
Baru-baru ini pemimpin Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, bertitah bahawa protes jalanan bukanlah penyelesaian kepada kenaikan harga barang di Malaysia.
Baginda merespon kepada ahli politik pembangkang yang menyeru agar orang ramai untuk memikirkan kemungkinan berkumpul di jalanan Kuala Lumpur bagi menyatakan kekecewaan mereka.
“Apakah kita masih tidak belajar dari protes berdarah pada masa lalu? Adakah mereka lupa rusuhan 1969, dan yang baru-baru ini, rusuhan Bersih?” titah Sultan Ibrahim. “Ia tidak mencapai apa-apa, kecuali kekacauan, kemusnahan dan sebuah tanda hitam dalam sejarah negara kita…
“Protes di jalanan bukanlah budaya kita di Malaysia… Tiada pemenang jika ini yang berlaku. Yang ada hanyalah mereka yang kalah, dan siapa tahu berapa lama pula luka ini akan sembuh.”
Saya bersetuju bahawa protes jalanan bukanlah penyelesaian terus. Namun, ia masih merupakan sebuah jalan absah bagi menyatakan kekecewaan dan rungutan, seperti termaktub di dalam Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Seperti yang dinyatakan oleh Bersih, kita perlu melihat semula sejarah perjuangan menuntut kemerdekaan di negara kita yang tumbuh dari protes.
Menganjurkan protes adalah sebuah hak asasi. Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia merupakan sebuah dokumen berpengaruh oleh PBB, di mana Malaysia merupakan negara anggota. Artikel 20 di dalam deklarasi ini ada menyatakan bahawa:
(1) Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan berhimpun secara aman dan menubuhkan persatuan.
(2) Tiada sesiapa pun boleh dipaksa menjadi ahli mana-mana pertubuhan.
Sebagai sebuah ahli Majlis Hak Asasi Manusia PBB bagi penggal 2022-2024, Malaysia perlu menghormati apa yang diikrarkannya berkaitan hak untuk berhimpun dan berekspresi.
Malaysia bukan satu-satunya negara yang menolak demonstrasi ganas. Namun kita sepatutnya terbuka dengan idea protes aman atau protes sopan.
Semenjak beberapa dekad lalu, gerakan protes menjadi sebuah perkara normal dalam suasana politik Malaysia. Ia merupakan sebuah bentuk penglibatan yang membenarkan rakyat untuk menyatakan pendapat secara aktif dan mengambil pendirian mereka sendiri – berbanding hanya menjadi pengamat yang pasif.
Tetapi, mengapa rakyat turun protes? Mengapa rakyat Malaysia protes?
Rakyat sering mengambil bahagian dalam protes atas dua sebab: untuk mempengaruhi pembuat dasar dan untuk membentuk pendapat umum.
Dalam satu sudut, penunjuk rasa (terutamanya jika bilangan mereka ramai) memberi tekanan kepada kuasawan politik bagi mendapatkan perhatian dan tuntutan mereka agar didengari.
Pada sudut yang lain, mereka juga sedang mendapatkan sokongan orang ramai dan menggalakkan lebih ramai orang untuk mendukung perjuangan dan tujuan mereka. Peralihan dalam pendapat umum dapat membantu gerakan untuk mencapai tujuan mereka, dengan pembuat dasar lebih kisah akan tuntutan mereka.
Kita perlu mengubah naratif bahawa mengikuti protes ini merupakan sebuah fenomena negatif; naratif sebegini dipromosi oleh begitu banyak negara tidak demokratik serta autokratik.
Protes bukan sebuah perkara hanya untuk melawan pihak berkuasa. Sebaliknya, ia membuka ruang bagi rakyat untuk mengutarakan tujuan dan untuk berjuang berdasarkan prinsip-prinsip tertentu. Benar, rakyat terlibat di dalam demonstrasi kerana banyak sebab yang lain.
Berkenaan kemungkinan ia bertukar ganas, inilah ruang di mana polis dan pihak keselamatan memainkan peranan. Peranan mereka adalah untuk menguruskan protes dan memastikan perarakan terus aman dan tidak berlaku ganas.
Khoo Ying HooiEditor bersama, surat berita Aliran
11 Julai 2022
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme