Home Newsletters Pilihan raya 2022: Kita masih boleh melakukan perubahan!

Pilihan raya 2022: Kita masih boleh melakukan perubahan!

Undi kita penting. Masa depan negara kita bergantung padanya

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Kita tinggal lima hari lagi dari hari pengundian. Lima hari lagi untuk kita berpeluang mengundi bagi memilih kerajaan akan datang.

Ia adalah pilihan yang penting untuk kita semua.

Perihal pilihan raya kali ini

Menuju ke pilihanraya kali ini, berikut maklumat yang ada:

• 39 parti bertanding dalam pilihan raya umum

• Enam gabungan bertanding: Barisan Nasional, Perikatan Nasional, Pakatan Harapan, Gerakan Tanah Air, Gabungan Parti Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah

• 945 calon (di mana 108 adalah calon bebas) bersaing untuk 222 kerusi parlimen

• 434 calon bertanding untuk 117 kerusi dewan undangan negeri (Perak, Perlis, Pahang dan Bugaya di Sabah)

• Hanya sembilan kerusi satu lawan satu dalam pertandingan untuk kerusi parlimen. Selebihnya adalah pertarungan berbilang penjuru antara tiga hingga 10 calon setiap kerusi!

• Kurang daripada 14% daripada semua calon yang bertanding (untuk kerusi parlimen dan negeri) adalah wanita

Bilangan kecil calon wanita kali ini menunjukkan kepada kita apa yang difikirkan parti politik tentang penglibatan wanita dalam membuat keputusan politik. Ia seakan menghina memandangkan wanita mewakili 50.2% pengundi di Malaysia dalam pilihan raya umum akan datang. Sila nyatakan sikap anda kepada calon apabila mereka datang merayu undi kepada anda!

Pengundi

Pada pilihan raya umum 2018, kira-kira 82% daripada rakyat layak mengundi atau 14.9 juta rakyat Malaysia telah mendaftarkan diri mereka untuk mengundi.

Sekarang, berterima kasih kepada usaha Undi 18 (penurunan umur minimum mengundi daripada 21 kepada 18) dan pendaftaran pemilih automatik, 21.1 juta rakyat Malaysia layak mengundi. Hampir 1.4 juta daripada mereka berumur antara 18 dan 20 tahun.

READ MORE:  Former Labour leader Jeremy Corbyn's speech as he is re-elected as Islington North MP

Untuk meningkatkan peratusan keluar mengundi, mari galakkan semua orang untuk keluar dan mengundi.

Pemilihan calon

Hampir seribu calon bertanding bagi merebut 222 kerusi parlimen pada pilihan raya umum ini.

Namun adakah kita menjadi kurang bersemangat untuk mengundi dek kerana pemilihan calon? Menjadi sinikal dengan manifesto daripada gabungan yang tidak mempunyai rekod prestasi dalam mendahulukan rakyat berbanding keuntungan?

Kita boleh faham dan bersetuju. Tiada perkara yang sempurna. Di beberapa kerusi, pemilihan calon seakan tiada logik. Beberapa calon yang layak kemudian dipinggirkan.

Sebaliknya, kita melihat beberapa calon, lama dan baru, yang merasakan akauntabiliti bukanlah perkara penting. Sesetengah daripada mereka mempunyai masa lalu yang bermasalah dan seakan mempunyai sikap talam dua muka dalam memberi jawapan mereka. Ada yang mengucapkan sesuatu yang bodoh yang sepatutnya tidak diucapkan dalam sebuah negara berbilang kaum.

Meletakkan calon sedemikian seakan memperolok kecerdikan orang ramai. Ini adalah salah satu sebab mengapa sikap tidak peduli para pengundi meningkat. Sesetengah pengundi kecewa dengan apa yang berlaku atau mungkin tidak berminat atau enggan mengundi walaupun mempunyai hak untuk berbuat demikian. “Parti Aku Malas Undi” merupakan apa yang terlintas di fikiran.

Orang ramai, sudah tentu, mempunyai hak untuk tidak mengundi. Ia adalah pilihan mereka. Tetapi ingat, sikap tidak peduli pengundi akan mengurangkan peratusan keluar mengundi, dan peratusan keluar mengundi yang lebih rendah akan menjejaskan keputusan pilihan raya.

Oleh sebab itu kita perlu mempertimbangkan dengan teliti mengapa kita harus mengundi. Seperti kata pepatah, kita tidak boleh berkecuali dalam sebuah kereta api yang bergerak. Pilihan untuk tidak berbuat apa-apa juga merupakan pilihan yang akan memberi kesannya.

READ MORE:  Indian general election: Setback for 'cult of Modi'?

Lihat calon dan prinsip mereka

Jadi, apa yang boleh kita lakukan? Bagaimana kita memilih siapa yang bakal diundi?

Dalam kempen Tuntut Negara KIta: Agenda Rakyat, Aliran dan lima NGO penaja bersama, bersama lebih 50 kumpulan lain, telah menyeru semua rakyat Malaysia untuk keluar mengundi para calon berintegriti yang akan mematuhi lima prinsip asas.

Undi para calon yang akan:

  • Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  • Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  • Raikan kerencaman dan keterangkuman
  • Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  • Lawan rasuah dan kronisme

Sebelum membuat keputusan untuk mengundi, tanya diri kita sama ada calon itu benar-benar bersungguh bagi membina negara dan memulihkannya.

Adakah mereka mempunyai pemahaman tentang golongan rentan dalam masyarakat dan apa yang perlu dilakukan untuk menangani isu tersebut?

Adakah calon itu telah berkhidmat dengan penuh integriti di kawasan mereka dan di parlimen atau di dewan undangan negeri?

Hidupkan kemungkinan perubahan untuk berlaku

Dalam pilihan raya akan datang, integriti calon bukan satu-satunya kriteria.

Angka-angka yang disebutkan di awal tulisan ini menunjukkan betapa mengelirukan pilihan raya kali ini. Ramai pengundi bingung dengan jumlah calon, parti dan gabungan yang banyak. Ramai juga kecewa dengan pergelutan rundingan yang seringkali mementingkan diri, saling berkompromi, pengkhianatan dan penjajaran semula.

Namun kita tidak boleh meninggalkan pengembaraan kita dalam melakukan pembaharuan; kita masih perlu memikirkan gambaran besar dan masa depan.

Ia adalah soal meletakkan undi kita kepada calon atau gabungan yang kita fikir mempunyai sekurang-kurangnya sedikit peluang bgi meneruskan agenda pembaharuan yang diperlukan untuk negara kita.

Kita mengundi bagi pembaharuan pada tahun 2018 dan kecewa tidak lama selepas itu peristiwa yang berlaku. Tetapi kita masih perlu terus mengundi untuk reformasi.

READ MORE:  India's surprising election results and the verdict on the media

Ia mungkin kelihatan sukar, namun kita perlu memikirkan sama ada kita memberi peluang terbaik kepada masa depan rakyat Malaysia, atau sama ada kita akan berpegang pada status quo dan membenarkan politik dan ahli politik yang korup untuk kembali memperoleh semula kuasa mereka.

Ingat, tiada perjuangan untuk perubahan dapat dimenangi dalam satu pilihan raya. Bak kata pepatah, setapak maju, jangan mundur.

Jadi sekarang ini, pilihan raya umum ini mempunyai satu lagi peluang untuk memperjuangkan pembaharuan. Kita mempunyai peluang untuk mendengar suara kita melalui peti undi.

Kita juga jangan lupa untuk terus memantau dan terus memperjuangkan pembaharuan yang kita mahukan di negara ini, walaupun selepas pilihan raya umum.

Perjalanan di hadapan pastinya bergelora, jadi kuatkan diri. Dalam kita menuju ke pusat pengundian nanti, fikirkan tentang Malaysia yang kita mahu diami ketika menjadi tua nanti. Fikirkan tentang Malaysia yang kita inginkan untuk semua anak-anak kita.

Percayalah bahawa keadaan boleh berubah menjadi lebih baik – tetapi hanya dengan sokongan kita semua.

Undi kita penting. Masa depan negara kita bergantung padanya.

Prema Devaraj
Editor bersama, surat berita Aliran
14 November 2022

Terjemahan oleh: Zikri Rahman

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x