Home Newsletters Pencari suaka Myanmar di Malaysia: Mangsa perang dan penghapusan etnik

Pencari suaka Myanmar di Malaysia: Mangsa perang dan penghapusan etnik

Urusan pertama adalah untuk mengambil tindakan terhadap Tatmadaw di persidangan Asean

Shoes to represent Myanmar nationals deported from Malaysia - FILE PHOTO

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Ketika peperangan sedang melanda Ukraine, Ethiopia, Sudan Selatan, Yaman dan Palestin, kita di Asia Tenggara juga sedang menyaksikan perang saudara yang mengerikan sedang berlaku di Myanmar sejak rampasan kuasa tentera pada 1 Februari 2021.

Junta tentera itu telah membunuh kira-kira 3,000 orang awam dan menahan beribu-ribu yang lain, diikuti dengan hukuman mati terhadap sekurang-kurangnya empat aktivis terkemuka. Sehingga kini, krisis Myanmar telah menyaksikan kira-kira 183,000 pelarian dan pencari suaka datang ke Malaysia.

Malah sebelum rampasan kuasa 2021, tentera Myanmar, Tatmadaw, mengakibatkan pemindahan atau pengusiran sekurang-kurangnya satu juta pelarian ke kem Cox’s Bazar di Bangladesh. Dilaporkan, 25,000 Rohingya turut terkorban, dan komuniti etnik itu juga mengalami nasib yang menggambarkan zaman edan kita – pembersihan etnik.

Pembunuhan beramai-ramai

Apa yang berlaku di Myanmar hari ini sungguh tidak wajar, ia bolehlah dikatakan sebagai pembunuhan beramai-ramai. Gambia, dengan sokongan 57 negeri lainnya, telah memfailkan kes pembunuhan beramai-ramai oleh Myanmar terhadap warga Rohingya di Mahkamah Keadilan Antarabangsa.

Berjilid bahan bercetak serta yang mungkin takkan dicetak berkenaan tragedi ini sudah digubah menjadi buku, artikel, laporan, nota editor, filem dan dokumen media.

Tugas saya di sini bukan untuk mengulangi kisah mengerikan tentang pembunuhan beramai-ramai namun untuk berkongsi beberapa pengamatan tentang bagaimana bencana diakibatkan manusia di Myanmar ini telah menjejaskan bukan sahaja rakyatnya sendiri tetapi juga Malaysia, sebagai penerima pelarian Rohingya terbesar di rantau Asia Tenggara.

Malaysia bukanlah tidak bersalah dalam soal layanan tanpa simpati dan kejam terhadap orang yang kehilangan tempat tinggal di peringkat antarabangsa. Hari ini, kira-kira 80% pelarian berdaftar di Malaysia adalah warga Rohingya dan kita merupakan tuan rumah terbesar di Asia Tenggara daripada mereka: pencari suaka dari Myanmar yang kini berjumlah kira-kira 183,000.

Nasib mereka telah didokumentasikan dengan baik oleh media di peringkat global dan ramai yang bersuara untuk mereka, termasuk aktivis Malaysia Charles Santiago, yang merupakan pengerusi Ahli Parlimen Asean mengenai Hak Asasi Manusia. Baca lebih lanjut laporan: “Malaysia has become less friendly to Myanmar refugees. What hope for them now?

READ MORE:  Refugees are human too

Kita tidak menandatangani Konvensyen 1951

Malaysia bukanlah di antara negara yang menandatangani Konvensyen Berkaitan Status Pelarian 1951 serta Protokol 1967; oleh itu ia secara tidak rasmi menerima pemohon suaka dan tidak juga berpegang kepada prinsip tiada penghantaran pulang paksa (non-refoulement), yang menjamin perlindungan pelarian.

Agensi pelarian PBB (UNHCR) menganggap prinsip tiada penghantaran pulang paksa sebagai asas suaka serta undang-undang pelarian antarabangsa, seperti yang dinyatakan dalam Artikel 14 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat. Prinsip ini berpegang bahawa semua orang mempunyai hak untuk hidup, bebas daripada penyeksaan atau kekejaman, layanan atau hukuman yang tidak berperikemanusiaan atau merendahkan martabat, serta untuk kebebasan dan keselamatan.

Malaysia secara rasmi tidak mengiktiraf perkara ini tetapi telah bekerjasama dengan UNHCR bagi menangani masalah pencari suaka yang berlabuh di pantainya – setakat ini. Pencari suaka di Malaysia kini diberikan kad UNHCR, yang merupakan dokumen sementara bagi mereka yang ingin dihantar ke negara ketiga.

Bekas menteri luar negeri Saifuddin Abdullah memberitahu saya dalam sebuah wawancara baru-baru ini bahawa Malaysia telah mensasarkan pemberian kad pengenalan pelarian di Malaysia. Beliau merasakan pemberian kad pengenalan keluaran Malaysia bukan sahaja dapat memastikan pemantauan yang betul tetapi juga menyediakan pelarian dengan kerja sementara bagi menampung kehidupan mereka.

Saifuddin berpendapat perkara itu perlu dikendalikan oleh Kementerian Dalam Negeri dan bukannya Majlis Keselamatan Negara di bawah arahan nombor 23, yang turut melibatkan kerjasama dengan Kementerian Pertahanan.

Bagaimanapun, rancangan Majlis Keselamatan Negara nampaknya untuk mengambil alih keseluruhan pemantauan serta pengendalian semua pencari suaka tanpa bantuan UNHCR. Pada September 2022 ketua pengarahnya Rodzi Md Saad turut menggesa agar pejabat UNHCR di Malaysia ditutup.

READ MORE:  Rohingya genocide remembrance day: International community must act

Tidak perlu dinyatakan di sini bahawa pencari suaka dari Myanmar juga tidak seharusnya hanya dianggap sebagai masalah Malaysia sahaja. Thailand, yang menempatkan kira-kira 95,000 pelarian Myanmar, juga berhadapan isu sama.

Asean harus bertanggungjawab sepenuhnya memandangkan Myanmar juga merupakan salah satu anggota Asean. Hanya dua negara Asean (Filipina dan Kemboja) yang menandatangi sama ada Konvensyen Pelarian 1951 atau Protokol 1967.

Asean, dalam mencapai persetujuan melibatkan lima perkara mengenai penglibatan membina melibatkan junta tentera di Myanmar, telah gagal dalam melaksanakan penghindaran keganasan, serta memulakan dialog dengan semua kumpulan sambil memudahcara kesemua perkara ini melalui perutusan khas Asean, yang dilantik oleh pengerusi Asean.

Tatmadaw langsung tidak menghiraukan kesemua semua usaha ini, termasuklah oleh utusan khas PBB, Noeleen Heyzer dari Singapura.

Bekas menteri luar Thailand berkata pendekatan dalam melakukan penggiliran utusan khas Asean telah gagal dan utusan khas sepenuh masa dan tetap perlu dilantik – seseorang yang boleh bekerjasama rapat dengan menteri luar serta pegawai kanan Asean.

Duta khas Asean itu sepatutnya ditugaskan untuk melibatkan kedua-dua pihak iaitu rejim tentera dan kumpulan pembangkang di Myanmar. Baca lebih lanjut: “Reflections on Asean special envoys’ efforts in Myanmar” dalam laman Fulcrum

Tiada dasar dalaman berkenaan pencari suaka

Berbalik kepada keadaan di Malaysia, baru-baru ini saya menemu bual pengarah Yayasan Geutanyoë, Lilianne Fan, yang berpangkalan di Kuala Lumpur.

Lilianne memaklumkan kepada saya bahawa Malaysia masih tidak mempunyai dasar dalaman yang jelas mengenai Rohingya dan pencari suaka, dan pengusiran secara rawak merupakan perkara biasa. Beliau berkata lanskap global melibatkan penghantaran pulang pelarian telah berubah di mana kadar penerimaan semakin menurun di Barat dan wilayah sekitarnya, sekali gus menjadi masalah utama bagi Malaysia.

Namun begitu, arahan Majlis Keselamatan Negara Malaysia melibatkan arahan 23 berkenaan pencari suaka merupakan langkah yang baik namun ia masih jauh daripada dilaksanakan atau bagi menyelesaikan isu asas yang dihadapi.

READ MORE:  Rohingya genocide victims and survivors need justice

Kumpulan dan peguambela masyarakat sivil Malaysia telah menyatakan bahawa tindakan pengusiran sewenang-wenangnya warga Rohingya, yang cenderung digabungkan bersama pendatang tanpa izin lain dalam operasi pengusiran yang dijalankan oleh pihak berkuasa, antara isu asasnya. Bagi pencari suaka, pengusiran paksa ke Myanmar boleh membawa nasib yang lebih buruk daripada berhadapan kematian.

Mujurlah, di sebalik usaha kerajaan yang tidak berkesan dalam menangani krisis Rohingya, banyak kumpulan kemanusiaan Malaysia yang lain bekerjasama dengan masyarakat. Ini diceritakan dan didokumentasikan dengan penuh perhatian oleh Teo Ang Siang dalam bukunya No Way Home (Gerakbudaya, 2021).

Kumpulan masyarakat sivil itu termasuklah Allama Fazullah Foundation (AFF), Medical Relief Society Malaysia (Mercy Malaysia), Myanmar Red Cross Society (MRCS), MyCARE Centre for Rohingya Education (atau MyC4RE), Rohingya Women Development Network (RWDK), South East Asia Humanitarian Communities (SEAHC), Tahfiz Al-Quran Al-Amin, MyCARE Malaysia, Tenaganita, Buddhist Tzu Chi Foundation Malaysia serta klinik pelarian Tzu Chi.

Anwar Ibrahim sebelum ini ada mencadangkan, ketika beliau menjadi Timbalan PM pada 1997, Asean harus mempunyai dasar “campur tangan yang membina” di Myanmar. Selaku perdana menteri sekarang, beliau pastinya harus menumpukan perhatian kepada krisis pencari suaka di Malaysia, serta dengan Menteri Luar Zambry Abdul Kadir, hendaklah mengutamakan dasar dalam dan luar negara yang tepat mengenai perkara ini.

Malaysia telah menguruskan krisis “orang bot” pada akhir 1970-an dengan baik. Ia kini mesti bekerjasama dengan negara-negara Asean lain untuk menghasilkan dasar yang ikhlas dan berkesan berkenaan pencari suaka di rantau ini.

Urusan pertama adalah untuk mengambil tindakan terhadap Tatmadaw di persidangan Asean. Patutkah Myanmar hilang kelayakan sebagai ahli anggota Asean kerana gagal untuk mengikuti satu langkah pun yang diminta oleh organisasi serantau ini?

Johan Saravanamuttu
Editor bersama, surat berita Aliran
12 Februari 2023

Terjemahan oleh: Zikri Rahman

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x