Situasi sekarang semakin hangat setelah Parlimen dibubarkan untuk membuka jalan kepada pilihan raya umum yang mengejut.
Sebelum itu, banyak parti pembangkang, NGO dan lain-lain menggesa pilihan raya diadakan tahun depan. Mereka percaya jika ia diadakan dalam beberapa minggu akan datang ketika musim hujan dan banjir tiba pada akhir tahun nanti, ia boleh menyukarkan pengundi untuk mengundi.
Jumlah keluar mengundi yang rendah boleh menguntungkan Umno-Barisan Nasional, seperti yang kita lihat dalam pilihan raya negeri Johor dan Melaka.
Aliran, dalam satu kenyataan, telah menggesa pihak berkuasa untuk menggunakan baki penggal mereka sehingga pertengahan 2023 untuk membaiki ekonomi, menggerakkan pembaharuan struktur dan membaiki masyarakat kita yang berpecah-belah.
Sekarang Parlimen telah dibubarkan. Jadi marilah kita fokus untuk mengundi calon terbaik untuk Parlimen 222 kerusi.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Kegembiraan pada 2018, apabila pengundi menggulingkan rejim pimpinan BN setelah enam dekad, mungkin sudah lama berlalu, tetapi pilihan raya umum kali ini sekali lagi akan memberi peluang baharu kepada pengundi untuk menentukan calon dan parti mana yang layak mendapat sokongan kita.
Keperluan untuk melawan kekecewaan dan kehampaan yang meliputi kalangan warga adalah lebih kuat berbanding sebelum ini. Kita tidak boleh membenarkan ahli politik yang tidak bertanggungjawab mengeksploitasi kelesuan dan tahap kepercayaan yang membesar terhadap sistem untuk keuntungan mereka sendiri. Kita mesti melawan sikap ‘tidak-apa’ di kalangan pengundi.
Pada bulan April, lebih 50 kumpulan masyarakat sivil, termasuk Aliran, melancarkan kempen: “Tuntut Semula Negara Kita: Rakyat didahulukan, Demokrasi Diutamakan” untuk menggalakkan semua pengundi menggunakan undi mereka dengan bijak dalam pilihan raya umum kali ini. Dalam kempen ini, kami menggariskan lima tuntutan yang saling berkaitan yang dikenali sebagai Agenda Rakyat:
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme
Sejak pelancaran kempen, kami telah menjalankan empat webinar bagi membedah dan membincangkan setiap tuntutan di atas.
Webinar terakhir dalam siri ini, yang dijadualkan pada 29 Oktober, bertujuan untuk “menggalakkan pembangunan yang saksama, mampan serta menangani krisis iklim”.
Lihat Agenda Rakyat dan tonton empat webinar.
Dengan menjelangnya pilihan raya umum, kita mesti menumpukan perhatian kepada isu-isu kritikal dan mengelak daripada terganggu oleh naratif yang memecahbelahkan. Biasanya apabila pilihan raya hampir tiba, isu-isu perkauman dan agama yang kontroversial akan menjelma. Topik sebegini bertujuan untuk membangkitkan sentimen orang ramai dan memperdalam jurang antara orang Melayu-Islam dan minoriti.
Sebagai contoh, presiden Pas Hadi Awang baru-baru ini menuduh warga bukan Islam dan etnik minoriti sebagai punca rasuah dan membentuk “majoriti mereka yang terlibat dalam merosakkan politik dan ekonomi negara”.
Sebagai kenyataan yang diucapkan oleh seorang pemimpin sebuah parti politik utama yang memperjuangkan Islam dan tadbir urus Islam, ia pastilah menarik perhatian ramai.
Namun, kalau kita mengguna logik pemikiran, kenyataan yang tidak rasional dan meluas sebegitu sepatutnya tidak layak mendapat liputan, kerana tidak ada asas untuk mengaitkan rasuah dengan kaum atau agama tertentu.
Ramai yang membuat laporan polis terhadap Hadi, yang kemudiannya dipanggil untuk memberi kenyataan. Polis sedang menyiasat beliau di bawah peruntukan Kanun Keseksaan mengenai kenyataan yang berbentuk gangguan dan hasutan awam serta penyalahgunaan perkhidmatan rangkaian di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia.
Berdasarkan peristiwa yang lepas, seseorang tidak perlu menaruh harapan bahawa polis sebenarnya akan mendakwa beliau. Barangkali, perkara ini hanya akan disenyapkan.
Hadi telah menembak ‘peluru’ pertama, bagi mendapatkan tindak balas dalam menyerlahkan jurang perpecahan di antara warga Muslim melawan bukan Muslim, serta Melayu melawan etnik minoriti. Naratif ini akan terus mendominasi perbincangan utama selama beberapa hari, jika tidak berminggu-minggu, dan ia seakan-akan memberi tanggapan salah jika kita tidak membalasnya.
Phlip Rodrigues menganalisis motif di sebalik desakan kontroversi Hadi ini di mana ia cara untuk menonjolkan bahawa umat Islam mempunyai kewajipan agama untuk bersatu dan melancarkan jihad politik untuk menyelamatkan negara dan umat Islam.
Sejak kebelakangan ini, beberapa pemimpin Islam juga menggesa agar konsert yang menampilkan artis asing diharamkan, kerana kononnya ia menggalakkan hedonisme.
Sebuah berita baru-baru ini juga memberi tumpuan kepada sebuah hotel di Kuala Lumpur yang mempunyai lif halal dan tidak halal yang berasingan.
Ini adalah contoh bagaimana isu kontroversi digunakan untuk memperdalam perpecahan antara orang Islam dan bukan Islam. Menjawab isu-isu ini memerlukan masa dan tenaga, kadang-kadang dengan mengorbankan perdebatan mengenai isu penting lain. Namun, tidak memberi tindak balas kepada isu hangat ini juga bukanlah satu pilihan.
Perbincangan mendalam mengenai isu kaum dan agama mesti melangkaui permukaan. Ia mesti dikaitkan dengan isu harian yang lebih meluas.
Inilah sebabnya mengapa kempen kita bagi menuntut semula negara ini menyenaraikan lima tuntutan yang luas.
Sebagai contoh, kami menyeru semua orang untuk meraikan kepelbagaian dan keterangkuman. Dasar dan aktiviti rasmi harus menggalakkan persefahaman dan keharmonian antara etnik dalam masyarakat kita yang berbilang etnik dan agama. Ya, kita mempunyai makanan halal dan tidak halal tetapi janganlah pula ada pembezaan di antara lif halal dan tidak halal.
Bagi memerangi kronisme dan rasuah, kita hanya memerlukan tadbir urus yang baik untuk menggalakkan kejujuran dan integriti. Mana-mana pesalah yang bersalah, tanpa mengira etnik mereka, mesti dihukum dan dibawa ke muka pengadilan. Sosok seperti apakah yang memberi alasan yang menyeleweng dalam membolehkan seseorang mencadangkan bahawa etnik minoriti dan bukan Islamlah yang bertanggungjawab terhadap masalah rasuah di negara kita.
Untuk menyelamatkan demokrasi dan menegakkan keluhuran undang-undang, kita memerlukan penggubal undang-undang yang ingin melakukan perubahan di Parlimen bagi mendesak reformasi dalam memastikan pemisahan kuasa yang jelas antara badan perundangan, eksekutif dan badan kehakiman.
Kelulusan undang-undang bagi mengekang lompat parti dalam kalangan wakil rakyat adalah satu permulaan yang baik, tetapi banyak lagi yang perlu dilakukan.
Buat masa ini, pelantikan peguam negara terletak di bawah bidang kuasa perdana menteri, yang mengetuai eksekutif. Ini perlu diubah.
Kita juga perlu mengasingkan fungsi pendakwa raya daripada pejabat peguam negara. Peguam negara kemudiannya boleh bertindak sepenuhnya demi kepentingan kerajaan, namun pendakwa raya harus bebas dan tidak melapor kepada cabang eksekutif kerajaan.
Bagi menegakkan maruah serta kualiti hidup rakyat, semua wakil rakyat perlu berusaha untuk meringankan penderitaan golongan miskin dan terpinggir di kawasan mereka.
Mereka tidak boleh hanya mengambil berat terhadap golongan miskin daripada hanya sesetengah kumpulan etnik dan kemudian mengabaikan yang lain. Memerangi kemiskinan mesti dilakukan merentasi warna kulit, dan kita memerlukan wakil rakyat yang memenuhi nilai ini.
Di Parlimen, kami mahukan ahli parlimen yang akan mendorong kemudahan penjagaan kesihatan awam yang lebih baik dan akses kepada pendidikan awam yang berkualiti walaupun di kawasan terpencil, serta perumahan awam mampu milik yang sebenar untuk golongan gelandangan serta warga berpendapatan rendah.
Slogan “keluarga Malaysia” tidak bermakna serta kosong jika kerajaan mengabaikan keperluan asas rakyat.
Pengundi yang dihormati, masanya akan tiba nanti apabila kita sekali lagi boleh menggunakan hak demokrasi kita untuk memilih wakil rakyat kita. Sila berhati-hati dengan strategi kempen yang memecahbelahkan masyarakat kita mengikut garis etnik dan agama.
Seperti yang ditegaskan oleh Azmil Tayeb, perjuangan dalam merebut jiwa dan minda rakyat sedang berlaku dalam media sosial. Kita perlu berupaya membezakan dan memisahkan di antara gandum dan sekam.
Ingatlah, tanpa mengira bangsa dan agama kita, darah yang mengalir melalui urat kita adalah merah yang sama. Jangan pernah kita lupa, kita hanyalah manusia biasa dalam lautan kemanusiaan.
Ayuh lakukan perubahan dan pastikan kita Rebut Semula Negara kita!
Henry Loh
Editor bersama, surat berita Aliran
7 Oktober 2022
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme