Home Newsletters Pilihan raya negeri: Bersedia untuk membuat perhitungan!

Pilihan raya negeri: Bersedia untuk membuat perhitungan!

Pengundi perlu mengambil serius pilihan raya ini berbanding untuk tidak melibatkan diri

ANIL NETTO/ALIRAN

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Kita semakin menghampiri pilihan raya di enam negeri: Selangor, Kelantan, Negeri Sembilan, Penang, Kedah dan Terengganu.

Kesemua enam DUN telah dibubarkan: Kelantan pada 22 Jun 2023; Selangor pada 23 Jun; Kedah, Pulau Pinang dan Terengganu pada 28 Jun; dan Negeri Sembilan pada 1 Julai. Pilihan raya negeri mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran.

Kerajaan sementara kini mentadbir kesemua enam negeri sehingga kerajaan negeri baharu dibentuk selepas pilihan raya. Bersih telah mengingatkan kerajaan sementara ini supaya tidak mengumumkan sebarang keputusan atau projek utama dalam tempoh ini.

Siapa yang akan menjadi calon?

Rundingan untuk kerusi dewan undangan negeri sedang berjalan, dan ramai yang berminat untuk melihat bagaimana gabungan utama akan memperuntukkan kerusi di kalangan parti gabungan mereka.

Blok pembangkang persekutuan, Perikatan Nasional, tampaknya akan bertanding di semua 245 kerusi yang akan direbut di enam negeri, dengan 126 kerusi diperuntukkan kepada Pas, 83 untuk Bersatu dan 36 untuk Gerakan.

Bagi “kerajaan perpaduan” di peringkat persekutuan yang terdiri daripada Pakatan Harapan, Barisan Nasional dan gabungan dari Sarawak dan Sabah, Zahid Hamidi, pengerusi BN, menjangkakan kerusi dewan negeri akan dibahagikan 55% kepada PH dan 45% kepada BN.

Di dalam keseluruhan konfigurasi ini mungkin juga ada calon dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Muda.

Ada juga yang memantau perwakilan wanita: adakah parti yang rencam ini akan memastikan sekurang-kurangnya 30% daripada calon mereka adalah wanita?

Sebelum dibubarkan, enam dewan undangan negeri itu mempunyai perwakilan wanita yang rendah, menurut data yang disusun oleh penyelidik Wo Chang Xi.

Sehingga 31 Disember 2022, Dewan Undangan Negeri Selangor mempunyai 13 wanita daripada 56 ahli dewan atau hanya 23.2%. Pulau Pinang mempunyai enam daripada 40 atau hanya 15.0%. Kedah mempunyai lima daripada 36 atau hanya 13.9%. Negeri Sembilan hanya mempunyai dua daripada 36 atau hanya 5.6%.

Negeri-negeri di pantai timur lebih teruk. Dewan Kelantan hanya mempunyai dua wanita daripada 45 ahli atau 4.4% dan Terengganu pula tidak mempunyai wanita dalam kalangan 32 ahli yang dipilih (walaupun ia mempunyai seorang ahli wanita yang dilantik).

Adakah kita akan melihat sesuatu yang berbeza kali ini?

Apakah yang akan ditunjukkan oleh pilihan raya negeri?

Adakah pilihan raya negeri akan mencerminkan kepuasan terhadap prestasi kerajaan perpaduan sejak tujuh bulan lalu dan memberi petunjuk penerimaan hubungan PH-Umno?

Atau adakah kita akan melihat gelombang rasa tidak puas hati merebak di enam negeri, seperti yang dicadangkan oleh sesetengah pihak?

READ MORE:  A company to manage the resources of Perikatan Nasional-governed states

Sesetengah pihak meramalkan kerajaan perpaduan akan mengekalkan Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor, walaupun sedikit sengit, manakala Kelantan, Terengganu dan Kedah akan kekal bersama PN.

Penganalisis lain, seperti ini, mempunyai pandangan yang berbeza.

Apa pun, keputusannya memang untuk diteka sesiapa sahaja, kerana pengundi di setiap negerilah yang akan menentukan jenis kerajaan yang mereka mahukan untuk lima tahun akan datang.

Walau apa pun, hasilnya akan menjadi penting. Parti atau gabungan yang mengawal setiap negeri akan mempunyai akses kepada dana negeri dan boleh mempromosi serta menguatkuasakan undang-undang dan undang-undang kecil (bersama-sama dengan majlis tempatan) – selagi ia tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ia memberi kesan kepada kehidupan rakyat di negeri-negeri ini. Jadi pengundi mesti mengambil serius pilihan raya negeri ini dan bukannya tidak terlibat dengannya. Mereka mesti mengelak peratusan keluar mengundi yang rendah dan keluar mengundi.

Bagaimana pengundian kali ini akan berlaku?

Hanya pada November lalu, kita semua tertanya-tanya corak para pengundi akan mengundi dalam pilihan raya umum. Adakah mereka akan melihat kepada integriti calon atau logo parti atau janji manifesto pilihan raya?

Alangkah terkejutnya kami – sekurang-kurangnya segelintir di antara kami – melihat kepada keputusan akhirnya serta pembentukan kerajaan perpaduan

Hampir tujuh bulan telah berlalu, dan kita kini melihat apa yang boleh menjejaskan pilihan pengundi dalam pilihan raya negeri. Banyak faktor akan mempengaruhi cara pengundi membuang undi, termasuk integriti calon dan keupayaan mereka untuk berkhidmat kepada pengundi mereka dengan baik. (Para ahli dewan undangan negeri yang tidak buat kerja, berhati-hati!)

Sesetengah pengundi mungkin memikirkan kestabilan kerajaan negeri dan hubungannya dengan kerajaan persekutuan.

Orang lain mungkin melihat akauntabiliti kerajaan dan pendirian anti-rasuahnya.

Pengundi berpendapatan rendah boleh mempertimbangkan jika kerajaan negeri dapat menyediakan rumah mampu milik, bantuan sosial dan perkhidmatan penting lain yang mencukupi.

Pengundi lain mungkin melakukan undi protes atas pembangunan berlebihan yang berleluasa di negeri tertentu atau kurangnya pembangunan di beberapa negeri lain. Mereka mungkin menyatakan rasa tidak senang mereka terhadap kemerosotan alam sekitar dan banjir kilat tahunan dan usaha pencegahan banjir yang lemah.

Ketidakpuasan hati terhadap kenaikan kos sara hidup, gaji yang tidak stabil dan kekurangan peluang pekerjaan yang baik juga boleh mempengaruhi cara pengundi membuang undi.

READ MORE:  Breaking the glass ceiling: Civil society pushes for 30% women in Malaysian politics

Kesemua enam kerajaan negeri yang akan mengundi menghadapi gabungan isu-isu ini. Beberapa isu ini mungkin berbeza secara geografinya dalam negeri tertentu.

Faktor lain yang saling berkaitan yang boleh mempengaruhi aliran pengundian termasuklah kesetiaan dan ideologi politik, perbezaan kelas sosioekonomi, jurang bandar-luar bandar, faktor umur, perkauman dan jantina.

Pengundian mengikut gender

Di dalam artikelnya selepas pilihan raya umum tahun lalu, saintis politik Dr Bridget Welsh melihat pengundian mengikut gender. Analisis beliau mencadangkan lebih ramai wanita berbanding lelaki yang keluar mengundi berbanding pilihan raya umum 2018, dan PN mengambil keuntungan daripada keadaan ini yang didorong oleh sokongan daripada wanita, yang kebanyakannya tertumpu di kalangan wanita Melayu.

Undi daripada wanita cukup penting dalam sebarang keputusan pilihan raya. Jika benarlah undi wanita boleh mengubah sesuatu keputusan, bagaimana parti atau gabungan ini akan mendapat kepercayaan dan keyakinan dari para pengundi wanita menjelang pilihan raya nanti?

Apa yang penting kepada pengundi wanita

Jadi apa yang penting kepada pengundi wanita? Ia mungkin gabungan beberapa isu yang dibincangkan sebelum ini.

Apa pun, keputusannya mungkin bergantung kepada sejauh mana nasib wanita dan keluarga mereka dijaga atau jenis bantuan atau peluang yang wanita terima atau alami sejak pilihan raya negeri yang lalu.

Tetapi bagaimana pula dengan:

  • obsesi tidak berkesudahan (dan cukup memenatkan) tentang polis moral dalam mengawal tubuh dan autonomi wanita
  • kurangnya kepercayaan dan pelaburan dalam kepimpinan politik wanita. Lihatlah bagaimana perwakilan wanita yang kurang daripada 30% jumlah kesemua ahli dewan negeri dan ahli Parlimen. Ini bermakna bahawa tidak cukup wanita berada di meja utama membuat keputusan untuk mempengaruhi cara negara atau pelbagai negeri dikendalikan, atau bagaimana dasar dilaksanakan
  • jenaka dan komen tidak sesuai dibuat oleh ahli politik lelaki tertentu, yang mendedahkan ketidakupayaan mereka untuk mengambil serius kedudukan wanita atau menganggap mereka sama rata

Adakah apa-apa isu ini akan membuatkan para pengundi wanita berfikir secara berbeza tentang siapa yang akan mereka undi? Konservatisme serta sikap memandang rendah terhadap wanita dan penyisihan wanita daripada membuat keputusan politik adalah cukup membimbangkan dan tidak memberi petanda baik kepada negara.

Sikap ini wujud dalam kalangan ahli politik dalam kedua-dua kerajaan perpaduan dan juga parti gabungan PN.

Pengundi harus membangkitkan isu-isu ini, bersama-sama dengan isu-isu serius lain, contohnya cadangan regresif bagi meminda undang-undang kewarganegaraan sedia ada, apabila calon-calon datang mengetuk pintu mereka untuk mencari undi.

READ MORE:  A company to manage the resources of Perikatan Nasional-governed states

Kebijaksanaan para pengundi

Apabila kempen bermula, calon akan menampilkan usaha dan kejayaan kerajaan negeri dan parti politik mereka dalam mengalahkan parti lawan mereka.

Namun, para pengundi, lelaki dan wanita, perlu arif untuk mentafsir yang mana kaca atau permata. Mereka tidak sepatutnya menyerahkan undi mereka dengan sia-sia atau dengan hanya janji kosong. Ramai di antara kita sudah melaluinya banyak kali sebelum ini.

Kita boleh meneka-neka berapa banyak isu kaum dan agama yang akan dimainkan dan apakah jenis impaknya. Kita berkali-kali ditelagahkan antara satu sama lain oleh ahli politik yang tidak bertanggungjawab dan tidak berprinsip yang menggabungkan dan menunggang isu kaum dan agama dan menggunakannya sebagai seruan untuk mendapatkan sokongan.

Ini adalah strategi untuk mengalih perhatian orang ramai daripada isu-isu penting seperti tadbir urus yang lemah, rasuah, kos sara hidup yang meningkat, perumahan mampu milik yang tidak mencukupi dan kekurangan penjagaan kesihatan yang mampu dimiliki. Ia cukup tidak bertanggungjawab dan berbahaya kerana boleh membawa kepada keganasan dan ekstremisme agama. Adakah pengundi dapat melihat melalui semua gangguan ini?

Apabila pilihan raya semakin hampir, kita pastinya akan menerima lebihan maklumat di media sosial. Pengundi hanya akan diberi maklumat yang barangkali benar, separuh benar, berita palsu, ugutan atau hanya kekarutan.

Adakah pengundi akan terpalit dengan isu-isu sebegitu hanya untuk menyedari kemudiannya bahawa laporan itu adalah berita palsu? Namun, seringkali kerosakan itu sudah pun berlaku kerana persepsi tidak mudah diubah.

Kenyataan yang keterlaluan diikuti dengan permintaan maaf atau menyatakan bahawa sesuatu perkara telah diambil di luar konteks sudah cepat menjadi kebiasaan. Adakah pengundi dapat membezakan apa itu kebenaran dan fiksyen?

Kita semua, para pengundi dan calon, perlu berwaspada dan bertanggungjawab terhadap semua jenis maklumat yang kita kongsi, terutamanya semasa tempoh kempen.

Harapan untuk masa hadapan

Ya, ini ‘masa yang menjanjikan’ untuk negara kita sekali lagi. Sehinggalah pilihan raya diadakan dan keputusan akhir diketahui, spekulasi akan terus wujud.

Namun, warga di enam negeri ini harus kekal bertenang dan, yang penting, keluar untuk mengundi. Semoga calon-calon dan parti-parti terbaik diundi untuk meningkatkan peluang negara untuk berjaya dalam proses pemulihan yang tidak menentu ini.

Perjalanan penuh ranjau dan panjang menanti di hadapan.

Prema Devaraj
Editor bersama, surat berita Aliran
1 Julai 2023

Terjemahan oleh: Zikri Rahman

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x