Keputusan pilihan raya presiden AS sedang dikira, dengan Donald Trump mendahului pengiraan. [Trump akhirnya meraih kemenangan.]
AS, negara demokrasi kedua terbesar di dunia, mempunyai lebih 160 juta pengundi berdaftar, 82 juta daripadanya mengundi lebih awal sebelum 5 November.
Seperti beberapa negara lain, AS membenarkan pengundian awal dan pos. Jadi, para pengundi boleh mengelak untuk beratur panjang di pusat mengundi dan kerumitan yang bakal timbul pada hari pilihan raya, yang sentiasa berlaku pada hari Selasa pertama bulan November.
Pengundi AS mungkin merasa sukar untuk mendapatkan cuti mengundi kerana hari pengundian bukanlah cuti umum. Oleh itu, pilihan untuk mengundi awal atau mengepos undian dibolehkan.
Fleksibiliti sebegini merupakan kemudahan yang saya harapkan wujud di Malaysia, terutamanya bagi pengundi yang tinggal jauh dari negeri tempat mereka berdaftar untuk mengundi. Bayangkan pengundi Sabah dan Sarawak yang tinggal di Semenanjung tidak perlu ‘menjual buah pinggang’ mereka hanya untuk membeli tiket penerbangan bagi pulang mengundi.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Bersih, gabungan untuk pilihan raya yang bebas dan adil, kini menyokong beberapa bentuk pengundian jarak jauh untuk pengundi luar negeri.
Dengan pengiraan undi yang sedang berlangsung, ramai di AS dan tempat lainnya menunggu dengan menarik nafas untuk keputusan akhirnya.
Namun, kiraan undi popular akhir seseorang calon tidak menentukan pemenangnya. Sebaliknya, AS mempunyai sistem “kolej pilihan raya” yang memperuntukkan setiap negeri bilangan undi pilihan raya tertentu berdasarkan saiz populasi. Ringkasnya, calon yang menerima sekurang-kurangnya 270 undi pemilih akan memenangi pilihan raya – walaupun beliau boleh kehilangan undi popular. Pada 2016, Hillary Clinton menerima hampir 2.9 juta lebih bilangan undi popular daripada Trump tetapi masih kalah dalam pilihan raya.
Keputusan pilihan raya presiden AS biasanya bergantung pada segelintir negeri yang dipanggil sebagai “negeri swing” seperti Pennsylvania, Wisconsin dan Michigan. Negeri-negeri inilah yang menyediakan sebahagian besar undi pilihan raya yang diperlukan oleh calon untuk melepasi ambang 270 undi.
Ini menimbulkan persoalan penting: adakah sistem pilihan raya sebegini benar-benar demokratik? Ada yang berpendapat sistem itu sudah lapuk dan terlalu kompleks. Mereka merasakan ia perlu dikemas kini untuk mencerminkan kehendak semua negeri – tidak memihak kepada beberapa negeri terpilih. Bagaimanakah segelintir negeri boleh bertindak sebagai penentu bagi seluruh negara?
Seperti Malaysia, AS menggunakan sistem first-past-the-post, yang memihak kepada parti Demokrat dan Republikan. Ia adalah sistem yang tidak baik kepada parti yang lebih kecil dan memaksa pengundi untuk memilih di antara dua parti, secara strategik, untuk parti yang kononnya kurang akan membawa keburukan.
Di Malaysia, selama bertahun-tahun, para pengundi terpaksa untuk memilih antara Barisan Nasional dan pembangkang manakala sebuah parti yang kecil, bekerja keras, bermotivasi tinggi seperti Parti Sosialis Malaysia (PSM) tidak mendapat tempat.
Di bawah sistem sebegini, pengundi diberitahu bahawa mereka perlu memilih di antara dua gabungan utama sekiranya mahu membuat undian mereka bermakna. Jika tidak, mereka hanya akan membazirkan undi mereka – atau lebih teruk lagi, memilih calon yang lebih mengerikan untuk berkuasa sewenangnya.
Pertaruhannya amat tinggi, apa lagi pada tahun ini. Di AS, ramai pengundi sakit hati dengan pembunuhan beramai-ramai di Gaza dan pengeboman bertubi-tubi di Lubnan, yang kedua-duanya dilakukan oleh rejim Zionis yang membunuh secara berleluasa di Israel. Pengundi di tempat-tempat seperti Dearborn, Michigan, di mana terdapat penduduk Arab Amerika yang ramai, melihat sedikit perbezaan antara kedua-dua calon dan parti mereka dalam pendirian mereka mengenai kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin.
Keadaan lebih buruk bagi Kamala Harris dan Parti Demokrat kerana pembunuhan beramai-ramai sedang berlaku di bawah pengawasan mereka. Kerajaan AS menyediakan puluhan bilion dolar bantuan ketenteraan kepada Israel, yang digunakan untuk menyembelih rakyat Palestin.
Pengundi berketurunan Arab Amerika ini mungkin dapat menentukan keputusan dalam negeri swing seperti Michigan dengan tidak mengundi dan dengan itu menyerahkan negeri itu kepada Trump.
Sebagai tindak balas, Parti Demokrat telah menimbulkan rasa bersalah kepada para pengundi untuk menyokongnya dengan mengatakan bahawa mereka akan dipersalahkan jika Trump menang kerana mereka memutuskan untuk tidak mengundi atau kerana mereka mengundi calon pihak ketiga seperti Jill Stein dari Parti Hijau.
Ini menimbulkan persoalan yang menarik. Bukankah orang ramai, terutamanya mereka yang mengambil berat tentang rakyat Palestin, boleh mengundi mengikut hati nurani mereka dan bukannya dipaksa untuk mengundi secara strategik, terutamanya apabila terdapat hanya sedikit perbezaan kualitatif antara Harris dan Trump dalam usaha untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai yang berlaku sekarang?
Dilema moral sebegini menjelaskan daya tarikan calon pihak ketiga seperti Stein, yang berketurunan Yahudi tetapi dengan tegas menentang pembunuhan beramai-ramai. Menyokong Stein merupakan tindakan berlandaskan hati nurani bagi mereka yang ngeri dengan peristiwa di Gaza dan Lubnan – bukanlah sesuatu yang patut dipermainkan atau dipandang enteng. Adakah para pengundi benar-benar akan memilih Harris jika mereka tidak mengundi Stein?
Saya berani bertaruh yang para pengundi ini lebih suka untuk tinggal di rumah daripada keluar mengundi Harris dan Parti Demokrat. Ya, keputusan mereka mungkin meletakkan Trump di Rumah Putih. Tetapi kesalahan sepatutnya terletak pada Parti Demokrat kerana bersubahat dengan rejim pembunuhan beramai-ramai di Israel – bukan kepada mereka yang mengundi dengan hati nurani mereka.
Sukar untuk melihat keadaan ngeri di Palestin berubah menjadi lebih baik tidak kira siapa yang menang. Kerajaan AS sepenuhnya mendukung para pelobi Zionis yang berkuasa.
Pelobi Zionis secara konsisten dinilai sebagai kumpulan politik yang berkuasa di AS dengan sumber yang mencukupi untuk mempengaruhi pilihan raya dengan menyokong calon pilihannya dan menghukum mereka yang dianggap sebagai “musuh negara Israel”.
Melihat kepada realiti ini, bagi mereka yang pilihan mengundinya dibentuk oleh apa yang berlaku di Gaza dan Lubnan, pilihan raya presiden AS tidaklah penting, malah sia-sia.
Tetapi ada harapan. Ramai daripada mereka telah menemui cara lain untuk memberi tekanan kepada kerajaan AS.
Kebanyakan mereka kuat menyokong gerakan Boikot, Pengalihan Perniagaan dan Sekatan (Boycott, Divestment and Sanctions atau BDS).
Ada juga yang memfailkan lebih banyak kes ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa.
Mereka juga telah menyertai gesaan bagi mengiktiraf status kenegaraan Palestin di Perhimpunan Agung PBB.
Orang ramai di seluruh dunia juga boleh menekan pertubuhan serantau seperti Asean dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk mengambil pendirian yang lebih kukuh dan tegas menentang pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
Tidak kira bagaimana keputusan pilihan raya presiden AS nanti, kita perlu kekalkan harapan agar kemanusiaan terus hidup. Semoga keadilan dan keamanan akan muncul bagi mereka yang tertindas dan dipinggirkan!
Azmil Tayeb
Editor bersama, surat berita Aliran
6 November 2024
Penterjemahan oleh: Zikri Rahman
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme