Adakah politik di Malaysia akan terus didorong oleh kaum, agama serta ketamakan yang tidak pernah puas terhadap kuasa, kedudukan dan tangan yang hanya mahu mencuri serta tidak pernah puas?
Adakah itu sahaja yang ada dalam politik Malaysia?
Pakatan berantakan
Pakatan Harapan sudah punah. Gabungan Rakyat Sabah tidak stabil, dan Amanah pula lemah. PKR nampaknya berada dalam mod memusnahkan diri sendiri.
Umno, pada kemuncak keangkuhan dan sikap mendominasinya, akan bertaruk habis-habisan menjelang pilihan raya akan datang.
Perikatan Nasional sedang berantakan. Bersatu, MIC, MCA dan Gerakan semuanya hancur berkecai.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Warisan sedang pulih.
Buat masa ini, kedua-dua gabungan dalam kerajaan dan pembangkang telah berpecah belah. Hanya DAP dan Gabungan Parti Sarawak yang masih bertahan di kubu kuat mereka.
Sukar untuk diteka parti mana yang akan bergabung dengan parti yang mana selepas pilihan raya untuk membentuk pakatan baharu.
Ramai yang berpendapat bahawa kemungkinan besar jalannya ialah sebuah parti yang berasaskan politik Melayu akan bergabung dengan parti lain atas dasar kaum atau agama untuk menjamin kuasa, sementara parti berasaskan etnik minoriti, seperti biasa, kekal seperti peribahasa ‘beras melukut di tepi gantang’.
Beberapa parti nyamuk yang lebih kecil pula telah ‘dihidupkan semula’ atau kembali sedar daripada tidur yang lena.
Yang terbaru ialah Bersama, berlogokan kancil dan berharap dapat memainkan watak licik yang bijak dan pantas dalam politik jenis baharu.
Sekelompok ahli pecahan Bersatu yang diketuai oleh Hamzah Zainudin, dengan restu presiden Pas Hadi Awang, melancarkan parti baharu, Wawasan, pada 13 Jun di Kelantan.
Seperti yang dijangkakan, Pas kemudian berpisah daripada Bersatu dalam gabungan PN. Ini membuka jalan bagi parti baharu itu untuk menggantikan Bersatu sebagai sekutu utama Pas. Tiada parti lain yang telah mengubah pakatan politiknya sekerap Pas – yang sekali gus menampilkan ketidakkonsistenan ideologinya.
Kekecewaan
Pemerhati yang mengikuti perkembangan politik yang tidak menentu itu semakin kecewa dan jemu dengan pergolakan yang tidak berkesudahan.
Perubahan di peringkat kerajaan persekutuan yang kerap, janji pembaharuan institusi yang dimungkiri, rasuah yang berleluasa, politik berasaskan etnik dan agama yang semakin memecahbelahkan serta krisis kos sara hidup yang mendesak menyukarkan kehidupan semua orang.
Ketidakstabilan politik yang kronik, rasuah dan polarisasi yang semakin mendalam ini juga sebahagian besarnya disebabkan oleh pergaduhan antara pemimpin utama etnik Melayu dalam setiap parti yang mereka pimpin.
Pemimpin etnik minoriti dan parti yang terlibat dalam politik semenanjung hanyalah kerosakan sampingan yang seakan tiada siapa yang peduli.
Pengundi atas pagar, kebanyakannya etnik minoriti, begitu kecewa dengan politik yang rosak sehingga mereka mungkin tidak akan mengundi dalam pilihan raya akan datang. Mereka akan terus menjadi seperti kata bidalan, ‘pelanduk mati di tengah’ – dan hanya memerhati dari tepi.
Banyak isu mendesak telah mengakibatkan kekecewaan dan keletihan jangka panjang, terutamanya dalam kalangan golongan pertengahan umur. Ketidakstabilan politik dan ekonomi, prospek yang tidak menentu, janji yang dimungkiri, gaji yang tidak berubah, kos sara hidup yang meningkat, penyalahgunaan kuasa, penempatan yang tidak adil dalam pendidikan tinggi, dan dasar konservatif adalah antara isu yang telah meletihkan mereka.
Pertikaian baru-baru ini mengenai isu kuil, gereja serta isu antara agama atau penukaran agama, yang diburukkan lagi oleh tindakan siasatan polis yang nampaknya selektif dalam kes berkaitan hasutan, telah memburukkan lagi keadaan. Rasa saling hormat yang pernah dibanggakan orang ramai telah lama hilang.
Agenda pembaharuan ditinggalkan
Kerajaan yang berturut-turut telah gagal memperbaiki sistem politik. Ia kekal berakar umbi dalam masalah struktur dan sosial: perbezaan berasaskan etnik dan agama, pergaduhan dalaman yang tidak berkesudahan, pakatan yang berubah-ubah, rasuah yang berleluasa, pengkhianatan politik serta hancurnya kepercayaan awam.
Orang ramai bersusah payah menanti agar sebuah parti itu dapat menggulingkan tatanan sedia ada. Mereka berdoa agar ia dapat melaksanakan pembaharuan yang dijanjikan iaitu menjunjung keadilan sosial dan kedaulatan undang-undang.
Akhirnya, parti itu berjaya memenangi kuasa – hanya untuk punah di hadapan parti yang telah lama dituduh melakukan politik berasaskan kaum, yang akhirnya diundi keluar oleh orang ramai selepas lebih enam dekad pemerintahan yang semakin merosot.
Tanggapan awam terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim, selepas lebih tiga tahun berkuasa, adalah bahawa beliau tidak berusaha cukup keras untuk melaksanakan pembaharuan menyeluruh yang dijanjikannya.
Pengkritik berpendapat bahawa beliau mengorbankan agenda pembaharuannya. Mereka menyalahkan tekanan hebat daripada timbalannya, Zahid Hamidi, dan ‘panglima perang’ politik Umno.
Ramai panglima perang ini menghadapi skandal kewangan besar-besaran dan tuduhan rasuah, tetapi diberi sama ada pelepasan tanpa pembebasan atau pelepasan, dan pembebasan sepenuhnya.
Zahid sendiri bertahun-tahun lamanya terlibat dalam 47 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram. Mahkamah mendapati ini merupakan kes prima facie. Namun kes itu ditutup buat selama-lamanya pada Januari 2026, tanpa tindakan selanjutnya diambil terhadapnya.
Kemasukan pemimpin-pemimpin yang tercemar ke dalam kerajaan persekutuan, malah dilantik ke jawatan awam yang tinggi, terus menghakis kepercayaan orang ramai.
Orang ramai juga kecewa dengan rekod kerajaan ‘Madani’ mengenai kedaulatan undang-undang. Ada yang dihilangkan secara paksa, mati dalam tahanan dan menjadi mangsa penggunaan undang-undang kuno dan kejam yang tidak henti-henti seperti Akta Hasutan 1948.
Kebebasan sivil seperti kebebasan bersuara dan ekspresi terus dilanggar. Peruntukan seperti Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia, yang lebih dikenali sebagai ‘akta sakit hati’ sering digunakan, di samping tindakan keras terhadap kumpulan advokasi, pemberi maklumat dan wartawan.
Dianggarkan kira-kira 3,000 undang-undang zaman penjajahan kuno dan usang masih ada dalam buku undang-undang di Malaysia. Takrifan “kecenderungan untuk menghasut” yang terlalu luas adalah peruntukan undang-undang yang juga menjadi punca derita penyokong Madani ketika mereka menjadi pembangkang.
Namun, selepas berkuasa, pemimpin Madani yang sama telah hilang kemahuan politik untuk menghapuskan buku undang-undang yang menindas dan membersihkan rekod, walaupun ia salah satu perkara yang patut dilakukan dengan mudah.
Slogan kosong
Sejak merdeka, setiap perdana menteri telah menghasilkan slogan dan tagline yang menarik untuk menandakan visi politik, kerangka dasar dan prinsip yang menjadi panduan mereka.
Setiap hari, radio dan TV kebangsaan telah memasang lagu-lagu keharmonian, tolak ansur, perpaduan dalam kepelbagaian, dan kewujudan bersama secara harmoni. Mereka menyanyikan tentang belas kasihan, kepercayaan, saling menghormati, pelbagai budaya, etika, nilai moral, muhibah dan kesopanan.
Namun, selepas lebih enam dekad sejak pembentukan Malaysia, slogan-slogan ini kedengaran kosong. Ia adalah slogan politik yang tidak bermakna apa-apa. Masyarakat masih hancur. Malah, keyakinan, tolak ansur, kepercayaan dan hubungan kaum semakin teruk.
Anwar memberi kita ‘Madani’. Ismail Sabri Yaakob memberi kita ‘keluarga Malaysia’. Mahiaddin Yasin memberi kita ‘kerajaan prihatin’. Najib Razak memberi kita ‘1Malaysia’. Abdullah Badawi memberi kita ‘Islam hadhari’ dan meletakkan asas untuk ‘wasatiyyah’.
Apakah yang sebenarnya disumbangkan oleh slogan-slogan ini kepada kesejahteraan, keadilan sosial dan kemakmuran rakyat? Jurang besar masih wujud antara pelbagai lapisan masyarakat. Semoga kerajaan seterusnya yang akan mengambil alih kuasa dapat menghentikan jenaka kasar ini.
Bilakah kita akan mula melayan satu sama lain dengan penuh hormat, sebagai satu keluarga besar, tanpa mengira perbezaan kaum, agama dan politik? Bilakah kita akan berjaya membina nilai-nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran? Bilakah kita akan menggantikan cakap kosong yang samar-samar ini dengan matlamat yang nyata dan boleh dipercayai?
Kalau difikirkan semula, adakah kita lebih baik hari ini berbanding ketika kita memenangi kemerdekaan dan membebaskan diri daripada pemerintahan penjajah?
Bolehkah kita membebaskan diri sekali lagi daripada tuan-tuan ‘penjajah’ baharu yang lebih berminat untuk mendapatkan kuasa dan kedudukan politik supaya mereka boleh terus menyonglap apa yang ada di depan mata mereka?
Sarajun Hoda Abdul Hassan
Editor bersama, surat berita Aliran
30 Jun 2026
Terjemahan oleh: Zikri Rahman
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme











