
Dengan keputusan Mahkamah Persekutuan untuk mengekalkan sabitan bersalah oleh Mahkamah Tinggi selepas empat tahun yang cukup melelahkan secara emosi, akhirnya igauan ini berakhir.
Saat saya menulis ini, sejurus selepas keputusan diumumkan, hujan rintik turun di Pulau Pinang tempat saya tinggal, membasahi seakan menyucikan negara ini.
Di seluruh negara, kedengaran nafas lega dan puas dilepaskan. Ramai yang tidak percaya bagaimana Najib Razak, bangsawan bermulut manis dari keluarga Razak Hussein, yang cukup bergaya memakai sut Armani, akhirnya menuju ke penjara.
Perdana menteri Malaysia yang pertama ke penjara. Siapa yang dapat mempercayainya? Ada yang menyebutnya sama seperti apa yang berlaku di Korea Selatan.
Hantu dari masa lampau
Tidak kiralah anda mempercaya hantu atau tidak, memang ada ‘hantu’ dari masa lampau yang berterusan menghantui negara kita.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Pernah seketika, kartunis tersohor Zunar melukis lakaran roh wanita Mongolia yang dibunuh, Altantuya Shaariibuu, yang bergentayangan di langit Putrajaya.
Ingati juga beberapa yang lain turut dibunuh dalam keadaan penuh misteri tanpa adanya penjelasan yang kukuh – bankir Hussain Ahmad Najadi, pendakwa raya Kevin Morais dan jauh pada 1980-an dulu, auditor bank Jalil Ibrahim.
Pembunuhan mereka sungguh mengejutkan negara. Mereka yang disyaki kemudian ditahan. Namun dalam kebanyakan kes ini, seperti ada perkara lain selain daripada pembunuhan semata-mata.
Mangsa yang terakhir, Jalil, jika beliau masih hidup hari ini, akan memberitahu kita bagaimana rasuah di Malaysia mempunyai kisah yang panjang. Saya pertama kali mendapat tahu tentang rasuah dalam skala besar-besaran ketika terdengar sanak-saudara di Petaling Jaya membicarakannya dalam nada berbisik melibatkan skandal BMF sebanyak RM2.5bn di Hong Kong.
Juruaudit Jalil dihantar ke Hong Kong pada 1983 bagi siasatan – untuk beliau kemudiannya dibunuh saat sedang mencari bukti, tubuhnya kemudian dibuang ke kebun pisang.
Pastinya, rasuah sudah wujud di Malaysia jauh sebelum itu. Pada 1970an, bekas Menteri Besar Selangor Harun Idris dihukum bersalah kerana menipu bank dan dijatuhkan hukum enam tahun penjara. Jumlah yang terlibat? RM7.9 juta.
Jumlah yang terlibat dikira kecil jika dibandingkan dengan jumlah pada hari ini. Skandal BMF mengejutkan negara kerana ia merupakan kes rasuah melibatkan berbilion ringgit yang pertama. Ia menunjukkan bagaimana jauhnya kita menjadi sebuah negara kleptokrasi saatnya jumlah RM2.5bn dalam skandal BMF hari ini sedikit pun tidak mengejutkan kita semua.
Sekarang kita mempunyai sekurangnya RM20bn yang didakwa dicuri dari 1MDB. Skandal lain pula adalah melibatkan sekitar RM6bn yang dibayar bagi kontrak enam kapal tempur, yang sehingga kini tidak disiapkan.
Barangkali masih ada yang lain. Bayangkan berbilion jumlah yang lain yang sekarang disembunyi di bank pesisir di luar negara dan akaun bank rahsia atau wang yang digelapkan melalui pembelian hartanah di luar negara.
Ketika waktu Mahathir, kapitalisme kroni di peringkat elit semakin memuncak. Jangan dilupakan kontroversi penjaminan keluar beberapa bank serta syarikat besar yang rapat dengan Mahathir ketika itu.
Serta juga penswastaan perkhidmatan awam kepada kroni, sanak-saudara serta pendukung parti, serta kebangkitan syarikat berkaitan kerajaan yang ditubuhkan tanpa ketelusan.
Segalanya bermula ketika Dr Mahathir Mohamad melancarkan polisi Malaysia Incorporated-nya pada 1981. Ideanya adalah supaya sektor awam dan swasta swasta bekerjasama sebagai sebuah Syarikat Malaysia. Namun cara fikir korporat turut meresap masuk, sekali gus mempengaruhi polisi penswastaan ala Thatcher di Malaysia dua tahun kemudiannya.
Penswastaan paling kontroversi adalah melibatkan operasi Tenaga Nasional diswastakan ke syarikat-syarikat penjana tenaga swasta, yang memberikan keuntungan besar untuk syarikat tersebut manakala beban ditanggung oleh Tenaga. Penswastaan ini sekali gus mendapat tentangan hebat dari pengerusi eksekutif Tenaga Nasional Ani Arope yang dianggap wira oleh ramai orang kerana bertegas dengan keputusannya saat melihat bagaimana berat sebelah syarat yang dikenakan kepada Tenaga Nasional.
Masalahnya dengan Malaysia Inc – iaitu, merasakan negara seperti sebuah syarikat – sekali gus merentap jiwa bangsa dalam prosesnya itu. Kejayaan hanyalah diukur dalam soal ringgit dan sen.
Jadi, berbanding memperbaiki perkhidmatan awam seperti hospital awam serta sekolah, fokusnya beralih kepada pelancongan perubatan yang digerakkan keuntungan, sekolah antarabangsa bagi kelas menengah atas, dan hospital swasta bagi mereka yang mampu. Ahli politik dan keluarga akan menghurung institusi sebegini manakala rakyat marhaen terpaksa berebut menggunakan sekolah awam yang diabaikan, hospital awam yang tidak cukup kakitangan serta sesak serta pengangkutan awam yang tidak cekap.
Ada benda lain juga yang berlaku.
Projek mega yang merancak
Ia tidak mengambil masa yang panjang bagi Mahathir dan pengikutnya untuk bermewahan dengan projek infrastruktur mega dari lebuhraya ke lapangan terbang sampailah ke empangan mega.
Beberapa projek ini memang diperlukan, namun apa yang dikhuatirkan adalah bagaimana projek mega lainnya itu diada-adakan sekadar mahu memberi kontrak besar kepada kroni korporat berbanding kepentingan awam. Cuba telusuri kisah bagaimana Empangan Bakun dan projek empangan mega lainnya itu – dan bagaimana ia kemudiannya diberikan kepada syarikat kroni saatnya Orang Asal yang tinggal di kawasan empangan itu kemudiannya dipindahkan.
Semakin ramai pemimpin politik, hatta di peringkat negeri, bergantung kepada idea projek mega, yang kononnya dijalankan bagi kepentingan rakyat. Seringkali, ia diberikan kepada syarikat kroni melalui rundingan dan jika pun ada tender, bagaimana kita tahu semuanya dilakukan tanpa penyelewengan?
Mengapa ramai ahli politik gemar akan projek mega, seperti lapangan terbang, lebuhraya, pengangkutan mega, projek reklamasi yang besar saatnya kita tahu ia tidak mampan dan sukar dilakukan secara perbelanjaannya?
Ia kerana hampir tiada ketelusan bagaimana sumber awam itu diagihkan, sekali gus memberi peluang besar untuk ‘komisyen’, ‘perkongsian keuntungan’ yang tersembunyi, kos yang dinaikkan, serta pemberian kontrak pembinaan kepada kroni.
Mahathir dan anak didiknya yang cepat belajar
Dan tiba-tiba kes 1MDB meletup. Di bawah pentadbiran Najib, Malaysia akhirnya mencapai status ‘berkelas dunia’ – menjadi kleptokrasi paling masyhur. Seluruh dunia tahu mengenainya.
Pentadbiran Najib hanya meneruskan apa yang dimulakan ketika pentadbiran Mahathir dahulu ke satu peringkat yang lebih besar.
Dan kini muncul mula skandal tentang kapal tempur. Apakah kita terkejut lagi sekarang?
Apa sebenarnya yang memotivasi ahli politik? Kuasa? Wang? Namun bukankah mereka ini dibayar gaji dan pencen yang kebanyakan dari kita hanya dapat membayangkannya saja? Mengapa ia tidak pernah cukup? Mengapa mereka perlu segala macam lantikan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dibebani hutang bagi menerima lebih banyak wang dan keistimewaan? Apa kerana duit masih tidak cukup?
Saya teringat sebuah petikan dari kitab yang saya parafrasa: tiada ahli politik yang dapat berkhidmat untuk kedua-duanya rakyat dan wang. Mereka hanya dapat berkhidmat untuk rakyat atau untuk wang.
Benar, tidak semua ahli politik tamak dan ‘lapar duit’ – namun terlalu sedikit bilangan mereka yang begitu. Barangkali wakil yang diundi kita ini benarlah cerminan kita sebagai pengundi sendiri. Jika kita membiarkan saja rasuah berleluasa, lambat-laun kita jugalah yang terpaksa menerima ahli parlimen dan menteri yang menjadi cerminan kepada sistem masyarakat kita yang bercelaru ini.
Masalahnya jika pun ada segelintir ahli politik yang jujur, mereka juga terpaksa berdepan dengan godaan yang akan dihadapi mereka saat mereka mendapat jawatan. Adakah mereka sanggup untuk mengelakkan diri daripada dibelenggu percanggahan kepentingan? Atau akhirnya mereka akan terjelepuk di depan habuan para pelobi dan pemaju serta logik Najib “you help me, I help you”?
Menolak godaan
Saya pernah sekali berbual dengan seseorang yang terlibat dalam memulakan agensi anti-rasuah, yang akhirnya menjadi antara agensi yang cukup dihormati di seluruh dunia.
Beliau memberitahu saya kunci bagi mengurangkan rasuah adalah dengan mengurangkan peluang untuk melakukan rasuah dan menghilangkan sumber bagi godaan. Ini boleh dilakukan dengan menggunakan teknologi maklumat di mana penggiliran pegawai penguatkuasa boleh dilakukan dengan rawak dan memastikan pembahagian tugas yang jelas, agar tidak ada seorang pun yang dapat mengumpul kuasa dan akhirnya menjadi mangsa godaan.
Selain dari itu, kita juga memerlukan kawal imbang institusi. Syukur, kehakiman kita teguh dan bersama rakyat dalam saat yang diperlukan ini.
Terlalu banyak kerosakan sudah terjadi kepada Malaysia serta imejnya di peringkat antarabangsa. Ini masanya untuk menolak pemimpin perasuah dan mengundi mereka yang mengutamakan kepentingan rakyat – dan bukannya kepentingan korporat.
Rakyat juga perlu berusaha bersama. Kita perlu bangkit dan merampas semula negara kita. Kita perlu mendukung kehakiman yang mandiri dan menempelak ahli politik yang menggunakan agama dan kaum bagi mengalih perhatian saatnya mereka sedang menjarah hasil mahsul negara kita yang kaya. Dengan sumber yang sebegini banyak, sepatutnya tiada yang miskin atau ditinggalkan di Malaysia.
Kita perlu fokus kepada isu sebenar yang digariskan dalam Agenda Rakyat, dengan lima tuntutan ditujukan kepada calon dalam pilihan raya akan datang supaya mereka dapat membahaskan isu penting yang memberi kesan kepada rakyat. Perubahan iklim juga sudah memberi kesan buruk kepada kita semua. Kemiskinan relatif berdasarkan tinjauan nampaknya pada tahap 16% – dan boleh jadi lebih tinggi. Bagaimana pula dengan isi rumah yang tidak dapat dinampak: penduduk di pedalaman, migran dan pelarian yang berpendapatan rendah dari garis kemiskinan?
Apa seterusnya kepada Malaysia?
Najib dengan hingar-bingar teriak slogan “Malu apa, Bossku” barangkali akan senyap dalam masa beberapa ketika lagi, saatnya beliau tidak lagi muncul di khalayak ramai.
Kecuali para pendukung tegar ‘Bossku’ yang gagal untuk melihat perangai Najib yang sebenar. Ini waktunya bagi mereka yang terpesona melihat Najib untuk sedar kerosakan sebenar yang sudah beliau dan pengikutnya lakukan kepada negara kita.
Rakyat kebanyakan, dalam melihat antara sosok paling berkuasa di Malaysia kini ke penjara, pastinya dalam keadaan bersemangat untuk melihat mana-mana ahli politik yang korup terlepas dari penjara.
Sesetengah ahli politik yang korup, yang menjadi gempal kerana makan rasuah daripada kantung dana awam, masih wujud berkeliaran dengan bebas. Inilah waktunya mereka patut takut. Najib sendiri masih ada beberapa kes lain yang terpaksa dihadapinya.
Semua yang dijatuhi hukuman bersalah kerana rasuah perlu berdepan hukuman, tidak kiralah jawatan apa pun mereka. Moga tidak wujud pilih kasih dan moga mereka tidak terlepas dari keadilan.
Akhir sekali, penting untuk kita mengingati mereka yang berani berdiri untuk keadilan. Rakyat marhaen di Malaysia yang mengundi agar perubahan terjadi pada 2018. Para pembantah Bersih 4 yang mendesak agar Najib letak jawatan. Para hakim di mahkamah yang berani, diketuai oleh Ketua Hakim Tengku Maimun Tuan Mat, yang tegas menegakkan kebebasan kehakiman. Pendakwa raya V Sithambaram dan pasukannya yang tegar meneruskan kes pendakwaan sehingga ke akhirnya. Para peguam yang berarak demi keadilan. Kelompok masyarakat sivil serta pemberi maklumat seperti Rafizi Ramli yang melawan rasuah. Warga marhaen yang aman, termasuklah para aktivis mahasiswa, yang keluar protes melawan salah tadbir dan rasuah. Kartunis seperti Zunar dan artis Fahmi Reza yang menambah tekanan.
Ironinya, mereka di Sarawak Report seperti Clare Rewcastle Brown seperti pasukan di The Edge, juga para wartawan Tom Wright dan Bradley Hope, yang berusaha mencari sumber lain – berbanding firma audit yang bergantung semata-mata kepada maklumat yang ‘digoreng’ oleh klien serta rekod kewangan merekalah – yang berjaya membongkar kebenaran tentang 1MDB serta kes berkaitan.
Juga jangan lupa buat yang ramai, begitu ramai aktivis masyarakat sivil dan politik serta rakyat marhaen yang ditangkap, disumbat dan terpaksa dipenjarakan ketika zaman pentadbiran Mahathir dan Najib kerana menyuarakan melawan salah guna kuasa. Usaha mereka tidak sia-sia.
Hujan renyai yang turun saat saya mula menulis sudah berakhir sekarang – udara makin bersih, bau korupsi makin mengurang. Keputusan Mahkamah Persekutuan sebuah detik katarsis bagi Malaysia. Ramai yang masih belum percaya – apakah ini semuanya mimpi?
Namun perjalanan ini tidak berakhir di penjara Kajang atau Sungai Buloh. Rakyat marhaen di Malaysia tidak boleh leka. Kita mesti mendesak agar pembersihan negara diteruskan dan semua rasuah dibasmikan.
Perhentian seterusnya adalah pilihan raya umum, serta kes-kes rasuah yang sedang berlangsung. Ini waktunya agar perubahan sebenar dan rasuah serta para perasuah untuk berdepan hukuman.
Kita patut meneruskan agar reformasi institusi diperkukuh bagi kawal imbang, memperkasa pembahagian kuasa, mengembalikan pilihan raya majlis tempatan dan merombak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Jika inilah yang berlaku, Puaka yang wujud di Malaysia boleh berkubur dengan aman. Untuk sekarang, kita bolehlah menghayati Hari Malaysia yang akan datang dengan penuh kelegaan.
Anil Netto
Editor bersama, surat berita Aliran
23 Ogos 2022
Terjemahan oleh: Zikri Rahman
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme