
Gejalanya sudah terbukti sejak sekian lama. Sekolah kebangsaan di Malaysia bukan lagi pilihan utama.
Di beberapa negeri, semakin ramai ibu bapa memilih sekolah persendirian atau sekolah vernakular Cina untuk memberikan pendidikan yang lebih baik kepada anak-anak mereka.
Namun sindrom penafian tetap berterusan. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerima peruntukan yang bersesuaian daripada jumlah peruntukan belanjawan. Namun ia masih tidak dapat memenuhi keperluan masyarakat kita yang rencam.
Pilihan untuk mengikuti pendidikan swasta memberi peluang kepada sesetengah orang manakala yang lain terus menderita dalam diam.
Ramai di antara kita yang kecewa dengan gagalnya sistem pendidikan untuk mengutamakan dan menangani cabaran yang dihadapi oleh pendidikan sekolah rendah dan menengah.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Baru-baru ini, ramai pelajar tidak hadir untuk menduduki peperiksaan SPM. Tiada siapa yang dipertanggungjawabkan dan hanya ada alasan yang lemah diberikan.
Keputusan yang diterima memberi gambaran yang wujud di mana 25.9% gagal dalam mata pelajaran sains; 23.2% gagal dalam matematik dan secara keseluruhannya, 30% tidak akan menerima sijil SPM. Skor terbaik nampaknya melibatkan subjek “Quran dan Sunnah”, yang mencapai 84%.
Apa yang dapat kita katakan tentang sistem pendidikan kita? Jika laporan dalam media sosial ini tepat, bagaimana pula dengan gred mereka yang lulus? Untuk subjek matematik, petunjuknya ialah dengan hanya markah 20%, seseorang boleh memperoleh gred lulus. Saya tertanya-tanya apakah gred untuk lulus bagi bahasa Inggeris dan sains!
Semua bentuk peperiksaan telah pun dimansuhkan. Kita tidak ada lagi UPSR (peperiksaan tahun enam) mahupun PMR (peperiksaan tahun sembilan). Jadi perjalanan bagi pendidikan yang ada sekarang seolah-olah hanya untuk mempromosikan ketidakcekapan dari satu peringkat ke peringkat yang lain sehingga pelajar mencapai SPM (peperiksaan tahun 11).
Kita memerlukan standard objektif bagi menilai kedua-dua prestasi pelajar serta komitmen guru.
Tanpa peperiksaan, kita hanya berserah kepada subjektiviti para penilai prestasi. Tetapi mereka juga tidak dipertanggungjawabkan bagi kualiti pengajaran.
Ya, dakwaan bahawa guru-guru berdepan tekanan juga perlu dipertimbangkan, tetapi kita juga tidak boleh terlepas pandang bahawa jumlah cuti dan hari mengajar mereka. Hari mengajar para guru jarang melebihi 200 hari dalam setahun.
Kemudian kita juga ada pendidikan swasta untuk dipertimbangkan. Kita mempunyai hampir 185 sekolah antarabangsa swasta, 80% daripadanya di Lembah Klang. Sekolah-sekolah ini terdiri daripada sekolah-sekolah di rumah kedai serta bangunan tinggi kepada sekolah-sekolah yang dibina khas untuk menyediakan kemudahan dan peluang yang luas. Mereka ini juga kemudiannya perlu bersaing dengan pusat tuisyen dan seumpamanya.
Semuanya dibenarkan buat ketika ini. Kira-kira 15 tahun yang lalu, keadaan masih ketat dan piawaian perlu dikekalkan untuk melayakkan diri dianggap sebagai sekolah antarabangsa. Sektor swasta kemudiannya bertindak balas dengan menubuhkan sekolah ternama dalam menyahut seruan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan di rantau ini.
Hari ini, ia begitu dikawal dari segi pendaftaran pelajar, namun ia juga satu paradoks. Ia adalah wang persendirian, dengan risiko dan pemasaran mereka sendiri.
Namun mereka turut dikawal oleh KPM dari segi pendaftaran kakitangan dan pelajar asing. Bahagian sekolah persendirian di KPM hanya mempunyai kakitangan di bawah 10 orang untuk menguruskan sekolah yang ada. Jadi, segalanya cukup kaku dengan kawalan yang merupakan sebuah tatanan kebiasaan yang ada hari ini.
Hakikat bahawa ramai ibu bapa memilih untuk menghantar anak mereka ke sekolah swasta dengan kos yang tinggi untuk ditanggung diri mereka sendiri adalah gambaran tentang keadaan sistem sekolah kebangsaan. Sekolah kebangsaan dianggap sebagai ‘surau’, dan campuran ajaran agama dan pendidikan bukanlah sesuatu yang diingini mereka.
Kita mesti menghormati kepelbagaian dan saling kebergantungan, kerana alternatif yang ada sekarang pasti akan melibatkan kos yang tinggi dalam jangka masa panjang. Dalam soal kesihatan dan pertahanan, ia melibatkan kesemua rakyat Malaysia, di mana etnik tidak seharusnya menjadi faktor dalam mempengaruhi peluang yang disediakan.
Wujud tanggapan negatif dan kita pastinya tertanya-tanya bilakah orang di Malaysia akan sedar!
Agama adalah tanggungjawab utama ibu bapa. Sekolah boleh membantu tetapi mereka tidak boleh dipertanggungjawabkan bagi perkara ini. Jika ibu bapa tidak kisah akan tanggungjawab ini, adakah sekolah kemudiannya berfungsi untuk mengambil alih kewajipan ibu bapa? Melakukan hal ini tidak akan memberi manfaat sama ada kepada ibu bapa atau anak-anak.
Malah di negeri yang ‘patuh Syariah’ seperti Brunei, bahasa pengantarnya adalah bahasa Inggeris. Adalah cukup memalukan untuk mendengar pemimpin politik di Malaysia dan penguasaan bahasa Inggeris mereka. Kita pastinya boleh memahami sentimen dari Sabah dan Sarawak tentang hal ini. Kita semua setuju agar penguasaan dwibahasa diutamakan.
Setiap kali berlaku perubahan melibatkan kepimpinan KPM, dasar kerajaan kemudiannya dikompromi atas nama pendemokrasian pendidikan. Bukan sahaja reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa terjejas, keadaan di peringkat tempatan juga turut terjejas.
Kita kini mempunyai “program dwi-bahasa” (DLP) yang bertujuan untuk mengimbangi krisis bahasa. Tetapi ini juga sekali lagi meluaskan jurang ketidakadilan di antara sekolah luar bandar dan bandar.
Kita perlu mengemudi sebuah wawasan baharu untuk pendidikan Malaysia yang adil dan saksama, yang tidak berasaskan etnik dan ketakutan. Kita memerlukan peluang dan kualiti yang sama, dengan piawaian yang objektif serta boleh diukur.
Bahasa adalah medium komunikasi dan pemahaman. Lebih banyak bahasa yang boleh dikuasai oleh seseorang individu, lebih besar kapasiti yang terbentang di dalam sebuah dunia yang saling bergantung ini. Kita adalah sebuah negara perdagangan. Sebaik sahaja kita mempolitikkan bahasa sebagai isu, pendidikan turut akan menderita.
Kerajaan “Madani” cukup mengecewakan saya dengan tidak menangani masalah yang melanda sistem pendidikan kita. Ia pasti akan terus memberi kesan serius kepada masa depan negara.
Hentikanlah usaha mempolitikkan pendidikan. Lantiklah seorang teknokrat yang berkelayakan serta mahir dalam isu pendidikan kebangsaan dan antarabangsa untuk mengemudi kementerian ini.
Tidaklah bermaksud yang menteri sekarang tidak melakukan yang terbaik, tetapi beliau turut mempunyai cabaran yang diwarisinya. Dan menjadi menteri buat kali pertama, adakah beliau mempunyai kapasiti untuk mengubah keadaan?
Ia memerlukan seseorang yang mempunyai wawasan yang jelas untuk pendidikan – baik untuk jangka masa segera dan jangka panjang – yang ditakrifkan dengan jelas. Masyarakat secara keseluruhan perlu mempercayai wawasannya itu.
Jika perlu, biarlah ada yang menjadi senator dengan tujuan bagi melakukan apa yang betul untuk masa depan negara. Pendidikan seharusnya kekal sebagai instrumen untuk meningkatkan persefahaman dan perasaan muhibah antara etnik. Kita harus menjauhi keadaan polarisasi yang kita hadapi sekarang di semua peringkat pendidikan.
Kita perlukan pemikiran yang segar. Jika tidak, masalah hari ini hanya akan bertukar menjadi krisis pada hari esok. Pemikiran yang telah mencipta krisis hari ini tidak boleh menjadi asas kepada sebarang penyelesaian di masa hadapan.
Kita perlu menjauhi pertimbangan berasaskan ketakutan dan etnik. Pertimbangkanlah pendekatan pendidikan yang terangkum untuk menjadikan kita lebih berdaya saing dan dihormati dalam kedua-dua hal seni dan sains.
Walaupun pendidikan adalah keutamaan di banyak negara, bidang ini telah seakan direndahkan nilainya di Malaysia.
Salah satu benteng terbesar terhadap perubahan ialah perkhidmatan awam dan KPM sendiri. Mereka patut menjadi lebih inklusif dan maju ke hadapan, dalam melaksanakan idea-idea daripada semua sektor masyarakat Malaysia.
Jangan dipenjarakan dengan idea perkauman dan ketaksuban. Biarlah tanggungjawab untuk mengajar agama hanya di tangan ibu bapa. Pihak sekolah boleh mengambil bahagian tetapi tidaklah sehingga mengorbankan proses pengajaran, pembelajaran dan peperiksaan lainnya. Ini boleh dilakukan selepas habis waktu sekolah dari jam tiga petang dan seterusnya.
Apabila anda mengemukakan soalan dan mencadangkan idea untuk perubahan, maka maklum balas yang biasa diterima ialah isu ini adalah keputusan politik. Atau kita memerlukan arahan “dari atas” sebelum melakukannya.
Dipenjara oleh peraturan jabatan mereka yang kaku yang seakan tidak boleh dirunding langsung, para ‘Napoleon’ ini turut memenjarakan dan melindungi diri mereka daripada sebarang perubahan dan kemajuan.
Terdapat terlalu banyak kekakuan. Kementerian telah menjadi hanya sebuah badan kawal selia dan bukannya memudahkan urusan untuk perubahan, kemajuan dan tindak balas.
Secara keseluruhannya, perkhidmatan awam kekal sebagai sektor yang paling sukar berubah. Kini di Putrajaya, mereka semua hanya di dalam ‘buih’ mereka sendiri, duduk di menara gading dan mengawal segala-galanya.
Sebagai seorang ibu bapa yang tiga anaknya telah melalui sistem persekolahan kerajaan, saya hanya mampu melihat dengan sedih apa yang terpaksa dihadapi ibu bapa hari ini. Keadaan ini cukup terpolarisasi dan terbahagi. Sikap perkauman yang ada pastinya akan menghancurkan negara ini.
Malangnya, tidak ada peluang untuk membuat perubahan. Cukup sukar hanya untuk berdialog dengan pegawai KPM. Mereka langsung tidak bertindak balas terhadap peluang untuk bertemu mereka.
Melainkan birokrasi menjadi lebih profesional dan teguh, harapan untuk masa depan kelihatan cukup malap.
Bangun dan sedarlah bahawa pendidikan adalah warisan yang akan kita tinggalkan untuk masa depan!
K Haridas
Editor bersama, surat berita Aliran
9 Julai 2024
Terjemahan oleh: Zikri Rahman
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme