Sekarang menjadi adat untuk kita bercakap tentang tiga kelas atau bahagian masyarakat di Malaysia, yang di atas 20%, pertengahan 40% dan di bawahan 40% melibatkan isi rumah (atau dikenali sebagai T20, M40 dan B40) – yang secara kasar mewakili pecahan peratusan populasi yang ada.
Tanggapan yang barangkali tidak disebut dalam tiga cara pembahagian ini adalah bahawa pecahan kelas yang sebegini akan membentuk sebuah masyarakat yang stabil. Paling penting dan logik, perhatian paling utama perlulah diberikan kepada masyarakat yang berada di bahagian paling bawah atau termiskin.
Justeru, fokus dasar sedari awal oleh kerajaan Najib Razak adalah untuk mensasarkan 40% masyarakat terbawah bagi polisinya untuk meninggalkan kesan.
Ini dapat dicapai melalui bantuan tunai BR1M (Bantuan Rakyat 1 Malaysia). Pengagihan ini yang bermula pada 2012 menerusi pembayaran tunai sekali beri sebanyak RM500 kepada isi rumah dengan pendapatan kurang dari RM3,000 sebulan.
Pada mulanya, RM2.6bn diberikan kepada sekitar 4.2 juta isi rumah, atau 80% isi rumah di Malaysia. Lima tahun seterusnya, kerajaan sudah membiayai sejumlah besar RM26.2bn ke atas BR1M.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Sehingga 22 Jun 2022, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob juga mengumumkan peruntukan tambahan RM630 juta berbentuk bantuan tunai melibatkan versi BR1M beliau sendiri iaitu, BKM (Bantuan Keluarga Malaysia).
Sehingga 8.6 juta masyarakat isi rumah B40 akan menerima sehingga RM2,500 tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM1.1bn. Bantuan tunai tambahan dijangka akan sampai kepada empat juta isi rumah, 1.2 juta warga emas serta 3.4 juta individu bujang, bermula pada 27 Jun.
Tidak dinafikan, pengumuman ini dibuat dengan sedar bahawa pilihan raya umum akan tiba nanti, besar kemungkinan akan dilakukan pada tahun ini.
Kelas pertengahan – sama penting
Apa yang saya mahu tekankan di sini adalah masyarakat kelas pertengahan 40% ini juga sama penting secara ekonomi dan politiknya seperti masyarakat bawahan 40%.
Pertamanya, ayuh kita teliti beberapa statistik baru-baru ini melibatkan tiga bahagian seperti yang ditunjukkan di dalam jadual dan grafik di bawah.


Statistik di atas menunjukkan, secara keseluruhan, Malaysia merupakan sebuah negara dengan masyarakat kelas pertengahan tinggi. Namun, aspirasi untuk menjadi sebuah negara maju, seperti disasarkan menerusi Wawasan 2020, masih tidak tercapai.
Memburukkan lagi, Malaysia kini berdepan fenomena di kelas pertengahan semakin mengecut dan mengecil.
Merudumnya kelas pertengahan
Pada 21 September 2021, Ismail Sabri mengumumkan bahawa 589,000 isi rumah melibatkan M40 – kira-kira, 20% daripada golongan ini – sudah jatuh kategori menjadi golongan B40 berikutan krisis ekonomi diakibatkan oleh pandemik.
Berita yang mengejutkan ini juga ditegaskan oleh Mustapa Mohamed, menteri yang bertanggungjawab tentang soal ekonomi, yang menyatakan bahawa ini diakibatkan oleh kerana penguncupan ekonomi sebanyak 5.6% pada 2020.

Malahan, kelas pertengahan di Malaysia juga menunjukkan penurunan terbesar jika dibandingkan dengan dua lagi bahagian lain, seperti yang ditunjukkan di atas.
Seseorang boleh mengunjurkan dari maklumat ini bahawa ekonomi Malaysia tidak pulih sepenuhnya akibat pandemik, yang mengakibatkan penguncupan kepada kelas pertengahan.
Pemahaman tentang ekonomi asas menyatakan bahawa kelas pertengahan penting bagi pembangunan ekonomi serta kestabilan sosio-politik.
Penguncupan kelas pertengahan akan mengakibatkan kesan buruk melibatkan penumbuhan perlahan, melembapkan ekonomi sekali gus menjadikannya tidak mapan dan mengakibatkan kemampuan untuk menaiki takah ekonomi yang lebih baik kepada beberapa kelompok pendapatan.
Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia menyediakan sebuah ringkasan dasar yang membahaskan dengan yakin bahawa ia adalah penting untuk masyarakat kelas menengah untuk ‘diselamatkan’.
Persimpangan kritikal
Melangkaui dimensi ekonomi melibatkan krisis masyarakat kelas menengah ini juga adalah kesan politiknya.
Pelbagai buku dan artikel membahaskan bagaimana ekonomi di Asia Tenggara, termasuklah Malaysia, mendapat hasilnya dari penumbuhan kelas masyarakat menengah.
Walaupun pemerhatian, penemuan dan analisa tentang kesan penumbuhan kelas menengah terhadap politik ini cukup rencam, kebanyakan cendekia berpendapat bahawa modernisasi dan demokrasi seringkali berpaut rapat dengan kemunculan kelas menengah di negara membangun.
Saya sendiri sudah membahaskan hal ini bahawa Dasar Ekonomi Baru yang membina sebuah masyarakat kelas menengah Melayu yang besar merupakan faktor penting kepada kestabilan politik negara ini.
Sebuah pembangunan masyarakat yang seimbang dan teragih secara adil kepada semua ahli masyarakat sekali gus membuatkan kita mencapai keamanan di antara kaum. Tambahan lagi, dalam beberapa hal, ia juga membantu dalam perubahan politik di Malaysia sejak tahun 1990-an.
Di dalam sebuah politi yang terbahagi menerusi agama dan kaum seperti di Malaysia, ia adalah penting untuk memastikan kelas pertengahan wujud bagi memastikan setiap kelompok etnik dapat terus menaiki tangga ekonomi.
Walaupun tidak semestinya individu dari kelas menengah ini akan secara automatik terbuka dengan idea progresif, namun kelas menengah yang semakin besar pastinya dapat mengurangkan pertelingkahan di antara budaya yang toksik.
Malaysia sekali lagi berada di persimpangan penting dalam trajektori politiknya. Pertelagahan politik yang ada, ditambah pula kelas menengah yang semakin mengecil, mungkin mengundang bencana dalam banyak cara.
Keadaan sosial mungkin menjadi semakin merbahaya dalam keadaan sukar ini di mana kesan rentetan dari perang di Ukraine serta keadaan yang dijangka melibatkan stagflasi global (inflasi tanpa pertumbuhan).
Sebuah kerajaan baru di Malaysia selepas pilihan raya akan datang, dalam bentuk apa sekalipun, perlu berdepan dengan cabaran di mana kelas menengahnya yang semakin mengecil ini.
Johan Saravanamuttu
Editor bersama, surat berita Aliran
24 Jun 2022
Terjemahan oleh: Zikri Rahman
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme
The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.