Saya tidak dapat menahan perasaan lega terhadap keputusan sabitan bersalah ke atas Najib Razak, yang dijatuhi hukuman penjara tambahan selama 15 tahun atas kesalahan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram – lima tahun lebih rendah daripada hukuman maksimum yang dituntut pihak pendakwaan.
Namun, ketika keinginan untuk meraikan keputusan itu timbul dalam diri saya, saya berasa teragak-agak. Saya tertanya-tanya sama ada ia tidak sensitif, malah kejam, untuk bersukacita atas kejatuhan seorang lelaki yang suatu ketika dahulu merupakan perdana menteri kita.
Saya fikir, sistem kita memang memerlukan empati, namun pastinya bukan untuk seseorang yang telah menjarah negara dan memanipulasinya demi kepentingan peribadi. Empati tidak seharusnya disia-siakan kepada golongan elit yang merasakan diri mereka berhak melanggar sistem, menipu dan merompak berbilion-bilion ringgit daripada rakyat.
Oleh itu, saya memutuskan untuk meraikannya – tetapi bukan atas kesengsaraan Najib, yang mana tiada orang lain perlu dipersalahkan kecuali dirinya sendiri – sebaliknya untuk Harapan.
Harapan kembali berkerlipan dalam hati saya; harapan bahawa sistem kita masih menempatkan individu-individu yang berkeupayaan tinggi dari segi integriti, kewarasan dan keberanian.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Collin Sequerah dan Alice Loke (yang beberapa hari sebelum itu telah menolak permohonan Najib untuk menjalani tahanan rumah) ialah hakim-hakim yang luar biasa – hakim yang meneliti bukti dengan penaakulan dan logik yang mendalam.
Keputusan mereka mengingatkan kita bahawa undang-undang masih boleh berfungsi sebagaimana sepatutnya. Saya yakin. Kita semua juga yakin. Tiada lagi keraguan – bahkan Zaid Ibrahim, penyokong dan sekutu lama Najib, juga tidak mempertikaikannya.
Sejak bertahun-tahun kebelakangan ini, negara ini bergelut untuk bangkit semula daripada kitaran kegagalan – dalam mendapatkan kepercayaan, akauntabiliti, tanggungjawab dan ketelusan. Rasuah dan salah guna kuasa telah menekan sistem hingga ke hadnya dan melenturkannya. Tidak banyak daya yang diperlukan untuk mematahkannya.
Dalam tempoh sedekad yang lalu sahaja, kita ditinggalkan dengan beberapa kes yang masih belum diselesaikan: kehilangan Pastor Raymond Koh dan aktivis Amri Che Mat, serta kematian Teoh Beng Hock.
Setiap kes berakhir tanpa penutup yang sebenar, meninggalkan lebih banyak persoalan daripada jawapan – dan lebih banyak rahsia gelap. Dalam proses ini, kepercayaan awam terhadap pihak polis semakin terhakis. Adakah ia sekadar ketidakcekapan apabila mereka gagal mengesan bekas suami M Indira Gandhi dan anak perempuannya selama 16 tahun?
Atau adakah ‘kuasa’ yang mereka miliki – yang diberikan oleh sistem – telah memabukkan mereka sehingga membawa kepada keganasan? Pihak polis diamanahkan sebagai pelindung dan pengawas masyarakat. Namun, beberapa insiden dan dakwaan yang berulang telah menjejaskan kepercayaan awam secara serius. Terdapat kes tembakan maut terhadap suspek yang telah didokumentasikan, yang menurut pengkritik melibatkan penggunaan kekerasan berlebihan.
Apabila wujud persepsi bahawa sesetengah pegawai bertindak dengan kekebalan dan bukannya untuk menegakkan undang-undang, serta tanpa mempedulikan ketelusan dan penghormatan terhadap proses sewajarnya, ini merupakan suatu krisis institusi yang mendalam.
Kegagalan menyelesaikan kes seperti kehilangan Koh dan Amri, atau menguatkuasakan perintah mahkamah secara tegas dalam kes Indira, mengukuhkan lagi persepsi berbahaya ini.
Dalam latar belakang yang gelap ini, dua orang hakim – Sequerah dan Loke – menonjol bagaikan suar cahaya, mengingatkan kita bahawa sistem masih boleh berfungsi, dan bahawa prinsip-prinsip undang-undang serta akibat melanggarnya belum lenyap sepenuhnya.
Namun, di sebalik sabitan bersejarah terhadap Najib, masih wujud kebimbangan bahawa keadaan akan berterusan seperti sebelumnya.
Satu persoalan yang membimbangkan terus berlegar. Pasukan pendakwaan dalam kes Najib mempamerkan kebijaksanaan, kecerdasan dan keupayaan yang luar biasa – namun di manakah kehebatan dan ketegasan yang sama dalam kes-kes berprofil tinggi yang lain? Adakah sabitan ini suatu pengecualian, atau permulaan kepada reformasi yang sebenar?
Pada September 2023, Timbalan PM Zahid Hamidi diberikan pelepasan tanpa pembebasan penuh (DNAA) bagi 47 pertuduhan. Hari ini, beliau masih memegang jawatan timbalan PM – satu gambaran jelas tentang sistem yang kelihatan semakin acuh tak acuh terhadap integriti dan akauntabiliti di peringkat kuasa tertinggi.
Percanggahan sebegini, dan banyak lagi isu yang tidak diselesaikan, kekal sebagai persoalan terbuka. Ia menunjukkan sebuah sistem yang bukan sahaja bertolak ansur dengan rasuah, malah terlalu kerap melindungi elit politik daripada akibat perbuatan mereka. Ada sesuatu yang sangat pincang dalam sebuah masyarakat yang gagal mengenali ketidakadilan, terutamanya apabila ia memihak kepada yang berkuasa, berharta dan bergelar.
Joseph Masilamany, dalam rencananya “Najib, house arrest, and the Malaysia we are still becoming”, mengemukakan persoalan kritikal: adakah kuasa yang melenturkan sistem, atau adakah sistem itu menentang kuasa?
Sesiapa yang mampu berfikir pasti mengetahui jawapannya. Kuasa telah melenturkan sistem – dan telah melakukannya selama bertahun-tahun. Mereka yang mendapat manfaat daripada kelenturan ini tidak mempunyai sebarang kepentingan terhadap integriti. Pada asasnya, ini adalah kegagalan kita mengekalkan kewaspadaan – satu sikap leka.
Kita sangat memerlukan asas-asas sistem terus dipertahankan: perundangan, prosedur dan tanggungjawab yang ditakrifkan dengan jelas bagi membina semula kepercayaan, akauntabiliti dan kebolehjangkaan.
Sama ada seseorang itu perdana menteri, ketua perbendaharaan atau pegawai polis, jawatan tersebut mesti membawa tanggungjawab yang melangkaui kepentingan peribadi. Tiada siapa yang diamanahkan dengan kuasa harus menyalahgunakannya. Begitu juga, tiada sesiapa patut dibenarkan menyonglap sesuka hati tanpa dikenakan tindakan.
Hari ini, kita menghabiskan masa yang tidak terhitung dan berjuta-juta ringgit wang pembayar cukai untuk menyiasat dan mendakwa kes rasuah yang berlaku kerana sistem gagal bertindak awal, tegas dan tidak berat sebelah.
Apabila skandal 1MDB meletus pada 2015, sistem bukan sahaja gagal mengesan rompakan berbilion ringgit. Bukan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia, bukan Bank Negara, dan bukan agensi penguatkuasaan kita yang membongkarnya. Sebaliknya, Clare Rewcastle Brown, seorang wartawan British, dengan penuh kesungguhan, menjejaki aliran wang dan mendedahkan kebenaran melalui Sarawak Report.
Jadi, di manakah mereka yang sepatutnya mengawasi semua ini? Di manakah proses kawal dan imbang? Apakah yang dilakukan oleh institusi-institusi kita ketika berbilion ringgit mengalir merentasi bank, sempadan dan bidang kuasa?
Ya, Najib telah disabitkan bersalah. Kita hanya mampu berharap bahawa pemenjaraannya menandakan permulaan kepada pembersihan yang sebenar. Kita memerlukan rombakan menyeluruh sistem bagi memastikan konsistensi. Budaya kekebalan dan sikap sambil lewa yang berakar umbi mesti dibongkar.
Buat masa ini, sedikit ruang untuk bersukacita adalah wajar dan diperlukan. Namun, kewaspadaan mesti menyusul selepas sabitan ini. Jika tiada perubahan dalam bulan-bulan mendatang, maka sabitan Najib akan menjadi tidak lebih daripada sekadar tin kosong.
Sukeshini Nair
Editor bersama, Surat berita Aliran
30 Disember 2025
Terjemahan oleh: Zikri Rahman
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme











