Terlalu banyak kandungan di media sosial mencerminkan agenda tertentu.
Apabila sesebuah artikel ditulis oleh ahli politik, ia mesti ditanggapi jika ada bias tertentu.
Kita ada seorang bekas ahli DAP yang kini tidak mempunyai apa-apa yang positif untuk dikatakan tentang bekas partinya atau pada perdana menteri. Beliau kini hanya berkempen untuk hak komuniti etnik India semata. Ini mencerminkan pemikirannya.
Sepatutnya beliau lebih matang dan memperjuangkan hak semua rakyat Malaysia. Walaupun ada pendidikan dan kelayakan, beliau tetap dipenjarakan oleh pemikiran etnik, seperti ramai ahli politik lain di Malaysia.
Pendekatan sebegini hanya membangkitkan emosi negatif. Bolehkah kita benar-benar mengejar kebaikan kita sendiri tanpa mengangkat kebaikan orang lain? Kehidupan berdasarkan kepentingan diri yang sempit, betapa mulia pun niatnya, tidak boleh dipandang dengan ukuran yang mulia.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Mencari yang terbaik dalam diri kita juga memerlukan usaha aktif untuk menjaga kebajikan insan lain. Walau bagaimanapun, hubungan sesama manusia kita mungkin hanya wujud melibatkan beberapa orang dari komuniti atau kumpulan kita sendiri yang kebanyakannya terkait dengan urusan kita. Juga, kumpulan sektarian, sama ada berbentuk agama atau etnik, perlu diperhatikan dalam dunia yang saling bergantungan hari ini.
Kelompok yang kita peduli mesti melangkaui sempadan kumpulan etnik kita, dan melangkaui kelompok mereka yang terkemuka, kaya, berpendidikan dan berpengaruh. Ia mesti meluas melibatkan saudara dan saudari semanusia kita. Hanya dengan cara ini kita boleh menangani cabaran manusia iaitu kemiskinan, ketidaksamaan dan kekurangan keperluan asas yang begitu ketara dalam masyarakat.
Pedagang berita buruk
Sesetengah pencipta kandungan media sosial hanya melihat keburukan dan kesuraman. Membaca atau melihat kandungan dikeluarkan mereka memberi rasa seakan tiada perkara yang baik untuk kita nantikan. Malaysia, padanya, menanti kemusnahan.
Ada yang menulis atau menghasilkan kandungan untuk mendapatkan hits. Lebih sensasi karya mereka, lebih ramai pembaca atau penonton. Sekali gus menghasilkan faedah lain.
Namun, kandungan mereka itu yang memerlukan analisis kritikal. Minda yang tidak berfikir dengan mudah akan terpengaruh dengan berita negatif dan hanya tahu menyalahkan, juga senang dibawa perasaan melihat nasib yang menimpa mangsa.
Namun, sebagai pembaca, kita mempunyai masa untuk bertanya soalan yang betul. Kita benar-benar boleh membedah dan membezakan agenda sebenar. Kita semua telah membaca bagaimana Yusoff Rawther digambarkan sebagai mangsa dalam kes yang berkaitan dengan perdana menteri sekarang.
Siapa Yusoff Rawther? Ini soalan penting untuk disiasat. Beliau nampaknya disokong baik oleh aktivis dalam talian serta ahli parlimen pembangkang. Adakah kita sedang dimanipulasi oleh mangsanya untuk menarik simpati serta dibutakan dari realiti motif yang ada?
Naratif perihal sodomi yang berulang
Kita sebuah negara di mana dakwaan meliwat menjadi sebahagian daripada sampah politik yang kita terpaksa hidupi.
Kita mempunyai seorang PM yang sudah cukup dengan cabaran sebegini. Bagaimana beliau masih boleh bertahan? Kes pertama membawa kepada yang kedua. Masih ada yang ingat bagaimana katil, tilam dan segala bentuk pameran yang ada dulu?
Kemudian kita juga mendengar kes berkaitan Azmin Ali di Sarawak. Begitu banyak kontroversi dan semuanya tidak dapat diselesaikan.
Adakah ini juga agenda bermotifkan politik? Adakah PM begitu naif untuk melakukan kesilapan yang sama berulang kali?
Kini, apa yang didakwa adalah kejadian yang berlaku pada 2018, hampir tujuh tahun lalu. Akuan berkanun itu dibuat oleh Yusoff Rawther hanya pada Disember 2019, lebih setahun kemudian.
Mengapa tiada laporan polis segera pada 2018? Pasti ada yang akan bertindak balas dengan segera.
Tiada tindakan serta-merta oleh polis diambil, dan hanya selepas lanskap politik berubah, penyokong plaintif melihat peluang besar yang ada.
Tetapi tiada pertuduhan dilakukan, dan kes itu ditutup oleh Jabatan Peguam Negara pada 2020 selepas perkara itu disiasat sepenuhnya.
Peguam negara ketika itu (tidak dilantik oleh Anwar Ibrahim) mengklasifikasikan kes itu sebagai ‘tiada tindakan lanjut’ dengan alasan bukti yang tidak mencukupi. Mengapa ia sekarang diabaikan sepenuhnya? Adakah mereka yang memperjuangkan penghormatan terhadap budi bicara pendakwaan dan kebebasan bersikap selektif dalam kritikan mereka?
Saman sivil kemudiannya dimulakan dua tahun kemudian pada 2021. Mereka yang berada di belakang langkah ini pasti menyedari bahawa beban pembuktian adalah jauh lebih rendah dan merasakan mereka mempunyai peluang sekali lagi untuk menjadikannya tajuk utama. Ini akan mewujudkan kerosakan politik yang lebih teruk kepada perdana menteri. Ada yang menyifatkan ini sebagai ‘perang reputasi’ oleh proksi.
Persoalan tentang kehakiman dan pendanaan
Bagi Pas dan semua pemimpin pembangkang yang lain, wujud persoalan lain. Mengapa kes itu tidak didakwa di bawah undang-undang Syariah dan di mahkamah Syariah? Adakah nanti tiada kes untuk dihakimi?
Mengikuti jejak wang yang ada selalunya memberikan petunjuk yang baik. Siapa yang membiayai Yusoff Rawther adalah satu lagi persoalan penting untuk disemak dan disiasat. Kita seakan dibuat untuk mempercayai bahawa mereka yang mengangkat perjuangannya ini berbuat demikian atas nama keadilan, secara pro bono.
Untuk mencapai tahap sekarang ini pun, secara sah akan menyebabkan plaintif menanggung beberapa ratus ribu ringgit melibatkan yuran dan kos guaman. Plaintif, dengan latar belakang dan umurnya, perlu mampu untuk membayar jumlah ini atau secara alternatifnya, hanya boleh dibiayai oleh mereka yang mungkin mempunyai agenda.
Melihat kepada umur, kelayakan dan kredibilitinya, adakah dia, setelah menjadi defendan jenayah, masih mempunyai akses kepada sumber kewangan sedemikian?
Kemudian terdapat juga episod pendakwaan melibatkan pengedaran dadah dan memiliki senjata api. Semua ini menambahkan lagi drama ketika Yusoff Rawther ditahan di Penjara Sungai Buloh.
Jabatan Peguam Negara, yang menolak untuk mendakwa pada tahun 2020, menyatakan terdapat “percanggahan fakta material” dalam kes yang dikatakan cubaan mencabul kehormatan itu.
Dalam kes saman sivil Yusoff Rawther, seorang hakim Mahkamah Tinggi berkata pada Mei lalu bahawa cukup menarik bahawa plaintif, tidak lama dahulu, dalam kes yang sama ini, telah mengesahkan secara bersumpah dalam afidavit yang mengatakan bahawa maklumat mengenai ujian poligrafnya adalah tidak relevan dan tidak perlu.
Kita yang menyaksikan drama ini melalui media, hanya perlu bertanya sejauh mana isu berbentuk politik ini akan kekal.
Keadilan atau sabotaj?
Adakah kes ini mengenai keadilan atau tentang usaha mensabotaj perdana menteri dan “kerajaan perpaduan”nya? Hentam mereka habis habisan dengan tujuan memusnahkan tanggapan orang ramai tentang keperibadian PM dan agenda anti-rasuahnya.
Sama seperti plaintif mempunyai hak mereka di mahkamah perundangan, perkara yang sama juga terpakai kepada defendan. Adillah jika persoalan berkaitan perlembagaan turut dibangkitkan. Jika kita percaya kepada keadilan dan kesaksamaan serta percaya kepada badan kehakiman, maka biarlah mahkamah membuat keputusan mereka.
Bukan terpulang kepada media dan orang ramai untuk menilai. Pun, mereka yang mempunyai agenda pasti menggunakan semua ini untuk tujuan yang mereka mahukan.
Untuk bertanya jika Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 128(2) Perlembagaan membenarkan sama ada kes seperti ini yang difailkan dalam keadaan yang ada sekarang boleh diteruskan atau tidak adalah soalan yang adil.
Biarkan Mahkamah Persekutuan buat pertimbangannya. Kita mempunyai situasi politik di mana badan kehakiman perlu menjawabnya.
PM tidak perlu terkejut kerana beliau telah mendukung cabaran berat dalam mempersoalkan kekayaan ahli-ahli penting golongan elit, termasuk Dr Mahathir Mohamad, Allahyarham Daim Zainuddin dan beberapa yang lain.
Lihatlah pembangkang dan betapa banyak kes rasuah yang difailkan melibatkan segelintir mereka. Mereka memerlukan kuasa dan hanya dengan kuasa, mereka boleh menyelamatkan diri mereka, mungkin dengan “DNAA” (pelepasan tanpa pembebasan) dan hidup untuk menceritakan kisah mereka.
Tiada siapa yang sempurna dan sementara kita yang bias aini barangkali mempunyai kesedaran diri yang lebih tinggi, perkara yang sama tidak boleh dikatakan tentang ahli politik kita yang mengisi ruang awam dengan ego mereka
Gambaran besar
“Tiada seorang pun boleh menjadi betul dalam satu bahagian kehidupan sementera melakukan banyak kesalahan secara serentak dalam banyak bahagian lain,” kata seorang pemimpin rohani.
Mengapa tidak menangkap PM soal rasuah, pengubahan wang haram, menipu dan dosa yang melibatkan reputasi lain dan mendakwanya, jika ada bukti. Mengapa ia tidak boleh dilakukan?
Menggunakan cerita keji yang sama hanya mendedahkan wujudnya agenda, seorang yang sepertinya hanya mempunyai satu kelemahan, dengan semuanya bertujuan untuk merosakkan kedudukannya sebagai pemimpin Islam.
Lihatlah barisan pembangkang dan perdana menteri yang lepas. Kita mendengar cerita tentang bagaimana wang dan rasuah yang dilakukan oleh bukan sahaja diri mereka sendiri tetapi juga ahli keluarga dan kenalan rapat mereka.
Pilihan kita adalah terhad. Terdapat pergolakan dalam PKR dan ia perlu ditangani oleh PM. Semua ini adalah sebahagian daripada menjadi ahli politik, dan seseorang tidak perlu iri hati melihat PM yang terpaksa mengimbang kerajaan campuran yang ada.
Saya gembira kerana dua nama besar PKR meletak jawatan apabila mereka kehilangan sokongan dalam parti – tidak seperti yang berlaku dalam Umno. Ini adalah piawaian etika yang baik untuk meninggalkan tanda dalam politik.
Akhirnya, ia adalah persoalan tentang perjuangan yang ingin diambil oleh seseorang. Membela mangsa seperti Yusoff Rawther atau pertimbangkan seadilnya kes itu.
Saya tidak yakin dengan semua dakwaan beliau, dan agenda saya, jika ada pun, ialah kontroversi seperti ini tidak sepatutnya mengambil masa kita apabila ada isu yang lebih serius untuk dipertimbangkan.
K Haridas
Editor bersama, surat berita Aliran
14 Julai 2025
Terjemahan oleh: Zikri Rahman
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme

