Beberapa bulan menuju ke pilihan raya umum 2018, Malaysia digegarkan dengan skandal melibatkan Cambridge Analytica.
Syarikat perlombongan data British cuba untuk bekerjasama dengan kerajaan Umno-Barisan Nasional yang lalu bagi memanipulasi serta melaga-lagakan sentimen pengundi dalam memberi kelebihan kepada gabungan pemerintah ketika itu.
Mujur bagi kebanyakan rakyat Malaysia yang tercerah, cubaan ini gagal dan penggunaan perlombongan data secara haram oleh Cambridge Analytica melalui media sosial kemudiannya dibongkar dan akhirnya mengakibatkan syarikat itu muflis. Facebook juga terpaksa memohon maaf kepada penggunanya kerana melanggar keselamatan data peribadi.
Syarikat media sosial seperti Alphabet (yang mempunyai Google dan YouTube), Twitter dan Meta (yang memiliki Facebook, Instagram dan WhatsApp) memperoleh kekayaan yang besar daripada mengikis, menuai dan mengolah perincian data peribadi pengguna mereka melalui corak penggunaan dan tabiat pengguna mereka.
Data tersuai ini kemudiannya boleh dijual kepada syarikat lain bagi digunakan untuk sasaran pengiklanan mereka. Model perniagaan ini dipanggil “kapitalisme pengawasan“, sebuah istilah yang dicipta oleh Shoshana Zuboff, seorang profesor di Harvard Business School.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Seperti yang dapat kita lihat dalam kes Cambridge Analytica dan campur tangan Rusia dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat 2016, kapitalisme pengawasan bukan sahaja terhad kepada penggunaan komersial tetapi juga telah berkembang ke dalam politik.
Inti kepada kapitalisme pengawasan ialah algoritma yang digunakan oleh syarikat media sosial untuk menjejak dan melombong data pengguna, terutamanya perkara yang disukai oleh pengguna.
Algoritma mempunyai dua tujuan:
• mereka menyediakan pakej data tersuai pengguna yang kemudiannya boleh digunakan oleh pengiklan untuk memperhalusi pemasaran mereka
• mereka membentuk dan meningkatkan pengalaman media sosial pengguna dengan memberi pengguna lebih banyak perkara yang mereka suka
Dalam politik, algoritma boleh menyediakan data berharga kepada pengendali politik, yang kemudiannya mengeksploitasi data ini untuk menyasarkan kumpulan demografi tertentu dengan mesej politik yang disesuaikan. Seringkali matlamatnya adalah bagi menghasilkan ketegangan dan memburukkan ketegangan di antara kumpulan dalam masyarakat – yang akhirnya memberi manfaat kepada pengendali politik.
Pada akhir pengguna, dengan memberi mereka lebih banyak perkara yang mereka suka, algoritma mencipta fenomena yang dikenali sebagai “ruang gema“.
Dalam ruang gema, pengguna hanya melihat suapan berita tentang perkara yang mereka suka. Pengguna tidak terdedah kepada sudut pandangan lain dan hanya menerima maklumat yang mengukuhkan kepercayaan dan prasangka mereka sendiri.
Ini menghasilkan keadaan minda yang dipanggil bias kognitif, di mana pengguna yang tertawan bersungguh-sungguh mempercayai bahawa pandangan dunia mereka – dibentuk, didorong dan diperkukuh oleh ruang gema – sekali gus membentuk ‘kebenaran’ tunggal.
Apabila berhadapan dengan pandangan yang bertentangan, pengguna tertawan akan menggali jauh ke dalam lubang pertahanan mereka – yang kemudian memburukkan ketegangan di kalangan kumpulan dalam masyarakat. Kita boleh melihat arus yang membimbangkan ini bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia.
Memandangkan betapa terdedahnya politik identiti di Malaysia kepada provokasi tidak bertanggungjawab serta bagaimana mudahnya isu etnik-agama dicetuskan, ketegangan dalam masyarakat hanya akan menjadi lebih buruk apabila pilihan raya umum semakin hampir.
Apatah lagi, kebanyakan warga Malaysia menerima berita politik mereka dari media sosial. Menurut sebuah tinjauan, Facebook di Malaysia mempunyai kira-kira 24 juta pengguna, membentuk kira-kira 75% daripada jumlah penduduk.
Jadi, laman media sosial telah menjadi medan pertempuran penting bagi ahli politik kerana mereka berusaha untuk mempengaruhi dan menarik pengundi ke pihak mereka.
Selain daripada algoritma, laman media sosial juga akan dibanjiri dengan akaun palsu dan bot yang membuat onar kepada musuh politik mereka sambil menyebarkan dan memperbesarkan berita palsu dan salah maklumat sehingga orang ramai menganggap laporan sedemikian sebagai absah.
Pengawasan kendiri oleh syarikat media sosial telah terbukti gagal dalam membendung masalah tersebut.
Tanggungjawab ini jatuh kepada pengguna individu serta kerajaan dalam meminimumkan ancaman yang ditimbulkan oleh media sosial terhadap demokrasi.
Setiap individu harus belajar cara menapis dan menilai maklumat yang mereka terima dalam hantaran media sosial mereka.
Pengguna juga digalakkan aktif dalam mempelbagaikan sumber berita yang mereka langgan dalam media sosial supaya mereka didedahkan kepada pelbagai pandangan dan bukan hanya yang mengabsahkan pandangan berat sebelah peribadi mereka. Ini adalah satu cara untuk memintas suapan berita yang dibuat khusus serta dibentuk oleh algoritma.
Kerajaan juga boleh memperkenalkan modul pendidikan mengenai kecelikan media sosial di sekolah, universiti dan pejabat kerajaan bagi mengajar orang ramai bagaimana untuk menjadi pengguna media sosial yang bertanggungjawab.
Pengguna media sosial yang bertanggungjawab sekali gus menjadi warga yang sivil, empati, bertanggungjawab dan berpengetahuan – satu ramuan yang diperlukan dalam memelihara dan mematangkan demokrasi kita.
Kerajaan juga boleh mendesak syarikat media sosial untuk menerima lembaga pengawasan berasaskan negara yang melibatkan pakar teknologi, ahli akademik, aktivis hak asasi manusia, penggubal dasar dan wakil kumpulan minoriti.
Lembaga sedemikian akan melengkapkan sistem pemantauan dalaman dan amalan pengawasan kendiri syarikat media sosial itu sendiri.
Lembaga pengawasan boleh membantu memperhalusi tatakelola yang digunakan oleh syarikat media sosial bagi menapis berita palsu dan kebencian, yang selalunya kaku dan tidak menentu.
Kita mesti mendidik diri kita sendiri tentang cara menjadi pengguna media sosial yang bertanggungjawab, kerana media sosial telah bertukar menjadi ruang politik yang hangat dipertandingkan di mana kebanyakan daripada kita menerima berita yang terkini.
Memandangkan pelaku politik terlibat dalam perang ‘kebenaran’ dalam talian, kita boleh mengelak pertempuran dengan menjalankan usaha munasabah kita sendiri dengan mengabsahkan maklumat dan meluangkan masa untuk berfikir sebelum berkongsi hantaran Facebook dan berciap di Twitter.
Demokrasi bukan sahaja bergantung kepada proses musyawarah para perwakilannya. Ia juga memerlukan pertimbangan yang teliti dari para pesertanya agar mereka menjadi orang yang berilmu yang tidak mudah terpengaruh dengan nafsu dan tidak rasional.
Ia adalah sebuah pengajaran yang harus kita pelajari dalam kita menuju ke pilihan raya umum akan datang.
Azmil Tayeb
Editor bersama, surat berita Aliran
28 September 2022
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme