Beberapa hari selepas keputusan Lembaga Pengampunan mengenai Najib diumumkan, seorang jiran menghantar mesej kepada saya yang berbaur kekecewaan:
Tonggak tertinggi Suaram, Bersih, LFL, Aliran dan lain-lain, sepatutnya membentuk parti kuasa ketiga untuk PRU akan datang.
Masih ada 4 tahun & pasti ada sekurang-kurangnya 200+ orang yang benar-benar baik di negara ini.
Beberapa jam kemudian, setelah berfikir dua kali, dia menghantar saya sebuah mesej lain:
Kadang-kadang, kita perlu berhati-hati dengan apa yang kita inginkan.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Apabila berfikir panjang, adakah kuasa ketiga benar-benar membantu atau mengakibatkan senario yang lebih teruk, memecahbelahkan undi yang memberikan PAS majoriti (yang paling ditakuti oleh kita semua)?
Mungkin lebih baik jika kita mendesak agar PM dengan wajah baru, tanpa ada beban atau latar belakang yang bermasalah?
Mesti ada kan segelintir daripada mereka; ahli parlimen yang baru dan semasa yang benar-benar boleh diharap??
Dua mesej jiran saya yang diterima itu, secara ringkasnya, menggambarkan dilema yang dihadapi ramai di Malaysia. Ketakutan terhadap sebuah negara teokratik yang mahu meneruskan agenda ketuanan sudah cukup untuk membuat ramai orang lebih sabar dengan reformasi yang perlahan di bawah pentadbiran Anwar Ibrahim.
Pada hujung minggu Tahun Baru Cina yang panjang, saya berbual dengan seorang aktivis dari KL pada sebuah majlis makan tengah hari, sambil mengunyah kacang gajus.
Beliau berkata: “Seluruh negara kini menghadapi dilema politik yang sama seperti yang telah dialami oleh rakyat Pulau Pinang sejak 2008.” Ketika itulah pakatan pembangkang Pakatan Rakyat merampas kuasa di Pulau Pinang (dan empat negeri lain), menyingkirkan Barisan Nasional yang telah memerintah negeri itu selama enam dekad.
Ramai yang enggan terlalu mengkritik kerajaan negeri kerana tidak tahan memikirkan kembalinya pemerintahan BN. Maka kritikan terhadap pemerintahan PH di negeri ini dipendam walaupun harga rumah melambung tinggi, pembangunan berkepadatan tinggi yang tidak terurus, tebus guna tanah secara besar-besaran serta rancangan pemaju yang menyamar sebagai ‘pelan induk pengangkutan’.
Pengurangan hukuman Najib baru-baru ini telah mencetuskan kegusaran di kalangan orang ramai yang menyangka mereka tidak lagi akan melihatnya dalam ruang politik di Malaysia. Malangnya, ia menghantar mesej yang salah tentang kesungguhan kita dalam membersihkan negara daripada rasuah.
Rasuah telah merugikan negara. Hutang kerajaan persekutuan diunjurkan mencecah 64% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada akhir 2024 atau RM1.3tn – hanya 1% kurang daripada 65% had hutang berkanun (yang sendiri lebih tinggi daripada had hutang sebelum sekatan sebanyak 55%) . Hutang yang melambung tinggi itu tidak dibantu oleh projek-projek mega yang diminati oleh ahli politik kita.
Sama ada ia berlaku secara kebetulan atau tidak, jumlah hutang kini hampir sama skalanya dengan aliran keluar masuk dana haram yang terkumpul dari Malaysia akibat jenayah, rasuah dan pengelakan cukai. Ini berjumlah $370bn dalam tempoh 10 tahun antara 2002 dan 2011 – atau RM1.8tn!
Beberapa orang terkaya di Malaysia – seperti Taib Mahmud dan Daim Zainuddin – tidak tersenarai dalam senarai “50 Terkaya Malaysia 2023” oleh Forbes, mungkin kerana kekayaan mereka di luar carta atau lebih sukar untuk diukur!
Anggaran lain meletakkan angka yang hilang akibat rasuah kira-kira RM30bn setahun.
Bayangkan berapa banyak wang yang boleh digunakan untuk meningkatkan kehidupan rakyat melalui skim pencen sejagat dan penjagaan kesihatan serta pendidikan awam yang jauh lebih baik. Kita tidak perlu menaikkan kadar cukai jualan dan perkhidmatan atau memeningkan kepala tentang subsidi atau menghapuskan pencen untuk penjawat awam baharu.
Sebaliknya, ahli politik bertelagah tentang perkara yang remeh-temeh, seringkali menunggang isu politik kaum dan agama, sedangkan isu sebenar diabaikan. Isu misalnya melibatkan rumah mampu milik, penjagaan kesihatan awam, pendidikan yang boleh diakses, makanan berkhasiat untuk orang ramai, pembangunan mampan dan sistem percukaian yang progresif.
Jadi adakah perjuangan Reformasi telah sia-sia? Boleh difahami jika ada yang hilang harapan. Malah ada yang secara sinis berkata “Reformati”. Anwar, kata mereka, telah mengecewakan rakyat. Bagi mereka, semua harapan telah hilang dan sudah tiba masanya untuk kita kemas beg dan pindah – dan perlu disedari, ramai pun yang sudah berhijrah keluar.
Tetapi masalahnya bukan hanya pada Anwar. Ia juga masalah kita bersama. Ramai di antara kita meletakkan harapan kepada ‘mesiah’ politik atau parti politik untuk membawa kita ke ‘syurga’ di Bumi, dan apabila orang itu mengecewakan, kita berpaling dan mencari ‘mesiah’ yang lain. Apabila kita tidak melihat seorang pun yang ada untuk menjadi ‘mesiah’, kita menganggap semua harapan hilang.
Ya, Anwar adalah pembawa panji-panji gerakan Reformasi, yang dicetuskan oleh penyingkirannya daripada kerajaan pada tahun 1998. Tetapi, jangan kita lupa bahawa lengkungan sejarah yang panjang tidak bermula hanya pada tahun 1998. Ia bermula beberapa dekad lebih awal – daripada perjuangan golongan kiri dalam 1930-an dan 1940-an kepada pergerakan kesatuan sekerja dan Barisan Sosialis pada 1960-an hingga kemunculan kumpulan masyarakat sivil pada 1980-an dan 1990-an.
Di sinilah kita perlu meletakkan letak duduk gerakan Reformasi. Ia dibina di atas batu asas kerja gerakan yang mendahuluinya. Ia adalah satu lagi fasa dalam gerakan rakyat untuk keadilan dan kebebasan. Untuk sebahagian besar fasa ini, Anwar adalah ikon harapan untuk pembaharuan dan perubahan – dengan Dr Mahathir Mohamad dan kemudiannya Najib Razak menjadi lawan yang kuat, bagi melawan segala bentuk perubahan.
Mahathir sendiri bahkan menunggang gerakan Reformasi menjelang pilihan raya umum 2018, yang memberikan fajar singkat yang dipadamkannya sendiri dengan kejam.
Sementara itu, Anwar pula penuh tangannya untuk mengimbang segala macam tindakan bagi mengekalkan “kerajaan perpaduan” agar beliau dapat bertahan untuk penggal penuh. Alternatif yang ada pula – sebuah gabungan yang menunggang agenda perkauman, teokratik – terlalu ngeri untuk dibayangkan.
Malah keadaan cukup tidak membantu Anwar yang perlu mengimbangi, malah mengikut, pelbagai kepentingan elit yang berlawanan dengan tuntutan rakyat untuk perubahan – pada masa yang sama, sentiasa sedar tentang kekurangan sokongan yang dimiliki oleh gabungannya melibatkan majoriti etnik, sekali gus mengakibatkannya perlu mengikut apa yang dimahukan oleh majoriti.
Sekarang pun, petani dan nelayan telah kehilangan tanah ladang dan kawasan perairan nelayan mereka, kononnya untuk memberi laluan kepada ‘pembangunan’, walaupun tahap keselamatan makanan negara kita telah mencapai tahap yang berisiko. Penduduk Lembah Klang pula bimbang dengan wujudnya banyak lebuh raya mega yang bakal menambah kesesakan dalam jangka masa panjang.
Dalam mengikut kepentingan elit dan korporat yang berkuasa, siapalah yang tahu seperti apa tarik-tali konsesi dan kompromi kepada agenda reformasi yang telah dibuat oleh Anwar.
Konsesi kepada kepentingan peribadi elit sebegini tidak bermakna pentadbiran Anwar harus mendapat layanan mudah oleh rakyat. Masyarakat sivil, khususnya, perlu terus mengingatkannya tentang Agenda Rakyat, yang disokong oleh lebih 50 kumpulan.
Lima tuntutan utamanya:
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme
Perkara-perkara ini adalah mustahak. Projek-projek mega yang tidak dirancang dengan baik – projek pengangkutan besar-besaran, tebus guna tanah secara berleluasa – bukanlah pengganti yang baik untuk penambahbaikan sebenar dalam soal isu perumahan, penjagaan kesihatan awam dan pendidikan, keselamatan makanan serta gaji bermaruah.
Jika ada pun, projek-projek mega ini berkemungkinan akan meningkatkan hutang kerajaan – yang akhirnya terpaksa ditanggung oleh rakyat – sambil memperkayakan hanya segelintir yang ‘bertuah’. Projek-projek mega ini memaksa kita untuk mengabaikan alternatif yang lebih mampan dan murah. Adakah kita benar-benar memerlukan projek infrastruktur pengangkutan berbilion ringgit sekarang apabila kita harus terlebih dahulu meningkatkan perkhidmatan bas kita melibatkan hubungan ‘first-and-last-mile’?
Terdapat kos peluang (opportunity cost) yang serius untuk semua ini: wang untuk projek mega itu boleh digunakan untuk meningkatkan kehidupan rakyat dengan cara yang lebih bermakna – rumah mampu milik, hospital dan sekolah yang lebih lengkap, dan bekalan air yang boleh diharap.
Sebagai pengundi, mungkin sudah tiba masanya untuk melihat kepada parti-parti politik yang melakukan kerja-kerja akar umbi yang berpaksikan rakyat, yang sering diinjak-injak apabila gajah sama gajah berjuang (‘gajah’ dalam hal ini bermaksud parti politik arus perdana yang besar).
Bagi mereka yang telah kehilangan harapan, ingatlah kata-kata Martin Luther King Jr: “Rentang moral di alam semesta ini luas, pun, ia pastikan condong ke arah keadilan.”
Melihat kepada nasib Mahathir dan Daim, adalah jelas bahawa kuasa dan kekayaan tidak boleh membeli ketenangan fikiran dalam jangka masa panjang atau sanjungan rakyat – dan ‘karma’ atau Tuhan itu pasti tidakkan melupakan. Mimpi ngeri terburuk mereka ialah bila Anwar mula berkuasa – walaupun penyokong mereka mungkin mendakwa ia sebagai pendakwaan terpilih.
Gerakan Reformasi di bawah Anwar telah membawa kita sejauh ini. Saatnya beliau sekarang ditekan oleh bebanan kuasa – di peringkat tempatan dan global – hanya di bahu kitalah terletak usaha untuk mendorong agar agenda pembaharuan dan keadilan dapat diteruskan di alam semesta kita. Tiada penyelamat politik selain daripada diri kita sendiri.
Jadi, libatkanlah diri anda dalam kumpulan politik dan masyarakat sivil, beri sokonglah kumpulan seperti Bersih, Aliran, Suaram, Penang Forum, kumpulan wanita, Gabungan Bertindak Malaysia, kumpulan alam sekitar… Bina jambatan di mana pun anda berada, bukan tembok. Lihatlah parti politik lain yang melakukan kerja akar umbi yang serius.
Bantulah untuk meningkatkan kesedaran tentang pembaharuan tulen yang kita perlukan, dengan menggunakan media sosial anda sendiri.
Ingat, kita bukan tidak berdaya dan jika kita berganding bahu, kita boleh menjadi kuasa yang tidak dapat dilawan dalam perjuangan untuk mencapai perubahan. Kerja untuk menegakkan keadilan dan keamanan amat diperlu.
Saya tidak dapat memikirkan cara yang lebih baik untuk mengakhiri tulisan ini selain dengan memetik kata penulis blog Hussein Abdul Hamid, yang juga dikenali sebagai ‘SteadyAku47’, yang malangnya meninggal dunia di Kuala Lumpur pada subuh tempohari berikutan komplikasi strok.
Â
Dalam catatan terakhirnya yang menyentuh hati pada 6 Februari, Hamid menukilkan:
Malaysia berada dalam keadaan berubah-ubah. Ia sentiasa berubah dan kita semua mahukan perubahan tetapi adakah perubahan yang berlaku di sekeliling kita, perubahan yang kita mahukan? Anda perlu memikirkan apa yang anda mahu dan apa yang anda tidak mahu daripada perkara yang sedang berlaku kepada dan di negara kita hari ini…tetapi ingatlah, kalian dan saya…kita ini rakyat…kawallah nasib kita sendiri. BUKANNYA AHLI POLITIK…walaupun kadangkala, ia mungkin kelihatan begitu.
Anil Netto
Surat berita Aliran
15 Februari 2024
Terjemahan oleh: Zikri Rahman
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme