Politik identiti menyangkal keperluan asasi dalam sesebuah masyarakat.
Garis buta melibatkan identiti ini dipergunakan, dan secara emosi ia bersangkutan dengan keluh-kesah orang ramai. Namun, ia bukanlah isu harian yang perlu dipertanggungjawabkan kepada ahli politik.
Keadilan sosial, kesaksamaan, kebebasan, inflasi, kos sara hidup dan keperluan bagi menyediakan peluang setara pula kemudiannya diketepikan, saatnya isu yang menggerakkan emosi yang melibatkan tuduh-menuduh serta saling menyakiti inilah yang merangsang pengundi dan mempengaruhi undi mereka.
Sama ada ia melibatkan isu yang berkaitan dengan warna kulit, etnik, agama atau kewarganegaraan, ia sama-sama dirasai oleh semua orang dengan cara yang berbeza, dan demokrasi kemudiannya menjadi mangsa kepada para majoriti.
Isu identiti cukup ramai yang mengikutinya, dan rakyat akan mengundi berdasarkan emosi dan prasangka mereka yang digembar-gemburkan oleh ahli politik. Mentaliti ‘mangsa’ sekali gus membutakan mereka kepada realiti kehidupan yang lebih asas.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Mereka yang dipilih ke tampuk kekuasaan itu pula ialah ahli politik yang mempunyai hanya sedikit keupayaan untuk menyatukan ‘panglima perang’ yang telah pun berada di Parlimen selama beberapa dekad, dan tidak banyak perubahan yang mahu dilakukan mereka.
Dan kini kita mempunyai seorang bekas perdana menteri yang mempromosikan Wawasan 2020 namun mempersoalkan pula keadaan pelbagai etnik masyarakat yang wujud di Malaysia.
Walau bagaimanapun, ramai daripada mereka juga telah berhasil menjadi kaya melangkaui pangkat mereka, memperkayakan diri sendiri atas nama kaum dan agama. Cukup hebat melihat bagaimana kita ditipu selama ini!
Semakin mereka memecahkan, semakin berpecah belah kita akhirnya. Pakistan boleh menjadi contoh yang baik. Sebuah negara yang diasaskan atas prinsip agama yang lahir daripada perpecahan meneruskan sihir yang terus memecahbelahkan penduduknya sekarang. Perpecahan dalam Islam sendiri berlaku, dan kadangkala perpecahan di antara suku turut merumitkan lagi isu di peringkat akar umbi. Kerajaan, tentera dan politik tidak dapat membantu bagi memenuhi keperluan rakyat, walaupun Pakistan adalah sebuah negara Islam.
Perpecahan tidak pernah inklusif, dan ia hanya akan mengakibatkan lebih banyak perpecahan. Lihatlah bagaimana perkauman telah dimainkan di Sri Lanka, sebuah negara pulau yang indah dan makmur. Isu di antara penduduk etnik Sinhala dan Tamil serta sengketa sivil yang berlarutan sangat menjejaskan sumber negara dan menumpahkan banyak darah warganya.
Apa jadi kepada mereka yang menang? Apabila sengketa itu selesai, banyak dendam yang tersisa, namun ahli politik yang berkuasa tetap berhasil mencari kekayaan untuk diri mereka sendiri. Mereka melupakan kepentingan rakyat marhaen Sri Lanka , dan hari ini negara itu terus goyah dek terkesan kerana keganasan etnik dan salah urus ekonomi. Penderitaan dirasai oleh ramai rakyat kebanyakan di Sri Lanka.
Ambil contoh Afrika Selatan, sebuah negara yang dilahirkan dengan visi yang dipegang Nelson Mandela melalui Kongres Kebangsaan Afrika itu. Rasuah dan politik identiti telah mengalihkan tumpuan tentang keperluan rakyat biasa di Afrika Selatan. Malah, presiden sekarang juga goyah dengan skandal yang cuba dikambus yang nampaknya masih belum selesai sepenuhnya.
Bekas Presiden Jacob Zuma didakwa atas pelbagai pertuduhan rasuah manakala dua beradik daripada keluarga kaya Gupta (sama seperti Jho Low di Malaysia) telah melarikan diri dari negara itu dan tidak diketahui keberadaan mereka hingga sekarang.
Seperti Sri Lanka, Afrika Selatan menghadapi isu ekonomi yang serius, dan ANC mempunyai banyak cabaran menuju pilihan raya akan datang.
Di India, kita mempunyai BJP dan walaupun pemimpinnya telah melakukan beberapa perkara positif, kita tidak boleh terlepas pandang bagaimana mereka juga memanipulasi isu ‘Hindu’. Ramai warga India yang berpendidikan juga terjerumus dengan muslihat menggunakan taktik ketakutan ini yang berasaskan mitos. Sentimen anti-Islam dikipas untuk mendapatkan undi di bawah panji Hindutva. Di sini, sekali lagi politik yang memecahbelahkan serta digerakkan oleh khalayak majoriti menjejaskan kualiti demokrasi India.
Di Malaysia, kita juga telah mempergunakan perkauman terlalu lama. Ia adalah laluan mudah untuk memenangi pilihan raya, tetapi tahap kepimpinan yang dihasilkan cukup lemah. Negara ini telah melahirkan kleptokrat yang terkenal di seluruh dunia, dan rasuah menjadi endemik.
Perpecahan tetap akan memecahkan kita, dan hari ini kaum Melayu pun sudah berpecah-belah – akibat dipergunakan sentimen kaum dan agama sebagai isu untuk meraih undi dan bukannya untuk ditumpukan kepada kesejahteraan semua rakyat.
Umno tidak lagi bersatu, begitu juga Bersatu, sebuah lagi entiti politik Melayu. Nama cukup hebat, tetapi kosong dalam soal pencapaian mereka. Kita sedang menipu diri sendiri untuk percaya bahawa Barisan Nasional masih penting, saatnya MIC dan MCA sendiri menarik diri daripada pilihan raya negeri. Pengakhiran mereka sudah hampir.
Kita tidak boleh membina masyarakat yang bersatu padu dengan mempergunakan isu identiti. Kepelbagaian adalah realiti dalam dunia global hari ini. Isu-isu yang perlu ditangani segera ialah cabaran asas yang dihadapi oleh orang ramai: kesihatan, pendidikan, pekerjaan, gaji hidup. Mereka yang berkuasa perlu memastikan keperluan asas ini dipenuhi.
Kita menyaksikan dalam Malaysia sendiri, wujud jurang perbezaan pembangunan ekonomi yang berbeza-beza dari negeri ke negeri. Infrastruktur logistik, pelabuhan, pengangkutan dan jalan raya semuanya penting untuk pembangunan, dan ini harus menjadi tumpuan.
Namun, ahli politik kita hanya menghabiskan banyak masa mereka untuk menunggang kaum dan agama. Sebagai ‘juara’ isu kaum dan agama, mereka hanya memperkayakan diri dan merosakkan negara.
Sifat rasuah yang mengakar adalah realiti yang tidak boleh diketepikan. Walaupun terdapat citra keagamaan yang melebih-lebih, namun hanya sedikit kualiti serta ciri kepimpinan yang boleh merungkai permasalahan mengikut keperluan negara.
Ramai ahli politik kita memainkan isu yang memecahbelahkan. Mereka langsung tiada idea. Mereka tidak mempunyai kemampuan untuk merumuskan penyelesaian progresif kepada cabaran negara. Pemahaman mereka tentang Islam bukanlah bersifat maju dan mencitrakan keadilan.
Sekurang-kurangnya, di bawah “kerajaan perpaduan” sekarang, kita mendengar nada terangkum dari pimpinan. Walaupun ahli politik barangkali masih bermain wayang, ia sedikit melembutkan hati untuk mendengar suara menjurus kepada keterangkuman.
Pakatan Harapan adalah gabungan pelbagai etnik yang mementingkan keadilan, demokrasi dan kesaksamaan. Masa depan adalah gabungan politik yang terdiri daripada pakatan politik yang berbeza melibatkan parti ultra serta parti yang sederhana. Ini akan memaksa parti politik bekerjasama.
Pembaharuan institusi seharusnya terus berada dalam agenda, dan akhirnya, ia akan menghakis cengkaman etnik dan agama pada para pengundi. Jika tidak, kita akan kekal sebagai masyarakat yang berpecah-belah.
Matlamat kami adalah untuk membina sebuah negara yang bersatu padu yang menghormati kepelbagaian dan menjunjung nilai-nilai murni yang terdapat dalam semua agama, agar perpaduan dan keyakinan dapat diilhamkan.
Kita memerlukan ahli politik yang boleh menyatukan rakyat, mengatasi perbezaan dan menetapkan sasaran bagi memastikan masyarakat bergerak ke arah yang sama. Usaha memenuhi keperluan semua orang akan memastikan keselamatan dan kesejahteraan negara. Kita tidak boleh membina masyarakat yang manusiawi tanpa pertimbangan kemanusiaan.
Hari ini, kita adalah masyarakat yang berpecah-belah walaupun wujud laungan berkisar soal Rukun Negara, Wawasan 2020, Keluarga Malaysia dan Satu Malaysia. Kita berharap agar Malaysia Madani tidak akan menghadapi nasib yang sama kerana, jika ia menjadi begitu juga, kita akan terlepas peluang sekarang untuk membuat perubahan.
Kita memerlukan dasar tindakan menyeluruh yang baharu bagi menumpukan usaha perpaduan melibatkan semua. Ini harus dicerminkan dalam perkhidmatan awam, dalam pasukan pertahanan, dalam pendidikan dan dalam syarikat berkaitan kerajaan.
Dasar sedemikian akan menghantar isyarat kepada semua orang di Malaysia bahawa mereka penting, dan tanggungjawab itu diberikan kepada semua.
Sebuah jawatankuasa perundingan boleh menangani agenda ini saatnya kita memandang ke hadapan.
K Haridas
Editor bersama, surat berita Aliran
12 Julai 2023
Terjemahah oleh: Zikri Rahman
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme