
Lama dulu ketika Perang Dingin, istilah “momokan merah” digunakan secara meluas untuk mewujudkan ketakutan yang tidak rasional terhadap komunisme serta pengambilalihan ideologi itu ke atas pemerintahan yang akan berlaku.
Momokan merah begitu meluas sehinggakan mereka yang mempercayainya membayangkan terdapat ancaman komunis di mana-mana sahaja mereka melihat. Malah warna merah muda – merah jambu atau pink – tidak terlepas daripada paranoid anti-komunisme secara besar-besaran. Mereka yang menunjukkan pertalian terhadap apa-apa jenis ideologi kiri dicap sebagai “pinkos”.
Serbuan di seluruh negara baru-baru ini melibatkan kedai Swatch untuk merampas jam tangan bertema LGBT mengingatkan zaman di mana warna seperti merah dan merah jambu melambangkan ancaman kepada keselamatan negara dan moral awam.
Mungkin kita harus menamakan tindakan keras kerajaan terhadap semua orang, acara dan perkara yang berkaitan LGBT sebagai “momokan pelangi”. Bayangkan!
Ia boleh merangkumi ketakutan seseorang terhadap kemungkinan ia boleh bertukar menjadi LGBT+ hanya daripada melihat pelangi muncul di kaki langit selepas hujan lebat.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Atau selepas makan kek lapis Sarawak berwarna pelangi.
Atau tidur di atas cadar berwarna pelangi.
Atau memakai jam tangan Swatch bertemakan pelangi.
Nah, anda faham-faham sendirilah idea itu.
Namun, serbuan yang dilakukan nampaknya merupakan gejala kerajaan yang menyasarkan golongan yang lemah dan terdedah dalam masyarakat kita untuk meredakan tuntutan yang dirasakan oleh majoriti.
Bukan hanya komuniti LGBT+ yang menerima kekerasan oleh pihak berkuasa kerajaan. Kumpulan terpinggir lain seperti pelarian, pekerja migran, Orang Asli dan aliran minoriti Islam seperti Syiah dan Ahmadiyah juga menerima akibatnya.
Bagaimanakah kita memahami serbuan ini dan insiden lain yang sama – seperti penggunaan kalimah Allah dalam Bible berbahasa Melayu – yang nampaknya semakin kerap sejak 2018?
Serbuan ke atas Swatch dilakukan tanpa kebenaran rasmi daripada menteri dalam negeri. Pegawai kementerian mendakwa serbuan itu adalah sebahagian daripada “operasi rutin”.
Tetapi sukar untuk kita percaya bahawa operasi sebesar itu, yang berlaku di seluruh negara, tidak disedari oleh menteri.
Adakah ia satu usaha terancang untuk menggilap ‘tahap’ keIslaman “kerajaan perpaduan” menjelang pilihan raya di enam negeri? Adakah serbuan itu dilakukan untuk mendapatkan ganjaran politik – untuk menarik pengundi Melayu menjauhi parti pembangkang Perikatan Nasional?
Tinjauan menunjukkan bahawa pada pilihan raya umum November lalu, 57% etnik Melayu mengundi PN dan kurang daripada 15% mengundi Pakatan Harapan (PH), yang kini menerajui kerajaan pelbagai gabungan.
Kemasukan Umno dalam kerajaan perpaduan bukanlah secara automatik membawa bersamanya undi Melayu. Malah sebenarnya berlawanan. Penganalisis politik mengunjurkan parti itu akan terus kehilangan penyokongnya kepada PN pada pilihan raya negeri akan datang.
Kerajaan perpaduan ini pula bagaimanapun berpendapat ia boleh bersaing dengan lawannya dengan cuba menjadi ‘lebih islam’ dari PN yang berasaskan Melayu-Islam.
Pemimpin PH Anwar Ibrahim – sebagai tokoh utama dalam pentadbiran pertama Dr Mahathir Mohamad (1981-2003) dan kononnya arkitek usaha pengislaman kerajaan ketika itu – sepatutnya lebih tahu mengenai kebijaksanaan bersaing dengan Pas dalam permainan untuk menentukan pihak mana lebih ‘tulen dalam beragama’.
Satu-satunya cara untuk menewaskan Pas dalam permainan Islamisasi ialah dengan tidak menggunakan nilai konservatifnya tetapi dengan menawarkan naratif balas alternatif yang progresif, adil dan terangkum.
Kita tidak perlu bersetuju dengan mereka yang berbeza dengan kita untuk mengakui hak mereka sebagai warganegara dan, lebih penting lagi, sebagai manusia. Kita semua mahu dilayan dengan adil dan menjalani kehidupan dengan bermaruah dan bangga. Ia adalah perkara yang betul untuk dilakukan sebagai ahli masyarakat yang rencam.
Sudah tentu, kita mahu orang lain memberikan kita penghormatan dan kesaksamaan yang sepatutnya, dan adalah adil juga untuk kita membalasnya dengan budi bahasa yang sama.
Menurut mitos, terdapat periuk emas di hujung pelangi. Saya ingin membayangkan pelangi itu mewakili diri kita secara kolektif, disatukan oleh cita-cita kemanusiaan yang sama – walaupun kita berbeza – dalam mengejar masyarakat yang adil dan saksama, seperti metafora periuk emas itu.
Begitulah jenis pelangi yang kita semua boleh menjadi sebahagian daripadanya.
Azmil Tayeb
Editor bersama, surat berita Aliran
31 Mei 2023
Terjemahah oleh: Zikri Rahman
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme