Home Newsletters Selepas 7 Oktober, genosid di Gaza: Membongkar naratif arus perdana yang hipokrit

Selepas 7 Oktober, genosid di Gaza: Membongkar naratif arus perdana yang hipokrit

Mendedahkan sikap talam dua muka dan kemarahan terpilih yang mengabaikan pembunuhan beramai-ramai di Gaza

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Isnin, 7 Oktober menandakan ulang tahun pertama serangan Hamas di selatan Israel apabila pihak keselamatan rejim Zionis diserang dan lebih seribu rakyat Israel terbunuh.

Walaupun sebarang bentuk keganasan haruslah dikutuk, konteks yang lebih luas di mana serangan Hamas dilakukan juga perlu dipertimbangkan. Ia adalah satu letusan keganasan daripada rakyat Palestin yang tinggal dalam apa yang telah digambarkan sebagai “penjara terbuka yang terbesar di dunia“, ditindas dengan penghinaan berpanjangan, gangguan dan hukuman kolektif.

Tarikh ini juga mesti diingati dengan tindak balas rejim Zionis yang mengerikan terhadap pencerobohan Hamas. Pengeboman tanpa henti Israel telah meranapkan sebahagian besar Gaza, menjadikannya ia tidak lagi dapat didiami. Ingat, ramai rakyat Palestin telah berlindung di Gaza selepas 1948, apabila negara Israel telah diwujudkan dari bumi Palestin yang asal itu.

Didorong oleh kononnya ‘dendam’, tentera Zionis setakat ini telah membunuh lebih 43,000 rakyat Palestin, kira-kira 70% daripadanya kanak-kanak dan wanita.

Rejim Zionis telah menggunakan serangan Hamas sebagai justifikasi bagi pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan tentera Israel ke atas Gaza selepas 7 Oktober.

Apologis Zionis sering menggunakan hujah bahawa pengeboman Gaza adalah “hak Israel untuk mempertahankan dirinya“. Tetapi mempertahankan diri mereka daripada siapa? Adakah Anggota ‘Pertahanan’ Israel (IDF) dan peneroka haram Israel ini cuba menyelamatkan diri dari warga Palestin yang sudah pun mereka hinakan dan dibunuh selama beberapa dekad ini?

Pandangan sedemikian seringkali dicerminkan dalam pembingkaian yang boleh diramal berlaku dalam media arus perdana Barat mengenai insiden berdarah dalam kebanyakan wawancara yang diliputi. “Adakah anda mengutuk Hamas” atas kekejaman yang berlaku pada 7 Oktober. Itulah yang sering mereka tanya. Ini adalah cara propaganda media Barat yang menyifatkan Israel sebagai mangsa.

Perspektif berat sebelah ini terlepas pandang dalam memahami bagaimana terpendam perasaan putus asa warga Palestin yang semakin memuncak dalam serangan 7 Oktober yang berlaku.

Rakyat Palestin yang marhaen telah lama menentang projek peneroka-penjajah Zionis, yang objektif kewujudannya hanya bertujuan untuk menyahmanusiakan dan akhirnya mengeluarkan warga Palestin dari tanah air mereka. Matlamat ini boleh dilihat dalam pelbagai kenyataan oleh pemimpin dan pegawai tertinggi Israel.

READ MORE:  'Stop profiting off genocide' - 200 arrested at Jewish Voice for Peace protest at NY Stock Exchange

Serangan Hamas juga dilancarkan pada satu persimpangan sejarah ketika Arab Saudi berada di ambang normalisasi hubungan dengan Israel di bawah Perjanjian Abraham. Usaha ini boleh meminggirkan persoalan Palestin atau memadamkannya secara berkesan daripada wujud dalam naratif arus perdana.

Peristiwa selepas 7 Oktober harus mengingatkan kita bahawa sesetengah orang, terutamanya pemimpin kerajaan Barat, bukan sahaja kehilangan rasa kemanusiaan dan keadilan. Mereka juga cukup terlibat dalam projek penjajahan Israel dan pembunuhan beramai-ramai yang berterusan ini.

Pertimbangkan pembunuhan keji yang berlaku ke atas kanak-kanak Palestin, sebahagian daripada tubuh mereka hancur dek kerana bom Israel yang menghujani Gaza.

Apa yang berlaku langsung tidak menyentuh hati nurani para pemimpin Barat ini, yang pasti ditanggung maluannya sehingga selamanya. Mereka meletakkan diri mereka sebagai puncak hak asasi manusia, kebebasan, keadilan dan demokrasi. Namun mereka tidak teragak-agak untuk membantu membiayai dan mempersenjatai rejim Zionis dalam menghancurkan kehidupan, harapan dan impian warga Palestin.

Israel dan pendukungnya dari Barat telah mencabul undang-undang hak asasi manusia antarabangsa berasaskan peraturan yang ada. Mereka telah menunjukkan bahawa kononnya kekerasan sentiasa betul, jadi mereka boleh melakukan apa sahaja yang mereka mahu dengan sewenang-wenangnya.

Ia juga tidak membantu saatnya ada rejim Islam-Arab tertentu yang tindak tanduknya kelihatan bersekongkol. Mereka boleh, sekurang-kurangnya, memanggil semula diplomat mereka dari Tel Aviv sebagai tanda protes terhadap pertempuran berdarah dilakukan oleh rejim Zionis itu.

Bukan itu sahaja. Mereka yang berkuasa juga telah menunjukkan bahawa mereka mempunyai monopoli ke atas hak untuk menilai orang lain sesuka hati. Mereka telah melabelkan Hamas, Hizbullah, dan Houthi sebagai militan dan pengganas kerana menentang pendudukan dan pembunuhan beramai-ramai Israel. Mereka juga menggambarkan kumpulan ini di bawah taraf manusia (subhuman) dan memperlakukan mereka sewenang-wenangnya.

READ MORE:  Unthinkable act by veteran BBC reporter, exposes Blinken's hypocrisy on Israel

Jika semuanya gagal, mereka akan menuduh para pengkritik Israel – tidak kiralah orang Yahudi (seperti organisasi American Jewish Voice for Peace atau lain-lain – sebagai antisemitik. Tuduhan ini tidak berasas sama sekali. Malah, ia akan dianggap sebagai pencabulan kebebasan bersuara pada masa dan keadaan lainnya.

Israel adalah sebuah negara yang dipersenjatai habis-habisan. Ia telah pun melakukan keganasan terhadap orang awam Palestin yang tidak bersalah dan tidak bersenjata selama beberapa dekad dan secara terang-terangan mengamalkan apartheid. Namun, pemimpin Barat dan media mereka menyifatkan negara itu sebagai satu-satunya ‘demokrasi’ di Asia Barat yang hanya mahu mempertahankan diri daripada ancaman serius di rantau ini.

Kita terlalu berlembut jika kita menyatakan bahawa Israel sebagai sebuah entiti yang hanya berkelakuan buruk. Gambaran sedemikian akan meneruskan ketidakadilan kepada puluhan ribu rakyat Palestin yang telah kehilangan tempat tinggal, terbunuh, cedera dan cacat sejak Nakba pertama pada 1948.

Ia bukanlah satu langkah yang bijak untuk meletupkan alat komunikasi dan walkie talkie yang digunakan oleh ramai orang awam Lubnan, mengakibatkan ratusan terbunuh dan cedera. Tidak, ia pembunuhan, satu tindakan keganasan.

Rejim Zionis telah melintasi begitu banyak garis merah, kekejamannya melangkaui tindakan ketenteraan. Ia telah menahan ramai rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak, tanpa dibicarakan. Malah ia telah menyeksa dan mendera tahanan Palestin secara seksual.

Yang mengejutkan, rakyat biasa di Israel sendiri memprotes percubaan untuk mempertanggungjawabkan tentera Zionis kerana merogol warga Palestin yang dipenjarakan.

Pasukan Zionis secara sistematik telah memusnahkan sekolah, perpustakaan, muzium dan universiti yang berharga di Gaza, yang mendokumentasikan dan memelihara budaya, identiti, pengetahuan dan ingatan Palestin.

Mereka telah menyekat makanan, bahan api, air dan ubat-ubatan – penting untuk kelangsungan hidup manusia – daripada sampai ke “manusia separuh haiwan” iaitu warga Palestin. Akibatnya, penyakit telah merebak sehingga meragut banyak nyawa.

READ MORE:  Malaysia must push for peace and justice for Rohingyas

Tentera Israel dengan sengaja mengebom hospital, tempat perlindungan yang ditetapkan PBB dan rumah ibadat. Mereka telah membunuh sekurang-kurangnya 138 wartawan dan pekerja media. Ini amat membimbangkan bagi mereka yang menghargai kebebasan media dan ingin tahu apa yang sedang berlaku di wilayah yang diduduki. 

Tentera Israel bahkan telah mencemarkan kubur Palestin. Mereka telah mengebom kem pelarian yang menempatkan seluruh keluarga pelarian.

Paling mengganggu, beberapa orang Israel telah dilihat bersorak melihat kekejaman berdarah itu.

Sementara itu, mereka yang bergelumang dengan kompleks ketenteraan-industri di seluruh dunia telah mengaut keuntungan besar apabila penjualan senjata meningkat.

Kita berada di jurang cukup licin. Kebiadaban terhadap orang kulit berwarna – orang Palestin dan warga Arab lain – telah menjadi normal.

Bandingkan dengan reaksi pantas pemimpin Barat dan media korporat mereka apabila Iran melepaskan kira-kira 200 peluru berpandu ke Israel. Mereka mengutuk pelancaran peluru berpandu itu sebagai biadab, walaupun ia adalah tindak balas terhadap pembunuhan Israel terhadap pemimpin Palestin dan Hizbullah.

Sifat perkauman yang penuh kepura-puraan serta pilih kasih sebegini cukup menakjubkan.

Keganasan rejim Zionis yang dahagakan darah harus dihentikan.

Sehubungan itu, adalah wajar bagi Menteri Luar Malaysia Mohamad Hassan untuk menggesa PBB agar dirombak semula, terutamanya Majlis Keselamatan yang memberikan kuasa veto kepada lima anggota tetapnya – AS, UK, Perancis, Rusia dan China. Seringkali, kuasa veto telah disalahgunakan untuk menghalang resolusi yang menuntut penyelesaian konflik, keselamatan dan keadilan. Lebih-lebih lagi, keahlian tetap Majlis Keselamatan tidak cukup mewakili kehendak politik dan aspirasi kebanyakan negara.

Pembaharuan yang bermakna pastinya akan membantu bagi memupuk dunia yang lebih aman dan berperikemanusiaan. Komuniti antarabangsa tidak mampu membiarkan segelintir ahlinya mengamuk sewenang wenangnya, sementara PBB kekal lemah dari segi politik.

Mustafa K Anuar
Editor bersama, surat berita Aliran
6 Oktober 2024

Terjemahan oleh: Zikri Rahman

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments

Most Read

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x