“Cahaya paling penting adalah yang kalian tidak nampak. Kegelapan takkan kekal sesaat pun saatnya cahaya menyala.”
Petikan ini menarik perhatian saya ketika baru-baru ini menonton siri Netflix, All the Light We Cannot See, berdasarkan novel yang memenangi anugerah Pulitzer 2015 serta senarai buku paling hangat New York Times.
Seorang pengulas berkata tajuk sirinya itu menunjukkan bahawa “kita menghabiskan terlalu banyak masa memfokuskan hanya pada secebis kecil spektrum kemungkinan”.
Isu lain yang diketengahkan ialah persoalan abadi: sejauh manakah kita menguasai takdir kita sendiri dan berapa banyak daripadanya dibentuk dan ditentukan oleh persekitaran sekeliling kita?
Siri ini juga mencadangkan bahawa perbezaan yang wujud sekarang dalam membahagikan masyarakat kepada ‘orang baik’ dan ‘orang jahat’ atau ‘kita’ dan ‘mereka’, juga termasuklah perpecahan etnik dan politik, benar-benar sebuah hal yang dibuat yang mengabaikan kebenaran dalam kemanusiaan kita bersama.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Jalan ceritanya membuatkan saya merenung keadaan bangsa kita hari ini. Saya cuba memahami dan mendamaikan perbezaan yang ada – kadang-kadang ia bertentangan sama sekali – dalam menilai prestasi pentadbiran Anwar Ibrahim dan ramalan tentang masa depan negara ini. Pandangan ini datang daripada pelbagai penganalisis, pengulas politik dan kumpulan masyarakat sivil.
Penilaian yang bercanggah ini juga jelas dalam perbualan orang biasa dan dalam komen media sosial mereka. Kadang-kadang mereka kelihatan lebih menilai Anwar Ibrahim sebagai seorang sosok berbanding daripada Anwar Ibrahim perdana menteri.
Biar saya jelaskan maksud saya dengan lanjut.
Di satu pihak, Khairy Jamaluddin, seorang felo kanan bersekutu di Institut Iseas-Yusof Ishak, menyatakan bahawa tahun pertama Anwar sebagai PM adalah “hanya olok-olok dan berprestasi rendah”.
Namun, beliau turut mengakui bahawa kebanyakan kesukaran PM ini adalah “diwarisi dan ditanggung”, dek kerana jangkaan tinggi para pengundi serta faktor di luar kawalan Anwar – diwarisi daripada masalah pentadbiran terdahulu serta dikenakan kepadanya oleh kuasa global luar. Tetapi adakah Khairy bersikap tidak jujur apabila beliau merujuk kepada faktor-faktor ini sebagai hanyalah “alasan” atau bolehkah ia dilihat sebagai justifikasi yang sah?
Sebaliknya, kita juga mendapat komen daripada Kishore Mahbubani, seorang felo terkenal di Institut Penyelidikan Asia Universiti Nasional Singapura, yang memuji “diam-diam ubi berisi” seorang Anwar sambil “menampilkan semangat yang sama seperti [Nelson] Mandela lakukan dalam mereformasi institusi dan ekonomi yang berakar umbikan nilai demokrasi”.
Kishore meramalkan bahawa kerjasama antara PM dan raja baharu yang bakal dilantik tidak lama lagi, Sultan Ibrahim, boleh menjadi petanda baik untuk kestabilan politik dan dasar pelbagai etnik.
Namun saya pasti ramai yang tidak berkongsi keyakinan dan semangatnya, lebih-lebih saatnya raja berperlembagaan yang ke-17 itu telah menyatakan bahawa beliau akan memainkan peranan lebih daripada sekadar menjadi simbolik dalam upacara.
Mengenai penilaian CNA baru-baru ini mengenai tahun pertama Anwar Ibrahim dalam kerajaan, para pengulas politik memberi gred pentadbirannya dengan markah antara 4 hingga 8.5 pada skala 1 hingga 10.
Saya amat menyukai penilaian oleh Ibrahim Suffian dari Merdeka Center. Beliau memberi gred pentadbiran kepadanya “A” untuk usaha dan “C” untuk tadbir urus dan memenuhi keperluan awam.
Di dalam media sosial, ‘Citizen Nades’ memberi Anwar “D-” untuk inisiatif anti-rasuah oleh kerajaan perpaduan ini.
Namun kemudian tiba-tiba berlaku rampasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ke atas Menara Ilham dimiliki oleh Daim Zainuddin atas transaksi korporat yang meragukan 25 tahun lalu.
Adakah langkah ini akan mendorong penganalisis untuk menyemak semula gred mereka kepada Anwar?
Atau adakah tindakan SPRM itu akan dilihat sebagai langkah percaturannya terhadap musuh politik dan tindakan awal terhadap rampasan kuasa yang sedang dirancang?
Tinjauan oleh pelbagai pihak menunjukkan wujud penurunan dalam menilai prestasi Anwar di kalangan kedua-dua etnik Melayu dan minoriti, dengan kebimbangan terhadap kemuruduman ekonomi menjadi tumpuan. Ini walaupun terdapat laporan positif dan optimistik oleh Bank Negara dan Bank Dunia.
Menteri ekonomi, Rafizi Ramli, mengakui bahawa walaupun kerajaan dapat menangani isu struktur dan “memenadu semula kapal ke laluannya akan mengambil sedikit masa”, kerajaan masih perlu memuaskan hati para pengundi dengan memberikan bukti beberapa hasil dasar yang positif.
Beberapa inisiatif kerajaan “Madani” telah menunjukkan hasil yang positif. Saksikan bagaimana wujudnya peningkatan dalam pelaburan langsung dari luar negara, bantuan tunai dan rancangan untuk subsidi yang disasarkan; pengurangan tahap kemiskinan tegar; dan pendapatan yang lebih tinggi untuk beribu-ribu isi rumah berpendapatan rendah.
Satu laporan berita malah mengisytiharkan bahawa Malaysia “telah berjaya membuat kemajuan yang perlahan namun stabil ke arah mengatasi perangkap negara berpendapatan sederhana”. Dengan berbuat demikian, laporan itu menambah, negara kita “akan berfungsi sebagai mercu tanda bagi negara-negara baru muncul dan membangun lain di Selatan Global”.
Siapa yang dapat menafikan bahawa langkah-langkah asas seperti pembaikan bangunan sekolah dan tandas usang – yang telah lama tertunggak dan diabaikan oleh pentadbiran terdahulu – akan dapat meningkatkan kualiti pendidikan dan meluaskan akses kepada peluang pendidikan? Mungkin langkah-langkah ini bertujuan untuk melunaskan isu-isu yang tertunggak, bagi menghasilkan kesan yang dapat dirasai dan serta-merta dapat dilihat oleh orang ramai.
Dengan risiko dilabel sebagai orang yang terlalu optimis, saya percaya kita akhirnya mempunyai apa yang dipanggil kerajaan sekarang, selepas beberapa dekad, di mana lebih ramai menteri dan timbalan menteri yang cekap, bekerja keras, jujur, bertanggungjawab, mudah dihubungi serta tekad untuk berubah, walaupun tidak kesemuanya berpengalaman.
Namun ternyata, ramai juga yang lain mempunyai banyak keluhan tentang mereka. Ramai lagi (sekiranya semua tinjauan pendapat ini boleh dipercayai) tidak akan berpuas hati sehingga kita akhirnya mempunyai teokrasi, dengan andaian mereka tahulah apa yang akan berlaku jika itulah apa yang dimahukan.
Setakat ini, pentadbiran Anwar nampaknya tidak berjaya mengekang defisit amanah dan kemeruduman keyakinan umum terhadapnya. Apakah ia pada akhirnya soal mengurus jangkaan dan hanya membentuk persepsi yang diingini?
Berbeza dengan kemerosotan sokongan orang ramai ini, sokongan politik terhadap Anwar di Parlimen semakin kukuh sejak beberapa bulan lalu. Rentetan ahli parlimen pembangkang dari Perikatan Nasional telah secara terbuka berikrar menyokong dasar dan inisiatif “kerajaan perpaduan”. Dengan berbuat demikian, mereka nampaknya telah mengutamakan kebajikan pengundi mereka daripada kepentingan parti.
Ia adalah perkembangan yang tidak dijangka, memandangkan wujudnya gerakan dan ancaman daripada pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan perpaduan. Walaupun pertukaran kesetiaan terjadi melibatkan beberapa ahli parlimen baru-baru ini – yang sekali gus menunjukkan kelemahan dalam undang-undang untuk menghalang pembelotan sedemikian – cengkaman Anwar di Parlimen seharusnya memuaskan hati mereka yang bimbang tentang kestabilan politik serta kelangsungan kerajaannya. Ia juga harus meredakan kebimbangan mereka tentang keupayaannya untuk meneruskan reformasi penting di Parlimen.
Semua ini membuatkan saya tertanya-tanya tentang ‘kepelbagaian’ dan perbezaan pendapat umum serta juga ‘pendapat pakar’.
Adakah ia disebabkan oleh kekurangan maklumat yang tepat dalam ruang awam mengenai usaha dan dasar kerajaan Madani?
Atau adakah sudut pandang ‘objektif’ tidak wujud? Apakah mungkin ia dikekang oleh sistem nilai yang subjektif serta kriteria pengukuran kita sendiri, di samping kecenderungan dan pengalaman peribadi kita, sekali gus mengakibatkan penilaian dan kesimpulan yang sendeng dan kurang tepat.
Mungkin fungsi amygdala [sebahagian dalam otak] saya yang semakin berkurangan yang membuatkan saya lebih fokus pada yang positif dan bukannya negatif semata-mata – “Orang optimis nampak sebuah donat; yang pesimis hanya nampak lubangnya!”?
Namun anak perempuan saya yang berumur tiga puluhan memberitahu saya bahawa Malaysia memerlukan lebih ramai anak muda yang bersemangat, walaupun mereka mempunyai perspektif yang serong. Mereka diperlukan untuk menonjolkan penindasan terhadap kumpulan terpinggir serta pencabulan hak minoriti yang berlaku.
Ya, kita ada kewajipan untuk bercakap benar kepada kuasa dan menjadi suara bagi mereka yang terpinggir dan tertindas. Tidak ada istilah ‘neutral’ atau ‘apolitikal’; bungkamnya suara kita hanya akan menjadikan kita turut terlibat dan menyokong status quo. Memetik kata Howard Zinn: “Anda tidak boleh bersikap neutral dalam kereta api yang sedang bergerak.”
Walau bagaimanapun, adalah tidak membantu mahupun tepat dan ternyata tidak adil untuk memberikan kesimpulan yang serong dan menyeluruh tentang dasar awam, tokoh masyarakat, institusi awam dan masa depan negara kita berdasarkan penilaian yang pramatang, serta bukti yang terhad dan maklumat yang tidak lengkap.
Pun, tidak juga kita harus dibuai dengan rasa puas hati atau hanya patuh mengakur dalam senyap. Yang pasti, wujud garis halus antara kritikan membina dan menjadi sinis.
Daripada sentiasa melemparkan tuduhan kepada satu sama lain, sebaliknya kita boleh memupuk pemahaman dan dialog yang lebih baik dengan melibatkan diri secara membina dan positif.
Interaksi kita tidak seharusnya hanya dengan individu dan kumpulan yang berfikiran sama tetapi harus turut dipanjangkan walaupun kepada mereka yang dianggap ‘orang jahat’ di seberang sana. Kita boleh berinteraksi dengan fikiran terbuka dan menawarkan alternatif yang lebih berdaya maju supaya diterima bersama. Ini boleh dilakukan tanpa menyerang peribadi, dilakukan secara tidak adil dengan meletakkan motif sembarangan kepada orang lain.
Sebagai permulaan, individu dan kumpulan yang mempunyai kepakaran yang diperlukan harus memanfaatkan peluang dan jalan yang disediakan sekarang oleh kerajaan Madani. Mereka boleh melibatkan diri dan berunding dengan pihak berkepentingan tentang kaedah mempercepatkan reformasi.
Gerakan reformasi berbilang etnik seperti Aliran, yang menggalakkan keadilan, kebebasan dan perpaduan, telah bekerja keras untuk meningkatkan kesedaran sosial dan menggalakkan usaha yang menggalakkan keadilan sosial melalui cara yang aman.
Kini, kita perlu mempertimbangkan cara penglibatan dan kerjasama yang baru dan lebih berkesan bagi merentasi sempadan yang ada. Kita perlu meruntuh sempadan buatan yang wujud. Kita juga perlu meluaskan pandangan kita terhadap spektrum kemungkinan yang kaya dalam usaha kita untuk merancakkan rasa kemanusiaan kita.
Di senarai paling atas, perlu ada usaha untuk merapatkan jurang dan membina kepercayaan antara orang Melayu-Islam dan bukan Islam.
Ramai orang Melayu-Islam, walaupun penguasaan politik dan “kedudukan istimewa” mereka yang berakar umbi, masih berasa terancam dan mempamerkan minda yang tertawan.
Dan ramai juga orang bukan Islam yang menganggap peningkatan konservatisme agama di kalangan orang Islam sebagai ancaman kepada hak asasi mereka.
Namun, ramai juga orang Islam sendiri kecewa dengan bagaimana sesetengah pihak menyalah guna atau bahkan merampas Islam untuk mempromosikan agenda ketuanan Melayu.
Mungkin caranya adalah dengan merapatkan perpecahan antara “walaun” (penyokong Pas) dan “walanon” (penyokong Pakatan Haparan). Ini bukan mimpi kosong semata-mata, memandangkan dahulu bagaimana mereka yang saling bermusuhan itu sendiri kini boleh bekerjasama di bawah kerajaan perpaduan.
Malah, parti politik Islam Pas sendiri, baru-baru ini mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada rakyat Malaysia yang beragama Kristian, dengan menerima bagaimana “kepelbagaian sebagai asas kepada ajaran Islam serta ciri yang membentuk masyarakat”. Nampaknya “Islam penuh ihsan” yang digagas PM mula diterima! Adakah kita ada mendengar apa-apa komen dari Zakir Naik tentang ini?
Mudah-mudahan, pengulas politik akan dapat membezakan antara kegagalan dasar yang tidak membuahkan hasil yang berlaku pada peringkat sistemik dan masyarakat itu, serta kegagalan polisi yang diakibatkan oleh beberapa Napoleon kecil yang jahil atau sering membuat kepala sendiri dalam sistem sedia ada.
Kita boleh faham sendiri melihat bagaimana orang ramai cukup kecewa dengan insiden yang melibatkan segelintir Napolean kecil ini.
Namun, pada waktu sama, kita juga perlu mengiktiraf dan memberi kredit apabila pihak berkuasa menangani kegagalan sesuatu dasar dengan segera. Sebagai contoh, ia cukup memberikan harapan apabila kita melihat menteri pendidikan memikul tanggungjawab dengan memohon maaf dan mengambil tindakan pemulihan segera berikutan beberapa peristiwa yang dilaporkan di sekolah.
Ia cukup berbeza dengan amalan tidak bertanggungjawab atau hanya kekal diam, malah lebih teruk lagi, mengabsahkan sesuatu kesalahan, seperti yang sering berlaku pada era Barisan Nasional dan PN.
Kita harus “menyalakan cahaya” untuk menunjukkan kepada ramai orang biasa di mana, dengan bantuan media sosial terutamanya, telah mendedahkan begitu banyak birokrasi atau keadaan sosial yang tidak adil. Ramai yang telah berjuang untuk menuntut semula hak asasi kita – dan membuktikan bagaimana kita boleh mengatasi keterhadan yang ada dan mengubahnya menjadi sumber inspirasi.
Oleh itu, apabila kita memasuki tahun baru, janganlah kita membawa rasa kecewa dan putus asa dalam hati kita. Sebaliknya, marilah kita menjadi pembawa keyakinan dan harapan untuk negara kita, sambil kita bekerjasama untuk membina Malaysia yang lebih baik. Ia adalah tanggungjawab kita bersama.
Memetik kata-kata ahli psikologi Adam Grant: “Ketidakpuasan hati mengatakan sesuatu perkara boleh menjadi lebih baik; kebijaksanaan pula berpendapat sesuatu boleh menjadi lebih teruk.”
Kita yang mahukan Malaysia yang lebih baik perlu melakukan lebih banyak lagi untuk menyalakan cahaya untuk menghilangkan kegelapan supaya kita boleh menjadi tuan kepada nasib kita sendiri dan merebut kembali negara kita.
Mary Magdaline Pereira
Editor bersama, surat berita Aliran
31 Disember 2023
Terjemahan oleh: Zikri Rahman
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme