
Tempoh pilihan raya di banyak negara seringkali dipanggil “musim pembodohan”.
Pada ketika ini – atau sekurang-kurangnya sewaktu tempoh berkempen sehingga selepas hari pengundian sebenar – parti politik, ahli politik, penyokong mereka dan media akan mengeluarkan kenyataan dan mengamalkan tingkah laku yang dianggap tidak logik, tidak rasional dan, ya, betul-betul bodoh, malah memperbodohkan.
Memeluk dan mencium bayi adalah salah satu ritual bodoh yang dilakukan oleh ahli politik di Barat. Ia jarang dilakukan di sini, mungkin kerana kebanyakan kita tidak mempercayai ahli politik untuk berada dekat dengan saudara kita sendiri.
Atau mungkin kita sebuah masyarakat yang pragmatik – kita akan menuntut sesuatu daripada ahli politik kita demi kepuasan mereka. Sampul surat kosong dikandung wang kertas RM50 atau RM100 yang baru adalah apa yang dimahukan ramai orang. Pergi mati dengan etika, moral dan undang-undang.
Esok, 12 Ogos, merupakan hari berlakunya enam pilihan raya negeri – inilah yang berada di fikiran orang ramai, walaupun peratusan keluar mengundi yang rendah dapat dijangka. Berbanding dengan pilihan raya umum November lalu, kempen kali ini kurang meriah dengan lebih sedikit orang yang menghadiri ceramah. Malah, kempen di platform media sosial juga agak lemah.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Ramai yang sudah bosan dengan politik yang tidak matang: kita muak dengan serangan peribadi dan tindakan berterusan kepada “tiga R” – kaum (race), agama (religion) dan diraja (royalty) – oleh ahli politik, terutamanya mereka dalam Perikatan Nasional, termasuk Pas.
Apabila seorang tokoh politik tua, yang sering bertukar parti politik lebih daripada seorang bayi menukar lampin, naik ke pentas dan bercakap tentang bagaimana etnik Melayu kehilangan segala-galanya di “tanah mereka sendiri”, ramai di antara kita hanya menggelengkan kepala dan menutup telinga.
Lelaki tua toksik itu, Dr Mahathir Mohamad, yang suatu masa cukup dihormati di peringkat antarabangsa, kedengaran seperti “radio rosak yang berulang” pada musim pembodohan ini. Cukup melegakan ramai orang di mana selepas ‘perangai’” yang dilakukannya pada awal kempen, beliau tidak lagi dipaparkan dalam media berita.
Sungguh menyedihkan apabila melihat seseorang yang pernah dihormati ramai sebagai wira dan khazanah negara memusnahkan reputasinya dengan cara sebegini. Seolah-olah beliau bukan sahaja cuba untuk menjadi relevan tetapi berusaha untuk mengambil alih menjadi ‘badut’ terbaik musim ini, iaitu ketua menteri penjaga Kedah, Mohd Sanusi Md Nor.
Terpalit dengan kontroversi dan skandal, yang seringkali berpunca dari perangainya sendiri, Sanusi enggan tunduk kepada pengkritiknya dan cuba mengukir imej dirinya sebagai pejuang dan bakal pemimpin Pas.
Nota sampingan kepada pengikut Pas: bergerak ke arah ideologi kanan satu hal; tapi bergerak menjadi kanan dengan dipimpin oleh seseorang yang tidak mempunyai kompas moral dan kelas adalah satu hal lagi. Ia menggambarkan banyak hal tentang politik kita di mana ‘pemimpin’ masa depan kita hanya mempunyai kaliber sebegini.
Apa pun, kebodohan di kalangan ahli politik kita nampaknya merentas generasi. Salah satu negeri termiskin di Malaysia, Kelantan, mengalami masalah banjir tahunan dan masalah bekalan air yang tidak berkesudahan. Air yang mereka perolehi dari paip mereka selalunya berwarna coklat susu, seperti teh tarik.
Hanya beberapa hari yang lalu, dalam usaha untuk menangkis kritikan terhadap bekalan air negeri Kelantan, timbalan ketua menteri sementaranya berkata, “Penduduk kampung akan memikirkan penyelesaian mereka sendiri. Mereka akan menggali telaga dan mendapatkan air dari bawah tanah.”
Sikap tidak berperasaan dan tiada hati perut daripada seorang ahli politik negeri beginilah yang menyakitkan hati ramai rakyat Kelantan dan meninggalkan kesan buruk sewaktu beliau memegang jawatannya. Ahli politik yang memperdayakan rakyat untuk pasrah menerima penderitaan mereka – kononnya sebagai persediaan untuk ke syurga – pastinya akan diketepikan jika berlaku pilihan raya di tempat dan masa yang lain, bukan? Sebaliknya, di sini mereka boleh memandu dengan kenderaan mahal yang dibiayai oleh kerajaan dan menjalani kehidupan mewah.
Ia mungkin mencerminkan musim pembodohan juga di mana perdana menteri sendiri ketika di atas pentas untuk menjawab soalan, kemudiannya dengan tidak sabar memaksa seorang pelajar remaja yang gugup dan jelas ketakutan kerana dikatakan bertele-tele dalam bertanya soalan.
Boleh jadi, pemimpin Pakatan Harapan itu telah merentas negara sepanjang tempoh berkempen dan mungkin sudah terlalu keletihan petang itu. Namun, melihat semula keadaan sewaktu itu, beliau mungkin merasakan bahawa mahasiswa itu patut mendapat jawapan yang lebih baik.
Permintaan maaf secara terbuka dengan cepat akan meredakan banyak hal, tetapi adakah kalian semua perasan, sayangnya, ini bukan cara kita di Malaysia? Kita, lebih-lebih lagi ahli politik, lebih suka memperleceh kesilapan yang kita lakukan dan bertindak balas dengan membuat alasan, seperti meminta mereka yang menderita untuk mengambil cangkul dan menggali telaga mereka sendiri.
Adakah ini tandanya kita tidak sensitif, malah tidak berhati perut? Atau ia tanda kejahilan dan kebodohan?
Menonton debat awam yang cukup dihebohkan tempohari – dan mungkin satu-satunya – perdebatan awam sewaktu tempoh kempen ini, ia seakan debat ‘separuh masak’. Ia bukanlah perdebatan sengit sebaliknya seperti ‘penyembelihan’. Seorang pengulas secara lucu menyebutnya seperti “Real Madrid melawan JKR Kelantan”.
Ia sepatutnya menjadi “perdebatan mengenai model ekonomi baharu”. Sebaliknya, kita melihat pendebat berpengalaman Rafizi Ramli berhadapan dengan Syahir Sulaiman dari Pas, yang jelas tidak selesa, yang akhirnya membaca skrip yang disediakan, tidak menjawab soalan yang dikemukakan dan kini dituduh menghina agama Buddha dan sami Buddha.
Sesungguhnya, ia adalah musim yang cukup memperbodohkan – musim yang cukup menyukarkan bagi arwah Haris Ibrahim yang telah lama menderita, yang meninggal dunia akibat kanser semasa musim kempen. Selama beberapa dekad, Haris tanpa jemu memerangi perkauman dan ketaksuban sebagai seorang peguam dan aktivis serta bekerja untuk Malaysia yang lebih baik.
Adakah ia terlalu sukar untuk kita semua keluar mengundi, dengan harapan pilihan raya negeri Sabtu ini akan melihat kita bergerak selangkah ke arah mencapai impian Haris?
Rom Nain
Editor bersama, surat berita Aliran
11 Ogos 2023
Terjemahan oleh: Zikri Rahman
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme