Home Newsletters Semakin banyak kelompok mendesak ketelusan dan keadilan di Malaysia

Semakin banyak kelompok mendesak ketelusan dan keadilan di Malaysia

Kurangnya kesedaran tentang kesetaraan gender, pengurusan pekerja migran yang buruk serta banjir di Baling hanyalah tiga isu dari pelbagai perkara yang menjadi rungutan orang ramai

DR WONG SOAK KOON/ALIRAN

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Sementara beberapa tarikh pilihan raya umum terus-terusan diteka, perebutan kuasa dan jawatan terus berlaku di mana janji demi janji dibuat sesama elit politik.

Beberapa mesyuarat, perjanjian, penyusunan kewangan dan ganjaran sudah pun dibongkar – itu pun kerana ada kes di mahkamah yang sedang berlaku dan ada pula yang dibocorkan oleh ahli politik yang tidak berpuas hati.

Namun ini hanyalah permukaan kepada segala bangkai yang sudah lama membusuk di negara kita sejak berdekad lamanya.

Yang menyedihkan, korban sebenar kepada kekacauan yang sedang dialami serta terus disaksikan ini sebenarnya adalah rakyat biasa. Kehilangan integriti dan kemampuan kerajaan serta institusi dan agensi lainnya sangat memberi kesan kepada rakyat biasa.

Walaupun terdapat banyak isu lain yang memberi kesan kepada rakyat, saya hanya akan mengutarakan tiga di dalam surat berita ini.

Kesetaraan gender: pi mai pi mai tang tu?

Pertamanya, adakah kerajaan sebenarnya serius dengan komitmennya tentang isu kesetaraan gender?

Ia sungguh mengecewakan untuk mengetahui bahawa kerajaan tetap meneruskan rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada September 2021 lalu yang memperakui bahawa undang-undang warganegara di Malaysia mendiskriminasi wanita.

Mahkamah Tinggi sudah memutuskan bahawa ibu di Malaysia berhak untuk mendapatkan kewarganegaraan bagi anak mereka yang lahir di luar negara sepertimana lelaki warganegara Malaysia.

Perlu dinyatakan bahawa Malaysia juga sudah menandatangani Konvensi mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (Cedaw), walaupun terdapat beberapa perkara yang tidak disetujuinya. Malaysia juga menyatakan komitmen kepada beberapa sasaran pembangunan lestari (sustainable development goals) PBB, termasuklah Sasaran 5, yang mensasarkan untuk mencapai kesetaraan gender dan memberikuasa wanita dan kanak-kanak perempuan. Tambahan lagi, Malaysia juga kini berada di dalam Majlis Hak Asasi Manusia PBB. Jadi banyak yang perlu kita buktikan.

Namun, cukup mengejutkan untuk membaca hujah terkini daripada Pejabat Peguam Negara di Mahkamah Rayuan pada Jun lalu – di mana memasukkan perkara berkaitan “gender” pada tahun 2001 sebagai asas larangan untuk mendiskriminasi di bawah Perkara 8(2) di dalam Perlembagaan Persekutuan dikatakan “tidak dibenarkan” dan sekali gus tidak boleh digunapakai bagi peruntukan warganegara di bawah Perkara 14 di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pejabat Peguam Negara berhujah bahawa Perkara 8 membentuk struktur asas Perlembagaan Persekutuan, yang tidak boleh dipinda.

Penasihat perundangan bagi responden di dalam kes Suriani Kempe pastinya tidak bersetuju dengan hujah ini, dengan menyatakan bahawa “pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan adalah dibenarkan selagi ia tidak bercanggah dengan struktur asas, serta identiti asas Perlembagaan Persekutuan tidak digubah. Oleh itu, penambahbaikan adalah dibenarkan, seperti di dalam pindaan kepada Artikel 8(2) pada tahun 2001”.

Kerajaan tampaknya bersungguh-sungguh untuk memastikan diskriminasi terhadap wanita untuk terus berlaku, walaupun sedar isu ini memberi cukup banyak kesukaran kepada begitu ramai wanita dan keluarga mereka sejak sekian lama.

READ MORE:  Hentikan dan semak semula pindaan undang-undang kewarganegaraan regresif

Ini menunjukkan bagaimana mengakarnya patriarki serta ketidakyakinan mereka yang langsung tidak mempunyai hormat kepada wanita dan keluarga mereka, terutamanya kepada kanak-kanak. Lebih memburukkan keadaan adalah pengabaian komitmen terhadap kesetaraan gender dan hak wanita di mana pihak kerajaan sendiri berdegar-degar mengucapkannya di arena antarabangsa bertahun lamanya.

Senyapnya Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat terhadap isu ini sungguh menyedihkan, namun ia juga menunjukkan bagaimana kemampuan kementerian untuk menyatakan sikap tentang hak wanita dan bagaimana ia mahu diambil serius.

Negara nampaknya harus menunggu sehingga Mahkamah Rayuan untuk mencapai keputusan Ogos nanti.

Pekerja migran: apakah mereka bukan manusia?

Seterusnya adalah bagaimana kita melayan pekerja migran.

Begitu ramai di antara kita yang terkejut dengan kenyataan menteri dalam negeri di mana beliau menyatakan “sesiapa pun boleh mati di mana-mana” sebagai respon kepada kematian 149 migran Indonesia di lima pusat tahanan imigresen dalam tempoh 18 bulan ini. Kenyataan beliau dianggap tidak sesuai.

Menteri dalam negeri ini sepatutnya memperhalusi tuduhan di dalam laporan berjudul “A report from hell: Conditions of the immigration detention centres in Sabah, Malaysia“, yang dikeluarkan oleh Sovereign Migrant Workers Coalition (KBMB).

Sekurang-kurangnya, menteri dalam negeri sepatutnya mengadakan inkuiri terhadap kematian dan siasatan berkaitan keadaan buruk yang didakwa oleh laporan berkenaan.

Ini bukan pertama kali rakyat Malaysia mendengar tentang keadaan kotor di pusat tahanan imigresen. Juga bukan kali pertama kita mendengar tentang kematian di pusat imigresen.

Awal tahun ni, timbalan menteri dalam negeri memberitahu Dewan Rakyat bahawa terdapat 208 kematian dicatatkan di depot tahanan imigresen di seluruh Malaysia sejak 2018 sehingga Februari 2022.

Terdapat nada sambil lewa yang cukup membimbangkan oleh menteri dalam negeri. Pastinya kematian dan keadaan seperti ini sepatutnya tidak diterima oleh kerajaan yang mempunyai kerusi di dalam Majlis Hak Asasi PBB, bukan?

Betapa mudahnya untuk mengeluarkan kenyataan bukan-bukan terhadap migran dan pelarian, saatnya komuniti ini langsung tidak mempunyai ruang untuk membalasnya.

Ia juga sungguh memalukan untuk melihat bagaimana perdana menteri cuba untuk memberikan alasan mengapa pemotongan subsidi perlu dilakukan dengan menyalahkan migran. PM kemudiannya disarankan oleh Angkatan Muda Keadilan untuk “jihad melawan inflasi dan bukannya pekerja migran”.

Benar, terdapat masalah perumahan yang tidak mencukupi serta pekerja tanpa dokumen tetapi juga eksploitasi serta penyeludupan pekerja migran. Pastinya, kita dapat menyelesaikan hal ini berbanding sibuk untuk melaga-lagakan rakyat Malaysia dan pekerja migran.

Kebergantungan kita kepada pekerja migran jelas – termasuklah dalam bidang pembinaan, perladangan, sektor pembuatan, di restoran dan juga dalam menjaga anggota keluarga kita, terutamanya kanak-kanak dan warga emas.

Kita perlu menolak naratif yang membakar syak-wasangka dan kebencian terhadap pekerja migran. Dan kita perlu memastikan kesemua layanan buruk terhadap kesemua warga diberhentikan termasuklah kepada pekerja migran yang ditahan dan di semua tempat.

READ MORE:  A plea for retroactive citizenship rights for children born abroad to Malaysian mothers

Banjir Baling

Akhir sekali, kita melihat kepada banjir di Baling baru-baru ini, serta mengingati banjir di Gunung Jerai pada tahun lalu – kedua-duanya berlaku di Kedah.

Baling dilanda “banjir yang dipenuhi lumpur dan serpihan” pada tengahari 4 Julai lalu. Seramai 600 orang dari 12 kampung terkesan. Ratusan yang lain terpaksa diselamatkan ke beberapa pusat perlindungan. Tragisnya, tiga orang meninggal. Tiada apa yang dapat mengembalikan apa yang hilang.

Banjir ini juga mengakibatkan bekalan air dipotong sekali gus memberi kesan kepada ratusan ribu orang bukan sahaja di Kedah tetapi juga di Pulau Pinang. Tidak jelas berapa banyak bisnes kecil-kecilan terkesan akibat pemotongan air ini.

Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan serta agensi keselamatan, NGO serta sukarelawan dikerahkan bagi membantu dalam bencana serta kerja pembersihan selepas banjir. Ratusan orang terlibat di dalam usaha ini.

Bantuan kewangan disalurkan oleh kerajaan persekutuan, dan derma awam diberikan kepada mangsa banjir.

Lihatlah kesan banjir ini! Adakah ini perlu berlaku?

Pihak berkuasa negeri dan persekutuan dilaporkan sedang menilai jika banjir ini berlaku diakibatkan oleh bencana semula jadi serta hujan yang turun berlebihan.

Namun, perlu juga diketahui bahawa tanah yang dibuka bagi penanaman durian, cukup hampir dengan kampung yang terjejas. Tanah itu juga, nampaknya dimiliki oleh perusahaan negeri dengan usaha sama sebuah syarikat.

Kini jelas bahawa selepas pentaksiran kesan alam sekitar dibuat, yang diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar pada 2013, adalah bagi ladang pokok getah. Namun, hanya pada 2021, pihak berkuasa sebaliknya mengetahui bahawa terdapat pokok durian ditanam. Apa yang boleh kita fahami dari hal ini?

Penduduk kampung, dalam hal ini, menyalahkan ladang durian bagi bencana ini. ‘Pandangan’ mereka berkenaan keadaan ini juga disokong oleh beberapa kelompok seperti Persatuan Pengguna Pulau Pinang, Yayasan Foodbank Malaysia and Lawyers for Environmental Rights. Kelompok ini secara asasnya mengaitkan kesan penebangan dan pembukaan hutan – termasuklah menggondol hutan serta tidak mengalihkan tunggul kayu dan balak, membuatkan tanah terhakis dan mengurangkan kadar keupayaan untuk menampung air – yang mengakibatkan banjir baru-baru ini.

Kelmarin, menteri alam sekitar menyatakan bahawa kajian yang dilakukan kementeriannya mendedahkan bahawa empangan bocor yang dibina di ladang durian Gunung Inas itulah punca banjir.  

Namun ada beberapa pihak yang menyatakan bahawa siasatan dalaman tidak boleh dipercayai dan tidak mandiri. Sebaliknya, mereka mendesak agar ditubuhkan sebuah suruhanjaya siasatan diraja.

Pada awalnya, menteri alam sekitar turut menyatakan bahawa terdapat pelan rancangan tebatan banjir di Baling bernilai RM203 juta bagi mengelakkan banjir kilat dari terus berulang.

Apa mereka ini serius? Adakah kita hanya mahu melakukan tebatan sekarang? Jadi apa yang sudah berlaku selama ini?

Kerajaan sudah pun menyatakan komitmen terhadap pembangunan lestari. Terdapat agensi kerajaan dan jawatankuasa penilaian teknikal yang ditubuhkan bagi memantau polisi dan memastikan syarat ditetapkan bagi pembangunan lestari dapat dipatuhi.  

READ MORE:  Dilahirkan di Malaysia, tapi bukan warganegara: Dilema anak-anak tanpa negara

Apakah pemantauan, laporan, pentaksiran dilakukan dengan kerap dan, jika diperlukan, adakah tindakan dan campur tangan diambil jika terdapat pelanggaran polisi di dalam projek berskala besar di seluruh negara? Dan jika tiada tindakan, mengapa?

Kita mempunyai pengetahuan dan pengalaman dari Malaysia Timur dan Barat berkenaan dengan kesan penggondalan hutan, pembalakan, perlombongan serta penarahan lereng bukit serta pengorekan pasir terhadap alam sekitar dan warganya. Kita juga mempunyai pengetahuan dan pengalaman tentang kesan daripada krisis alam sekitar.

Namun kita masih melihat bagaimana penjarahan dan penghancuran alam sekitar diteruskan atas nama pembangunan.

Barangkali jika kita melihat siapa yang mendapat hasilnya dari projek mega ini, ia akan membawa kita kepada mengapa dan bagaimana keputusan ini dibuat.

Mungkin jika rasuah dan ketirisan dihentikan, kita akan mendapat pengurusan yang lebih baik dan dana mencukupi bagi menggaji pegawai yang cukup untuk menjalankan kerja-kerja pemantauan dengan lebih cekap.

Kesetaraan gender, layanan terhadap pekerja migran, dan banjir Baling hanyalah tiga isu dari pelbagai perkara yang menjadi rungutan orang ramai.

Rakyat juga bergelut dengan kos sara hidup yang meningkat. Kemandirian sumber makanan juga isu penting, namun kita masih melihat bagaimana petani berdepan dengan pengusiran di Perak. Ruang bagi protes aman juga ditekan. Kematian dalam tahanan terus berlaku. Isu seperti ini takkan pernah berhenti.

Sampai bila kita mahu menghadapi hal sebegini? Kerajaan sepatutnya boleh buat lebih baik, dan rakyat berhak mendapat perkara lebih baik. Usaha untuk meningkatkan integriti, ketelusan dan kecekapan dalam semua peringkat kerajaan perlu diteruskan. Kebajikan rakyat sepatutnya diutamakan – bukannya barang-barang mewah milik pemimpin elit.

Sekali gus ia penting agar suara rakyat terus didengari.  

Jika kalian berkongsi kerisauan serta isu yang sama seperti Aliran, sila dapatkan kelompok dan NGO yang anda kenali untuk mendukung Agenda Rakyat yang dikeluarkan Aliran dan lima lagi NGO lain. Sokong kempen “Tuntut Semula Negara Kita: Rakyat Dahulu, Demokrasi Sekarang.

Kalian juga boleh menyokong Manifesto Rakyat, yang meliputi banyak isu yang diketengahkan oleh masyarakat sivil.

Sokong kesemua mereka yang berjuang dan melawan ketidakadilan di negara ini, terutamanya anak muda kita. Walaupun tampaknya masa depan kelam, jangan putus asa.  

Akan selalu wujud kemungkinan untuk perubahan, namun ia perlu digerakkan oleh rakyat. Kita perlu mendesak perubahan, dan ini bermakna kita perlu memastikan ahli politik kita bertanggung jawab sekarang dan ketika pilihan raya akan datang.

Gunakan suara dan undi anda pada pilihan raya akan datang.

Prema Devaraj
Editor bersama, surat berita Aliran
19 Julai 2022

Terjemahan oleh Zikri Rahman

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x