Home Newsletters Perancis: Migrasi, kesan penjajahan serta konflik etnik baru-baru ini – Sebuah pandangan...

Perancis: Migrasi, kesan penjajahan serta konflik etnik baru-baru ini – Sebuah pandangan dari Malaysia

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Saya bukanlah seseorang yang mempelajari tentang masyarakat dan politik Perancis. Saya tidak mengikuti perkembangan politik, ekonomi dan sosio-budaya di Perancis. Walau bagaimanapun, kira-kira lima puluh tahun yang lalu, sebagai pelajar sarjana muda sebuah kolej di Amerika, saya meluangkan masa satu semester di Perancis bagi mempelajari bahasa dan budaya Perancis serta tinggal bersama keluarga Perancis.

Menggulati suasana dengan cara ini merupakan cara terbaik untuk mempelajari bahasa dan budaya orang ramai dengan cepat. Saya menikmati tempoh empat hingga lima bulan saya di Perancis dan memperoleh tahap kecekapan yang baik dalam bahasa Perancis. Saya meninggalkan Perancis dengan kenangan indah tentang tempat, orang ramai serta patisserie (kedai roti) Perancis yang enak.

Malangnya, Perancis nampaknya sedang berperang kira-kira 50 tahun kemudiannya! Tidak, ia bukannya perang di Ukraine, melawan Vladimir Putin serta mengalahkan Rusia yang menjadi tumpuan kita.

Percanggahan dalaman dan persengketaan di Perancis dan di Baratlah yang secara umumnya menjadi tumpuan kebanyakan kita di Selatan dan – barangkali ada orang yang lebih suka mengguna pakai terma ini – ‘bukan Barat’.

Kebanyakan kita pernah tinggal di bekas tanah jajahan yang pernah dianggap sebagai satelit negara ibu ‘metropolitan’ (seperti UK, Perancis, Belgium, Belanda, Sepanyol dan AS). Kita di bekas tanah jajahan ini diarahkan untuk mengamalkan, jika tidak dipaksa untuk jatuh cinta, kepada sistem pemerintahan ibu kota negara ini, ekonomi, pendidikan, sastera dan muzik mereka, sukan dan permainan rekreasi mereka, serta nilai-nilai mereka.

Jadi, ia amat membingungkan apabila semua yang telah dipelajari selama ini mula berantakan:

  • Apabila AS yang hebat itu mencatatkan jumlah kematian Covid per kapita tertinggi, sebab ramai penduduk Amerika, terutamanya mereka dari latar belakang yang lebih miskin, menjadi mangsa kerana mereka berada dalam keadaan kesihatan yang lebih teruk, kerana tiada akses penjagaan kesihatan sejagat yang percuma di AS, dan ramai daripada mereka yang meninggal dunia tidak mempunyai insurans kesihatan yang komprehensif
  • Apabila terdapat bilangan kes yang tidak seimbang melibatkan orang kulit hitam dan coklat yang ditahan oleh pegawai polis, dibunuh semasa ditangkap atau semasa dalam tahanan, serta dipenjarakan kerana jenayah yang dilakukan di AS. Keseluruhan kempen “Black Lives Matter” telah menyedarkan kita tentang sikap perkauman sistemik di kalangan pegawai penguatkuasa undang-undang di AS
  • Apabila seorang presiden AS yang kalah mendakwa bahawa kemenangan pilihan rayanya telah dicuri daripadanya, yang tidak logik dek akal, kemudian menjadi dalang bagi mengatur serangan ke atas Kongres, badan perundangan negara itu, sekali  gus mengakibatkan banyak kemusnahan, kekacauan dan kecederaan kepada orang lain. Apatah lagi, ini adalah presiden terpilih AS yang berasal dari Parti Republikan yang sama dengan Abraham Lincoln, yang memberi kita definisi yang penting tentang apa itu yang membentuk demokrasi
  • Apabila seorang perdana menteri UK (yang kini sudah disingkirkan) mengisytiharkan protokol kuncitara Covid melibatkan perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh semua pihak, dan kemudiannya melanggar peraturannya sendiri; lebih teruk lagi, beliau juga berbohong apabila diketahui melanggar protokol serta sewaktu dilaporkan kesalahannya itu.
  • dan, sekali lagi di UK, apabila ‘ibu kepada semua demokrasi berparlimen Westminster’ terus diperintah tanpa gangguan oleh seorang dan kemudian seorang lagi perdana menteri yang pada dasarnya dipilih oleh sekumpulan lelaki kulit putih yang kebanyakannya ahli parti Tory; yang pasti, PM-nya itu tidak dipilih oleh semua rakyat – tanpa mengira etnik, agama, wilayah, kelas, jantina, orientasi seksual atau umur – yang tidak pernah diberikan ruang dalam mana-mana demokrasi yang tulen. Apa lagi, kita sendiri  diajar “tiada demokrasi tanpa pilihan raya”

Saya boleh berkongsi lagi contoh yang lain, tetapi saya kira perlu mengalihkan perhatian kepada masalah yang lebih serius. Di Perancis hari ini – sebuah negara yang menggulingkan raja mereka pada tahun 1789, memberontak terhadap pemerintahan feudal, memberi kita Voltaire dan ahli falsafah Perancis lainnya, serta berkongsi dengan seluruh dunia akan usaha murni menjunjung “kebebasan, kesaksamaan dan persaudaraan” – Perancis yang sama itulah kini dituduh mendiskriminasi, meminggirkan dan melucutkan hak sekumpulan warganya sendiri di Perancis zaman moden 2023.

Mereka inilah warganegara yang tinggal di banlieue (pinggir bandar) seperti ghetto di Paris, Marseille, Lyons, Toulouse dan bandar-bandar utama yang lain. Pada masa kini, banlieue ini dicorakkan oleh kemiskinan, pengangguran, akses perkhidmatan kesihatan yang lemah, sekolah yang tidak berfungsi, serta keadaan hidup seperti ‘dunia ketiga’. Pastinya keadaan sebegitu mengakibatkan jenayah berleluasa, gerombolan samseng berkumpul dan dadah diedar.

Dan siapakah mereka yang tinggal di banlieue ini? Mereka, secara signifikannya, adalah warganegara atau anak-anak kepada warganegara yang berasal dari tanah jajahan Perancis di bahagian utara dan sub-Sahara Afrika. Mereka kebanyakannya beragama Islam yang berketurunan Arab dan kulit hitam Afrika. Dan mereka juga miskin.

Lihatlah rakaman video tentang rupa banlieues Paris dalam video di bahagian atas bertajuk: Ghettos in Paris – Poverty and Crime in the Banlieu | Max Cameo #HOOD

Apa Perancis sedang berperang dengan dirinya sendiri?

Berikutan kejadian tembakan maut melibatkan Nahel Marzouk, seorang pemuda Perancis berusia 17 tahun berketurunan Maghribi dan Algeria akibat ditahan melibatkan kesalahan lalu lintas pada 27 Jun oleh seorang pegawai polis kulit putih di Nanterre, protes secara spontan berlaku dan melanda Paris. Rakaman CCTV menunjukkan bahawa pemuda itu, yang tidak bersenjata, telah ditembak dari jarak dekat tanpa sebab yang jelas.

Sebagai tindak balas kepada pembunuhan tidak masuk akal ini, pertempuran antara penunjuk perasaan dan polis meletus bukan sahaja di Paris tetapi di seluruh negara.

Gabungan ad hoc yang terdiri daripada 90 pertubuhan kejiranan dan kelompok anti-perkauman yang rencam turut menggesa protes besar-besaran pada 8 Julai. Kerajaan Perancis melarang perhimpunan itu, namun ia tetap diteruskan.

Menteri dalam negeri mengerahkan lebih 40,000 pegawai polis bagi menjaga undang-undang dan ketenteraman serta untuk membendung keganasan. Lebih seribu orang telah ditangkap dan ratusan pegawai polis cedera. Kenderaan di jalan raya dibakar, deretan kedai dipecah masuk dan dirompak. Banyak darah mengalir di jalanan.

READ MORE:  Brave Barbados PM's great speech that exposed the West

Pada mulanya, media global menunjukkan adegan keganasan dan pembakaran ini, dengan naratif seakan Perancis berperang dengan dirinya sendiri. Adegan hodoh itu disamakan dengan adegan keganasan yang berterusan di Sudan, konflik etnik di Manipur, India, serta gerakan revolusioner muda di Myanmar yang memerangi rejim tentera selepas rampasan kuasa di sana pada 2021.

Kemudian, dengan tiba-tiba, semua gambar dan rakaman keganasan di jalanan di Perancis ini berhenti ditayangkan. “Tiada apa-apa!” atau “Rien!”, seperti yang sering disebut oleh orang Perancis.

Tampaknya, gambar tanpa disertakan naratif yang betul boleh memberikan mesej yang salah. (Saya rasa inilah sebabnya mengapa Washington sangat tidak suka akan TikTok. Ancaman kepada ‘keselamatan negara’, katanya!) Jadi, tiba-tiba tiada lagi video yang berlegar.

Naratif puak kanan serta rasis

Bagi penyokong sayap kanan Marine Le Pen dan National Rally Party-nya (sebelum ini National Front Party), masalah semasa di Nanterre, jelas dan mudah, berpunca daripada kemasukan peningkatan bilangan pendatang ke Perancis. Terlalu ramai pendatang tiba terlalu cepat, dan mereka tidak dapat diasimilasikan ke dalam masyarakat Perancis dengan jayanya.

Le Pen dan penyokongnya berhujah bahawa para pendatang kini yakin dengan diri mereka sendiri kerana bilangan mereka yang ramai, tidak perlu atau mahu mengamalkan bahasa, adat dan undang-undang di negara tuan rumah. Sebaliknya, mereka mahu mengekalkan identiti mereka sendiri dan hidup berasingan daripada orang Perancis asal.

Bagi Le Pen, keengganan untuk berasimilasi ini telah mengakibatkan “pemisahan” dan “komunalisme”. Bahkan, memang mereka tinggal di kawasan kejiranan mereka sendiri.

Satu video Marine Le Pen yang berjudul “Apa yang telah anda lakukan kepada Perancis?” menunjukkan beliau mengkritik presiden Perancis Emmanuel Macron. Malah, ia juga adalah kritikan terhadap dasar Perancis dan EU terhadap pendatang, terutamanya mereka dari Afrika.

Secara jelas, video itu mengungkap dengan jelas sokongan yang meluas terhadap Le Pen oleh orang Perancis serta warga Eropah lain yang menontonnya. Mereka memuji Le Pen kerana pendiriannya untuk menyekat, jika tidak menghalang terus, kedatangan pendatang, sama ada yang sah dan tidak berdokumen. Mereka menyokong beliau bercakap mengenainya dan berharap pemimpin Eropah lain akan melakukan perkara yang sama.

(Malah, ramai pemimpin Eropah di Itali, Belgium, UK, Belanda, Jerman, Norway, Finland dan Sweden juga telah melakukan perkara itu. Dan mereka telah memenangi lebih banyak kerusi dalam pilihan raya. Terbaru, kita menyaksikan perdana menteri baru yang anti-migran telah dipilih untuk memegang jawatan di Itali. Di Jerman, datuk bandar yang anti-imigrasi telah dipilih untuk memegang jawatan buat kali pertama. Parti anti-imigrasi berhaluan kanan juga merupakan sebahagian daripada kerajaan baharu di Finland.)

Satu lagi video yang tular di kalangan penyokong Le Pen memaparkan ulama Islam Sheikh Abu Taqi Al-Din Al-Dan yang, dalam video tahun 2019-nya, mendakwa bahawa Perancis akan menjadi negara Islam menjelang 2050!

Video yang sama juga mengandungi klip menteri luar UAE yang pro-Barat, yang (dalam video tahun 2017 itu), memberi amaran kepada pemimpin Eropah supaya tidak berlembut dengan pendatang Islam, terutamanya mereka yang menyokong pandangan ekstremis. Beri betis, nak peha pula, seolah-olah itulah beliau berkata. Beliau menyalahkan kelonggaran kerajaan Eropah sebagai punca protes dan kekacauan umat Islam sebelum ini di Perancis dan negara lain. Belajarlah daripada cara kami mengawal pelampau, katanya kepada orang Eropah.

Sebagai tanda sokongan, warga Eropah berfahaman politik sayap kanan ini mengumpul 1.6 juta franc melalui crowdfunding untuk keluarga serta bagi membela pegawai polis yang sedang disiasat kerana melakukan pembunuhan itu.

Mereka yang menolak perkauman

Dari sudut pandangan kumpulan anti-perkauman yang terlibat dalam protes, ‘ledakan’ terbaru – ada juga yang berpendapat mengatakan ia sebuah pemberontakan – menunggu masa untuk meletus bertahun-tahun lamanya. Bagi mereka, kekejaman polis dan pembulian terhadap penduduk Islam, Afrika dan Arab di negara ini cukup mengakar dan seakan endemik.

Seorang aktivis hak asasi manusia Perancis, Yasser Louati, ketua Jawatankuasa Keadilan dan Kebebasan di Perancis, menyatakan bahawa pada tahun 2022 sahaja, terdapat 138 insiden yang didokumenkan melibatkan polis Perancis melepaskan tembakan ke arah kereta yang bergerak, manakala 13 orang pula maut dalam tembakan yang berlaku semasa ditahan polis.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, golongan minoriti ini tinggal di banlieue seperti ghetto, dicorakkan oleh sekolah yang tidak berfungsi, pengangguran yang meluas di kalangan belia, kawasan kejiranan yang tidak dijaga. Dan ya, sindiket jenayah yang turut beroperasi di kawasan kejiranan ini – yang kemudiannya menjadi alasan untuk polis menyerbu rumah dan mengganggu penduduk.

Tetapi latar belakang sebenar kepada semua perseteruan dan konflik semasa antara belia yang menganggur dan negara Perancis ini, sudah tentu, merupakan perlawanan digerakkan komuniti pendatang – orang Arab dari Algeria, Maghribi dan Tunisia di sebelah pihak, serta orang kulit hitam Afrika dari 14 negara bekas jajahan Perancis di Afrika tengah dan barat sub-Sahara: Senegal, Benin, Burundi, Burkina, Togo, Côte D’Ivoire, Mali, Chad, Republik Afrika Tengah, Cameroon, Congo, Gabon, Guinea dan Niger.

Dilaporkan, komuniti migran ini merupakan 10% daripada keseluruhan penduduk Perancis hari ini. Satu lagi statistik menyatakan bahawa Muslim Arab dari Maghreb berjumlah kira-kira dua juta.

Dari negara Afrika termiskin

Bekas tanah jajahan Perancis di Afrika Tengah dan Barat sub-Sahara ini juga merupakan antara negara-negara Afrika yang paling miskin dan kurang maju. Mereka ini barangkali contoh klasik tentang bagaimana ‘kebergantungan ekonomi’ tetap berterusan di bekas tanah jajahan, walaupun mereka mencapai kemerdekaan beberapa dekad yang lalu.

Ekonomi mereka terus dikuasai oleh perlombongan sumber asli (minyak dan gas, besi, bauksit, timah, tembaga, emas dan logam nadir) serta pengeluaran hasil pertanian (kopi, koko, teh, sekoi, sorgum, jagung, gajus, tenusu, hortikultur dan penternakan).

READ MORE:  'Not a French flag in sight': Fake news after left-wing victory in snap elections

Kira-kira 60% daripada populasi sub-Sahara Afrika terdiri daripada pekebun kecil yang ladangnya kurang daripada lima hektar setiap satu. Ladang bersaiz sederhana (lima hingga 100 hektar) cukup jarang dimiliki mereka. Perladangan pertanian juga jarang berlaku.

Tidak seperti di Asia Timur dan Tenggara – di mana kita memulakan proses “pengindustrian penggantian import” (“import-substitution industrialisation”) dari tahun 1960-an atau lebih awal, serta “perindustrian berorientasikan eksport” (komponen elektronik dan produk elektrik, tekstil dan pakaian) sejak tahun 1970-an – Afrika masih mengimport kebanyakan barangan perkilangan.

Tiada satu pun negara ini yang mengeluarkan Proton atau Perodua mereka sendiri, atau komputer mereka sendiri seperti China dan Korea Selatan. Paling baik pun, negara-negara Afrika ada menghasilkan barangan pengguna yang tidak tahan lama seperti kasut, makanan dan minuman yang diproses serta pakaian.

Malah, sebarang percubaan untuk menyahjajah ekonomi dan melepaskan diri mereka daripada Perancis telah diancam dengan pembayaran wajib yang dipanggil ‘hutang kolonial’.

Apabila Guinea di bawah Sekou Toure memutuskan untuk tidak membayar hutang itu, Perancis menggunakan taktik apa yang boleh dianggap sebagai penghancuran sepenuhnya ‘aset’ tak alih yang mereka tinggalkan – bangunan pentadbiran, sekolah, hospital, perubatan, sehinggalah ke lembu. Ini dilakukan untuk memberi amaran kepada negara-negara lain agar tidak mengikuti contoh penentangan dilakukan oleh Sekou Toure.

Keadaan berat sebelah lainnya pula ialah keperluan di mana 14 bekas tanah jajahan ini terus dipaksa menjadi sebahagian daripada sistem mata wang CFA franc. Di bawah pengaturan ini, mata wang tempatan terikat dengan mata wang Perancis dan dijamin oleh perbendaharaan Perancis pada kadar tetap.

Tambahan lagi, kerajaan Perancis turut menuntut rizab negara negara ini dengan menghendaki mereka mendepositkan 50% daripada rizab franc CFA ke dalam bank pusat Perancis, sekaligus berkesan untuk Perancis mengawal sumber negara.

Walaupun Malaysia berjaya keluar daripada ditambat mata wang ringgit tempatannya daripada sterling tidak lama selepas kemerdekaan daripada British, masih banyak negara bekas jajahan Perancis telah diikat dengan sistem mata wang CFA francs (yang sejak itu telah dipecahkan kepada dua mata wang yang boleh ditukar ganti secara berkesan) beberapa dekad selepas kemerdekaan.

Pembungkaman politik selepas pasca Merdeka

Perjuangan bekas tanah jajahan ini ke arah membina negara yang kuat dan merdeka sering dihambat oleh pembunuhan pemimpin revolusioner dan nasionalis mereka.

Antara yang dibunuh:

  • Patrice Lumumba, Perdana Menteri Congo, yang digulingkan oleh tentera pro-Barat serta pesaingnya yang membunuhnya menggunakan skuad tembak pada tahun 1961
  • Sylvanus Olympio dari Togo, dibunuh pada tahun 1963 – sebagai Perdana Menteri, beliau telah menolak permintaan Perancis membayar 800m franc sebagai pampasan kerana meninggalkan pentadbiran kolonial Perancis
  • Dr Felix Moumie, yang dianggap sebagai “Patrice Lumumba dari Cameroon”, disyaki telah diracun di Geneva oleh ejen rahsia Perancis
  • Ruben Um Nyobe, yang disamakan dengan Gandhi dan Nelson Mandela, dibunuh oleh tentera Perancis pada tahun 1958
  • El Mehdi ben Barka, “Che Guevera dari Maghribi”, yang menganjurkan perhimpunan tiga negara sosialis di Afro-Asia dan Amerika Latin, diculik di Paris pada 1963 dan diseksa hingga mati kemudiannya

Dengan jelas, kebanyakan pemimpin ini adalah mereka yang berfahaman pan-Afrika dan sosialis dalam orientasinya.

Semasa Perang Dingin, pemimpin Afrika yang berorientasi begini dikenal pasti sebagai tidak mesra dengan kepentingan Barat dan dengan mudah disingkirkan – di Afrika, di Timur Tengah, Amerika Latin, seperti di Asia Timur dan Tenggara. Wikipedia menganggarkan kira-kira 400,000 nasionalis Afrika telah dihantar pulang, diseksa dan dibunuh.

(Walaupun sebelum ini bukan jajahan Perancis, perlu juga disebut tentang Kwame Nkrumah yang dihormati dan berkarisma dari Ghana, yang juga sebelum ini dikenali sebagai Gold Coast. Beliau telah digulingkan dalam rampasan kuasa pada tahun 1966, semasa beliau dalam lawatan rasmi ke Vietnam dan China. Ia diakui kemudiannya bahawa CIA telah terlibat dalam penyingkirannya.)

Sebuah buku oleh Walter Rodney, How Europe Underdeveloped Africa, mendokumentasikan penindasan dan eksploitasi benua oleh Perancis, Belgium dan British.

Dua naskhah utama oleh ahli teori anti-kolonial yang sohor, Franz Fanon – The Wretched of the Earth, dan Black Skins, White Masks – menerangkan bagaimana penjajah mendidik dan mempengaruhi orang Afrika bukan sahaja untuk memandang rendah diri mereka sendiri tetapi juga untuk membenci sesama Afrika, serta tidak bersatu dan bekerjasama antara satu sama lain. (Inilah sebabnya mengapa pemimpin revolusioner yang menyokong pan-Afrika, seperti yang disebutkan di atas, terpaksa dibunuh).

Dengan penindasan yang sedemikian rupa dalam usaha untuk menjadi bebas dari segi politik dan ekonomi, tidaklah menghairankan bahawa banyak, jika tidak semua, daripada negara-negara Afrika sub-Sahara ini tidak begitu berkembang. Sistem politik mereka juga tidak berubah menjadi stabil dan meyakinkan. Malah, persengketaan dalam negeri serta berlainan negeri berterusan tanpa henti.

Hari ini, dengan perubahan iklim yang menimpa kita, negara bekas jajahan Perancis ini silih berganti antara kemarau yang semakin teruk serta banjir yang semakin memburuk. Tidak hairanlah ramai warga Afrika ingin meninggalkan negara mereka untuk ke Perancis yang jauh, sejuk dan asing itu.

Maka inilah latar belakang yang panjang kepada nasib pendatang Afrika.

Perkara terakhir yang perlu dibincangkan ialah bagaimana beberapa dekad yang lalu, sewaktu ekonomi Perancis dan Eropah sedang berkembang dan memerlukan sumber buruh murah, migran ini diambil dalam jumlah yang besar, dan juga dengan pesat.

Secara ketara, ekonomi Perancis (dan Eropah) tidak lagi berkembang kini. Ia telah menguncup dan mungkin akan tenggelam dalam kemelesetan. Akibatnya, hanya sedikit pekerjaan yang ada untuk golongan muda yang tinggal di ghetto banlieue.

Melebihi generasi ibu bapa mereka, golongan muda ini juga tidak merasakan institusi politik Perancis sebahagian daripada mereka. Mereka tidak tergolong dalam mana-mana parti tradisional seperti Parti Sosialis atau Parti Republikan. Juga dengan parti baharu Macron. Bahkan, mereka juga mungkin tidak mengundi.

READ MORE:  'The whole country of France has won': Far right blocked from power as left surges

Memandangkan ramai daripada golongan muda ini menganggur, mereka juga tidak menyertai kesatuan sekerja, yang, dalam apa jua keadaan, hanya mewakili kira-kira 10% daripada tenaga kerja hari ini (kira-kira sama seperti di Malaysia). (Dalam webinar yang saya pernah hadiri, saya mengetahui bahawa ramai orang yang terlibat dalam kesatuan sekerja juga rapat dengan parti Perhimpunan Kebangsaan Le Pen, yang ramai menganggapnya sebuah parti “perkauman”.) Tidak, kesatuan sekerja juga tidak tampil menyokong bantahan baru-baru ini.

Sebaliknya, cara berpolitik kaum migran ini juga spontan, tidak formal dan bersinggungan terus dengan kawasan kejiranan mereka. Marine Le Pen tidak salah apabila beliau menegaskan bahawa pendatang tidak dapat diasimilasikan dan hasilnya adalah “pemisahan”. Walau bagaimanapun, pandangan beliau betul-betul cetek dalam memahami keadaan ini berdasarkan dua hal.

Pertamanya, beliau tidak mengaitkan protes anak muda di ghetto ini dengan kedangkalan institusi politik Perancis itu sendiri – di mana ia tidak lagi berfungsi; bahawa undang-undang Perancis perlu disemak semula kerana ia sendiri tidak mengakui bahawa terdapat kewujudan “yang lain” melibatkan kaum, agama dan budaya yang berbeza dalam masyarakat Perancis pada Abad ke-21.

Undang-undang sedia ada mengenai pemisahan gereja dan negara menegaskan sekularisme yang melarang orang Islam dan minoriti agama bukan Kristian daripada menyatakan atau bahkan mengamalkan kepercayaan mereka di ruang awam.

Juga tiada institusi neutral (di luar polis) yang boleh ditugaskan untuk menyiasat masalah keganasan polis serta “perkauman sistemik” dalam pasukan itu. Sememangnya, PBB juga di luar kebiasaannya telah menyeru agar kerajaan Perancis menangani masalahnya dengan orang Arab, kulit hitam dan orang Islam.

Kedua, Le Pen juga dangkal kerana tidak mengakui akar sejarah serta asal usul penghijrahan warga Afrika ke Perancis, yang kembali kepada soal penjajahan dan eksploitasi Perancis yang berterusan ke atas bekas tanah jajahannya. Bahkan, ramai rakyat Perancis masih menyesal kerana Algeria bukan lagi sebahagian daripada Perancis dan tidak mengakui keganasan yang digunakan oleh kerajaan Perancis untuk menghalang kemerdekaan Algeria.

Mungkin sudah tiba masanya untuk Perancis memberi pampasan kepada bekas tanah jajahannya untuk membantu membangunkan ekonomi, membina masyarakat sivil dan menstabilkan politik mereka.

Dalam hal ini, Perancis dan seluruh negara Barat harus menghargai bagaimana China telah membantu negara-negara Afrika untuk membangunkan infrastruktur mereka – sesuatu yang Barat gagal lakukan berabad lamanya penjajahan mereka di Afrika.

Dan jika seseorang dapat mengimbau kembali teori pembangunan ekonomi gagasan Rostow, ia persoalan infrastruktur, melibatkan kedua-dua fizikal dan sosial, tegas beliau, yang mesti dibangunkan dahulu sebelum sektor lain boleh bergerak seiring.

Ironinya, bekerjasama dengan China dan warga Afrika sendiri dalam membangunkan negara-negara sub-Sahara mungkin menjadi langkah terbaik untuk menyelesaikan masalah penghijrahan Afrika ke Eropah, termasuklah Perancis, dalam jangka masa panjang.

Walau bagaimanapun, tidak kelihatan bahawa pemimpin politik Perancis atau Barat membayangkannya ke arah ini. Nampaknya, dari sudut pandangan kita yang jauh di Malaysia ini, mereka semua leka dengan perang Ukraine, dan apabila mereka memikirkan tentang China, ia dilihat sebagai ancaman yang lebih besar daripada apa yang ditimbulkan oleh Rusia. Sekurang-kurangnya, begitulah kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin Barat pada penghujung sidang kemuncak Nato baru-baru ini secara mutlak.

Apa yang dimahukan warga minoriti

Terdapat cukup bukti daripada kajian yang ada bahawa terdapat tiga faktor penyumbang yang saling berkaitan – tidak kira sama ada negara berkenaan adalah negara membangun, negara perindustrian Barat atau bekas komunis – jika seseorang ingin membina sebuah negara berbilang etnik yang stabil, demokratik dan aman.

Pertamanya, kumpulan etnik minoriti atau nasion etnik biasanya akan menolak percubaan kumpulan majoriti untuk mengasimilasikan mereka ke dalam budaya dominan.

Sebaliknya, golongan minoriti menuntut hak untuk mengamalkan dan mengembangkan budaya mereka sendiri. Mereka menuntut pluralisme budaya untuk dipertahankan dan supaya kerajaan melaksanakan beberapa dasar multikulturalisme.

Ini bukan bermakna mereka tidak akan belajar dan menerima bahasa biasa atau bahasa kebangsaan. Juga tidak bermakna mereka tidak akan menerima nilai sivik sejagat. Ini bermakna mereka juga ingin belajar, mengembangkan dan mempromosikan bahasa, budaya dan agama mereka sendiri.

Kedua, kumpulan minoriti juga menolak penguasaan politik oleh kumpulan majoriti yang mengakibatkan mereka terpinggir.

Membenarkan penyertaan politik minoriti melalui dasar desentralisasi dan penubuhan sistem persekutuan sehingga ke peringkat kerajaan tempatan akan membuka jalan ke arah mewujudkan peluang bagi minoriti untuk terlibat dalam membuat keputusan di kawasan tempatan mereka sendiri, dan persoalan yang berkaitan dengan mereka seputar identiti budaya dan/atau agama sendiri. (Dalam hal ini, sistem pemerintahan Perancis terlalu berpusat berbanding dengan sistem Jerman, Austria dan Switzerland.)

Dan ketiga, kumpulan minoriti turut menolak pembangunan ekonomi yang tidak sama rata di wilayah tersebut.

Sebaliknya, mereka juga menuntut kawasan di mana mereka hidup, sama seperti kawasan di mana kumpulan majoriti tertumpu, diberikan bahagian yang adil dalam berkongsi produksi ekonomi. Dengan jelas, banlieue mesti diperbaiki dan dinaik taraf dalam semua aspek.

Dengan kata lain, wacana tentang konflik sebegini dan bagaimana ia mungkin diselesaikan harus diperakui dengan menyedari bahawa masalah tersebut akan berterusan melainkan semua rakyat di mana-mana negara diberikan hak kewarganegaraan yang sama, tidak kira sama ada mereka tergolong dalam kumpulan majoriti atau minoriti.

Adakah kita menggalakkan penyertaan atau mendiskriminasi “yang lain” dalam dasar dan urusan politik kita sendiri? Terpulanglah kepada kita sendirilah untuk memutuskan sama ada kita mahu menjadi terangkum atau eksklusif.

Francis Loh
Editor bersama, surat berita Aliran
26 Julai 2023

Tontonilah video-video ini:

https://youtube.com/watch?v=sHQnGRt9cTU%3Ffeature%3Doembed

Permanent Damage! How France Condemned Guinea, Haiti and other African Countries to Poverty

https://youtube.com/watch?v=IYji50KfeVM%3Ffeature%3Doembed

France on Fire: the Killing of Nahel Marzouk & Long Shadow of Colonialism

https://youtube.com/watch?v=T6teHgTJkdw%3Ffeature%3Doembed

The French Riots: Europe on the Brink? | David Woo

https://youtube.com/watch?v=ILYNT6PhR_0%3Ffeature%3Doembed

UN Calls on France to Address Deep Issues of Racism

Terjemahan oleh: Zikri Rahman

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x