Home Newsletters Pengundi Johor, apatah lagi anak muda, perlu mula mendesak perubahan

Pengundi Johor, apatah lagi anak muda, perlu mula mendesak perubahan

Mereka perlu memilih calon yang mengangkat integriti dan kebersamaan bagi membina masyarakat yang lebih demokratik di Malaysia

Photo credit: hazuism.blogspot.com
HAZUISM.BLOGSPOT.COM

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Para pengundi di pilihan raya negeri Johor perlu maklum akan dua tarikh akan datang: tarikh pencalonan pada 26 Februari dan hari pengundian pada 12 Mac.

Tarikh yang kemudiannya ini cukup penting di mana 2.6 juta pengundi berpeluang memilih calon bagi mewakili mereka di 56 buah kerusi Dewan Undangan Negeri Johor.

Namun 26 Februari juga penting bagi pengundi Johor dalam mengetahui para calon yang akan bersaing di semua kerusi panas itu nanti.

Perbincangan kerusi bagi parti politik yang bertanding berlaku cukup hangat.

Selepas pilihanraya negeri di Sarawak dan Melaka baru-baru ini, gabungan Barisan Nasional, lebih-lebih lagi Umno, suka untuk menggunakan hasil pilihan raya Johor ini sebagai penanda bagi pilihan raya umum yang kian tiba, yang berkemungkinan besar akan diadakan pada tahun ini nanti.

Jika Umno-BN mendapat keputusan baik di Johor, para pemimpinnya pasti memberi desakan kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bagi menjalankan pilihanraya umum secepat mungkin.

Pengundi Johor menanggung beban berat pada 12 Mac nanti. Di antara tarikh pencalonan serta pengundian, mereka patut meneliti senarai calon yang diterima dan memilih dengan bijak siapa yang akan diundi nanti. Ia sebuah cabaran yang sukar: besar kemungkinan, ramai pengundi terpaksa memilih calon yang ‘kurang mudarat’ berbanding calon yang ‘lebih baik’.

Selepas Langkah Sheraton pada Februari 2020 memusnahkan kegembiraan pilihan raya umum 2018, ramai pengundi menjadi tidak percaya pada ahli politik. Defisit kepercayaan terhadap ahli politik – lebih-lebih lagi pada ahli politik yang mentadbir – cukup tinggi.

Jadi, dengan kelelahan serta putusnya harapan para pengundi barangkali menjadi lebih jelas di Johor, ditambah lagi dengan ancaman Covid yang masih bergentayangan, kadar keluar mengundi boleh jadi rendah.

Harapnya keadaan tidaklah begitu nanti. Kita berharap para pengundi, mengikut protokol keselamatan Covid dengan teliti, dan akan menjalankan tugas mengundi dan keluar nanti pada hari pengundian.

Kita juga berharap agar mereka dapat menjalankan sedikit kerja penelitian bagi memilih calon dengan bijak. Kami mencadangkan para pengundi untuk memilih calon yang:

  • Tidak mempunyai sejarah lompat parti serta menyatakan pendirian dengan jelas melawan aktiviti lompat parti
  • Tidak mempunyai kes rasuah dan sudah menyatakan pendirian dengan jelas menolak rasuah
  • Mendukung kesatuan dalam kerencaman serta percaya kepada kebersamaan, misalannya bukanlah seorang yang bersifat perkauman dan pentaksub
  • Menghormati dan terbuka dengan warga berbilang kaum dan agama
  • Percaya kepada keadilan dan kesetaraan bagi mendukung warga miskin, terpinggir dan tertindas
  • Yang sudi bekerja bakti serta peduli akan kebajikan mereka di kawasannya
  • Yang kisah akan isu alam sekitar, apatah lagi kesan pemanasan global.
READ MORE:  Ill-fitting lies the crown of hero on Sanusi's head

Senarai ini bukanlah tuntas: kita perlu melihat kekuatan dan kualiti yang lain dalam memilih wakil kita itu nanti.  

Malangnya, walaupun senarai ini cukup pendek, namun begitu ramai wakil rakyat sedia ada sekarang gagal untuk mencapai kriteria di atas.

Jadi, ia menjadi lebih penting bagi para pengundi di Johor untuk meneliti dengan mendalam kempen pilihan raya yang dijalankan oleh setiap calon.

Dalam era komunikasi digital yang mudah ini, para pengundi patut mendesak setiap calon agar menyatakan pendirian berkaitan isu penting seperti lompat parti, rasuah, hubungan antara kaum serta kebebasan beragama. Parti politik yang diwakili oleh calon sepatutnya tidak menjadi hal ataupun tidak lebih penting berbanding sikap dan nilai yang diangkat oleh para calon.

Dr Jeyakumar Devaraj menggariskan lapan panduan melibatkan calon pilihan raya yang diperlukan oleh negara kita. Kunci kepada tulisannya ini adalah bahawa formula berasaskan “Malaysian Malaysia” serta “ketuanan Melayu” bergerak ke arah yang berbeza serta barangkali akan bertembung pula. Rakyat sepatutnya sedar ia bukan soal memilih hanya salah satu faktor, misalnya, ia bukanlah soal menang jadi arang, kalah jadi abu.

Sebaliknya, semua pengundi yang peduli perlu bekerja bersama bagi membangun dan bersetuju dengan sebuah formula bagi mencapai kemenangan. Calon yang menang perlu berani untuk memulakan dan menggerakkan wacana seperti ini.

Sebuah ruang yang tepat untuk memulakannya adalah dengan menggapai semua tangan, berdasarkan keperluan tanpa mengira kaum atau agama. Tidak kiralah soal pendidikan, peluang pekerjaan atau isu harian, fokusnya adalah kepada mereka yang memerlukan dan layak. Kukuhkan lapisan masyarakat yang paling memerlukan bantuan.

Sedihnya, naratif dominan sosio-politik kita di Malaysia adalah berdasarkan perpecahan etnik dan keagamaan. Kecenderungan untuk memainkan sentimen Melayu melawan bukan-Melayu serta Muslim melawan bukan-Muslim cukup biasa. Begitu ramai ahli politik tanpa segan silu memainkan naratif sebegini bagi tujuan dan kepentingan peribadi. 

Naratif kaum dan keagamaan juga cukup mengakar, sekali gus, ianya cukup sukar untuk diganti serta akan tahan lama. Kita memerlukan ahli politik serta mereka yang berkuasa yang mempercayai bahawa semua orang ada tempatnya di bawah sinar mentari Malaysia kita ini. Pemimpin yang sebeginilah yang sepatutnya dapat mencantas ‘akar’ dan membuang ‘pokok’ perpecahan agama dan kaum ini.

Di situ, kita patut menanam benih keharmonian, kasih sayang, kepedulian serta keterbukaan antara satu sama lain.

READ MORE:  Siapa yang patut kita undi pada pilihan raya akan datang?

Namun, percubaan untuk menggantikan naratif dominan berasaskan etnik dan keagamaan kita tahu cukup sukar. Yang melawannya cukup kuat saat begitu ramai elit politik yang hidup dan berkuasa dengan menakut-nakutkan ketakutan rakyat.

Penganalisa Murray Hunter menyatakan bahawa ramai ahli dan pemimpin politik rakus mahukan kuasa bagi kepentingan masing-masing. “Elit Melayu berlakon sebagai penjaga serta yang akan mempertahankan Melayulah yang kemudiannya merompak secara membuta tuli dengan menyalahguna serta rasuah melibatkan dana awam. Elit inilah yang akan mencipta musuh bayangan bagi menakut-nakutkan kita dan memastikan mereka kekal berkuasa.”

Kecenderungan Machiavellian melibatkan mereka yang berkuasa cukup jelas terpampang sepanjang sejarah Malaysia.

Kita juga mempunyai pemimpin minoriti etnik yang sanggup untuk menggunapakai isu perkauman bagi menakut-nakutkan supaya terus berkuasa dan mengeksploitasinya bagi tujuan peribadinya.

Kalaulah pemimpin yang mementingkan diri sebegini sedar akan kenyataan bahawa “dunia ini cukup untuk keperluan semua orang namun tidak buat ketamakan semua orang”….

Sebuah ciri unik bagi pilihan raya Johor yang akan tiba nanti adalah ia akan melibatkan lebih 750,000 pengundi baru di negeri ini ekoran pendaftaran automatik pengundi yang baru saja dijalankan akhir tahun lalu.

Di seluruh negara, Malaysia bakal menyaksikan 5.8 juta pengundi baru ke dalam senarai pengundian melibatkan pendaftaran automatik bagi warganegara berumur 18 tahun dan ke atas. Dari 5.8 juta pengundi baru ini, 1.2 juta darinya adalah warganegara Malaysia berumur di antara 18 dan 20 tahun serta 4.6 juta yang lain merupakan mereka yang tidak pernah berdaftar. Di antara 40,000 dan 50,000 warga Malaysia dijangka menyampai umur 18 setiap bulan dan mereka juga secara automatik akan didaftar serta ditambah ke senarai pengundian.

Semua yang bercita-cita politik perlu belajar selok-belok realiti baru ini serta mencari jalan untuk meyakinkan pengundi muda ini untuk menyokong mereka.

Anak muda yang bercita-cita, seperti parti politik yang baru didaftarkan, Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), barangkali kekurangan pengalaman, namun nampaknya mereka mempunyai ideal bagi sebuah Malaysia yang lebih baik. Mereka mungkin tidak mempunyai rekod gerak kerja yang terbukti, namun mereka juga tiada – atau menanggung hanya sedikit – beban politik.

Pengundi sekali gus dapat menilai setiap pengundi, dengan menetapkan kriteria yang dipilih bagi membuat keputusan betul sebelum mengundi.

Dr Mustafa K Anuar menasihatkan pengundi muda untuk menggunakan “kuasa mengundi” mereka bagi memikirkan negara dan bangsa sempurna seperti apa yang ingin mereka hidup dan mengundi mereka yang bakal membantu kita mengecapinya.

READ MORE:  We need to speak up against hate speech

Di dalam mana-mana pertandingan, semua parti yang bersaing cuba untuk menang sebaik-baiknya. Seringkali, keinginan untuk menang begitu kuat sehinggakan mereka yang bertanding bersedia untuk menggunakan tipu helah yang licik bagi mempunyai kelebihan berbanding lawan mereka.

Di dalam persaingan undi, sudah terlalu lama kita mendengar tuduhan pembelian undi, penyalahgunaan jentera dan kemudahan kerajaan oleh parti pemerintah, taktik menakut-nakutkan para pengundi serta ancaman bagi menghalang dana pembangunan.

Bagi memastikan pilihan raya yang bebas dan bersih, ‘pengadil’ memainkan peranan penting, dan peranan ini diberikan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), yang dibentuk pada tahun 1957. Ditugaskan bagi memastikan pilihan raya berjalan bebas dan bersih, suruhanjaya ini sebuah tembok demokrasi yang penting.

Walaubagaimanapun, SPR tidaklah pula selalu dilihat adil. NGO secara berkala sering mendesak penyusunan semula suruhanjaya, kerana ia seringkali dilihat terpaksa menunduk kepada mana-mana kerajaan yang ada.

Sebuah isu yang jelas adalah walaupun SPR mempunyai autonomi sebagai sebuah institusi, suruhanjaya ini secara pentadbirannya diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri. Beberapa kelompok mendesak agar suruhanjaya ini diletakkan secara terus di bawah Parlimen supaya ia bebas dari kawalan – atau persepsi kawalan -eksekutif.

Kita juga perlu meneliti semula bagaimana pesuruhjaya pilihan raya ini dilantik. Kini, apabila wujudnya kekosongan jawatan, PM akan menerima pelantikan dan menasihat Agong akan pilihan calon yang ada.

Ia akan menjadi lebih adil dan telus jika Parlimen sendiri yang menubuhkan sebuah jawatankuasa pencalonan yang bebas – melibatkan individu yang tidak dipersoalkan kredibiliti dan integritinya – bagi mencalonkan, mewawancara serta mencadangkan calon sebagai pesuruhjaya pilihanraya. Bekas hakim, ahli akademik terkemuka dan pemimpin masyarakat yang dihormati boleh dimasukkan untuk menduduki jawatankuasa ini.

Asasnya, SPR perlu mempunyai autonomi yang luas serta kemandirian kewangan bagi menjadi lebih berdikari dan neutral.

Namun kita juga tidak boleh berharap pada mereka yang di tampuk kuasa sekarang untuk mendesak perubahan sebegini.

Jadi, ia bergantung kepada kelompok masyarakat sivil serta rakyat yang peduli untuk melobi bagi perubahan.

Pengundi baru, lagi-lagi yang muda, patut menggunakan suara mereka bagi menyahut panggilan pembaharuan. Apatah lagi, semua perubahan yang dicadangkan ini pastinya akan mencipta sebuah demokrasi yang lebih kuat, bersemangat dan berdaya tahan bagi kita semua di Malaysia.

Henry Loh
Editor bersama, surat berita Aliran
18 Februari 2022

Terjemahan oleh: Zikri Rahman

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x