga pastinya tergoda dengan pengolahan persetujuan menggunakan wang, yang sering dijadikan taktik oleh elit pemerintah bagi mengaburi pilihan para pengundi.

Para pengundi sepatutnya tidak diperbodohkan oleh para elit bahawa merekalah yang ‘memberikan’ mereka duit. Duit atau dana ini akhirnya datang daripada perbendaharaan negeri dan sekali gus milik rakyat. Pengundi sepatutnya memastikan bahawa kerajaan yang memerintah agar mengagihkan dana dengan adil bagi kepentingan semua rakyat.

Seperti yang dibahaskan oleh masyarakat sivil yang tercerah, duit sepatutnya tidak digunakan untuk membeli undi.

Sebaliknya, semua pilihan raya perlulah mengikut undang-undang dan peraturan bagi menghalang calon daripada menggunakan duit sebagai tarikan secara tidak adil.

Johan Saravanamuttu
Editor bersama, surat berita Aliran
8 Mac 2022

Terjemahan oleh: Zikri Rahman

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Avatar photo
Dr Johan Saravanamuttu, a long-time Aliran member, is emeritus professor at Universiti Sains Malaysia, adjunct professor at the Asia Europe Institute, University of Malaya and adjunct senior fellow at the S Rajaratnam School of International Studies, Nanyang Technological University. He believes in politics as a vocation but is frustrated that it is often the refuge of opportunists and the morally depraved
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x