Home Newsletters Pengundian PKR: Kekalahan Rafizi tanda berakhirnya Reformasi?

Pengundian PKR: Kekalahan Rafizi tanda berakhirnya Reformasi?

Kita mesti melipat gandakan usaha parti untuk memulihkan idealisme Politik Baru bagi meningkatkan penglibatan demokratik, kerjasama pelbagai etnik, serta pembaharuan sistem pendidikan dan kesihatan kita

RAFIZI RAMLI/FACEBOOK

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Pemilihan dalaman parti PKR berakhir mengecewakan. Ia mendedahkan kelemahan dalam parti dan politik parti di Malaysia.

Hampir tidak ada isu penting yang dicadangkan dan dibahaskan antara pesaingnya.

Sebaliknya, tumpuan hanya diberikan kepada puak mana seseorang berada. Dan atas pandangan itu, para pencabar berkempen, dan penyokong mereka hanya mengundi.

Semua berjalan lancar – mengapa pilihanraya sekarang?

Pemilihan ini hanya mendedahkan bahawa pemimpin parti itu, Anwar Ibrahim, yang memenangi kerusinya tanpa bertanding dan tidak terlibat dalam mana-mana jawatan dipertandingkan, memberi pengaruh besar kepada keputusan melibatkan kesemua proses pengundian.

Ramai calon yang diundi oleh ahli biasa dalam pemilihan bahagian itu dipilih berdasarkan sama ada mereka adalah proksi ‘pemimpin agung’ itu ataupun tidak. Perwakilan yang diundi untuk duduk dalam majlis pimpinan pusat juga dipilih atas dasar yang sama.

Begitulah, peranan ‘Orang Besar’ dalam politik Malaysia tetap hidup, hatta di dalam PKR, yang ditubuhkan 26 tahun lalu pada 1998, dalam rahim semangat Reformasi.

Mengapa PKR meneruskan pemilihan dalaman parti ini menjelang beberapa pilihan raya negeri – di Sabah, Melaka, Johor dan Sarawak – serta pilihan raya umum yang akan datang?

Nampaknya, penyandang naib presiden PKR ketika itu, Rafizi Ramli, telah mencadangkan supaya pemilihan parti ditangguhkan sehingga selepas pilihan raya umum akan datang. Ini akan membolehkan parti itu bersedia untuk berdepan pilihan raya yang sukar akan datang.

Menangguhkan pemilihan parti biasa dilakukan oleh parti lain. Ia membolehkan parti untuk menghalang sebarang perbalahan dalaman daripada terjadi, sekali gus mengganggu dan menyukarkan persiapan untuk menghadapi pilihan raya umum.

Dari segi perlembagaan, PKR dikehendaki mengadakan pemilihan setiap tiga tahun. Tetapi keputusan ini dengan mudah boleh dipinda kepada lima tahun, seperti yang dilakukan Umno beberapa tahun lalu.

Atau, jika pun pemilihan parti terpaksa diadakan dek kerana beberapa sebab, maka majlis pimpinan pusat boleh memutuskan bahawa tidak akan ada pertandingan untuk dua jawatan tertinggi parti, serta jawatan tertinggi sayap pemuda dan wanita. Sekali lagi, ia dapat menghalang pertembungan menjadi melarat.

Mungkin, Rafizi telah pun memikirkan dua pertandingan sebelum ini untuk jawatan timbalan presiden yang pernah ditandinginya.

Pada 2018, Rafizi telah mencabar Azmin Ali untuk jawatan nombor dua dan tewas. Ia merupakan sebuah pertembungan pahit yang membawa kepada perbezaan yang mendalam antara beliau dan Azmin.

Tidak hairanlah, Azmin kemudian berpihak dengan Dr Mahathir Mohamad selepas pilihan raya umum 2018. Beliau meninggalkan PKR dan menyertai Bersatu selepas rampasan kuasa Sheraton pada Februari 2020, membawa beberapa penyokongnya bersamanya. Beberapa orang lagi berpatah arang dengan kem Azmin dan kekal bersama PKR. Malangnya, mereka tidak lagi diberi kepercayaan serta tidak diberikan kerusi untuk bertanding pada pilihan raya umum 2022. Selepas itu, beberapa pemimpin, misalnya naib-presiden ketika itu, Tian Chua, juga telah dipecat.

Pertandingan kedua untuk jawatan timbalan presiden PKR pula berlangsung pada 2022, sejurus sebelum pilihan raya umum November tahun itu. Kali ini, Rafizi bertanding menentang Saifuddin Nasution Ismail untuk jawatan timbalan presiden – dan menang dengan cemerlang.

Walaupun pertembungan itu tidak sepahit sebelumnya, ia meninggalkan luka mendalam bagi parti. Jadi, tiada siapa di dalam PKR yang tidak menjangkakan hal sama akan berlaku, jika pun pemilihan parti ditangguhkan sehingga selepas pilihan raya umum akan datang.

Menurut Iswardy Morni, seorang pembikin siniar dari PKR dan penyokong Rafizi, satu perjanjian telah dicapai oleh majlis pusat parti untuk menjalankan pemilihan. Bagaimanapun, ia bukan untuk dua jawatan tertinggi dalam parti, serta bagi pemimpin di peringkat sayap wanita dan pemuda. Perjanjian ini terpakai sehingga Mac 2025.

Apabila tersebar khabar angin kononnya perjanjian untuk tiada pertandingan bagi dua jawatan teratas itu terbatal, Rafizi jelas dalam pengumumannya bahawa beliau akan mempertahankan jawatannya. Beliau menegaskan bahawa ia adalah untuk mengelakkan konflik dalaman yang boleh mengganggu fungsi “kerajaan perpaduan”.

Mengapa semua berpaling tadah atau penukaran rancangan ini berlaku? Adakah kerana tiba-tiba Anwar sedar bahawa ini adalah penggal ketiga serta terakhirnya? Mengikut peraturan parti, beliau tidak layak bertanding jawatan presiden atau menjadi perdana menteri selepas dua penggal. Jadi, jika beliau ingin meneruskan pengaruhnya di dalam parti, bukankah lebih baik beliau mempunyai seseorang seperti anaknya, Nurul Izzah, untuk menggantikannya?

Tiba-tiba, Nurul Izzah mengumumkan yang beliau akan bertanding jawatan tersebut. Beliau menyatakan bahawa ada khabar angin bahawa Rafizi merancang untuk keluar parti atau politik sama sekali. Ia sekali gus mengakibatkan kekosongan yang baginya, perlu diisi, yang jika tidak dilakukan, pasti ada yang lain akan cuba berbuat demikian.

Rafizi dilaporkan telah memindahkan barang-barangnya keluar dari pejabat.

Penyokongnya mendakwa bahawa Rafizi tidak memindahkan apa-apa keluar dari pejabatnya. Dan beliau juga tidak bercadang untuk keluar parti!

Rafizi, dalam maklum balasnya secara terbuka kepada Nurul Izzah semasa kempen itu, berkata jika ada sesiapa yang was-was dengan niatnya, mereka boleh bertanya terus kepadanya. Mengapa mengganggu keadaan di mana semuanya berjalan lancar, soal Rafizi.

Jelajah Hiruk yang hingar melawan Pasukan Damai

Dalam jelajah itu, ramai pemerhati tidak jelas apa, jika wujud sebarang isu, yang memisahkan Rafizi, 47, ahli strategi pilihan raya umum 2018 dan 2022, daripada Nurul Izzah, 44, yang digelar “Puteri Reformasi” itu. Ia adalah gelaran yang diperoleh Nurul Izzah apabila beliau dan Rafizi terlibat secara terus dalam menubuhkan PKR sedari awal. Dapat kita fahami, mereka berkongsi banyak perkara yang sama, termasuk kesetiaan kepada Anwar, yang ketika itu berada di dalam dan di luar penjara. Kedua-duanya membantu isteri Anwar Wan Azizah Wan Ismail, Syed Husin Ali dan pemimpin lain untuk memulakan parti.

Namun, Rafizi dan Nurul Izzah tidak membahaskan perbezaan dasar yang akan digagaskan oleh mereka kali ini. Tiada perdebatan tentang cara menyusun semula ekonomi, memulihkan sistem pendidikan dan menambah baik perkhidmatan kesihatan, atau tentang soal kesaksamaan jantina dan hak kebebasan lainnya.

Mungkin satu-satunya perkara penting yang menjadi perhatian dalam pertembungan mereka adalah apabila Nurul Izzah, kali ini, mengkritik secara lembut pelantikan semula Anwar, Azam Baki, sebagai ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Sebaliknya, Rafizi gigih menggesa Azam dipecat walaupun sebelum pilihan raya umum 2022. Atau adakah ini persamaan, dan bukannya perbezaan pendapat, di antara Rafizi dan Nurul Izzah?

READ MORE:  Memahami kelembapan reformasi 'Madani'
Nurul Izzah Anwar – WIKIPEDIA

Namun jelas, perselisihan faham telah pun timbul di antara Rafizi dan Anwar. Sama ada Nurul Izzah menyebelahi bapanya atau bersetuju dengan Rafizi tidaklah dapat ditentukan kerana beliau tidak menjadi tumpuan umum sejak pilihan raya umum lalu. Ketika itu, beliau gagal memenangi kerusi parlimen Permatang Pauh, yang pernah ditandingi dan dimenangi oleh kedua ibu bapanya dalam pilihan raya sebelum ini. Jadi, beliau tidak dilantik untuk duduk dalam kabinet. Hansard juga tidak merekodkan sebarang kenyataan beliau kerana beliau tidak berada di Parlimen beberapa tahun kebelakangan ini.

Jadi, tidak ada laporan Nurul Izzah mengulas secara terbuka mengenai pelantikan dilakukan bapanya melibatkan presiden Umno Zahid Hamidi sebagai timbalan PM mendahului timbalan partinya sendiri. Juga tidak ada penafian tentang Zahid, Musa Aman dan bekas pemimpin Umno yang lain diberikan “DNAA” (pelepasan tanpa pembebasan). Apa lagi sebarang komen dari Izzah apabila hukuman penjara bekas Perdana Menteri Najib Razak turut dikurangkan separuh.

Kalau diingat semula, Rafizilah yang mengetuai bahtera perang bagi menentang beberapa siri kes rasuah yang melibatkan pemimpin Umno-Barisan Nasional. Bersama Tony Pua dan akhbar The Edge, Rafizi mendedahkan skandal rasuah 1MDB berbilion ringgit, yang pada mulanya diselubungi Akta Rahsia Rasmi. Beliau jugalah yang memecahkan skandal “Cowgate”, di mana dana negeri yang diperuntukkan untuk Pusat Fidlot Nasional yang didakwa disalah guna untuk kegunaan peribadi.

Atas usahanya, Rafizi terpaksa menanggung 16 kes mahkamah, termasuk satu kerana melanggar Akta Rahsia Rasmi. Ini mengakibatkan beliau berdepan hukuman penjara tiga tahun ke atasnya, yang mujurlah digantung.

Dalam kempennya bagi mempertahankan jawatan timbalan presiden, Rafizi melawat sembilan lokasi termasuk Sabah dan Sarawak. Bersesuaian dengan nama jelajahnya untuk berbuat bising, ia dinamakan “Jelajah Hiruk” (Hiruk adalah singkatan Hidupkan Idealisme Reformasi dalam Ujian Berkuasa).

Semasa kempennya, beliau bercakap tentang kerjanya di Kementerian Ekonomi, termasuk menyiapkan Rancangan Malaysia ke-13 (lima tahun). Beliau membincangkan cadangannya untuk memperkenalkan pembaharuan dalam sistem pendidikan. Beliau menjelaskan bagaimana beliau akan terus memberikan subsidi kepada golongan yang memerlukan di samping meningkatkan hasil untuk kerajaan.

Tidak, beliau tidak bercakap tentang percubaannya untuk melancarkan program Padu, yang ternyata sedikit melampaui batas, atau rancangannya untuk menghapuskan subsidi petrol, yang diramalkan para pengkritik akan menjadi kacau bilau.

Rafizi juga menggesa pindaan kepada perlembagaan parti. Ia akan menghalang pemilihan parti diadakan jika penggalnya bertembung dengan pilihan raya umum serta tidak membenarkan anggota baru yang tidak menjadi ahli selama sekurang-kurangnya lima tahun daripada bertanding parti dan pilihan raya umum. Sehubungan itu, beliau mencadangkan presiden perlu dilucutkan hak dalam memberikan pengecualian kepada anggota baru untuk bertanding.

Ia merupakan kritikan kepada anggota baru seperti R Ramanan, bekas bendahari MIC yang baru menyertai PKR dan ‘menyendeng’ dirinya kepada Anwar, lalu diberi kawasan pilihan untuk bertanding pada pilihan raya umum lepas. Lebih daripada itu, Ramanan kemudiannya turut dilantik sebagai timbalan menteri pembangunan usahawan dan koperasi. Beliau juga bertanding untuk salah satu jawatan naib-presiden PKR dan menang. Ramanan juga secara terbuka menyokong Nurul Izzah menentang Rafizi.

Seorang lagi pendatang baharu yang naik pangkat dengan pantas ialah Adam Adli, yang turut diberi kerusi untuk bertanding pada pilihan raya umum lalu. Beliau kemudiannya bertanding dan muncul sebagai ketua Angkatan Muda Keadilan, sayap pemuda parti itu.

Begitu juga, seorang lagi ahli bernama Amir Hussein dari Sabah, yang diberi kerusi untuk bertanding walaupun mempunyai reputasi sebagai ‘katak’. Beliau pernah di dalam Umno, kemudian Amanah sebelum menyertai PKR. Beliau juga merupakan antara pengkritik paling lantang Rafizi menjelang pemilihan parti ini.

Dalam ketiga-tiga kes ini, Anwar telah memberikan pengecualian yang diperlukan. Dalam membela dirinya, beliau menyatakan bahawa dirinya hanya menandatangani kelulusan dan tidak mempertimbangkan perkara itu dengan teliti. Jadi, jelas sekali, beliau tidak menentang cadangan pindaan Rafizi.

Nurul pula tidak pernah berada dalam kabinet dan tidak terlibat dalam penggubalan dasar. Tetapi beliau telah menghabiskan masa bagi menyelaras sekretariat untuk menasihati menteri kewangan, iaitu bapanya sendiri.

Dalam pemilihan parti terkini, pasukan Izzah yang digelar “Team Damai” (Dari Akar Membina Aspirasi Inklusif), mengadakan perhimpunan di tujuh lokasi, termasuk di Malaysia Timur. Nampaknya, kempen mereka agak sederhana, bersesuaian dengan nama ‘damai’ yang dipakai, tidak ‘bising’ seperti Jelajah Hiruk.

Walaupun presiden menyatakan beliau tidak menyebelahi mana mana pihak, pengundi biasa PKR faham bahawa Nurul Izzah adalah proksi Anwar. Undi untuk Nurul adalah undi untuk Anwar.

Mungkin inilah sebabnya ketika Rafizi mengumumkan beliau akan bertanding, kira-kira seminggu sebelum pengundian, Rafizi menyatakan bahawa beliau tidak boleh memenangi pertandingan itu. Dan Rafizi juga memaklumkan yang beliau akan mengosongkan kerusi menterinya jika itu berlaku.

Turut ada dakwaan oleh Pasukan Jelajah Hiruk bahawa pesaing mereka telah menggunakan ‘politik wang’ – apa lagi cara mereka untuk memastikan para ahli untuk mengundi Pasukan Damai! Dakwaan ini semakin kuat apabila Pasukan Damai mula memenangi kerusi bahagian, satu demi satu, kira-kira sebulan lebih awal daripada pemilihan majlis pusat yang dijadualkan pada 24 Mei di Johor Bahru.

Inilah sebab mengapa pasukan Jelajah Hiruk mempersoalkan mengapa tiada rakaman skrin proses pilihan raya di peringkat bahagian dibenarkan.

Sebagai pandangan alternatif, boleh jadi bukan politik wang yang menunjukkan sisi hodohnya. Boleh jadi ia manifestasi sokongan kepada Orang Besar dalam parti dan anak perempuannya, seperti yang sering berlaku dalam politik Malaysia dan serantau.

Pilihanraya jawatankuasa pusat

Dalam pemilihan itu, Nurul Izzah menewaskan Rafizi dan dilantik sebagai timbalan presiden. Beliau memenangi 9,803 (lebih 70%) undian manakala Rafizi hanya memenangi 3,866 undi.

Bagi peringkat jawatankuasa pusat, 22,081 perwakilan layak mengundi, di mana 13,752 sebenarnya mengundi. Ini bermakna hanya kira-kira 44% daripada 22,081 perwakilan yang layak benar-benar mengundi Nurul Izzah.

READ MORE:  Reformasi? Sudah-lah…

Ia juga bermakna 8,329 (38%) daripada semua perwakilan yang layak tidak memilih untuk mengundi – walaupun mereka dibenarkan mengundi sama ada secara peribadi atau dalam talian. Cukup besar peratusan yang memilih untuk tidak mengundi! Mengapa mereka tidak muncul? Adakah ini kerana mereka tidak mahu menyokong mana-mana calon? Adakah itu tanda protes?

Pemilihan bahagian yang diadakan sebelum ini memberi kita petunjuk jelas. Dalam pilihan raya ini, ramai penyokong Rafizi tidak berjaya dalam usaha mereka untuk dipilih semula menjadi kepimpinan bahagian mereka sendiri. Mereka termasuklah Nik Nazmi Nik Ahmad (Ahli Parlimen Setiawangsa), Akmal Nasrullah Nasir (Johor Bahru), Rodziah Ismail (Ampang), Lee Chian Chung (Petaling Jaya) and Fahmi Zainol (Ahli Dewan Negeri Pulau Pinang untuk Pantai Jerejak). Hanya naib-presiden PKR Chang Lih Kang (Ahli Parlimen Tanjung Malim) dan Aminuddin Harun (Menteri Besar Negeri Sembilan) dapat memenangi kerusi mereka, selain Rafizi sendiri, yang menang di Pandan tanpa bertanding.

Dalam pertandingan bagi naib-presiden, hanya Chang dan Aminuddin yang berjaya. Nik Nazmi dan G Manivanan tidak berjaya. Dua lagi naib-presiden yang dipilih ialah Amiruddin Shari dan Ramanan, kedua-duanya bersekutu dengan Nurul Izzah (atau Anwar).

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dikembalikan sebagai ketua sayap wanita, manakala Kamil Munim dipilih sebagai ketua pemuda tanpa bertanding. Kedua-duanya adalah penyokong setia Anwar.

Sehubungan itu, 17 daripada 20 (85%) daripada semua kerusi dalam majlis pimpinan pusat menjadi milik Pasukan Anwar.

Kritikan juga muncul bahawa Dr Zaliha Mustafa, yang bertanggungjawab dalam pemilihan parti, setiausaha agung PKR Fuziah Salleh dan mungkin Nurul sendiri tidak menyedari apa yang berlaku di akar umbi.

Dalang yang didakwa di sebalik tabir semua yang berlaku ini ialah Amirudin Shaari, Menteri Besar Selangor. Penyokong setia Azmin ini dulu, kini menjadi penyokong sepenuh masa Nurul Izzah. Rupa-rupanya, inilah cara Amirudin ‘menyendeng’ kepada bapanya.

Juga nampaknya, ia adalah sebahagian daripada rancangan Amirudin untuk menggulingkan Rafizi dan meletakkan dirinya sedekat mungkin dengan gabungan bapa-dan-anak perempuan itu, serta menggantikan mereka apabila tiba masanya. Dijangka Amirudin akan mewarisi salah satu daripada dua jawatan menteri persekutuan yang telah dikosongkan oleh Rafizi dan Nik Nazmi selepas mereka gagal memenangi jawatan tertinggi parti.

Tidak dapat disangkal, kekalahan Rafizi dan peletakan jawatannya daripada kabinet (serta Nik Nazmi, penyokong setianya) pastinya mengakibatkan PKR menjadi lemah.

Azlan Adnan MA, yang tampaknya mengagumi Rafizi, telah menyiarkan tulisan yang agak berbentuk hagiografi tentang Rafizi, yang beliau anggap sebagai “reformis sejati” melebihi mentornya, Anwar. Beliau menulis:

Kekalahan Rafizi menandakan titik perubahan yang menyedihkan bagi PKR. Dengan memilih Nurul Izzah – simbol kesinambungan dan legasi keluarga – parti itu telah memberi isyarat bahawa ia tidak lagi membawa gagasan reformasi yang berbentuk mengganggu tetapi diperlukan, seperti yang diperjuangkan oleh Rafizi. Keputusan ini menimbulkan persoalan yang tidak selesa tentang kematangan demokrasi parti Malaysia… Akar umbi seakan mengundi untuk keselesaan. Untuk membiasakan diri, untuk dinasti politik keturunan, dan dengan berbuat demikian, mereka mengenepikan seorang tokoh dalam parti mereka yang mempunyai kedua-dua dimensi; otak dan keberanian bagi meneroka jalan yang berbeza… Kekalahan Rafizi adalah jalan yang bersimpang siur, bukan jalan buntu. Ideanya kan kekal hidup, integritinya utuh, dan kawasan pilihan rayanya – bukan sahaja pengundinya, tetapi juga rakyat Malaysia yang berfikiran reformasi – masih di belakangnya. Reformasi terluka, ya – tetapi tidak mati….

– Azlan Adnan MA melalui artikelnya berjudul Rafizi Ramli’s defeat; A parallel to Khairy Jamaluddin’s political journey. What the fall of Malaysia’s brightest reformist says about party politics

Jadi, seperti apa perkembangan politik semasa yang ada sekarang? Izinkan saya membedah pemilihan PKR dan perkembangan politik terkini yang lain dengan membezakan antara dua jenis politik yang wujud.

Politik P Besar dan politik p kecil

“Politik P Besar” merujuk kepada ruang pilihan raya, Perlembagaan dan penggubalan undang-undang, cukai pendapatan dan belanjawan, alam Kekuasaan dan parti politik, termasuk pemilihan parti dalaman seperti PKR, yang diadakan baru-baru ini.

Politik P Besar ini dikuasai oleh Umno-BN selama lebih 60 tahun. Pemenang dalam Politik P Besar berakhir dengan banyak Kuasa dan berpeluang untuk mengumpul banyak kekayaan dengan cepat.

Tetapi hati-hati! Politik P Besar juga disertai dengan adegan tikam belakang, lompat parti serta membuat perjanjian tanpa mengambil kira prinsip. Semua ini untuk berkuasa, seperti perampasan kuasa lewat pintu belakang Sheraton.

Peristiwa yang lebih baru melibatkan ahli politik ialah antara PM dan pemimpin Umno sekarang, Zahid Hamidi. Percaturan ini membolehkan beliau dilantik sebagai timbalan PM, walaupun berhadapan 27 tuduhan rasuahnya. (Beliau kemudiannya telah diberikan DNAA (pelepasan tanpa pembebasan).

Kerajaan perpaduan “Madani” yang diketuai oleh Anwar, dengan Zahid sebagai timbalannya, dan PKR sebagai teras, kini terletak di tengah-tengah Politik P Besar.

Sebaliknya, “politik penyertaan dengan p kecil” merujuk kepada politik yang dijalankan dan berkembang di luar parti politik serta di luar pilihan raya umum yang diadakan setiap empat hingga lima tahun. Ia menelesuri kemunculan bentuk politik ‘setiap hari’ yang berbentuk tidak formal atau ‘budaya’ yang berlaku di antara pilihan raya.

Di Malaysia, sekelompok warga awam mula membentuk NGO – ada yang berdaftar, ramai yang tidak – sejak 1970-an dan seterusnya, selepas rusuhan kaum 13 Mei pada 1969.

Salah satunya ialah pertubuhan kami sendiri, Aliran. Kami tidak menunggu pilihan raya untuk datang. Kami terlibat dengan isu dan masalah apabila ia timbul, di antara sela pilihan raya. Tumpuan diberikan kepada punca khusus seperti pencabulan hak asasi manusia, termasuk penahanan tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Five years into Mahathir’s 22-year hold on power, the rot was already evident – ALIRAN

Dalam artikel diterbitkan, kami menentang keganasan terhadap wanita dan mempertahankan kesaksamaan jantina. Kami membantah penubuhan taman tema di atas Penang Hill. Kami mencabar skandal kewangan yang melibatkan pemimpin politik. Kami mempertahankan hak Orang Asli, hak pengguna, dan hak peneroka bandar dan petani yang menghadapi pengusiran paksa.

READ MORE:  Lantikan semula Azam Baki bukti kerajaan tiada arah untuk reformasi

Malangnya, pertumbuhan politik p kecil telah dibungkam semasa Operasi Lalang, melalui undang-undang kejam ISA pada 27 Oktober 1987. Sebahagian daripada mereka yang ditahan ketika itu adalah pemimpin terkenal DAP seperti Lim Kit Siang, Karpal Singh, P Patto dan Lim Guan Eng. Tahanan lain termasuklah pemimpin Pas seperti Mohamad Sabu dan Mahfuz Omar.

Never again! It is time for closure

Walau bagaimanapun, majoriti tahanan Operasi Lalang telah aktif dalam politik p kecil. Sebagai contoh, Nasir Hashim yang memperjuangkan hak ‘setinggan’ atau peneroka bandar. Brother Anthony Rogers dan Lim Chin Chin adalah pekerja gereja Katolik yang rapat dengan gerak kerja keadilan sosialnya, National Office of Human Development. Yang lain seperti Cecilia Ng dan Chee Heng Leng aktif dalam perjuangan untuk kesaksamaan gender. Tahanan lain termasuk pendidik beraliran Cina seperti Kua Kia Soong, pencinta alam sekitar serta kesatuan sekerja.

Politik p kecil telah menerima rangsangan apabila Reformasi tercetus sejurus pemecatan Anwar daripada Umno pada tahun 1998. Dalam tempoh dua tahun, ramai daripada mereka yang terlibat dalam politik kecil dan dalam Reformasi, terutamanya penyokong setia Anwar yang telah muncul dari rahim Umno, membantu membentuk Parti Keadilan Nasional. Parti ini kemudiannya bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia, parti sosialis lama, untuk membentuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan Syed Husin Ali, seorang sarjana aktivis terkenal, sebagai timbalan kepada presiden parti Wan Azizah.

Dengan kata lain, aktivis politik p kecil juga beralih ke alam Politik P Besar. Atau, untuk meminjam istilah aktivis veteran Hishamuddin Rais, kita melihat “politik jalanraya” yang membentuk kumpulan politik p kecil turut diinstitusikan untuk memerangi Politik P Besar berbentuk “Politik Pilihanraya”.

Seterusnya, PKR juga membentuk gabungan dengan DAP, juga kemudian dengan Pas (sehingga pilihan raya umum 2013) dan akhirnya dengan autokrat, Mahathir, yang pernah menjadi musuh dan penindas mereka. Kerjasama dan kesepakatan mereka membawa kepada kemenangan yang menakjubkan dalam pilihan raya umum 2018. Bersama-sama, mereka menewaskan daulah Umno-Barisan Nasional buat kali pertama sejak merdeka.

Namun, ramai di Malaysia, termasuk kami di Aliran, terus menumpukan kepada politik p kecil. Kami mengambil bahagian dalam pembentukan jaringan NGO seperti Bersih, yang pada dasarnya menuntut pilihan raya yang bebas dan adil. Mungkin jaringan ini mencapai kemuncaknya apabila ia diketuai oleh bekas presiden Majlis Peguam Ambiga Sreenevasan dan Pak Samad Said, sasterawan negara. Bersih juga tidaklah mahu menjadi parti politik untuk bertanding dalam pilihan raya. Namun, ia bekerjasama dengan PKR dan parti pembangkang lainnya.

The Bersih 5 crowd outside KLCC on 19 November 2016

Turut muncul sekitar waktu ini ialah Hindraf, yang memperjuangkan hak orang Hindu, dan gerakan alam sekitar di Malaysia, yang menganjurkan Himpunan Hijau.

Dengan kata lain, alam politik p kecil ini memuncak pada tahun-tahun berikutnya. Melalui Bersih, tuntutannya untuk pilihan raya yang bebas dan adil menjadi popular serta berkembang di kalangan rakyat. Seruannya yang berkaitan bagi memulihkan pilihan raya kerajaan tempatan dan membina semula Malaysia yang lebih baik juga disambut masyarakat.

Ramai masih ingat waktunya di mana kami turut membantu untuk menganjurkan demonstrasi atau mengambil bahagian dalam mesyuarat bagi membincangkannya. Ia adalah tempoh di mana orang ramai cukup bersedia turun ke jalanan bagi membantah penyalahgunaan kuasa dan rasuah Umno-BN.

NGO ketika itu turut menuntut tadbir urus yang baik, akauntabiliti dan ketelusan. Mereka menentang rasuah dan kronisme. Mereka menyokong kesaksamaan jantina dan perlindungan wanita. Mereka menggesa keadilan sosial untuk Orang Asli dan peneroka bandar, untuk pembangunan mampan, untuk perundangan gaji minimum, untuk penambahbaikan dan perlindungan sistem kesihatan awam. Mereka menuntut pembaharuan di sekolah kita dan juga untuk memelihara warisan budaya, seni dan muzik kita. Saya juga masih ingat inisiatif untuk mendekati orang dari latar belakang agama lain dan mempromosikan dialog antara agama.

Media sosial turut digunakan secara meluas untuk menguatkan politik p kecil kita. Ia merupakan satu pembugaran bentuk masyarakat sivil yang belum pernah berlaku sebelum ini di Malaysia. Momentumnya telah bermula sejak Reformasi.

Politik p kecil sebegini adalah perkara biasa di Filipina pasca-Marcos, di Indonesia pasca-Reformasi, dan di Thailand, di mana rampasan kuasa tentera berlaku dari semasa ke semasa. Dihadapkan dengan pemerintahan tentera dan autoritarian, Politik P Besar berbentuk pilihan raya sering berdepan masalah di negeri jiran. Akibatnya, NGO dan pertubuhan masyarakat sivil di sana telah bergerak menentang pemerintahan tentera dan autokratik BUKAN melalui Politik Kuasa P Besar tetapi melalui politik penyertaan p kecil. Beribu-ribu pertubuhan masyarakat sivil atau NGO wujud di negara jiran ini dan telah aktif sejak 1970-an.

Di Malaysia, secara perbandingannya, proses pilihan raya formal telah berjalan tanpa gangguan. Namun, proses itu telah dikuasai oleh parti politik berasaskan etnik Umno-BN selama enam dekad. Keseluruhan sistem itu bergelumang politik wang.

Tidak banyak bukti bahawa kerajaan perpaduan Madani yang dipimpin oleh Anwar dengan PKR sebagai parti teras kerajaan telah beralih daripada proses yang ditentukan oleh etnik dan politik naungan yang dikaitkan dengan gabungan Umno-BN.

Kita mesti melipatgandakan usaha PKR dan Anwar untuk memulihkan idealisme Politik Baru yang berteraskan untuk meningkatkan penyertaan demokratik, kerjasama pelbagai etnik, dan pembaharuan sistem pendidikan serta kesihatan kita.

Dari sudut pandang sebegini, keputusan pemilihan PKR baru-baru ini hanya memberi sedikit perbezaan kepada kita yang menuntut pembaharuan. Ya, kita pastinya cenderung untuk mengutamakan kerajaan perpaduan pimpinan PKR ini daripada kemungkinan alternatif sedia ada yang wujud. Namun, adakah sudah tiba masa untuk berfikir dengan jelas tentang alternatif lainnya?

Untuk itu, kita perlu melancarkan semula usaha politik p kecil kita. Kita hanya boleh berjaya dalam arena Politik P Besar, jika politik p kecil kita melibatkan tuntutan seputar soal reformasi sosial, keterangkuman dan demokrasi partisipatif kekal aktif, cergas dan kukuh.

Politik p kecil perlu menyuntik semula dirinya masuk ke dalam politik P Besar seperti mana pada kemuncak gerakan Reformasi.

Francis Loh
Editor bersama, surat berita Aliran
4 Jun 2025

Terjemahan oleh: Zikri Rahman

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments

Most Read

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x