Kurangnya kebertanggungjawaban menjadi punca kepada banyak isu yang kita lihat di negara ini hari ini. Banyak isu ini bukan perkara baharu. Kita melihatnya muncul berulang kali.
Sering kali, timbul kemarahan orang ramai, diikuti janji reformasi atau pemantauan. Kemudian, perhatian terhadap isu itu memudar sehinggalah ia muncul semula.
Surat berita ini meneliti kebertanggungjawaban dalam empat bidang: jerebu rentas sempadan yang berlaku baru-baru ini, kematian dalam tahanan polis, pembangunan berbahaya di kawasan berbukit dan penyahmanusiaan pelarian.
Jerebu rentas sempadan
Sejak dua hingga tiga bulan lalu, berjuta-juta orang di Malaysia, Singapura dan Indonesia terpaksa menanggung kesan toksik kebakaran hutan dan tanah gambut di Indonesia. Golongan yang terjejas termasuk kanak-kanak, warga emas, mereka yang mempunyai masalah pernafasan, serta mereka yang bekerja di luar bangunan.
Sekolah dan perniagaan tidak terkecuali.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Kebakaran ini berulang mengikut musim.
Satu siri artikel bertajuk ‘We are not angry enough!’ (Kita belum cukup marah!) menghuraikan kemudaratan terhadap kesihatan serta punca jerebu, di samping bertanya siapa yang akan menghentikan kebakaran hutan dan tanah gambut ini.
Sementara kita bergegas membeli penapis udara (jika mampu) dan secara naluri menyalahkan Indonesia, kita harus melihat lebih dekat ke dalam negara sendiri. Seperti yang sering dikatakan orang: ‘Follow the money’ (ikut jejak wang).
Difahamkan, terdapat laporan yang menyenaraikan entiti perladangan dan korporat yang dikaitkan dengan titik panas kebakaran serta konsesi tanah di Indonesia. Antaranya didakwa termasuk syarikat dari Malaysia dan Singapura. [Walau bagaimanapun, menteri alam sekitar Malaysia menyatakan bahawa tiada bukti kukuh bahawa syarikat Malaysia menyebabkan kebakaran di Indonesia.]
Kumpulan masyarakat sivil dan Suhakam telah menggesa supaya digubal undang-undang yang memberi kuasa kepada pihak berkuasa Malaysia untuk menyiasat dan mempertanggungjawabkan syarikat atas kerosakan alam sekitar di luar negara.
Singapura, melalui Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan 2014 (Transboundary Haze Pollution Act 2014), baru-baru ini telah menyampaikan notis undang-undang kepada 10 syarikat yang berdaftar di Singapura. Firma-firma ini terlibat dalam sektor kelapa sawit atau perhutanan, serta memiliki konsesi tanah di Indonesia atau mempunyai kaitan dengan firma yang memilikinya.
Antara lain, mereka diminta menjelaskan kaitan korporat, konsesi tanah yang dimiliki, serta langkah pencegahan dan pemadaman kebakaran yang diambil.
Bolehkah kerajaan Malaysia mengambil langkah serupa dan menuntut kebertanggungjawaban daripada mana-mana syarikat Malaysia, sekiranya terdapat bukti yang boleh dipercayai membuktikan kaitan mereka dengan kebakaran atau konsesi tanah?
Bolehkah Deklarasi Asean mengenai Hak kepada Alam Sekitar yang Selamat, Bersih, Sihat dan Mampan (2025) dijadikan landasan untuk meraih komitmen dan kerjasama pelbagai negara?
Bagaimana pula dengan penggunaan matlamat pembangunan mampan PBB – khususnya matlamat 3 (kesihatan dan kesejahteraan yang baik), matlamat 11 (bandar dan komuniti yang mampan) dan matlamat 13 (tindakan iklim) – sebagai asas advokasi bagi penggubalan undang-undang dan tindakan susulan?
Semua komitmen itu sudah pun ada. Namun, adakah terdapat strategi yang jelas serta kemahuan politik yang mencukupi?
Berapa kali lagi perkara ini perlu ditegaskan? Akses kepada udara bersih ialah hak asasi. Kesihatan rakyat mesti didahulukan daripada keuntungan komoditi dan pelaburan.
Kematian dalam tahanan polis
Pada awal Oktober, Noorizwan Zulkefly, 42 tahun, menjadi kes ‘kematian dalam tahanan polis’. Noorizwan ditahan pada 19 atau 20 September bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, serta Seksyen 457 dan 379 (kesalahan pecah rumah dan kecurian) Kanun Keseksaan.
Kurang daripada dua minggu kemudian, beliau disahkan meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) pada 1 Oktober.
Peguam keluarga beliau mendedahkan bahawa bedah siasat mencatatkan 21 kecederaan pada tubuhnya. Antaranya pendarahan di otak dan usus, serta kecederaan yang meluas dari kepala hingga ke kaki.
Tiada penjelasan mengenai punca kecederaan itu diberikan. Sebaliknya, rekod jenayah dan dakwaan salah laku beliau pula yang ditonjolkan. Apakah kaitannya dengan kecederaan itu?
Berkat usaha gigih keluarga Noorizwan, peguam mereka (yang dilaporkan turut diganggu) serta kumpulan masyarakat sivil, kes ini kini sedang disiasat – termasuk oleh Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC).
Masih banyak persoalan yang belum terjawab. Kini, terdapat desakan supaya kematian beliau disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (kesalahan membunuh).
Sekali lagi, kita terpaksa bertanya: mengapa kematian dalam tahanan polis terus berlaku?
Apakah yang telah berlaku kepada draf memorandum jemaah menteri? Ia menggariskan syor jawatankuasa Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengenai kematian dalam tahanan, berserta 13 langkah pencegahan yang dicadangkan. Langkah-langkah ini dirangka untuk semua agensi penguatkuasaan yang terlibat dalam pengurusan tahanan, khususnya Jabatan Imigresen dan polis. Memorandum itu dikemukakan kepada Jabatan Perdana Menteri pada Disember 2024. Apakah tindakan susulan yang telah diambil?
Pada awal tahun ini, menteri dalam negeri, dalam jawapan bertulis kepada satu soalan mengenai kematian dalam tahanan, dilaporkan menyatakan bahawa “kementerian telah memperketat prosedur operasi standard bagi lokap dan penjara, menambah baik saringan kesihatan serta pemantauan terhadap tahanan dan banduan, memperkukuh integriti dan latihan pengendalian tahanan bagi anggota penguat kuasa, serta memperluas penggunaan CCTV yang disertai dengan audit pematuhan secara berkala”.
Dan apakah hasilnya? Mengapa begitu payah untuk menuntut pertanggungjawaban daripada pihak yang bertanggungjawab, serta ‘sistem’ yang membiarkan perkara sebegini terus berlaku?
Pembangunan berbahaya di kawasan berbukit
Kematian tragis Dr Wong Kar Lin, seorang doktor bersara berusia 73 tahun, akibat tanah runtuh telah sekali lagi menyoroti bahaya pembangunan di kawasan berbukit. Tanah runtuh itu melanda bahagian belakang rumah beliau di Taman Seri Rambai, Paya Terubong, Pulau Pinang baru-baru ini.
Penduduk Paya Terubong telah menyuarakan kebimbangan mengenai keselamatan dan alam sekitar berhubung projek pembangunan berketumpatan tinggi di kawasan berbukit 10 tahun lalu. Mereka membangkitkan isu seperti pemotongan bukit, cerun yang terdedah, letupan batu, dan air larian berlumpur seperti teh tarik.
Namun, siapa yang mendengar dan siapa pula yang memantau, terutamanya dengan hujan yang semakin lebat kebelakangan ini?
Siasatan sedang dijalankan, tetapi kita pernah melaluinya, apabila nyawa terkorban akibat tanah runtuh di Bukit Kukus dan tragedi Granito di Tanjong Bungah.
Terdapat banyak garis panduan bagi pembangunan di cerun bukit, tetapi sejauh manakah ia dipatuhi? Tidak jelas bagaimana projek cerun bukit yang berisiko boleh mendapat kelulusan.
Difahamkan kini terdapat cadangan untuk menggantikan langkah pencegahan sedia ada berkaitan pemotongan bukit.
Pelan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030 yang diguna pakai sekarang melarang pembangunan di tanah yang berada 76 meter (250 kaki) atau lebih di atas aras laut, atau di cerun 25 darjah atau lebih curam – dengan beberapa pengecualian untuk infrastruktur dan utiliti.
Walau bagaimanapun, draf pelan struktur baharu yang meliputi tempoh sehingga 2040 pula mencadangkan kelulusan diberikan kes demi kes bagi tanah bukit terpilih, dengan kajian teknikal bagi setiap projek – termasuk penilaian geoteknikal dan risiko iklim – membantu menentukan sama ada cerun itu boleh menampung pembangunan tersebut.
Adakah kita sudah hilang arah sepenuhnya? Pulau Pinang dan kawasan perbukitannya mempunyai had kapasiti pembangunan yang boleh ditampung dengan selamat. Tanpa langkah perlindungan yang jelas, apakah yang akan menghalang keputusan dibuat berdasarkan margin keuntungan? Mampukah perunding alam sekitar memberikan penilaian impak yang bebas sekiranya mereka diupah oleh pemaju sendiri?
Berapa banyak lagi nyawa yang perlu terkorban sebelum kerajaan negeri Pulau Pinang, pihak berkuasa tempatan dan para pemaju memahami hakikat ini serta dipaksa menanggung sepenuhnya segala akibatnya?
Tidak boleh ada sebarang kompromi terhadap langkah perlindungan yang ketat apabila melibatkan pemotongan atau pembangunan di cerun bukit. Pembangunan yang rakus dan tidak terkawal tidak menjanjikan kebaikan kepada Pulau Pinang mahupun penduduknya.
Loceng amaran sudah agak lama berbunyi. Siapakah yang mendengar, dan siapakah yang akan dipertanggungjawabkan atas kehilangan nyawa serta kemusnahan ekologi?
Tuntutan supaya pihak tertentu bertanggungjawab sering ditujukan kepada kerajaan (pada pelbagai peringkat), agensi dan entiti korporat.
Namun, bagaimana pula dengan kebertanggungjawaban individu yang menghasut kebencian terhadap golongan rentan dalam masyarakat kita, termasuk pelarian di negara ini?
Menyahmanusiakan pelarian
Penyahmanusiaan pelarian di negara ini terus berlaku tanpa henti.
Namun, tiada sesiapa pun yang dipertanggungjawabkan atas penyebaran kebencian dan maklumat palsu, terutamanya di alam maya. Hal ini secara berbahaya menghasut penganiayaan dan keganasan terhadap pelarian.
Apabila individu tidak dipertanggungjawabkan atas ‘perlakuan buruk’ di alam maya, ia menjadikan mereka lebih berani untuk melampaui batas lagi. Ia boleh merebak bukan sahaja kepada cara mangsa mereka dilihat, tetapi juga cara mereka dilayan.
Kita telah pun menyaksikan bagaimana kebencian di alam maya menjelma menjadi masalah di dunia nyata. Ini termasuk pengusiran dari tempat tinggal dan penutupan pusat pembelajaran bagi pelarian.
Baru-baru ini, serangan bom petrol (Molotov cocktail) berlaku di sebuah penempatan pelarian di Kulai, Johor. Polis menyatakan serangan itu mungkin tindakan balas yang berkait dengan video berunsur provokasi perkauman yang tersebar di media sosial.
Merendahkan martabat dan menganiaya golongan rentan, terutamanya mereka yang tidak mampu mempertahankan diri, ialah satu bentuk pembulian. Fenomena ini berlaku di seluruh dunia. Kita dapat melihat dengan jelas kesan penganiayaan sebegini, baik dalam sejarah mahupun peristiwa semasa.
Kepimpinan negara ini sebenarnya mempunyai kebijaksanaan kolektif yang cukup untuk mengetahui bahawa kebencian bukan jalan penyelesaiannya. Mereka juga patut tahu bahawa cara menguruskan isu pelarian dan menangani rungutan penduduk tempatan bukan terletak pada menyemai kebencian terhadap pelarian atau menghasut layanan buruk terhadap mereka.
Namun, keadaan ini dibiarkan berterusan. Apakah yang harus kita fikirkan? Adakah pelarian dijadikan bahan politik secara oportunis?
Isu-isu di atas bukan satu-satunya contoh di mana aspek akauntabiliti kurang di negara ini. Ia menunjukkan defisit integriti. Keadaan ini menjadi pemangkin kepada hakisan kepercayaan orang ramai terhadap kerajaan, yang akhirnya boleh membawa kepada kekecewaan masyarakat dan keruntuhan sosial.
Kita mempunyai pilihan mengenai kerajaan yang kita mahukan serta masyarakat yang ingin kita bina.
Dalam suasana sekarang, apabila kebertanggungjawaban begitu sukar diperoleh, kita mesti menuntutnya berulang kali, terutamanya apabila kemudaratan berlaku.
Kita juga perlu menuntutnya daripada diri sendiri, khususnya dalam tindakan kita terhadap orang lain.
Semoga pilihan yang kita buat membawa kepada pembinaan dan kelestarian sebuah kerajaan yang bertanggungjawab serta masyarakat yang penuh belas kasihan.
Deepavali, Pesta Cahaya, bakal tiba tidak lama lagi, dan ramai antara kita akan turut menyambutnya. Marilah kita semua berharap agar cahaya dalam diri kita memancar keluar dan mengilhamkan usaha ke arah menuntut kebertanggungjawaban yang lebih besar, belas kasihan serta keharmonian dengan alam ciptaan.
Prema Devaraj
Penyunting bersama, surat berita Aliran
4 November 2026
Diterjemahkan oleh Zikri Rahman
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme










