
Apa kaitan PKR dengan usaha mereformasi institusi? Sangat sedikit. Salah faham bahawa parti itu pembawa obor reformasi mestilah diketepikan.
Perjuangan untuk mereformasi institusi tidak bermula dengan pemecatan Anwar Ibrahim daripada kabinet pada 1998. Ia bermula beberapa dekad lebih awal, dengan berpuluh-puluh aktivis sosial dan politik ditahan secara berkala.
“Reformasi” yang dilaung oleh PKR, terutamanya oleh keluarga dan penyokong Anwar merupakan sanggahan terhadap pemecatan Anwar selaku timbalan PM dan timbalan presiden Umno oleh Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad, pada 1998.
Matlamat parti itu adalah untuk menggulingkan kerajaan Barisan Nasional dan merampas kuasa.
Selepas gagal merampas kuasa daripada Mahathir, PKR kemudiannya mendakwa mengusung agenda keadilan sosial, kesaksamaan dan meritokrasi.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Anwar sendiri kemudiannya didakwa atas tuduhan rasuah dan liwat. Amnesty International berpendapat perbicaraan Anwar “mendedahkan wujud corak manipulasi politik institusi negara utama termasuklah melibatkan polis, pejabat pendakwa raya dan badan kehakiman”.
Sudah tentu, jika anda bertanya kepada kerajaan “Madani” yang ada sekarang, bilamana salah guna kuasa tersebut ditangani, untuk memastikan tiada orang lain yang akan mengalami akibat dan ketidakadilan yang sama, boleh jadi anda tidak akan mendapat jawapan yang begitu meyakinkan.
Baru-baru ini, selepas hampir 30 bulan memerintah, Perdana Menteri Anwar menegaskan bahawa kerajaannya kekal komited kepada reformasi. Namun, katanya, ia tidak boleh dilaksanakan secara tergesa-gesa. Beliau bercakap tentang reformasi namun tampaknya semua seperti hanya janji bulan dan bintang. Anak beliau Nurul Izzah juga mengulangi bahasa yang sama untuk menyokong bapanya. Kata Nurul Izzah, Reformasi tidaklah ditinggalkan tetapi laluannya tidak akan berlaku dengan pantas. Tampaknya ia hanyalah retorika ‘modal air liur’ yang sama.
Ahli politik PKR dan DAP perlu diingatkan bukan mereka sahaja yang memperjuangkan keadilan sosial dan reformasi. Ramai aktivis sosial, pemimpin NGO dan pemimpin tersohor yang lain juga bertarung habis-habisan, kadangkala membayar harga yang tinggi, dalam perjuangan. Bagi mereka yang telah meninggal dunia, jiwa mereka barangkali masih akan resah – kerana banyak reformasi yang sangat diperlukan masih tidak dapat direalisasikan.
Sesetengah ahli politik yang tidak tahu malu malah bertindak dan berkelakuan seolah-olah mereka memperoleh sendiri jawatan dan kuasa yang mereka nikmati sekarang.
Realitinya, advokasi, kempen dan perjuangan untuk isu-isu penting yang telah diperjuangkan selama beberapa dekad – malah yang pernah menjadi sebahagian daripada agenda ahli politik dalam kerajaan ini – kini seakan terkubur jauh di bawah banyak alasan.
Belas kasihan dan empati terhadap masyarakat terpinggir di kalangan sebilangan ahli politik kini seakan menghilang setelah mereka mengecap kekuasaan.
Ambil contoh laporan oleh jawatankuasa reformasi institusi, yang dirangka oleh tokoh-tokoh terkemuka semasa Pakatan Harapan memegang kuasa persekutuan buat pertama kali di bawah Mahathir. Adakah kerajaan Madani mempunyai tekad politik untuk melaksanakan cadangan dalam laporan itu?
PKR mesti mengingati kekalahannya yang memalukan ketika pilihan raya umum 2004. Parti itu kehilangan semua kerusi yang ditandinginya kecuali satu, Permatang Pauh, yang disandang isteri Anwar, Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Begitulah, arus boleh cepat berubah dalam sekelip mata jika rakyat memilih untuk enggan memaafkan dan melupakan, apalagi jika janji tidak ditepati.
Pada pilihan raya umum 2008, gabungan pembangkang Pakatan Rakyat yang diketuai PKR – digerakkan oleh perhimpunan besar-besaran oleh Hindraf dan Bersih – memenangi 82 kerusi parlimen dengan sokongan 46.8% undi popular. PR juga mengambil alih lima kerajaan negeri.
Peratusan undi popular PR menghampiri 50.3% undi popular BN, yang memberikan 140 kerusi kepada pakatan pemerintah. Lihat bagaimana PR memenangi 58 kerusi kurang daripada BN walaupun hanya ketinggalan 3.5% undi popular.
Perbezaan ini disebabkan terutamanya oleh gerrymandering, yang masih belum diperbetulkan. Adakah kerajaan Madani akan mengeksploitasi kelebihan ini dengan mengumumkan pilihan raya umum awal, iaitu sebelum persempadanan semula kawasan pilihan raya harus diadakan iaitu menjelang 2026? Atau adakah ia akan membetulkannya sebelum pilihan raya umum yang harus diadakan menjelang 2028?
Pembaharuan sistem pemilihan cukup mendesak untuk memastikan pilihan raya yang bebas dan adil. Ia tidak boleh dilengahkan.
Beberapa pengkaji politik percaya Anwar mungkin memanggil pilihan raya awal sebelum persempadanan semula dilakukan. Ideanya adalah untuk merampas antara 25-30 kerusi daripada Perikatan Nasional yang Pakatan Harapan kalah dengan undi yang tipis – terutamanya apabila PH dan BN yang dipimpin Anwar telah bergabung.
Keputusan pilihan raya kecil Air Kuning baru-baru ini bagaimanapun tidak begitu memberangsangkan bagi pasukan Madani. Gabungan undi PH-BN untuk Air Kuning jatuh daripada 15,963 (68.0% undi popular) dalam pilihan raya negeri 2022 kepada 11,065 (60.7%) kali ini.
Pembaharuan utama yang telah lama tertunggak ialah pengasingan kuasa yang jelas antara eksekutif, badan perundangan dan badan kehakiman.
Ahli politik di pihak kerajaan berhujah bahawa gabungan itu dihalang oleh dinamik sosio-politik dan agama yang kompleks. Bergerak terlalu pantas melakukan pembaharuan boleh merisikokan perpecahan politik bagi kerajaan Madani. Ini barangkali menjelaskan sikap pemimpin PH yang kelihatan suam-suam kuku terhadap reformasi.
Ada pemerhati yang lain tidaklah begitu terkesan dengan hujah ini dan menegaskan PH hanya kekurangan tekad politik.
Ada yang mencadangkan bahawa reformasi institusi mati sebaik saja Anwar mengangkat sumpah sebagai PM dengan sokongan Umno, yang menjadi batu penghalang terbesar untuk reformasi sejak merdeka. Kepercayaan sebegini tidaklah berlaku tanpa asas.
Tidak lama selepas “kerajaan perpaduan” ditubuhkan, Umno memerah pakatan dengan mengambil alih beberapa kementerian yang mempunyai paling banyak sumber. Ahli politik Umno, beberapa daripada mereka yang sudah tercemar, dilantik ke syarikat berkaitan kerajaan, agensi dan badan kawal selia serta mendambakan jawatan seperti yang dipertua negeri.
Siapa yang boleh melupakan rentetan individu yang didakwa dengan “dilepas tanpa bebas”. Yang paling mengejutkan ialah Keputusan melibatkan seorang pemimpin kanan Umno selepas mahkamah telah menemui kes prima facie terhadapnya atas 47 pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram. Ini berlaku selepas 77 hari perbicaraan telah diadakan dan 114 saksi dipanggil.
Kononnya anti-rasuah!
Sebenarnya, pembaharuan perlu bermula dari atas – pejabat PM yang mengawal hampir semua hal di bawah sinaran mentari Malaysia.
PM, bersama beberapa menteri, timbalan menteri dan penjawat awam kanan, akhirnya bertanggungjawab ke atas pembaharuan undang-undang, hal ehwal Islam, audit negara, pertahanan awam, insolvensi, latihan kehakiman dan perundangan, jabatan pembangunan Islam, pembangunan Orang Asli, fungsi peguam negara, perkhidmatan awam dan sebagainya.
Pejabat PM juga perlu bersuara mengenai pelantikan ke pelbagai badan berkanun seperti Tabung Haji, Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, Suruhanjaya Pilihan Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Sukaham, Khazanah dan PNB.
Mengapa wujud pemusatan kuasa yang berlebihan? Mengapakah PM memerlukan kuasa yang begitu besar?
Bilakah dia akan mula mengasingkan kuasa yang ada? Ini adalah usaha reformasi di peringkat bawahan yang boleh dilaksanakan oleh perdana menteri tanpa majoriti besar di Parlimen.
Beberapa rang undang-undang utama telah pun diluluskan oleh Dewan Negara: Rang Undang-undang Majlis Media Malaysia dan Rang Undang-undang Perkhidmatan Parlimen. Ini harus dipuji. Anwar mesti segera melaksanakannya untuk menegakkan kebebasan media dan Parlimen.
Beliau juga harus memindahkan pengawasan Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pilihan Raya, SPRM dan Suhakam kepada jawatankuasa pilihan parlimen.
Tubuhkan suruhanjaya ketua hakim negara baharu untuk menempatkan semua suruhanjaya kehakiman dan undang-undang, pendaftar Mahkamah Persekutuan, Suruhanjaya Perkhidmatan Undang-undang dan pastikan ia bertanggungjawab untuk pelantikan dan latihan. Mungkin juga masukkan sekali mahkamah Syariah dan jabatan pendakwaan. Suruhanjaya ini harus diawasi oleh agong.
Semua ini boleh dilakukan. Namun, persoalan yang penting kekal: adakah perdana menteri mempunyai tekad politik untuk meneruskan agenda reformasi dengan segera?
Sarajun Hoda Abdul Hassan
Editor bersama, surat berita Aliran
4 Mei 2025
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme