Adalah selamat untuk menganggarkan bahawa lebih dari 90% populasi serta tiga perempat jumlah penduduk kita sudah menjalani pemvaksinan penuh.
Mencapai kadar 90% pemvaksinan bagi orang dewasa merupakan syarat utama bagi membenarkan lintas negeri serta pembukaan hampir keseluruhan sektor ekonomi. Kuncitara Covid memberi kesan kehidupan ramai orang dan mengurangkan sekatan bertujuan bagi menghidupkan semula ekonomi.
Namun adakah Malaysia sudah terselamat dari ancaman pandemik? Malangnya, tidak dan begitulah juga bagi seluruh dunia.
Kita masih perlu mengikut peraturan sedia ada: memakai pelitup muka, elakkan keramaian, menjaga penjarakan sosial, membasuh tangan dengan kerap. Mematuhi peraturan ini penting, dan rakyat sepatutnya tidak culas. Persoalan berkenaan keberkesanan vaksin yang diterima timbul, serta kemungkinan perlunya suntikan tambahan menjadi topik hangat.
Saatnya Malaysia bergerak dari pandemik ke endemik, keperluan untuk bersiap-siaga menjadi penting. Sebarang penambahan jangkitan menjadi beban kepada sistem kesihatan awam, sekaligus memberi kesan kepada peluang kita untuk semua kembali seperti sediakala.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Barangkali ada yang menjangkakan bahawa pemimpin politik kita akan lebih berhati-hati dan sekurang-kurangnya mencuba untuk bekerjasama (buat masa sekarang) bagi mengelakkan keadaan di mana penularan jangkitan Covid boleh berlaku.
Di Sarawak, di mana pilihanraya negeri bakal diadakan, darurat kemudian diisytiharkan bagi membenarkan pilihan raya untuk ditangguhkan sehingga keadaan kesihatan membaik. [Darurat ini ditamatkan baru-baru ini.]
Namun di Melaka, pada 1 Oktober, empat ahli dewan undangan negeri pula mengisytiharkan bahawa mereka hilang keyakinan kepada Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali dan menarik balik sokongan. Keempat-empat mereka itu adalah Idris Haron, bekas Ketua Menteri Melaka dan ahli dewan Barisan Nasional bagi Sungai Udang; Nor Azman Hassan, ahli dewan BN bagi Pantai Kundor; Norhizam Hassan Baktee, calon bebas dari Pengkalan Batu; serta Noor Effandi Ahmad, ahli dewan Bersatu bagi Telok Mas.
Sebelum penarikan sokongan ini, Sulaiman dan pasukannya memegang 17 kerusi dari 28 keseluruhan kerusi dewan. Dengan penarikan mereka, beliau hanya mempunyai 13 – sekali gus kehilangan kuasa.
Empat yang menarik sokongan ini awalnya berharap dapat bekerjasama bersama 11 anggota pembangkang sekali gus mendapat jumlah 15 anggota bagi dijemput oleh Yang di-Pertua bagi membentuk kerajaan negeri seterusnya.
Namun ia tidak berlaku, dan pemangku Ketua Menteri Sulaiman sebaliknya memohon Yang di-Pertua untuk membubarkan dewan bagi menjalankan pilihan raya negeri. Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan bahawa pilihan raya akan dijalankan pada 20 November.
Soalnya, jika undang-undang anti-lompat parti wujud, keempat-empat ahli dewan ini barangkali tidak akan menarik sokongan; mereka hanya akan menantikan pilihan raya akan datang.
Jadi, mereka kemudiannya menyorok di balik frasa “hilang keyakinan” serta “tidak tegas” sebagai asbab mengapa mereka menarik balik sokongan kepada ketua menteri.
Barangkali sebab sebenar penarikan sokongan mereka hanyalah demi kuasa dan cita-cita. Jika itulah sebabnya, tindakan mereka ini sungguh tidak bertanggungjawab serta merbahaya, melihat kepada suasana kesihatan yang ada sekarang.
Ingat semula bagaimana penularan Covid selepas pilihan raya negeri Sabah pada 26 September tahun lalu. Ramai yang gusar jika pilihan raya negeri akan mencetuskan sebuah lagi ombak penularan. Benar, Melaka lebih kecil di mana dewan undangan negeri hanya mempunyai 28 kerusi berbanding dewan Sabah sebanyak 73.
Begitu pun, masih ada yang berharap agar politikus kisah akan kebajikan rakyat berbanding mereka mengejar kepentingan diri. Namun, ia hanyalah sebuah mimpi. Keraguan orang awam serta defisit kepercayaan terhadap politikus semakin membesar, apatah lagi selepas Langkah Sheraton merampas kuasa dari kerajaan pusat Pakatan Harapan yang diundi rakyat.
Dengan pilihan raya negeri Melaka yang semakin hampir, kesemua pihak patut mensasarkan agar langkah jelas dapat diambil bagi mengurangkan risiko penularan. Kementerian Kesihatan mengumumkan sekatan kepada semua perhimpunan atau acara sosial berkaitan pilihanraya dari 25 Oktober sehingga 27 November.
Namun melihat bagaimana dominannya politik kepartian di negara ini, ia tidak mengejutkan bahawa Lim Guan Eng dari DAP menyanggah sekatan ini sebagai satu helah bagi memberi kelebihan kepada kerajaan.
Inilah waktunya bagi Suruhanjaya Pilihan Raya untuk segera mengemukakan dasar baru bagi memastikan kempen dapat dijalankan secara adil serta terus bekerja bagi memastikan risiko penularan Covid rendah.
Bersih 2.0 sudah pun mengeluarkan beberapa cadangan munasabah, di mana Suruhanjaya Pilihan Raya sepatutnya mempertimbangkannya dengan serius. Misalnya, tidak menghadkan tempoh penamaan calon hanya kepada satu hari, sebaliknya direntangkan selama seminggu.
Untuk pengundian, mengapa tidak memanjangkannya kepada tiga hari, dengan menyediakan slot waktu berlainan kepada pelbagai kategori rakyat berdasarkan umur atau lain-lain syarat. Ini akan mengelakkan kesesakan. Juga ada cadangan lain bagi cara berkempen yang selamat. Suruhanjaya Pilihan Raya sepatutnya mengambil pilihan raya Melaka sebagai sebuah pengalaman belajar yang penting, saatnya pilihan raya umum semakin dekat.
Ketika Ismail Sabri Yaakob mengambil alih jawatan sebagai Perdana Menteri pada 21 Ogos, beliau mengambil kesempatan untuk menunjukkan bahawa dirinya kisah ‘Keluarga Malaysia’ keseluruhannya. Langkah ini seakan memberi harapan bahawa pentadbirannya cuba untuk merangkumi semua serta kisah akan kebajikan semua tanpa mengira kaum, agama dan etnik.
Tidak disangkal, ramai yang ragu-ragu pada beliau dari awal: ramai yang mengingatinya sebagai ‘arkitek’ kepada Low Yat 2 – beliaulah yang mempromosi pusat membeli-belah itu yang hanya eksklusif kepada usahawan bumiputera.
Pun, masih ada yang mempunyai harapan, namun beberapa peristiwa serta bagaimana Ismail Sabri memberi tindak balas, dan kadangkala, hanya berdiam diri menunjukkan bahawa tiada apa-apa harapan yang patut diberikan kepadanya.
Misalnya kes Nur Sajat, seorang transgender yang didakwa di mahkamah Syariah “kerana berpakaian seperti wanita”. Pihak berkuasa agama berterusan mahu menahannya ketika beliau gagal untuk ke mahkamah seperti yang dijadualkan. Pada satu ketika, seramai 122 pegawai penguatkuasa Jabatan Agama Islam ditugaskan bagi menahan beliau.
Nur Sajat lolos ke Thailand, dan akhirnya ke Australia yang memberinya suaka di mana beliau kini menetap.
Jelas, “keluarga Malaysia” yang dicanangkan Ismail Sabri tidak mengambil kira kaum transgender, yang malangnya dikira “bukan manusia” dan seringkali dikira sebagai persona non grata di dalam masyarakat.
Baru-baru ini, sebuah nama, yang cukup memabukkan, menjadi hingar, dan sekali gus mengakibatkan banyak wajah bertukar merah padam, walau tidak semestinya akibat dari meminumnya. Beberapa pihak mendakwa bahawa nama wiski tempatan, Timah, merupakan nama pendek dari Fatimah, anak perempuan Nabi Muhammad SAW. Mereka mendakwa nama wiski serta gambar pegawai kolonial British, Captain Speedy, yang memakai kopiah seakan tidak sensitif kepada orang Islam serta mengakibatkan kekeliruan kepada penganutnya.
Protes ke atas nama wiski ini sungguh tidak masuk akal dan sungguh melucukan. Namun, ia bukanlah sebuah perkara yang boleh diketawakan saatnya ia mengancam keharmonian di antara umat Islam serta penganut agama lain saatnya kita sedang mencuba untuk membina sebuah keluarga Malaysia yang bersatu padu.
Hingar-bingar kontroversi melibatkan wiski Timah ini juga mengganggu fokus kita dari isu penting yang sepatutnya diambil peduli serta perlu disiasat lanjut. Misalnya, ambil contoh, Kertas Pandora – di mana jutaan dokumen yang bocor melibatkan akaun luar pesisir politikus masa lalu dan sekarang, termasuklah para presiden serta perdana menteri.
Nama-nama tersohor seperti Daim Zainuddin, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz, William Leong serta Zahid Hamidi merupakan beberapa nama yang disebut di dalam kertas itu. Apa yang sepatutnya kita lakukan adalah bagi menyiasat mengapa mereka mempunyai akaun luar pesisir dan apakah mereka dapat bertanggungjawab (accountable) dengan kekayaan yang dikumpul mereka. Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berterusan mendesak agar perbincangan dapat dijalankan di Parlimen berkenaan Kertas Pandora, namun beliau berulangkali dinafikan.
Antara perkara mengganggu yang berlaku sejak Ismail Sabri Yaakob yang menganggotai Umno menjadi PM ini adalah ‘layanan dua darjat’ yang diterima politikus Umno. Misalnya Ahmad Maslan, Ahli Parlimen Pontian yang didakwa di bawah undang-undang pengubahan wang haram. Kesnya diketepikan kerana beliau bersetuju untuk membayar denda kompaun sebanyak RM1.1 juta. Jelas dengan membayar denda, beliau mengaku bersalah, namun di dalam kesnya, beliau mendapat pelepasan ini tanpa mengganggu kedudukannya sebagai ahli Parlimen.
Bekas PM, Najib Razak, penjenayah yang disabitkan bersalah yang sedang menantikan rayuan terhadap hukumannya, merayu kepada mahkamah untuk dipulangkan pasportnya supaya beliau dapat ke Singapura untuk melawat anak perempuannya, yang akan melahirkan anaknya di sana. Isteri Najib, Rosmah Mansor, yang kini sedang dibicarakan di atas kesalahan rasuah serta salah guna kuasa, juga merayu agar dilepaskan pasportnya. Rayuan mereka kedua-duanya dibenarkan.
Presiden Umno Zahid Hamidi juga memohon agar pasportnya dilepaskan supaya beliau dapat ke luar negara bagi mendapatkan rawatan kesihatan. Beliau juga berjaya dalam rayuannya. Barangkali semuanya hanya terjadi secara kebetulan selepas Ismail Sabri menjadi PM, namun ia bukanlah sesuatu yang bagus.
Jadi, ke mana kita dengan hal ini semua? Benarlah – dan ia akan tetap begitu – bahawa perjuangan bagi keadilan dan demokrasi sebenar cukup mencabar. Sungguh tidak mengejutkan, cukup ramai yang kecewa dengan politikus yang sedia ada, tidak kiralah dari pihak mana sekalipun.
Oleh itu, kita memerlukan idea segar serta darah muda yang mampu dan sanggup untuk bekerja dan bersusah-payah untuk dan bersama rakyat, lebih-lebih lagi kepada mereka yang miskin dan dipinggirkan.
Harapan kita hanyalah pada yang muda.
Henry Loh
Editor bersama, surat berita Aliran
31 Oktober 2021
Terjemahan oleh: Zikri Rahman
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme