Terdapat detik-detik dalam kehidupan yang mengingatkan – bukan sekadar melalui ucapan agung atau slogan politik, tetapi melalui emosi kemanusiaan – siapa kita sebenarnya sebagai rakyat Malaysia.
Baru-baru ini, satu detik seperti itu hadir dari ruang yang tidak dijangka: sebuah gambar sukan di akhbar nasional kita.
Satu gambar. Tiga sosok. Sebuah cerita yang kuat.
Ia adalah gambar Pearly Tan dan M Thinaah, pasangan badminton beregu wanita kita yang hebat, bersinar dengan penuh kebanggaan ketika mereka menjulang gelaran Masters Jepun di Kumamoto. Berdiri di belakang adalah jurulatih mereka, Rosman Razak yang mantap, merendah diri dan cukup dihormati.
Sekilas pandangan pertama, ia boleh ditanggap seakan hanya meraikan kecemerlangan sukan.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Tetapi apabila saya melihat lebih dalam, saya merasakan sesuatu bergolak dalam diri saya – sesuatu yang saya tidak rasakan sudah sekian lama. Harapan. Kebanggaan. Dan kerinduan untuk Malaysia yang kita semua pernah percayai.
Gambar itu bukan sahaja mengenai badminton. Ia adalah imej perpaduan yang hidup – perpaduan sebenar, bukan seperti yang diperkatakan oleh ahli politik semasa pilihan raya. Seorang jurulatih etnik Melayu. Seorang pemain etnik Cina. Seorang pemain etnik India. Tiga hati berdegup dalam satu irama, satu misi, satu impian.
Inilah Malaysia. Inilah siapa kita. Inilah siapa yang kita tidak boleh lupa untuk menjadi.
Sejiwa dalam kemenangan
Dalam masa 54 minit, Pearly dan Thinaah bertempur menewaskan pemain Jepun Rin Iwanaga dan Kie Nakanishi dalam perlawanan yang menggetirkan dengan bilangan mata 22-20, 21-19.
Tetapi melangkaui mata, kemenangan mereka membawa kebenaran yang lebih besar – kekuatan kita dalam kepelbagaian yang tidak dapat dinafikan.
Ketua jurulatih beregu wanita negara Rosman Razak, seorang Malaysia berjiwa besar, melakukan apa yang dianggap sukar oleh ramai: dia memupuk dua wanita yang kuat, bersemangat, cemerlang dari latar belakang berbeza dan membentuk mereka untuk menjadi pasukan bertaraf dunia.
Kepimpinannya dibina bukan atas ego, tetapi atas kerendahan hati. Bukan kerana takut, tetapi atas kepercayaan. Bukan atas perpecahan, tetapi atas keharmonian.
Dia membuktikan bahawa apabila kita memberi tumpuan kepada potensi dan bukannya prasangka, apabila kita meraikan perbezaan dan bukannya ketakutan kepada mereka, kegemilangan kan berlaku.
Trio ini adalah yang terbaik di Malaysia. Malaysia yang cukup kita cintai.
Malaysia yang kita takuti akan hilang perlahan-lahan.
Ke manakah kita?
Ketika ketiga-tiga rakyat Malaysia ini bangkit bersama-sama di bumi asing, di tanah air kita bertembung dalam pertempuran yang tidak pernah kita minta.
Tiba-tiba, kita diberitahu tentang konsert apa yang boleh kami hadiri. Minuman apa yang boleh atau tidak boleh kita nikmati. Pakaian apa yang harus dipakai oleh orang dewasa dalam kehidupan peribadi mereka. Apakah acara yang patut dibenarkan atau diharamkan. Setiap minggu, terdapat senarai baharu larangan, amaran, kepolisan moral dan ancaman emosi yang menyamar sebagai ‘panduan’.
Dan ramai di antara kita secara senyap bertanya kepada diri sendiri: adakah ini benar-benar Malaysia yang kita mahukan? Adakah kita membenarkan suara-suara kecil untuk menentukan kehidupan majoriti yang aman? Adakah kita tergelincir ke jalan di mana ketakutan menggantikan kebebasan, syak wasangka menggantikan kepercayaan, dan perpecahan menggantikan perpaduan?
Perpaduan tidak boleh dibina dengan kekerasan. Akhlak tidak boleh ditegakkan melalui pemerhatian. Keharmonian tidak boleh dicipta melalui ketakutan.
Perpaduan sebenar hanya dapat dibina dengan cara Rosman membina pasukannya – melalui rasa hormat, kesabaran, persefahaman dan jiwa.
Malaysia berhak mendapat lebih baik
Sejujurnya: musuh terbesar Malaysia bukanlah etnik atau agama.
Musuh terbesar kita adalah mereka yang mendapat keuntungan daripada memecahbelahkan kita – mereka yang bermain kad perkauman seperti poker murah, yang menimbulkan ketakutan untuk undi, yang ‘hidup’ dalam memastikan masyarakat saling curiga antara satu sama lain.
Mereka ini bukanlah pemimpin, pemikir atau sosok yang berwawasan. Mereka adalah individu yang berfikiran kecil yang tidak dapat melihat di luar survival politik mereka sendiri.
Saatnya mereka menjerit tentang perbezaan, rakyat Malaysia sibuk hidup berdampingan, bekerja bersama, makan bersama, berniaga bersama dan menang bersama – seperti yang dilakukan Rosman, Pearly dan Thinaah.
Rakyat biasa di Malaysia tidak perlu diselamatkan daripada satu sama lain. Kita perlu diselamatkan daripada mereka yang hanya menggunakan kita sebagai bidak.
Dan itulah sebabnya mengapa gambar ini – kemenangan badminton yang seakan biasa ini – menggamit perasaan saya dengan begitu mendalam.
Malaysia yang perlu kita pertahankan
Apabila saya melihat gambar itu, saya tidak melihat etnik, label atau naratif politik yang dipaksakan kepada kita.
Saya melihat tiga rakyat Malaysia berdiri sebagai satu. Saya melihat apa yang boleh kita capai jika kita berhenti melawan musuh khayalan yang dicipta oleh pemimpin yang lemah. Saya melihat apa yang anak-anak kita boleh dirikan jika kita memberikan mereka sebuah negara yang bebas daripada kecurigaan yang sia-sia dan kepolisan moral.
Saya melihat Malaysia yang mesti kita lindungi daripada ekstremisme, daripada mereka yang melampaui batas dan daripada mereka yang mahu menjadikan negara ini sebuah negara fundamentalis yang asing kepada sejarahnya sendiri.
Pertiwi ini dibina atas kemesraan, keramahan, persahabatan dan saling menghormati. Bukan takut. Bukan syak wasangka. Bukan paksaan.
Kita tidak perlu hidup di bawah peringatan berterusan tentang perkara yang ‘tidak boleh’ kita lakukan. Kita seharusnya berkembang, untuk bermimpi, untuk cemerlang – bersama-sama.
Rosman, Pearly dan Thinaah – hala tuju kita
Jika Malaysia ingin bangkit, jalan sudah ditunjukkan kepada kita: kepercayaan perlu mengatasi syak wasangka; perpaduan perlu mengatasi perpecahan; kebebasan daripada ketakutan; menghormati berbanding membungkam; jiwa besar mengatasi politik.
Lihatlah bagaimana mereka bergerak di gelanggang. Lihatlah bagaimana mereka saling percaya di antara satu sama lain. Lihatlah bagaimana mereka tidak pernah menyalahkan, tidak pernah menuding jari, tidak pernah berlawanan satu sama lain.
Bayangkan jika Malaysia ditadbir begitu.
Bayangkan jika setiap kanak-kanak melihat diri mereka dalam trio itu dan percaya, “Saya sebahagian dari ini. Saya penting. Saya boleh bangkit.”
Bayangkan jika setiap kementerian, setiap persatuan, setiap pemimpin menerima kepelbagaian kita seperti mana Rosman memeluk pemainnya.
Malaysia akan bangkit.
Permintaan akhir
Kepada jurulatih Rosman, Pearly Tan dan M Thinaah – terima kasih. Kalian telah memberi kepada kita lebih daripada hanya gelaran kemenangan. Anda telah memberi peringatan tentang Malaysia yang pernah kita kenali dan Malaysia yang kita masih ada peluang untuk menjadi.
Kepada mereka yang berkuasa – berhenti memecahbelahkan kami. Berhenti bermain soal kaum. Berhentilah memberi rasa tidak selamat untuk kemenangan jangka pendek. Pimpinlah dengan berani, bukan ketakutan. Pertahankan perpaduan, bukan ekstremisme.
Kepada rakyat marhaen di Malaysia – terus bertahan. Pegang harapan. Peganglah di antara satu sama lain. Kita tidak perlu menjadi negara lain. Kekuatan kita adalah dalam mendepani perbezaan – tidak memporak-perandakan di antara satu sama lain.
Jika jurulatih etnik Melayu, pemain berketurunan Cina dan pemain berketurunan India boleh menakluki dunia berganding bahu, sudah pasti kita boleh membina Malaysia yang tidak boleh dipecahkan oleh mereka yang berfikiran sempit dan hanya ‘tin kosong’.
Malaysia boleh! – tetapi hanya jika Malaysia bergabung menjadi satu.
Amarjeet Singh
Suratberita Aliran
23 November 2025
Terjemahan oleh: Zikri Rahman
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme

