Home Newsletters Negara, masyarakat dan ekonomi dalam peralihan – ke mana Malaysia?

Negara, masyarakat dan ekonomi dalam peralihan – ke mana Malaysia?

Selamat Hari Malaysia – walau sudah terlambat sebulan!

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Hari Malaysia dan Aliran membuat keputusan untuk menyambut Hari Malaysia (16 September) yang bertuah ini dengan mengadakan webinar; ideanya adalah untuk rakyat Malaysia, menerusi siaran langsung, untuk bertukar fikiran bersama tentang ke mana hala tuju negara kita saat suasana politik yang goyah berdepan pandemik.

Mengadakan webinar menjadi ‘ikutan’ ketika kuncitara Covid. Kami juga perasan hal yang sama. Menuju ke Hari Merdeka dan Hari Malaysia, terdapat webinar tentang pengurusan kerajaan Perikatan Nasional dalam menguruskan pandemik; akibat dari kudeta Sheraton serta penutupan Parlimen; keadaan ekonomi serta apa yang perlu dilakukan kita; apa ianya sesuatu yang mengikut Perlembagaan atau hanya helah politik; hilangnya kebebasan dan selanjutnya. Kami mahu memastikan bahawa kami tidak mengulang apa yang sudah dibincangkan orang lain.

Jadi, kami menjemput para pembicara untuk mengupas tentang situasi politik, sosial dan ekonomi Malaysia dalam tempoh, lebih kurang, lima tahun ke hadapan. Dan kami juga meminta mereka untuk menghubungkannya dengan beberapa perkembangan dan peristiwa tertentu – makna kata, gambaran kecil – terhadap gambaran besar agar kita bukan sahaja dapat melihat pokoknya, tetapi juga keseluruhan hutannya. Ini asas Analisis Sosiologikal 101.

Lihatlah semua, kita ada PM ke-9

Dalam persediaan kami menganjurkan webinar – tiba-tiba, Perdana Menteri kelapan, Mahiaddin Yassin, terpaksa meletak jawatan.

Timbalannya yang dilantik, Ismail Sabri Yaakob – yang mana kebanyakannya warga Malaysia tidak pernah mendengar namanya sebelum itu, atau jika pun mereka pernah dengar, tidak pula dikaitkan dengan jawatan sebagai PM – kemudian mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kesembilan. Sebenarnya, beliau bukanlah calon PM oleh sesiapa pun, tapi akhirnya menjadi PM kita; tapi kalian dan saya bukanlah orang yang boleh bersuara dalam hal ini!

Tidak, beliau bukanlah seorang yang berkelayakan untuk menguruskan pandemik, dan tidak pula ada magiknya untuk memulihkan ekonomi. Beliau hampir pasti tidak mempunyai karisma untuk menginspirasi anak muda yang tidak dapat mengikuti persekolahan atau kolej hampir setahun lamanya, apatah lagi menyediakan pekerjaan bagi mereka yang sudah berijazah. Beliau juga bukanlah seorang peguam tersohor Malaysia yang tangkas di mahkamah. Reputasi yang sebegini tidak menyelubungi pelantikan Ismail Sabri sebagai PM. Bukan juga beliau berkebolehan dalam sukan kerana beliau tidak dapat membuktikan bahawa dirinya pernah bermain golf bersama, contohnya, bekas Presiden AS Donald Trump atau Presiden Joe Biden.

Yang beliau ada hanyalah ‘bilangan’, bilangan yang ajaib! Dan kerana itu, pemimpin barisan kedua Umno ini, yang mengejutkan semua orang yang pada mulanya dilantik sebagai timbalan Mahiaddin, sekarang mengangkat sumpah di hadapan sultan dan meluru masuk ke Dewan Rakyat sebagai PM.

Beliau yang bukanlah calon pertama dari parti untuk menjadi PM, bahkan beliau adalah calon sandaran, entah yang kedua atau ketiga untuk jawatan PM. Pengajaran untuk semua: hati-hati siapa yang kalian lantik sebagai pilihan kedua dan ketiga. Barangkali, akhirnya merekalah yang ditunggu-tunggu untuk menjadi calon nombor 1!

Kelebihannya, beliau tidak mempunyai musuh jelas. Seringkali, beliau kelihatan lembab ketika langsung di depan televisyen ketika bersama bekas Perdana Menteri Mahiaddin, tiada ketua parti atau parti politik lain mempunyai sentimen terhadapnya. Beliau bukanlah seseorang yang dapat membuatkan kita merasa negatif, apatah lagi positif sebenarnya.

Oleh kerana itu, tidak seperti pendahulunya, Ismail Sabri dapat menandatangani Memorandum Persefahaman bersama Pakatan Harapan selepas beliau menjadi PM.

Berdasarkan dakwaan Ismail Sabri bahawa beliau ada bilangan ajaibnya itu serta memorandum yang ditandatanganinya, pemimpin pembangkang memutuskan bahawa undi tidak percaya tidak perlu dilakukan. Ya, berulang kali mereka mengatakan bahawa mereka akan meneruskan undi tidak percaya ketika Mahiaddin menjawat jawatan PM, namun masalahnya ketika itu adalah Mahiaddin tidak membenarkan Parlimen bersidang.

Nampaknya, parti pembangkang percaya kata Ismail Sabri bahawa beliau ada bilangannya. Apatah lagi, Sultan sudah pun ‘mewawancara’ semua pemimpin parti dan kebanyakan Ahli Parlimen sebelum memperkenannya kepada Ismail Sabri.

Dengan itu, saat berubahnya tampuk pemerintahan, ianya bukan lagi 1Malaysia atau  wassatiyyah (moderation) atau Bangsa Malaysia. Sekarang tiba masanya untuk “keluarga Malaysia” (Malaysian family).

Jadi, para pembicara webinar kita nampaknya mempunyai topik yang cukup untuk dibincangkan dan ianya sesuatu yang menerujakan saat menghampiri webinar di Hari Malaysia itu!

Para pembicara webinar

Kami telah membariskan empat pembicara tersohor bagi webinar pada malam itu.

Rasa di puncak dunia: Ada kami nyatakan … Azmil juga seorang pengembara yang tegar! – ALIRAN

Dr Azmil Tayeb, seorang saintis politik mengajar di Universiti Sains Malaysia yang sudah pun menjalankan penyelidikan tentang politik Islam, gerakan sosial dan politik kerajaan tempatan di Indonesia dan Malaysia. Bukunya berjudul Islamic Education in Indonesia and Malaysia (2018), yang membandingkan bagaimana pendidikan Islam diajar dan diperturunkan di kedua-dua negara jiran ini cukup dipuji kerana dapatan perbandingannya. Beliau menerima PhD-nya dari Australian National University, Canberra. Kini, beliau merupakan setiausaha agung Aliran.

Dr Prema Devaraj pula bekerja di dalam bidang hak kanak-kanak dan gender lebih dari 20 tahun. Kebanyakan masanya, beliau bersama Women’s Centre for Change, Penang (WCC), dengan peranan berbeza selaku pelatih, pengarah program serta jururunding program. Sejak lima tahun lepas, Prema telah bekerja sebagai jururunding tentang hak kanak-kanak dan gender. Prema juga merupakan anggota jawatankuasa eksekutif Aliran selama hampir 20 tahun dan merupakan presiden wanita pertamanya (2016 – 2019). Kini, beliau merupakan timbalan setiausaha kehormat Aliran.

Dr Terence Gomez merupakan profesor bidang politik ekonomi di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran di Universiti Malaya. Beliau pernah memegang beberapa lantikan universiti di UK, Australia, Japan dan AS. Di antara 2005 dan 2008, beliau bertugas sebagai penyelaras pendidikan di Institut Penyelidikan Untuk Pembangunan Sosial Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRISD) di Geneva. Bukunya tentang politik ekonomi di Malaysia: Politics, Patronage and Profits mendokumentasi penglibatan Umno, MCA serta MIC di dalam bidang perbankan serta kewangan, melibatkan empayar media, kerjasama di peringkat pendidikan tinggi serta industri pembinaan. Penerbitannya yang lain juga termasuklah Political Business in East Asia dan Minister of Finance Incorporated: Ownership and Control of Corporate Malaysia.

Beliau juga merupakan pengarang bersama buku China in Malaysia: State-Business Relations and the New Order of Business Flows (2021). Terence merupakan ahli lama Aliran.

READ MORE:  2,000 reasons to hope: Patriot lauds plan to regularly audit government-linked firms
DR KHOO YING HOOI/ALIRAN

Dr Khoo Ying Hooi merupakan Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik, Universiti Malaya. Beliau selesai PhD di dalam bidang politik dan kerajaan, meneliti tentang gerakan sosial dan pendemokrasian sekaligus menghasilkan buku tentang gerakan Bersih. Minat penyelidikan termasuklah soal gerakan sivil, gerakan sosial, hak asasi dan pendemokrasian, dengan memfokuskan kepada Asia Tenggara. Beliau merupakan pengarang kepada The Bersih Movement and Democratisation in Malaysia (2020) dan penyunting bersama Southeast Asia, Infected and Interrupted: Elevating Critical Voices on the State of Human Rights and Peace in the Time of Covid-19 (2021), antara lainnya. Ying Hooi juga merupakan ahli jawatankuasa eksekutif Aliran.

Di dalam menilai keadaan dalam negara, ianya bukan saja penting untuk mendengar pendapat mereka dari latar belakang etnik-agama yang berbeza, tetapi juga dari wanita. Pemilihan pembicara kita memastikan hal ini berlaku.

Kami juga berusaha untuk memasukkan suara anak muda dengan menjemput Zikri Rahman, 31, selaku pemudahcara. Sebagai seorang ahli Aliran, Zikri juga merupakan seorang pekerja budaya dan seni bersama Buku Jalanan, LiteraCity dan Pusat Sejarah Rakyat. Kini beliau sedang menghabiskan pengajiannya di peringkat sarjana dalam bidang kajian sosial dan budaya di National Yang Ming Chiao Tung University in Taiwan.

Ada yang kata mahu cuba benda baru? Zikri sedang menjalani pengajian peringkat sarjana di Taiwan – ALIRAN

Zikri, pemuda yang berani ini membuka webinar dengan menjemput para pendengar dan mengucapkan selamat Hari Malaysia. Beliau kemudiannya memperkenalkan semua pembicara dengan menyatakan semuanya, termasuklah dirinya, merupakan anggota Aliran.

Zikri menjelaskan bagaimana beliau akan menguruskan forum selama sejam setengah. Para pembicara diberikan 10 minit untuk berkongsi isi utama. Para pendengar dapat berkongsi soalan, di mana Zikri akan mengumpul dan menyampaikan kepada pembicara ketika sesi soal jawab selama 40 minit itu. Para pembicara kemudiannya diberi tiga minit setiap orang untuk membuat ulasan akhir.

Setiap pembicara mengambil peluang tiga minit itu pastinya! Dan sudah tentu, webinar itu terlajak lebih dari sejam setengah yang dijadualkan!

Perasaan dari akar umbi

Berikut merupakan beberapa perasaan penting yang dinyatakan oleh keempat-empat pembicara:

1) Jelas terdapat kegusaran bahawa negara mengalami ‘ketidakfungsian institusi’ atau kegagalan institusi utama serta prosesnya yang memastikan Malaysia terus kukuh dan dapat mengamalkan demokrasi berfungsi. Kita sudah bertukar kerajaan tiga kali semenjak 2018. 

Tampaknya, kita boleh berubah kerajaan menerusi kudeta pintu belakang atau melalui proses temu ramah oleh Raja. Memburukkan keadaan, Parlimen tidak dibenarkan bersidang dan jika pun ia dibenarkan, hanya sehari atau dua hari, tiada masa untuk soal jawab, yang merupakan aspek penting bagi mana-mana sistem demokrasi berparlimen Westminster. Keadaan sekarang cukup menjelekkan, lebih-lebih lagi Prema. Keadaan sistem pendidikan turut disentuh sekali lalu. Namun, topik ini memerlukan siri webinarnya yang sendiri.

2) Kesemua pembicara menyatakan bagaimana orang awam tidak lagi mempercayai ahli politik, parti politik serta politik itu sendiri secara umumnya. Wujud “defisit kepercayaan” terhadap mereka yag mengaku diri mereka sebagai pemimpin. Ahli politik melompat dari satu parti kepada yang lain. Ahli politik dari semua parti nampaknya tidak berpegang pada prinsip. Antaranya tokoh terkemuka, dari parti Islam, yang menyatakan bahawa apa yang dianggap sebagai rasuah boleh jadi tidak, jika dipandang dari sudut pandang Islam. Lihatlah bagaimana Islam disalahguna sebegitu.

3) “Defisit kepercayaan” ini turut melibatkan ahli politik dan parti politik dari kedua-dua belah pihak. Justeru, terdapat kesangsian terhadap Memorandum Persefahaman yang baru ditandatangani oleh PM serta pemimpin pembangkang. Keempat-empat pembicara dengan cepat memberikan komen bahawa kebanyakan isu sudah dinyatakan ketika pilihan raya umum 2018, yang juga menyaksikan perubahan rejim. Ia hanya diulang ketika PH berkuasa tanpa sebarang kesan. Bolehlah dikatakan, kerajaan PH tidak mempunyai cukup masa untuk membuktikan diri mereka sebelum kudeta Sheraton berlaku.

Penting juga untuk diperhatikan, apa yang berlaku melibatkan kejatuhan pemerintahan PH bermula dengan perpecahan gabungan PH sendiri. Lebih teruk apabila perpecahan itu berlaku melibatkan parti politik gabungan itu, PKR, yang diketuai Anwar Ibrahim, yang sarat idea Reformasi dan juga pemimpinnya. Mereka yang kecewa dengan Umno-BN turut bersama Anwar ketika pilihan raya umum 2018.

Jadi, nampaknya Memorandum Persefahaman ini tidaklah begitu menjanjikan. Terlalu banyak kekecewaan dan tidak percaya pada ahli politik serta parti politik – tidak kisahlah PN atau PH – sudah membekas.

4) Pun begitu, menilai dari perasaan yang dinyatakan oleh para pendengar, dan merespon kepada soalan dari mereka berkenaan pengundian kepada kuasa ketiga, tampaknya para pembicara Aliran masih menyatakan bahawa perlu untuk mengundi pembangkang masuk bagi pilihan raya akan datang!

Sokongan kepada “kuasa ketiga” akan mengakibatkan pecahan undi kepada “pembangkang” dan membenarkan gabungan Umno-BN-Pas-Bersatu untuk kembali berkuasa, seperti apa yang mereka lakukan menerusi kudeta Sheraton di mana tidak ada majoriti yang mengundi mereka. Apa pun, kuasa ketiga akan berdepan cabaran besar – untuk bertarung di gelanggang pilihanraya yang semakin mahal. Mustahil mereka dapat berbelanja sepertimana kerajaan Umno-BN-Pas-PN atau bersaing seperti PH selaku pembangkang. Ia hanya membazir duit, tenaga dan sumber, seperti dikatakan Terence.

Namun, sokongan yang berat hati(?) kepada pembangkang turut perlu diperkuat dengan memperkukuhkan organisasi masyarakat sivil. Makna kata, Aliran perlu menguatkan kerjasama dengan NGO terlibat di dalam Bersih, Gabungan Bertindak Malaysia (GBM), kelompok anti-Akta Hasutan, Penang Forum dan lain-lain. Jaringan masyarakat sivil seperti Aliran perlu diperkuatkan bagi mendesak agenda perubahan, bagi Malaysia yang lebih baik.

Ya, bekerjasamalah dengan parti dan ahli politik pembangkang yang bersetuju dengan desakan masyarakat sivil bagi Malaysia yang lebih inklusif, demokratik, mampan secara ekonomi serta lebih setara bagi membaik pulih institusi. Tetapi – ini penting – jangan terus percaya kepada mereka.

Malah, kelompok masyarakat sivil Malaysia perlu memastikan ahli politik dan parti politik bertanggungjawab jika benar mereka berkongsi pendapat memastikan reformasi polisi dijalankan. Mudah kata, bekerja dengan pembangkang, namun jangan percaya bulat-bulat. Sentiasa semak apa yang dilakukan mereka.

Kata para pembicara

Azmil membuka perbincangan dengan panggilan untuk merenung maksud menjadi warga Malaysia. Apa yang menghubungkan kita dengan yang lain di Sabah dan Sarawak? Atau apakah kita tidak terhubung apa pun dengan dua negeri Borneo itu sebenarnya? Beliau menyatakan terlalu banyak perkara dalam keadaan terumbang-ambing, yang bermaksud kita perlu berfikir dan bertindak bagi jangka masa panjang.

READ MORE:  This Malaysia Day, let's rise to harness our greatest asset - unity in diversity

Jangka panjang bermaksud kita perlu keluar dari perbezaan di antara semenanjung dan Sabah/Sarawak, keluar dari perbezaan etnik-keagamaan yang membahagikan kita, keluar dari pandangan yang berseberangan. Ubah sikap dan politik kita dengan memfokuskan kepada ‘isu bread and butter’ (kelangsungan hidup) yang dapat menyatukan kita tanpa mengira dari wilayah mana kita datang atau apa etnik dan agama yang dimiliki kita.

Prema mengingatkan kita kepada Operasi Lalang pada Oktober 1987, 34 tahun dahulu. Berbanding ketika itu, masyarakat sivil kita sekarang lebih bertenaga. Lebih ramai wanita dan anak muda terlibat. Terdapat lebih banyak kelompok dan gabungan masyarakat sivil wujud.

Fokus dulu adalah pada perjuangan hak asasi. Sekarang, perjuangan termasuklah memelihara alam sekitar, melawan perubahan iklim, berkempen bagi kesetaraan gender, melindungi hak Orang Asal dan pekerja migran, dan memastikan Malaysia yang lebih baik dan merangkumi semua warga.

Kami juga sedar akan kemunculan artis seperti Zunar, Fahmi Reza, Douglas Lim, serta netizen baru yang semakin muda. Mereka menggunakan media sosial bagi menyampaikan maklumat kepada semua.

Sungguh baik kita dapat memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri. Namun, mereka turut memperkenalkan semula tahanan tanpa bicara melalui undang-undang menindas yang lain. Sungguh, perkembangan semasa nampaknya tidak begitu baik. Kita sudah menyaksikan tiga kerajaan sejak 2018. Serta Parlimen tidak lagi bersidang. Hak kita semakin terhakis bukan sahaja menerusi proses Parlimen yang sahih tapi juga melalui ruang tidak formal seperti politik seharian.

Pandemik Covid memberi kesan kepada ramai orang, terutamanya mereka yang miskin dan terdedah kepada kehilangan pekerjaan. Bagi isi rumah berpendapatan rendah, pengangguran bermakna ketidakmampuan untuk menyediakan makanan buat anak-anak mereka, sekali gus memberi kesan kepada diet kurang baik serta kekurangan zat. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) turut memaklumkan bahawa warga miskin terpaksa menggunakan simpanan yang sedikit bagi mengharungi krisis ini. Hampir separuh yang memiliki simpanan persaraan mempunyai kurang dari RM50,000 baki di dalam akaun mereka, yang sepatutnya digunakan untuk menyara hidup mereka ketika usia tua saatnya mereka tidak lagi mampu untuk bekerja.

Prema menyeru agar masyarakat sivil untuk lebih bersungguh bagi melindungi kepentingan masyarakat yang terbeban, iaitu mereka yang berpendapatan isi rumah rendah. Baru-baru ini, seorang aktivis wanita bersuara akibat amang seksual menerusi media sosial. Masyarakat sivil perlu teguh melawan penindasan terhadap wanita. Kelompok masyarakat sivil perlu meneruskan perjuangan menuntut reformasi pilihan raya serta membuka semula Parlimen. Namun, mereka juga perlu bekerjasama dengan masyarakat seluasnya.

Former Aliran president Dr Prema Devaraj

Beliau juga menekankan bahawa kita perlu memberi ruang bagi mereka yang berdepan waktu sukar serta terkesan ketika pandemik serta kuncitara ekonomi untuk pulih.

Khoo Ying Hooi bersetuju dengan apa yang digariskan oleh Prema. Beliau mengalu-alukan Memorandum Persefahaman namun bertegas bahawa tuntutan ini sudah dinyatakan sejak 2018 lagi. “Sudah terlalu lama kita dalam peralihan!”

Menerusi begitu banyak undang-undang yang menindas, Ying Hooi bertegas bahawa ruang sivik semakin dikawal. Manakala, “ketidakfungsian institusi” semakin merebak, serta “defisit kepercayaan” semakin melebar terhadap ahli politik serta partinya.

Ying Hooi merasakan bahawa masyarakat sivil perlu bekerjasama dengan media supaya naratif alternatif dapat diambil wartawan. Jika tidak, bagaimana pandangan alternatif akan mendapat liputan? Kita juga perlu bekerjasama dengan ahli politik agar isu kita dibawa ke Parlimen. Tambahan lagi, kita perlu memastikan ahli politik menyelidik serta berdebat sebelum membuat dasar.

Barangkali, Ying Hooi pembicara kita paling positif. Baginya, perjuangan untuk demokrasi sungguh panjang dan berkecamuk, dan kita baru saja memulakannya baru-baru ini!

“Lihatlah ke Indonesia”, katanya, “mereka menjadi semakin demokratik, itu pun selepas beberapa dekad perjuangan sejak Reformasi pada 1997-98. Dan mereka turut mengalami pertukaran presiden” – dari Suharto ke Habibie ke Gus Dur ke Megawati Sukarnoputri ke Susilo Bambang Yudhoyono dan sekarang Jokowi.

Ying Hooi menyatakan bahawa beliau percaya kepada kuasa rakyat dan menegaskan ianya bukanlah sesuatu yang naif.

Terence Gomez seperti biasalah. Sejak sekian lama, Terence berbicara tentang “ekosistem” kerajaan Malaysia. Beliau dengan teliti mengenal pasti syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di peringkat pusat, membina jaringan yang menghubungkaitkannya dengan subsidiari yang cukup banyak, mengenal pasti jaringan yang bertautan di antara satu sama lain dan mengaitkannya dengan ahli politik yang dilantik sebagai pengarah dan pengurus. Sila rujuk gambarajah di bawah dan perhatikan ekosistem kerajaan yang luas ini.

Web of government-linked companies/Jaringan syarikat berkaitan kerajaan – TERENCE GOMEZ

Pandemik ini merupakan peluang bagi menggunakan ekosistem kerajaan bagi mentaksir keadaan kesihatan yang merosot serta keperluan ekonomi rakyat.  

Tambahan pula, ekosistem ini termasuklah syarikat berkaitan kerajaan melibatkan sektor kesihatan, termasuklah melibatkan hospital kerajaan dan penglibatannya dalam industri farmaseutikal. Ekosistem ini turut dijaringkan dengan rakan dagang global serta pengusaha farmasi di pekan kecil. Ia merupakan sebuah jaringan yang dengan begitu cepat sekali dapat digerakkan untuk melawan Covid secara meluas.

Namun tiada usaha ke arah itu oleh kerajaan. Bahkan, di bawah seliaan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz, ekosistem ini semakin disalahguna. Dalam jangka masa tiga tahun yang singkat, kita melihat bagaimana sebanyak tiga kali pelantikan melibatkan ahli politik ke jawatan pengarah dan pengurus di syarikat berkaitan kerajaan, walaupun tidak mempunyai kepakaran yang khusus. Pelantikan ini memastikan para pemimpin dapat mengekalkan sokongan mereka yang menerima jawatan, tidak kiralah samada syarikat atau subsidiari itulah yang terpaksa membayar dividen, elaun atau tuntutan lain kepada ahli politik yang goyang kaki. Dalam sesetengah kes, ahli politik yang dilantik itu tidak tahu pun bagaimana mahu menguruskan syarikat berkaitan kerajaan yang mereka ketuai.

 (Ambil contoh pelantikan Tajuddin Abdul Rahman, yang memegang jawatan pengerusi Prasarana Malaysia Bhd. Ingati semula bagaimana cara beliau yang cukup memalukan dalam menguruskan peristiwa kemalangan keretapi LRT yang mengakibatkan 213 orang cedera pada awal 2021 – yang menyebabkan beliau kemudian disingkirkan dari jawatan. Sebenarnya, tindakan sebegini tidak perlu jika kerajaan melantik orang yang bersesuaian dan tahu untuk mengendalikan syarikat berkaitan kerajaan.)

READ MORE:  Honouring Malaysia's past, shaping its future - G25

Saya cukup terkejut dengan komen Terence yang mengatakan bahawa ekosistem Malaysia boleh dibandingkan dengan apa yang dibangunkan di China, Vietnam dan Singapura. Ia turut terangkum di dalam ruang ekonomi yang lebih luas seperti di negara yang diambil contohnya tadi.

Bagi Terence, penglibatan negara di dalam ekosistem ini tidak semestinya perkara yang buruk. China menggunakan ekosistem ini untuk mengurangkan kemiskinan melibatkan 800 juta orang yang tinggal di pedalaman China sejak 30 tahun lalu – sebuah pencapaian menakjubkan. Bergantung kepada pasaran barangkali tidak akan membolehkan sasaran ini dicapai dalam kerangka masa yang sama. Jadi, untuk mempunyai ekosistem yang merangkumi semua boleh menyumbang kepada sesuatu yang baik.

Kerajaan China, Vietnam dan Singapura sudah pun menggunakan ekosistemnya bagi membantu perbadanan kecil sederhananya (PKS) bagi mengharungi krisis sekarang bagi “maju ke hadapan”. Aspek yang mengganggu ekonomi Malaysia sekarang adalah ianya dikawal oleh syarikat berkaitan kerajaan yang hanya memegang 5% perusahaan industri. Baki 95% firma komersial dan industri dalam sektor swastanya merupakan PKS. Anggaran kasarnya adalah hampir 100,000 PKS ini hanya mempunyai lima orang pekerja setiap satu syarikat.

Terence mengatakan bahawa jika tiada bantuan kerajaan disediakan untuk membantu PKS mengharungi kelembapan ekonomi, separuh daripadanya akan runtuh “kerana mereka tidak akan mampu untuk membayar pinjaman mereka. Ratusan ribu yang lain akan hilang kerja.” Walaupun dalam keadaan yang cukup terumbang-ambing ini, nampaknya kerajaan tidak mempunyai idea bagi menangani keadaan buruk dialami PKS ini.

Terence Gomez

Bahkan, ekosistem kerajaan ini tampaknya hanya digunakan bagi tujuan politik. Kajian jelas menunjukkan bahawa syarikat berkaitan kerajaan di Malaysia terus terlibat di dalam aktiviti ekonomi tidak produktif dan disalahguna oleh para lintah ekonomi.

Terence menegaskan bahawa reformasi ekosistem ini diperlukan. Namun, beliau tidak menjangkakan Rancangan Malaysia Ke-12 atau Belanjawan akan datang menawarkan dasar reformasi. Tidak juga kepada Memorandum Persefahaman dalam menyatakan bahawa reformasi berkenaan syarikat berkaitan kerajaan sedang dibuat atau sebarang bantuan terhadap PKS akan tiba.

Gabungan yang lebih besar?

Webinar ini jelas menyatakan bahawa masyarakat sivil di Malaysia sudah terbangun dan rakyat mahu terlibat di dalam politik. Buktinya jelas sejak Reformasi yang berlaku pada lewat tahun 1990-an.

Kita juga melihat kebangkitan semula politik bertunjangkan massa di jalanan, seperti ditonjolkan Bersih, serta protes berskala kecil seperti protes #Lawan baru-baru ini melibatkan anak muda.

Senarai webinar yang dianjurkan masyarakat sivil Malaysia setiap minggu melibatkan topik yang luas juga merupakan tanda masyarakat sivil sedar bagi merungkai sebuah dunia baru yang lebih baik pasca pandemik.

Webinar kita ini juga mengenalpasti beberapa permasalahan yang mengganggu: pertama, “ketidakfungsian institusi” atau bagaimana institusi tidak lagi menjalankan fungsi mengapa ianya ditubuhkan dan, kedua, rasa tidak percaya kepada ahli politik, parti politik dan politik – “defisit kepercayaan” menjadi semakin meluas dan menjadi sebahagian norma baharu.

Pandangan Terence berkenaan ekosistem kerajaan cukup penting namun pemahaman kita tentang hal baru ini juga membuatkan kita terfikir apa yang patut dilakukan! Individu, kelompok masyarakat sivil serta gabungan dengan bantuan aktivis-cendekiawan seperti Terence boleh membantu dalam merungkai skandal kewangan melibatkan syarikat berkaitan kerajaan ini. Kelompok ini juga boleh melancarkan kempen awam bagaimana kita dapat menggunakan firma berkaitan kerajaan ini dan memastikan ianya tidak disalahguna serta disalah urus oleh ahli politik dan kroninya. Bongkar segalanya, betul. Namun, bagaimana untuk mereformasinya?

Sekali gus membawa kita semula kepada persoalan politik. Benar, kita perlukan Politik Baru. Namun, tidak mungkin pasukan baru dengan pemimpin politik yang baru akan mengakibatkan perubahan rejim dalam sekelip mata.

Jadi, mungkin kita memerlukan pemimpin baru dengan parti baru untuk bercampur dengan ahli politik dan parti politik lama di dalam sebuah gabungan baru, melibatkan gabungan politik lama, yang secara realistiknya dapat memenangi pilihan raya umum akan datang.

Jika seseorang itu tidak memenangi pilihan raya akan datang, bagaimana kita mahu melakukan reformasi institusi, mengembalikan serta memastikan ekosistem ini dibentuk bagi berkhidmat kepada rakyat, dan bukannya kepada ahli politik dan kroninya? Dalam kata lain, kelompok masyarakat sivil perlu berinteraksi dengan ahli politik dan parti serta, pastinya, menggunakan sistem pilihan raya sekali lagi, seperti apa yang dilakukan oleh mereka pada pilihan raya umum 2018 dan banyak kali pada sebelumnya.

Katakanlah bahawa pilihan raya umum akan datang dilakukan mengikut jadual (misalnya, ia perlu diadakan sebelum pertengahan-2023, lima tahun selepas pilihan raya umum pada Mei 2018), adakah kita akan menyaksikan gabungan pelbagai etnik merangkumi ahli politik reformis yang tua dan muda akan wujud?

Kita bukan saja memerlukan reformis dari semenanjung tetapi juga dari Sabah dan Sarawak juga untuk menjadi sebahagian dari gerakan perubahan. Barangkali, gabungan baru yang boleh menawarkan Sabah dan Sarawak autonomi yang lebih luas dalam membuat keputusan dan peruntukan yang lebih besar dalam bajet pembangunan akan membuahkan hasil? Bolehlah dikatakan juga, desentralisasi dalam sistem peringkat pusat juga akan memperdalam demokrasi kita, bukan?

Juga, bagaimana kita mahu membina gabungan politik merangkumi 40% masyarakat terbawah? Azmil mencadangkan agar kita fokus kepada isu kelangsungan hidup. Namun, kelompok masyarakat sivil masih diorientasikan oleh 40% masyarakat di pertengahan. Jadi, masih banyak kerja yang perlu dilakukan bagi membina gabungan dengan 40% masyarakat terendah, serta warga Sabah dan Sarawak. Adakah ini caranya untuk kita maju ke hadapan?

Jelas bahawa gabungan yang didominasi oleh Melayu-Islam –  merangkumi ahli politik cara lama daripada Umno-Barisan Nasional, Pas, Perikatan Nasional dan rakan mereka dari Sabah dan Sarawak – akan cuba untuk duduk semeja, menyusun bagi memenangi pilihanraya akan datang. Bolehkah organisasi masyarakat sivil mengharungi cabaran dalam Politik Lama ini? Atau pun kita menunggu sehingga PRU 16 atau PRU 17?

Jika anda tidak sempat mengikuti webinar Aliran tempohari, silakan semak pautan di bawah:

Barangkali kalian juga boleh ikut fikir bersama: ke mana Malaysia dalam jangka masa sederhana ini?

Francis Loh
Editor bersama, Surat berita Aliran
16 Oktober 2021

Terjemahan oleh: Zikri Rahman

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x