Saatnya negara menyambut ulangtahun kemerdekaannya yang ke-65 untuk semenanjung dan yang ke-59 bagi kemerdekaan atau pentadbiran sendiri Sarawak dan Sabah, serta Hari Malaysia yang ke-59 (pada 16 September), pasti ramai merasa hiba merenung kembali harapan yang menyelubungi peristiwa ini pada awalnya.
Kerinduan ini barangkali ditangkap sempurna seperti dalam petikan ucapan Tunku Abdul Rahman ketika pengisytiharan kemerdekaan semenanjung pada 1957:
… kita melihat ke masa hadapan dengan penuh kepercayaan dan harapan; di mana kita meyedari bahawa kitalah tuan kepada takdir kita, dan kebajikan bagi tanah air ini adalah tanggungjawab kita: Jangan biarkan siapa pun yang merasakan kita sudah menuju ke akhir jalan: benar Kemerdekaan sebuah peristiwa penting, namun ia juga sebuah tanda kepada tingginya ikhtiar kita – bagi membina sebuah negara baru dan berdaulat. Dengan penuh takzim, saya menyeru semua agar untuk bersama berkhidmat bagi sebuah Malay[si]a baru: bekerja berterusan dengan berganding tangan dan fikiran bagi membangun sebuah negara baru, diilhamkan oleh keadilan dan kebebasan – menjadi tanda cahaya dalam dunia yang kelam dan galau.
Memahaminya dari letak duduk kita sekarang, optimisme Tunku kelihatan agak naif saat kita berdepan skandal politik dan kewangan yang membelenggu negara kita cukup lama; tambah memburukkan keadaan lagi adalah Langkah Sheraton pada 2020. Ramai yang kecewa dengan peristiwa ini dan merasa tidak berdaya untuk mengubah negara menjadi lebih baik.
Namun, kita seakan terlupa usaha begitu ramai individu yang sanggup turun padang sekali gus menyaksikan keputusan mengejutkan pada pilihan raya umum 2018. Jangan dilupakan juga, misalnya, mereka yang keluar untuk menyokong protes Bersih sedari dulu. Ingatlah bagaimana NGO (seperti Aliran) yang sejak awal di hadapan dalam mengetengahkan isu yang membelenggu negara kita sejak lewat 1970-an lagi.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Walaupun kita tidak dapat nafikan kesan akibat Langkah Sheraton, namun kita juga jangan kembali kepada status quo, seperti yang kita dapat lihat keputusan Mahkamah Persekutuan untuk mengekalkan keputusan bersalah terhadap Najib Razak di peringkat Mahkamah Tinggi. Peristiwa sebegini hanya dapat berlaku kerana orang awam tidak lagi dapat menahan diri melihat mereka yang berkuasa menyalah guna kuasa.
Demokrasi seperti pasang surut ombak – setiap kali mara, pasti ada yang berundur; namun kita perlu tekal dalam perjuangan. Yang pasti, kita jangan putus asa dan teruskan perjuangan untuk sebuah Malaysia yang lebih baik.
Saatnya kita bakal menempuh 31 Ogos dan 16 September bersama nanti, ayuhlah kita mara ke hadapan dengan penuh bersemangat bagi menjadikan negara kita sebuah ruang di mana kita semua bangga mendiaminya.
Ayuhlah, dalam menyaksikan negara kita menyambut ulang tahun kemerdekaan yang keseratus kali pada masa generasi yang akan datang, kita dapat menyatakan bahawa bagaimana kita berupaya keluar dari hari penuh kegelapan ini.
Selamat ulang tahun Malaysia!
Chris Chong
Editor bersama, surat bersama Aliran
29 Ogos 2022
Terjemahan oleh: Zikri Rahman
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme