Home Newsletters Politik yang tak pernah terjadi seperti sebelum ini!

Politik yang tak pernah terjadi seperti sebelum ini!

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Setelah kejadian kontroversi bertimpa-timpa melibatkan wakil rakyat, Prema Devaraj menggesa para pengundi benar-benar meneliti integriti calon-calon apabila keluar mengundi lagi.

Rakyat Malaysia sedang menyaksikan peristiwa-peristiwa dalam arena politik yang tak pernah terjadi sebelum ini.

Awal tahun ini, kita menyaksikan pengenyahan suatu kerajaan yang telah dipilih secara sah dan penjajaran semula parti-parti komponen. Kerajaan Perikatan Nasional yang muncul wujud dalam ketidaktentuan keadaan, bukan hanya dengan bilangan kerusi yang tipis tapi juga dek kerana deram-derum ketidakpuasan hati dari dalaman, di kalangan sekutu-sekutu baharu gabungan.

Kita saksikan lagi kenyataan-kenyataan yang cemerkap dari politikus-politikus kerajaan PN. Seorang menteri mutakhir ini mengulas bahawa semua aktiviti perfileman, walau di media sosial perlukan lesen. Ada lagi seorang pula berkata bahawa melompat dari satu parti ke parti yang lain ialah suatu lumrah baharu. Kita juga melihat pusingan-pusingan U pada pendirian-pendirian yang sebelumnya kuat dipegang, misalannya gesaan untuk adakan pilihan raya tempatan kini telah digugurkan.

Ini menunjukkan kepentingan politik dan kekurangan prinsip yang jelas. Politikus-politikus terus melompat dari satu parti politik ke satu yang lain dengan suatu ragam yang memalukan katak-katak dan bersikap biadap terhadap proses pilihan raya – dan juga para pengundi. Kita sedang masih menyaksikan langkah-langkah dan langkah balas untuk kekal di dalam atau rebut kuasa pada peringkat negeri.

Jemput tinjau juga apa yang berlaku di Sabah mutakhir ini. Pilihan raya mengejut Sabah akan hadir membawa pendedahannya sendiri.

Kini, kita ada parti politik baharu, Pejuang, yang akan berkhidmat untuk undian orang Melayu. Ini menjadi tokokan kepada Bersatu, Umno dan Pas dalam PN atau Umno dan Pas dalam Muafakat Nasional. Jangan dilupakan pula Amanah dan PKR, yang berbilang kaum tetapi punyai majoriti etnik Melayu, dalam Pakatan Harapan.

Jadi sekarang ini kumpulan manakah yang mempunyai pertalian dengan Pejuang? Selain dari perbincangan tentang memecah atau menggembleng undi orang Melayu, persoalan yang lebih mustahak ialah keperluan siapakah yang sebenarnya dipenuhi. Sementara elit-elit politik bermain permainan mereka, haruslah disoal – untuk apakah yang sebenar-benar tujuannya?

Berlatarkan ini, mantan Perdana Menteri Najib Razak telah disabitkan untuk kesemua tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang yang berkait dengan RM42 juta yang dimiliki SRC International Sdn Bhd, yang dahulunya merupakan sebuah anak syarikat 1MDB. Hakim Mahkamah Tinggi telah menjatuhkan hukuman 12 tahun penjara ke atasnya dan denda RM210 juta sebaik tamatnya perbicaraan pada penghujung bulan Julai. Najib telah pun menfailkan satu rayuan.

Ini hanyalah yang awalan dari beberapa perbicaraan – yang bermula di bawah pemerintahan PH dan diteruskan di bawah PN – yang harus dihadapi Najib. Masa akan menentukan bagaimana kesudahan kesemua ini, memandangkan sabitan ini hanyalah “pusingan pertama”, seperti dibualkan ramai.

Dalam 10 hari pensabitan Najib, mantan Menteri Kewangan Lim Guan Eng telah ditahan dan dituduh tiga dakwaan rasuah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan kemudiannya di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang, berkaitan dengan projek RM6.3bn terowong bawah laut Pulau Pinang yang kontroversi dan salah guna kuasa dalam mendapatkan habuan.

Isteri Lim, Betty Chew, juga dituduh melakukan pengubahan wang di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram. Phang Li Koon, seorang ahli perniagaan juga menghadapi tuduhan rasuah. Apa lagi selepas ini!

Bual sembang di kedai kopi dan media sosial penuh dengan komen dari penyokong dan pengkritik. Adakah ia suatu kes pendakwaan yang bersifat politik atau satu bentuk ketegasan? Hutang darah dibayar darah? Menyahstabilkan saki baki PH dengan berterusan? Nak hambat DAP? Atau ada sesuatu yang betul-betul didedahkan? Tapi kenapa Lim diberi layanan yang berbeza dari mantan PM apabila direman semalaman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia? Dan macam-macam lagi. Semua orang nampaknya ada pendirian atau fikiran masing-masing. Dalam mencari kebenaran perkara itu, perlu ada proses perundangan yang sewajarnya.

Di sinilah terletaknya banyak permasalahan yang didepani oleh negara: persepsi awam terhadap integriti dan kesaksamaan agensi yang terlibat. Adakah kita percaya bahawa akan ada proses perundangan yang wajar tanpa campur tangan politik? Apakah terdapat contoh sedemikian setakat ini? Pembebasan Musa Aman dan Riza Aziz dari pertuduhan pengubahan wang dan rasuah membangkitkan bantahan orang ramai.

Hakikatnya ramai yang payah untuk percaya terhadap proses perundangan, walau sabitan terhadap Najib, dan dalam memisahkan yang benar (walau apa pun ia) dari drama dan lautan tuduhan dan penjelasan – khususnya dalam media sosial – yang menyelubungi ia. Diharapkan agar walau bagaimanapun kebenaran akan mengatasi segalanya.

Sementara kes-kes berprofil tinggi dipantau hebat melalui berita dalam negara dan peringkat antarabangsa, jangan dilupakan orang-orang biasa yang ditahan, direman, didakwa, tak mampu membayar duit jamin atau tidak diwakili peguam dan dipenjarakan. Secara keseluruhan, 214 orang mati dalam tahanan dalam enam bulan pertama tahun ini – lokap polis (3), penjara (188) dan pusat tahanan imigresen (23).

Apakah saluran keadilan yang keluarga mereka ada? Adakah proses perundangan diikuti apabila berdepan dengan kes-kes mati dalam tahanan?

Renungkan juga tentang kebebasan media dalam negara. Penghakiman Mahkamah Persekutuan yang tertangguh terhadap sama ada Malaysiakini dan ketua pengarangnya adalah bersalah menghina berikutan lima komen pembaca yang didakwa menghina kehakiman. Komen-komen ini, yang dipadamkan Malaysiakini dengan segera, telah timbul di bahagian komen pembaca di bawah suatu rencana yang diterbitkan dalam laman berita tersebut.

Namun, walaupun ada rayuan oleh mantan presiden Majlis Peguam bagi mempertimbangkan prosiding penghinaan itu, kes tersebut tetap diteruskan jua. Penghakiman berupaya memberi impak yang meluas ke atas kebebasan bersuara dalam talian dan kebebasan akhbar di Malaysia.

Pejabat Al Jazeera di Malaysia juga tidak terkecuali disebabkan oleh dokumentari Locked Up in Malaysia’s Lockdown, yang mendakwa penganiayaan terhadap pekerja migran ketika epidemik virus korona. Pejabatnya diserbu, dan nampaknya visa kedua-dua pekerja mereka tidak diperbaharui. Pihak berkuasa juga telah membatalkan permit kerja untuk pekerja migran yang dipaparkan dalam dokumentari tersebut. Dia diusir dan disenarai hitamkan dari memasuki Malaysia seumur hidupnya – suatu langkah yang dilihat badan hak asasi manusia sebagai keterlaluan.

Beralih pula kepada Parlimen yang telah mengadakan sidang pertamanya seperti yang sepatutnya (bermula pada bulan Julai) sejak pertukaran kerajaan. Rakyat Malaysia kemudiannya menyaksikan pertukaran Speaker yang tak pernah berlaku lagi sebelum ini dengan hanya beza dua undian.

Seorang Speaker dan timbalan speaker (timbalan speaker wanita julung kali dalam Malaysia) telah dilantik tanpa proses pengundian. Kebimbangan terhadap perkara ini dibangkitkan, namun Parlimen terus berlangsung.

Kejadian lain yang berlaku dalam Parlimen buatkan kita berkerut kening termasuklah kata-kata yang diucapkan oleh MP Baling yang berbaur perkauman dan seksis terhadap MP Batu Kawan. Walaupun dia akhirnya memohon maaf, tetapi belang sebenar MP itu telah terserlah.

Kemudian kita ada MP yang didakwa makan di dalam Dewan dan seorang lagi ditangkap sedang menghisap vape.

Seterusnya ada dakwaan suatu syarikat berkait kerajaan yang menaja makan tengahari bernilai RM6,000 dalam Parlimen kepada beberapa MP PN. Jika benar, ia membangkitkan persoalan-persoalan berikut. Mengapa syarikat berkait kerajaan perlu menaja makan tengahari untuk MP dan kenapa ia sungguh mahal? Apabila difikirkan gaji minima yang tak seberapa untuk kaum pekerja, rakyat biasa yang bergelut dalam kehidupan seharian mereka untuk mencari makan, dan penggangguran yang memuncak yang telah mendorong beberapa individu untuk menamatkan riwayat sendiri, jadinya dengan babak makan tengahari ini, jikalau ia benar, adalah keterlaluan..

Di celah semua remeh temeh ini, Rang Undang-undang Langkah-langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 telah dibentangkan di Parlimen. Rang undang-undang ini menyediakan dana RM45bn untuk 29 program rangsangan, yang termasuklah pengekalan pekerjaan dan gaji, pengekalan pekerja, insentif untuk menggaji pekerja dan program latihan (RM16.8bn); Bantuan Prihatin Nasional (RM11.2bn), Bantuan Sara Hidup (RM0.3bn); program latihan dan kemahiran (RM2bn). Apabila diluluskan, rang undang-undang itu akan beroperasi secara tinjau balik dari 27 Februari 2020 hingga 31 Disember 2022.

Sementara niat rang undang-undang Covid-19 ialah untuk merangsang pemulihan negara, rang itu sendiri mestilah diteliti dengan cermat bagi memastikan ia tidak meminggirkan mana-mana kumpulan rentan. Ahli Parlimendan yang lain-lain mestilah benar-benar memantau pelaksanaan bagi memastikan yang bantuan sampai atau boleh dicapai oleh kumpulan sasaran, bukan hanya beberapa yang terpilih, tanpa tersasar di tengah jalan atau tersekat atau bertangguh dek kerana prosedur birokratik.

Tidak jelas bagaimana dana Covid-19 ini akan sampai kepada pekerja-pekerja di sektor tidak formal, yang ramai antara mereka adalah wanita dan mereka yang terlibat dalam ekonomi penjagaan, misalnya menghabiskan masa dan tenaga untuk kerja-kerja rumahtangga dan menjaga anak, warga tua dan yang sakit. Beban kerja mereka menjaga di rumah bertambah mendadak ketika perintah kawalan pergerakan, Bagaimanakah ini dapat disokong atau diberi pampasan?

Negara ini perlu menggembleng pada pelbagai tahap. Ramai rakyat Malaysia yang biasa masih percaya pada intergriti, urus tadbir baik dan perlunya berbuat yang benar untuk negara ini serta rakyatnya. Budi pekerti mereka boleh dilihat melalui rasa jengkel, marah dan kekecewaan yang mendalam yang diluahkan terhadap perkembangan politik mutakhir ini.

Rakyat sudah merasa cukup dengan mempolitik isu-isu tanpa henti dengan kanta agama dan kaum, serangan peribadi, dan kehausan integriti dalam kalangan politikus dan puak mereka.

Jika khabar angin landaan pilihan raya umum benar-benar terjadi, maka ia mungkin jadi peluang untuk rakyat menyuarakan pandangan mereka sekali lagi. Tetapi siapa atau apakah pilihan yang para pengundi ada? PH perlu menyelaraskan tindakan mereka jika ia mahu memberi pilihan lain kepada pengundi. Boleh jadi juga sudah tiba masa untuk kuasa ketiga yang terdiri dari parti-parti kecil dan individu yang cakna untuk maju ke depan.

Apa pun, apabila kita mengundi lagi dalam pilihan raya umum mahu pun negeri, marilah benar-benar teliti integriti calon-calon. Kita telah saksikan ke mana sikap alpa akan integriti telah bawa kita.

Kita semestinya hidup dalam waktu yang menarik namun mencabar. Percayalah untuk mewujudkan Malaysia yang lebih elok.

Prema Devaraj
Pengarang bersama, surat berita Aliran
13 Ogos 2020

Diterjemahkan oleh Shazni Bhai

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x